Al-Quran Penawarku

Assalamualaikum kepada admin dan semua followers IIUM Confessions. Aku harap admin dapat menyiarkan confessions aku kali ini.

Aku hanya nak kongsi pengalaman hidup seorang insan yang biasa-biasa sahaja. Semoga dapat memberi manfaat kepada semua. Lagi pun daripada perkongsian pembaca di laman ini, aku turut mendapat banyak nasihat dan tunjuk ajar untuk menempuh kehidupan. Terima kasih pada admin yang membentuk laman ini dan semoga menjadi amal jariah pada admin.

Pertamanya aku kenalkan diri aku, aku adalah seorang ibu bekerja dan umur pun dah hampir setengah abad. Kalau baca tajuk pun semua pembaca dah tau isu apa yang nak diceritakan. Ya, tentang Al-Quran dan impaknya kepada kehidupan aku sebagai seorang wanita, isteri, ibu dan sahabat.

Sebagai seorang ibu, apa yang aku dapati sangat besar kesannya kepada anak-anak kalau semasa mengandung kita sudah mulakan membaca Al-Quran di awal kehamilan sehingga melahirkan. Kalau boleh khatam satu Quran atau lebih lagi di samping selang-selikan dengan Surah Yusuf, Surah Luqman, Surah Yassin dan sebagainya.

InshaaAllah anak yang lahir senang diuruskan, taat pada ibubapa, mahu solat sendiri dan berdikari. Anak-anak aku bukanlah sempurna dan bijak pandai tetapi mereka menjadi penyejuk pada hati aku. Di samping itu banyakkan berdoa, sebab doa seorang ibu ini tiada hijab dengan Allah. InshaAllah.

Sebagai seorang isteri, aku juga ada pengalaman kehadiran orang ketiga dalam rumahtangga kami. Memang terkejut bila suami bagitau nak berkahwin lagi satu dengan ibu tunggal di tempat kerjanya. Aku namakan wanita ini A.

Dipendekkan cerita, perkahwinan tidak jadi dan perkara itu berlalu begitu sahaja bagi pihak suami. Tetapi bagi aku, akumengalami depression yang agak teruk . Aku ubati hati dengan membaca Manzil, pergi ke masjid dan mendapatkan sokongan dari kawan-kawan rapat. Alhamdulillah aku pulih.

Tetapi tidak lama selepas keadaan reda, pada suatu hari aku terjumpa perbualan suami dan A di dalam telefon (suami tak padam perbualan ini). Hancur hati aku, sebab masa aku jumpa A, dia kata kami tak ada apa-apa, hanya sembang sebagai kawan. Tetapi dari perbualan mereka, banyak perkara yg berlaku dan naifnya aku begitu kerana begitu percaya pada suami dan A.

Aku mula rasa sedih semula, tapi aku ubati kesedihan dengan membaca Al-Quran lebih banyak daripada biasa. Sedar-sedar aku dah habiskan satu juzuk sehari dan hati aku pun terubat dengan sendirinya. Hati ini jadi redha dengan perkara yang sudah berlaku. Bila kita membaca dengan Al-Quran dengan terjemahannya sekali, kita akan rasa masalah kita di dunia ini kecil sahaja berbanding kehidupan kita di akhirat yang kekal selama-lamanya.

Selepas mati kita akan berada dalam kubur tanpa teman, kubur kita itu taman-taman syurga atau lubang neraka? Kita akan dibangkitkan , berada di padang mahsyar, dihisab, melalui titian siratul mustaqim dan akhirnya ke syurga atau neraka..Allah, jauhnya perjalanan kita lagi sehingga aku rasa buang masa memikirkan masalah diri. Lebih baik aku menambah amal supaya terselamat dari neraka dan lebih hampir ke syurga.

Baru-baru ini pula aku ada perselisihan faham dengan rakan sepejabat. Rasa sakitnya hati ini. Tapi entah macam mana, dalam satu solat, aku telah baca ayat Al-Quran yang aku hafal lebih panjang dari biasa dan aku rasa hati aku yang kosong dan terluka itu terisi dan terubat dengan izin Allah. Alhamdulillah, betullah Al-Quran itusebagai penawar dari Allah dan mukjizat untuk Baginda Rasullah saw.

Aku pernah terbaca dalam satu majalah bahawa Al-Quran ini menjadi teman kita di tiga tempat. Di dunia, di dalam kubur dan di akhirat nanti. Sesiapa yang bertemankan Al-Quran memang hidupnya tidak akan sunyi, ada teman di kubur nanti dan InshaAllah ada penyelamat dari neraka.

Aku dah rasa Al-Quran sebagai ubat hati aku dan aku ingin kongsikan hikmahnya dengan pembaca semua. Sebab aku ini orang biasa-biasa sahaja, bukan ustazah dan bukanlah ibu dan isteri yang hebat. Aku hanya hamba Allah yang Allah bagi aku Al-Quran sebagai teman untuk aku melalui hidup ini.

Tidak lama lagi Ramadhan akan datang, semoga kita semua dapat lebih rapat dengan Al-Quran di bulan mulia tersebut. Aku minta maaf dengan tulisan yang tidak tersusun ini. Semoga perkongsian ini memberi manfaat pada diri aku sendiri dan semua pembaca.

– Murni

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *