Alhamdulillah, Terima Kasih Allah

Assalamualaikum. Sebelum ni saya pernah buat satu confession, confession saya sebelum ni panjang berjela. Confession saya berkenaan dengan ex suami saya dan keluarganya.

Saya nak share sikit cerita, dengan niat untuk bantu mereka yang pernah menjadi mangsa curang pasangan untuk menjadi lebih positif.

Alhamdulillah confession saya sebelum ni semua dah jadi bahan pra-sejarah. Saya dah tutup buku, move on dan buka buku baru. Masih banyak lagi tinta yang perlu saya lakarkan dalam buku baru.

Walaubagaimanapun, saya nak ucapkan terima kasih kepada yang wujudkan ruangan confession ni sebab saya dapat luahkan masalah saya dan buatkan saya lebih positif masa tu.

Saya buat confession 3 tahun lepas sebaik baru pulang dari umrah. Masa saya pergi umrah, niat di hati hanya nak tenangkan fikiran yang kusut.

Pengalaman pergi umrah, ada 1001 cerita berkenaan dengan diri saya dan anak saya (yang masa tu umur baru 4 tahun).

Banyak dugaan saya lalui masa di Mekah dan Madinah. Masa tu hati saya sedih, banyak kali menangis di Masjid Nabawi sebab rasa berat untuk besarkan anak lelaki seorang diri.

Banyak monolog dalaman saya semasa di sana, antaranya saya risau bagaimana nak besarkan anak lelaki saya.

Macam mana nak ajar anak untuk solat jumaat, macam mana nak tunjuk contoh lelaki soleh sedangkan saya seorang ibu.

Masa tu juga, ada incident yang saya rasa sedih jadi ibu tunggal, sebab orang selalu nampak anak dari broken family ni ‘nakal,tak ada adab, pampered, liar, kurang di ajar’ just sebab saya saja yang besarkan anak saya.

Jujur, saya banyak luahkan rasa hati, dengan stigma-stigma orang sekeliling dan stigma diri saya sebagai janda semasa berada di Mekah dan Madinah.

Masa tu juga, hati saya kagum dengan kisah hidup Nabi Muhammad SAW yang merupakan yatim piatu. Sedikit sebanyak kisah baginda buat kan saya positif dengan amanah yang Allah bagi.

Masa saya di Mekah, banyak kali juga air mata saya menitis. Rasa sedih, rasa pilu, rasa seperti suara hati saya lebih dekat untuk Allah dengari. Tapi pada masa yang sama, fikiran saya masih serabut dengan masalah.

Lagi parah, masa di jabal rahmah, saya langsung tak ada hati nak naik dan berdoa untuk jodoh saya. Masa tu hujan renyai, saya kendong anak saya di belakang dengan baby gear. Nak naik, saya tak tahu nak doa apa.

Fikiran saya kusut sekusut kusutnya. Saya takut, jika jodoh yang saya doa dan harapkan, bila dapat jodoh nanti sama seperti ex husband saya. Bukan setakat itu, saya trauma dengan keluarga mertua.

Isu ex husband, ibu mertua, isu rumah dan skandal ex husband yang juga sepupu dia sendiri cukup buat saya trauma untuk fikir nak berkahwin lagi.

Ingat lagi, turun dari bas di kaki bukit jabal rahmah, saya, mak dan anak saya – kami duduk di bawah pohon kurma di bahagian bawah jabal rahmah.

Mak saya ajak saya naik, saya berikan alasan hujan masa tu. Jadi sudahnya mak saya pun redha. Kami duduk di situ, kami pun berdoa.

Nampak raut muka mak sedih sebab saya langsung tak nak naik. Hati saya masa tu masih tak dapat move on dengan apa yang jadi pada diri saya dan fokus saya pada masa tu hanyalah anak.

Tapi masa tu, ada bisikan hati berkata pada saya. Jangan sombong dengan Allah, tadah tangan dan doa sahajalah. Datang beribu kilometer, tapi masih tak nak berdoa.

Jadi masa tu, saya minta mak saya tadah tangan untuk saya berdoa dan saya minta ibu saya mengaminkan doa saya.

Dalam keserabutan kepala, saya berdoa dengan suara yang perlahan sebab saya tak mahu mak saya dengar doa saya. Masa tu saya berdoa,

“Ya Allah. ampunkan segala dosa hamba Mu ini. Ya Allah, dari jauh saya datang tapi saya tak mampu untuk berdoa.

Jadi Ya Allah, jika ada jodoh saya di dunia ini, yang boleh membimbing saya dan anak di dunia dan akhirat, yang boleh sayang saya dan anak yang saya sedang kendong,

Yang boleh memberikan saya ketenangan dan menjadikan saya orang yang lebih baik, maka Ya Allah pertemukan lah saya dengan jodoh ini.

Tapi Ya Allah, jika tiada jodoh saya di dunia ini, redha kan hati ini dan pertemukan saya dengan jodoh di akhirat / syurga nanti.

Dan Ya Allah, bantulah diri ini untuk mendidik anak yang sedang saya kendong ini menjadi anak yang soleh”.

Masa tu, saya mohon mak dan anak saya aminkan doa saya walaupun masa tu doa saya mak dan anak tak dengar pun.

Masa tu juga, makcik saya ada juga turut serta dengan umrah. Makcik saya ni kakak kepada mak saya. Bersemangat mak cik saya naik ke puncak jabal rahmah.

Masa naik bas untuk pulang ke hotel, makcik saya excited beritahu saya, dia doakan saya memperoleh jodoh yang baik dan masa tu makcik saya doakan saya dapat jodoh dengan orang yang lebih muda dari saya.

Masa tu, saya gelak sahaja, dalam hati saya rasa sedih sebab saya sendiri tak ada hati nak mencari jodoh lain. Rasa macam loser sangat sebab tak nak fikir untuk diri sendiri dan at least untuk anak.

Mungkin asbab makcik saya ikhlas doakan saya dekat jabal rahmah waktu tu, tak lama lepas tu Alhamdulillah saya berkenalan dengan rakan tempat saya bekerja.

Jujur, saya masa tu tak terfikir yang kami akan berjodoh.

Start dengan anak saya sakit, PKP Covid, kemudian kami sama-sama stranded di negeri yang asing untuk kami, alhamdulillah akhirnya sekarang kami bernikah dan hampir setahun menjadi suami isteri.

Awal berkenalan, memang saya letakkan syarat pada suami saya masa tu untuk dia terima anak saya. Saya beritahu suami, saya ada anak.

Jika suami nak berkenalan dengan saya, suami kena faham dan kena accept anak saya juga. Kiranya ‘Buy 1 Free 1’.

Mula-mula saya kira suami hanya main-main, sebab suami saya lebih muda daripada saya. Suami saya muda 7 tahun daripada saya.

Disebabkan sebelum ni pernah saya di cuba usik oleh orang lain, sampai satu tahap saya stress.

Usikan itu bukanlah bawa niat baik, lebih kurang kerana status saya yang janda, jadi saya lebih terdedah dengan usikan dari orang-orang seperti suami orang untuk menggatal.

Alhamdulillah masa tu saya ada kawan-kawan yang baik, yang banyak bagi nasihat dan kekuatan yang buatkan saya tak layan dengan usikan tersebut.

Jadi bila suami datang nak berkenalan dengan saya, first impression saya pada suami pun sama seperti orang lain – usik saya hanya untuk main-main.

Tapi rupanya telahan saya salah, suami memang nak berkenalan serius dengan saya. Suami saya juga tahu tentang perihal saya diusik di tempat kerja.

Tak pasti simpatikah, atau memang suami suka saya, tapi suami pernah beritahu masa pertama kali jumpa saya, benda yang buat suami saya berminat nak kenal dengan saya bila nampak saya selalu senyum fake.

Ya, saya pada luaran memang seorang yang periang, macam tak ada masalah.

Memang sifat saya, tak suka nak tunjuk susah, sedih atau sakit hati pada orang. Paling teruk pun, saya hanya akan ignore sahaja orang yang saya kurang selesa.

Fast forward, lama-lama hati saya terbuka nak terima suami bila nampak suami sangat bersungguh. Saya beritahu suami, sebelum nak fikir apa-apa, saya suruh suami beritahu pada mak ayah di kampung tentang saya.

Saya dah bosan dengan drama mertua pukul 7 petang, jadi saya beritahu suami, pastikan dapat greenlight mak ayah suami dulu sebelum berangan-angan nak kenal dengan saya.

Masa tu, suami tanya saya kenapa saya bercerai, macam mana boleh sampai tahap bercerai.

Sebab saya memang susah nak cerita masa tu, jadi saya bagi link confession saya di IIUM Confession pada suami. Masa tu saya ingat suami akan back-off, tapi sekali lagi telahan saya meleset lagi.

Tak cukup dengan tu, masa kelonggaran untuk merentas negeri diumumkan, suami sanggup naik motor 5 jam merentas banjaran titiwangsa semata untuk balik ke kampung dan cerita pada mak ayah di kampung tentang saya.

Saya rasa saya stop confession saya sampai sini, sebab dah panjang berjela sangat. Nanti saya sambung lagi.

– Enna (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *