Allah Uji Apa Yang Kita Sayang

Assalamualaikum wbt. Aku doakan sesiapa yang membaca confession ini berada dalam rahmatNya & mendapat petunjuknya.

Aku Esya, berumur 29 tahun, bekerja di bidang swasta dalam kategori professional, masih bujang.

Tujuan aku membuat confession di sini adalah bagi mendapatkan pandangan positif & insyaallah untuk ‘reflect’ semula keputusan yang akan aku buat.

Aku berkenalan dengan Haziq sudah memasuki 7 tahun. Hubungan jarak jauh. Semuanya berjalan lancar, kami selalu berhubung melalui Skype jika ada masa terluang. Kiranya kami berkenalan sewaktu kami masih di universiti (universiti lain-lain).

Haziq merupakan seorang lelaki yang berwawasan, rajin kerja, penyayang, tidak kedekut. Haziq tua 4 tahun dari aku. Aku senang selama berhubungan dengan Haziq. Tiada perbalahan serious sepanjang berhubungan.

Isu timbul apabila aku habis degree tahun 2016 dan mula bekerja. Sebenarnya, isu bukan timbul dari kami berdua. Ibu Haziq ingin kahwinkan Haziq dengan seorang gadis pilihannya. Haziq bertanya padaku, bolehkan dia kahwin? Aku hanya cakap, “haa, kahwin jelah”.

Aku sekadar bergurau kerana sebelum ini Haziq pernah ‘forward’ gambar2 gadis calon pilihan ibunya padaku lebih kurang setahun sebelumnya. Kami hanya jadikan ia gurauan sahaja. Aku ingatkan kali ini juga gurauan.

Namun, 2 minggu selepas itu aku pelik kerana Haziq jarang sekali membalas WhatsApp aku. WhatsApp terakhir aku dapat darinya menyatakan yang dia di kampung.

Aku faham, Haziq seorang anak yang baik terhadap ibubapa & sanak saudara. Jadi adalah biasa jika dia lambat membalas WhatsApp aku. Namun kali ini begitu berbeza, WhatsApp ku sudah lama tak berbalas.

Aku mulai risau. Aku tekad untuk WhatsApp abangnya untuk bertanya berkenaan Haziq. Aku agak rapat dengan abangnya yang ini, Amir namanya. Mula-mula abangnya seperti serba salah apabila aku bertanya mengenai Haziq. Aku merayu.

Akhirnya abangnya memberitahu aku yang Haziq baru saja bernikah. Ya, malam aku dapat tahu itu adalah malam pernikahan Haziq dengan isterinya. Abangnya hantar 1 gambar pernikahan mereka pada aku. Ya Allah, berapa sedih & hancurnya perasaan aku ketika ini.

Sebahagian jiwa aku hilang, setiap kali bersendirian aku akan menangis. Aku ingat aku kuat, rupanya sakit putus cinta itu hanya Allah yang tahu.

Hari-hari kemudiannya, aku sibukkan hari aku dengan kerja. Hari cuti pun aku turut ke pejabat dan kerja. Ketika ini aku masih lagi menghantar WhatsApp pada Haziq. Ya, aku perlukan penjelasan walaupun mesej aku tak berbalas.

Satu hari aku dapat menghubungi Haziq. Aku menangis, bertanya apa yang berlaku. Haziq hanya senyap di talian dan hanya memohon maaf padaku dan katakan padaku yang kami tidak lagi boleh berhubung.

Ya, aku tahu Haziq dah menjadi milik orang. Haziq adalah lelaki yang baik pernah aku kenal. Jika sebagai kawan, dia akan jadi kawan yang baik, jika sebagai suami juga akan jadi suami yang baik.

Namun, semua yang berlaku adalah secara sangat drastik! Aku terpana, malan-malam aku hanya ditemani tangisan.

Aku cuba sibukkan diriku lagi dengan kerja. Ianya berjaya namun aku seperti manusia yang hidup tanpa jiwa (aku tahu aku tak patut rasa begitu).

Lebih kurang setahun kemudian, kami berhubung kembali. Aku masih lagi menghantar WhatsApp kepadanya sesekali dan dia ada membalasnya.

Namun, isterinya mendapat tahu. Aku dihubungi dan dimarahnya. Aku tahu aku yang bersalah dalam hal ini. Aku hanya diam dan tidak berkata apa-apa.

Selepas peristiwa itu, kami tidak lagi berhubung. Aku juga di’block’ dari FB Haziq. Aku sedih sebenarnya kerana Haziq tidak langsung mempertahankan aku dalam situasi itu. Tapi aku faham, dia juga tidak mahu keruhkan lagi keadaan.

Namun, 6 bulan kemudiaan, Haziq mula menghantar WhatsApp kembali padaku. Kali ini aku tekad. Aku tidak lagi mahu mengganggu rumahtangga orang. Aku tidak sanggup sebenarnya menjadi punca airmata kepada wanita lain.

Aku membalas kembali WhatsApp Haziq menyatakan yang dia tidak lagi perlu menghubungiku kecuali berkenaan hutangku padanya (ya, baiknya Haziq, tak pernah dia berkira soal hutangku padanya) & jika dia memerlukan pertolongan.

Haziq juga tidak lupa menyatakan hal yang sama, supaya menghubunginya jika aku perlukan pertolongan.

Aku sedih sebenarnya, namun aku cuba kuatkan hati. Namun, apalah ertinya hidup sebagai hamba jika tiada ujian.

Selepas 2 minggu aku membalas WhatsApp Haziq, pagi itu aku bangun secara tiba-tiba dan menangis. Menangis yang kuat sehingga tersedu-sedan.

Aku termimpikan Haziq. Aku jarang sekali bermimpi. Pagi itu aku pergi kerja dengan mata yang sembap. Aku tak dapat fokus pada kerja langsung. Kawan baikku anggap yang aku ‘homesick’ bila melihat keadaanku.

Aku ambil telefon, dan aku WhatsApp juga Haziq. Kali ini aku bagitahunya yang aku ingin bayar hutang dia (sengaja aku gunakan alasan hutang untuk WhatsApp nya). Aku minta Haziq berikan ‘details’ banknya.

Namun Haziq balas, tak mengapa dia masih tak memerlukan duit. Dia akan minta jika dia perlukan.

Aku menangis lagi. Rupanya bukan dia yang memaksa aku membayar hutangnya selama ini. Isterinya yang menggunakan FB nya. Aku dah syak dari awal lagi kerana Haziq adalah seorang yang tak pernah berkira pasal duit dengan sesiapa.

Kami berbalas WhatsApp seperti biasa. Kali ini aku bertanya padanya, sebab dia bersetuju berkahwin. Haziq jawab, dia pun tiada alasan untuk itu dan dia pun tidak tahu ‘the mess he created’.

Haziq memohon maaf padaku dan mengatakan dia pun masih tidak dapat melupakanku. Haziq bertanya padaku, sudikah jika aku menjadi isteri no.2 nya?

Aku tak pernah sesekali terfikir untuk menjadi isteri no.2 (tipu, sebenarnya aku pernah bagitahu Haziq yang aku tak kisah jika perlu menjadi isteri no.2 nya). Masa itu aku hanya cakap apa yang terfikir saja.

Sebenarnya, itu sangatlah bertentangan dengan prinsip aku selama ini. Aku pernah mengatakan yang jika aku perlu menjadi isteri no.2, adalah lebih baik jika aku tidak berkahwin langsung.

Bagi aku, menjadi isteri no.2 itu seperti merampas kebahagiaan wanita lain. Aku juga wanita, sanggupkah aku bahagia atas penderitaan kaumku sendiri?

Aku buntu. Tapi sebenarnya sekarang ini fikiranku sanggup untuk menjadi isteri ke-2 nya. Aku pun tidak faham, kenapa tiba2 sahaja aku boleh bermimpi dan menghubunginya kembali. Adakah ini petanda atau hanya dugaannya.

Jika aku putuskan untuk tidak menjadi isteri ke-2 nya, aku rasakan yang aku bakal jadi bujang selamanya. Bukan tak pernah cuba berkenalan dengan lelaki lain, malah aku dah rendahkan kriteria aku. Semuanya aku putuskan tak sampai sebulan berkenalan.

Bila difikirkan kembali, aku juga punya hak untuk tentukan dengan siapa aku ingin habiskan hidupku bersama. Sungguh hanya Haziq di hati dan tiada siapa dapat ganti. Jika bukan jodohku dengannya, aku akan fokus kepada kerjaya dan keluargaku saja.

Aku terima nasihat dan pandangan dari semua. Namun, biar lah dengan kata-kata yang baik dan penuh hikmah. Semoga Allah angkat COVID-19 agar semua penduduk dunia dapat menikmati dunia kurniaanNya seperti sediakala.

– Esya (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *