Anak Itik Hodoh

Salam sayang semua. Aku kenalkan diri sebagai Awa, menulis perkongsian untuk tatapan pembaca. Aku mempunyai dua orang kakak, Effa dan Elly, selain seorang abang dan adik lelaki. Abaikan dua saudara lelaki kerana perkongsian ini adalah tentang kami, 3 saudara perempuan.

Hubungan kami bertiga agak rapat memandangkan perbezaan umur masing-masing hanya lah dua tahun. Ibu kami mempunyai darah cina, jadi ibu berkulit putih.

Keturunan ayah pula datangnya dari Banjar Masin, dan mewarisi kulit sawo matang, bermata panjang dan berkening lebat. Percampuran kedua-dua keturunan maka terhasil lah rupa kami 3 beradik perempuan yang berbeza.

Effa, berkulit sawo matang, hidungnya mancung, alis kening tebal dan cantik terbentuk. Anak mata Effa berwarna hitam pekat, sepadan dengan bulu matanya yang lebat dan lentik.

Faktor tarikan Effa ialah matanya yang redup dan hidungnya yang mancung, ditambah pula dengan lesung pipitnya yang dalam.

Kakak keduaku Elly pula berkulit putih gebu halus mulus, berhidung bulat dan alis kening nipis cantik terbentuk. Elly mewarisi warna anak mata chocolate cerah, sangat sesuai dengan alisnya yang nipis.

Warna kulit Elly bukan sekadar putih tau, tapi kemerah-merahan bila terkena cahaya matahari. Warna tumit Elly selalu menjadi perhatian kerana warnanya kemerah-merahan seperti bayi, menyebabkan Elly selalu memakai stokin supaya tidak ditegur “Cantiknya kaki…” oleh kawan-kawan.

Aku pula, anak perempuan ke-3. Rupaku? Rasanya semua kecantikan keturunan ibubapaku telah habis diberikan kepada kedua-dua kakak.

Aku pula seakan mewarisi saki-baki DNA keturunan yang tinggal. Kulitku gelap, hidung peset dan kembang, gigi sedikit jongang, kening tebal bersepah, dan tiada yang menarik pada mataku.

Bulu mata nipis, anak mata hitam pekat, dan bentuk mata pula sepet memanjang. Jika dibandingkan kami bertiga, kakak Effa mempunyai rupa ala-ala Arab, kakak Elly pula ala-ala Cina, manakala aku? Seperti kodok je aku rasa.

Tambahan pula mataku yang rabun menyebabkan perlu memakai cermin mata menyebabkan aku sering diejek ‘si-mata 4’.

Perbandingan rupa mula aku rasakan ketika kami ber-3 belajar di sekolah menengah swasta yang mempunyai asrama. Ketika aku di tingkatan 1, kakak Effa di tingkatan 5 dan kakak Elly di tingkatan 3. Kami bertiga tinggal di bilik yang sama, bersama-sama 7 pelajar lain.

Disebabkan rupa mereka yang comel dan unik, kakak Effa dan Elly mempunyai ramai peminat adik-adik junior yang meminta untuk menjadi ‘adik angkat’.

Aku pula sering berasa ketinggalan dan tidak popular memandangkan rupaku yang biasa dan tak comel langsung. Ada juga kawan-kawan mengusik bertanya “betul ke awak ni adik Effa? Kenapa rupa lain sangat?”. Hu hu hu…acaner nak jawab tu?

Oleh kerana selalu dibanding-bandingkan, akhirnya aku pun sedar yang aku ni tidak cantik. Tambah pula dengan badanku sedikit gempal membuatkan perasaan inferiority complex semakin tinggi.

Keinginan untuk berpakaian cantik terpaksa dipendam dan hanya mampu tersengih melihat kedua kakak ku dipuji kerana kecantikan mereka. Jeles? Iri hati? Oooooo…..tidak, semua itu tiada. Aku sedikit pun tidak rasa jeles, malah cukup berbangga bila dengar kawan-kawan memuji kakakku.

Cuma kadang-kadang ada juga rasa ‘teringin’ juga nak jadi cantik macam diorang. Yelah, katakan ketika kami ber-3 keluar makan di kedai, mesti ada budak-budak lelaki sebaya merenung dan tersenyum-senyum pada mereka berdua.

Aku? Hmmmm tumpang seronok saja lah, sambil menghirup ABC. La la la la.

Dari situ aku berazam untuk belajar tinggi-tinggi, nak masuk universiti, nak cari kerja elok-elok dan hidup bahagia. Ye, kesedaran yang aku ni tak secantik mana membuatkan hajat untuk ber-boyfriend langsung takde dalam kamus hidupku.

Sejak dari tingkatan lagi aku tak pernah berniat untuk ber-couple, apa lagi berkahwin. Semuanya disebabkan oleh perasaan rendah diri.

Walaupun begitu, aku masih mencuba untuk menjadi cantik. Semuanya aku buat secara sembunyi-sembunyi tanpa pengetahuan kakakku. Kalau diorang tahu, pasti diketawakan.

Oh ye, kami memang selalu ketawakan diri sendiri, tapi oleh kerana perkara ini aku pendam sorang-sorang jadi lebih baik aku rahsiakan.

Antara perkara yang dilakukan demi menjadi cantik seperti kakakku adalah, aku paksa diri untuk makan tomato mentah. Bila berpeluang, aku pastikan setiap hari sebiji tomato merah mentah dimakan begitu sahaja.

Walaupun masam, aku latih lidah untuk terima rasanya. Selain itu, aku juga paksa untuk biasakan diri untuk melumur muka dengan jeli aloe vera. Jika ada yang bersaiz besar, aku kupas, dan makan jeli bersama sirap sejuk.

Amalan ini telah lama aku lakukan, sejak dari sekolah menengah. Rasanya di tingkatan 2 lagi. Walaupun langsung tak nampak keberkesananya, tapi lama-kelamaan tomato dan aloe vera menjadi makanan kegemaran. Ketika cuti sekolah, tomato dan aloe vera diblend untuk jadikan minuman sarapan.

Pada masa yang sama, kerana terpesona dengan kemancungan hidung kakakku Efa, aku selalu mengurut-urut hidung ku sambil berdoa agar Allah mancungkan hidungku. Atau berkata “Ya Allah, kau comelkan lah hidung ku ini, jangan lah biarkan rupaku hodoh”.

Disebabkan ketaksuban untuk menjadi cantik, aku paksakan diri untuk menghafal dua surah yang mempunyai ayat khusus memohon agar menjadi cantik.

Surah pertama ialah Al-Waqiah. Dalam surah tu ada ayat yang menyebut tentang kecantikan bidadari dalam syurga. Surah kedua pula ialah surah Yusuf. Dalam surah Yusuf ada menyebut bagaimana sekumpulan wanita memotong tangan mereka akibat terpegun dengan ketampanan wajah Nabi Yusuf.

Antara maksud terjemahan ayat tu ialah, wanita-wanita itu berkata “Ini bukan manusia, tetapi para malaikat yang mulia”. Selalunya bila sampai di bacaan ayat-ayat tentang kecantikan bidadari dan cahaya malaikat, aku akan sapu dan usap mukaku, memohon Allah berikan kecantikan kepadaku.

Jadi pembaca, rasa-rasanya amalan ini berkesan tak? Haaaa, meh ni aku nak sambung cerita lagi. Ketika aku berumur 20-an, semasa menuntut di UKM, tiba-tiba ramai peminat lelaki berkirim salam.

Ada juga rakan dari UPM bermotosikal datang menziarah semata-mata nak tuntut aku belanja makan mi goreng.

Disebabkan niat untuk tidak berkahwin masih kuat terpahat di minda, tambah pula tahap kesedaran diri tentang ‘aku tak cantik, sape la nak dekat aku’ masih tinggi, semua itu aku anggap sebagai usikan sahaja.

Ketika di tahun 3, aku ditugaskan untuk menemubual seorang tokoh perniagaan berjaya dari mana-mana syarikat tersenarai di bursa saham.

Dengan bantuan dari suami kakak Elly, aku dipertemukan dengan Dato’ Aziz. Entah kenapa, walaupun baru bertemu, tapi Dato’ Aziz melayan dengan mesra, menjawab semua soalan tugasan.

Bahkan memberi nasihat supaya aku belajar baik-baik untuk membalas jasa ibuku yang telah pun menjadi ibu tunggal setelah kematian ayah.

Sebelum berpisah, tak semena-mena Dato’ Aziz menghulurkan RM200 sebagai duit poket, selain kad perniagaannya. Dia berpesan untuk datang ke pejabat bila tamat pengajian, kerana dia boleh bantu dapatkan pekerjaan di syarikatnya. “Waaaahhh” Macam best kan?

Aku memang tak percaya, macam mana la si Dato’ tu boleh tersuka dekat aku? Bila aku tanya “Kenapa dato’ nak tolong saya?” Dia kata “Saya kesian dekat kamu. Kamu ni anak yatim. Kalau saya boleh tolong, apa salahnya”. Dengar je perkataan ‘anak yatim’ terus rasa lemah dan terus ambil duit yang dihulurkan.

Dipendekkan cerita, hubungan dengan Dato’ Aziz terpaksa diputuskan. Sebabnya, setelah tamat pengajian, aku pun berjumpa dengannya. Konon-konon nak cari kerja.

Tapi, dia bukan tawarkan pekerjaan, tapi tawarkan rumah kondo dan duit poket. Dia ajak kahwin, jadi bini kedua daaaaaa….. (Tipah tertipu ke ni?).

Pengalaman berkenalan dengan Dato’ Aziz membuatkan aku tertanya-tanya “Apa yang dia tengok dekat aku ni? Aku ni bukan lawa sangat”. Jadi aku buat kesimpulan yang tawaran menjadi isteri tu hanyalah disebabkan keadaan Dato’ Aziz yang desperate nak berbini muda.

Agaknya lah. Okey, itu cerita waktu umur sekitar 20an. Pada umur 30an, aku telah pun berkahwin. Pertemuan dengan suami pun sangat mudah.

Disebabkan aku sentiasa berasa hodoh, setelah 3 bulan berkenalan, aku menggesa untuk berkahwin segera. Takut lama-lama nanti dia bertukar hati. Alhamdulillah, kami berkahwin dan mempunyai sepasang cahaya mata.

Disebabkan ingin menjadi pensyarah, aku telah sambung belajar, masuk program MBA. Batch aku itu didominasi oleh pegawai-pegawai kerajaan yang kebanyakannya berusia 40an.

Pendek kata, class mate aku semuanya hebat-hebat belaka. Dalam ramai-ramai tu, aku mengkagumi seorang class mate, seorang pengarah agensi kerajaan.

Sikapnya seperti abang-abang yang boleh diharap. Aku namakannya sebagai Encik Zek. Entah bagaimana, Encik Zek selalu memilihku menjadi rakan tugasan.

Aku anggapnya sebagai satu penghormatan memandangkan pengetahuannya yang luas dan sangat bijaksana berbanding pelajar lain.

Kami kerap bergandingan dalam semua tugasan sehingga menjadi ditegur kakak senior. Dia bertanya “Eh Awa, akak tengok korang selalu bersama. Ada apa-apa ke?” Aku dengan rendah hati menerangkan padanya “Kak, saya memang admire dekat Encik Zek.

Saya kagum dekat dia. Kalau boleh saya nak jadi pandai dan bijak macam dia.” Itu lah jawapan jujur aku. Betul. Aku betul-betul kagum dengan Encik Zek, tapi setakat senior saja lah, tak lebih dari tu. Dan bagi aku, takkan lah Encik Zek suka dekat aku yang hodoh ni?

Dan sangkaan aku sangat salah. Suatu hari, di awal semester 4, pensyarah memberi masa untuk kami membentuk kumpulan tugasan sendiri.

Disebabkan aku tidak mahu diusik kawan-kawan lagi, aku memilih untuk bergandingan dengan orang lain. Encik Zek agak terpaku dengan pilihanku, dan tak disangka-sangka dia bangun, dan berdiri di atas kerusi. Kami semua kehairanan melihat kelakuannya.

Tiba-tiba dia menyanyikan lagu “Tergamaknya dirimu menghiris hatiku, tidakkah di hatimu punya perasaan. Sampainya hatimu, meninggalkan aku…..” hahaha, satu kelas termasuk pensyarah ketawa dengan persembahan spontan Encik Zek menyanyikan lagu ‘Sampai Hati’ dari kumpulan Spring.

Begitu lah ceritanya dengan Encik Zek, persahabatan kami berakhir bila tamat sahaja program MBA. Walaupun Encik Zek cuba hubungi atas dasar kawan, tapi aku menolak dengan baik. Sebab aku tahu sangat permainan iblis. Jika boleh lari, lari lah. Kalau boleh elak, elak lah.

Tamat sahaja program MBA, seorang profesor menghubungi aku dan berkongsi maklumat mengenai jawatan kosong di sebuah kolej universiti. Profesor ni seorang yang tegas dan serius, tetapi dia selalu berbalas mesej denganku hampir setiap pagi. Kenapa? Aku pun tak tahu.

Tapi aku anggap itu adalah rezeki dari Allah supaya orang sayang dekat aku. Waktu menghadiri temuduga, ketua jabatan adalah seorang lelaki.

Sepatutnya dalam temuduga, pemohon kerja yang kena banyak bercakap. Tapi, terbalik pula dalam kes aku. Si ketua jabatan yang beriya-iya bercerita pasal jabatan dia, tugas pensyarah dan banyak lagi. Bila dah jadi macam tu, hmmmm memang dapat kerja lah jawabnya.

Sekarang ni, aku dah pun berumur 40an. Dan masih amalkan memakan tomato dan aloe vera. Dan juga hafazan dua surah favourite, al-Waqiah dan Yusuf. Tanpa disedari, amalan khusus kecantikan diri benar-benar berjaya. Allah makbulkan!

Warna tona wajah lebih sekata, keningku terbentuk tersusun elok, hidung pun lebih menguncup, tidak lah mengembang seperti dulu, jongang gigi pun boleh cover bila tersenyum.

Nak kata cantik sangat, memang tak lah. Tetapi lebih cantik berbanding semasa di zaman remaja. Kakak Effa dan Elly masih kekal cantik.

Dan bila kami bergambar, keadaan aku tidak lah begitu jauh berbeza dengan mereka berdua. Dengan kata lain, aku tidak lagi menjadi anak itik hodoh.

Sekarang ni baru nampak kesan dari amalan yang aku buat bertahun-tahun dulu, dengan izin Allah. Tapi, pengalaman-pengalaman dengan lelaki, khususnya suami orang menyebabkan aku membetulkan niatku.

Jika dulu aku berniat untuk kecantikan semata-mata, kini aku betulkan niatku kepada “Ya Allah, Kau berikan lah wajah yang bersinar-sinar kepada ku di hari akhirat nanti. Jangan lah Kau gelapkan wajah ku”.

Lebih kurang macam tu lah. Atau pun aku akan berniat “Ya Allah, berikan seri ke wajahku supaya suami memandang rasa sayang”. Heee senang sikit nak minta duit lebih.

Macam tu lah ceritanya. Bukan niat berbangga dengan kecantikan diri, takde apa pun sebab semuanya dari Allah.

Cuma aku nak beritahu pembaca semua yang kadang-kadang kecantikan wanita ni seperti sekuntum bunga. Ada yang cepat kembang, ada yang lambat kembang. Aku rasa aku ni dalam kategori bunga lambat kembang kot.

Pada sesiapa yang rasa macam “aku tak lawa… hu hu hu” elok la buat sesuatu untuk keluar dari stigma tu. Korang buat la apa-apa pun supaya muka berseri-seri, bila orang tengok rasa ‘sejuuuuuuk’ je mata memandang.

Haaa try la amalkan dua surah tu. Setakat sekarang ni, aku memang di kelilingi orang yang sayang dekat aku.

Bos pun sayang tau. Kalau marah tu, marah-marah manja je. Haaaa… jangan ambil kesempatan pula ye. Niatkan semuanya agar orang sayang, tak marah-marah. Kan seronok pergi kerja?

Dan akhir sekali, semua ini hanya lah perkongsian aku untuk semua pembaca. Apa-apa pun, niat mesti betul. Baru lah dapat keredhoaan Allah, demi untuk ke syurga-Nya. Aamiin.

– Semalam yang Hilang (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *