Anak Ke-2 Yang Tak Wujud

Assalamualaikum semua. Aku menulis ni sebab nak move on dan buka episod baru, dan kalau boleh nak cadangan bagaimana nak tutup buku lama. Terima kasih kalau kongsi.

Aku anak ke 2 kandung dari 2 beradik, satu-satunya perempuan, ada adik angkat lelaki. Dari kecil, aku memang dah dapat terima bahawa aku tak mungkin akan menerima sama rata dengan abang dan adikku.

Tapi, aku bersyukur sebab ada nenek dan ayah yang sentiasa memahami dan menjadi penyokong tetap, tidak pilih kasih dan tahu yang mana satu betul dan salah.

Ibu pula, jika kata dari aku, memang tidak diterima, jika ia dari abang dan adik ia betul. Jadi aku belajar menyuarakan pada abang supaya abang pula yang bagitahu ibu supaya pendapat aku diterima.

Aku bersumpah, dengan nama Allah, bukan niat aku nak berlaku jahat, tapi saudara mara memandang aku sebagai pesalah dalam kebanyakan hal.

6 tahun lepas, barang aku dicuri oleh adik, aku nampak barang itu disimpan dalam almari dia dan aku nampak dia pakai dan post di fb.

Aku minta balik barang aku dan ambil screenshot fb dia sebelum dia buang. Masih simpan. Bila aku minta dia pulangkan barang itu, dan bertikam lidah, seperti tak bersalah, aku pula dipersalahkan sebab berkira dan menuduh.

Kisah ini dijaja antara saudara oleh adik aku, dan aku diam dan pendam sahaja walaupun aku tahu di belakang aku mereka tidak suka pada aku dan siap post di fb yang aku memutus silaturahim.

9 tahun lepas, adik aku sambung belajar dalam kemahiran, setiap bulan dia akan minta duit, paling kurang aku bagi 500, dan kadang minggu berikutnya dia minta lagi dan aku bagi lagi 300.

Tak pernah aku tolak kerana aku sokong dia sambung belajar dan aku kata, nanti dah habis belajar, bayarlah balik.

Jumlah hutang belajar dia RM3600.

Bila timbul kes curi ini, demi jasa aku membantu dia sambung belajar, tolonglah kembalikan barang kesayangan aku dan aku tuntut dia bayar hutang aku, kerana aku nak ajar dia erti susah cari duit dan nilai punya barang sendiri, erti syukur dan menghargai.

Kerana, sepanjang hidup dia sehingga sekarang, segala barang dia dapat dengan mudah sebab ibu memang berpihak dan melebihkan dia.

Menuntut hutang membuat aku dilabel “berkira”. Boleh saya kata, adik menjadi orang yang berbeza dengan apa yang dia tulis di fb dia dan kadang seperti meludah ke langit. Masih, saudara lihat dia adalah malaikat maksum dalam keluarga. Tapi, itu aku diam sahaja.

Dia depan kawan, di public wall fb dia berjanji akan bayar hutang aku dan aku simpan screenshotnya, 5 tahun dah berlalu, aku senyap dan tiada satu sen pun janji ditunaikan. Aku masih dilabel berkira, pemutus silaturahim dan jahat.

Semasa ayah aku sakit, akulah yang sering ulang alik menghantar, menjaga dan menunggu bersama bapa mengurus segala urusan perubatan ayah.

Dalam beberapa keadaan aku berhutang kad kredit untuk membayar kos sepanjang tempoh itu tanpa pengetahuan sesiapa.

Aku tak bagitau sesiapa kesempitan wang. Aku tanggung dalam senyao. Dalam tempoh itu juga aku mengalami depression dan ulang alik untuk dapatkan ubat tnapa pengetahuan sesiapa. Aku simpan dan tanggung dalam senyap seorang diri.

Aku bersyukur hubungan aku dengan abang sangat baik dalam hal ini, abang aku ada juga support kewangan, tapi ikhlas, ini untuk ayah.

Aku ada rakan fb yang berkongsi kata motivasi dan aku ada seorang kawan baik yang tahu dan bersama aku sepanjang struggle aku. Sampai sekarang aku masih ada hutang kad kredit yang biarlah aku tanggung sendiri secara rahsia kenapa jumlahnya tinggi.

Kerana ia teguhkan lagi label aku “berkira”. Sepanjang tempoh ayah sakit, adik hanya 1 kali menjengok di hospital, selama 30 minit, membantu menghantar menjaga jauh sekali.

Alhamdulillah, aku diberi kesempatan balas sokongan ayah kepadaku selama ini dengan berpeluang menjaga dia saat dia sakit hingga masa dan jenis ubat, tulisan doktor, tarikh temujanji, nama ubat aku hafal, tanda sakit pun aku hafal.

Terkilan, label “berkira” dan “jahat” itu tetap melekat.

Dan yang bersusah menjaga di mata saudara mara adalah adikku dan abangku, sementara aku dihilangkan dalam gambar. Aku tak wujud dalam keadaan berbuat kebaikan. Begitulah fitnah.

Bukan aku nak mengungkit, tapi, aku hanya ingin bagitau,

“Sejahat-jahat aku ini, ada masa dalam hari aku buat sedikit kebaikan yang kamu tak tahu dan taknak ambil tahu sebab mata kamu ditutup untuk melihat kebaikan itu akibat fitnah yang kamu percaya tanpa mendengar cerita di pihak aku.

Kamu salah faham banyak dan kamu terlalu menghukum orang yang tak buat salah”.

Pembaca,

Sekarang dah 5 tahun berlalu, Aku ingin kisah di bahagian aku sampai kepada saudara aku yang hanya mendengar fitnah dari 1 pihak sahaja.

Aku nak move on, bawa diri dan hidup tenang. Aku nak tutup episod keluarga ini bersama perginya ayah aku. Dan aku juga nak jelaskan sebelum aku pergi. Terima atau tidak, itu hak mereka.

Tapi aku taknak mereka terus tanggung dosa salah anggap dan terus percaya fitnah terhadap aku aku aku juga boleh lega untuk melepaskan ikatan yang lama menyiksa aku ini. Bagaimana caranya?

Segala kebaikan itu datangnya dari Allah yang menyampaikan melalui hambanya. Aku serahkan kepada Allah juga segala penghakiman dan jalan hidup aku.

– Cik T (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *