Anak Tak Guna

Assalamualaikum wbt. Sejujurnya aku tidak tahu bagaimana harus memulakan penulisan ini. Jiwa aku rasa kosong. Aku buntu.

Aku anak bongsu dari tiga orang adik-beradik. Kedua-dua abangku sudah berkeluarga dan bekerja biasa. Aku pula masih belum mendirikan rumah tangga dan tinggal jauh dari ibu dan ayah. Bekerjaya sebagai seorang guru di sebuah sekolah berasrama penuh.

Alhamdulillah, ibu dan ayah dijaga dengan baik oleh abang. Ibu dan ayah sudah tua tapi masih bekerja di sebuah kedai makan. Puas sudah dipujuk untuk berhenti dan berehat, namun keduanya tetap mahu bekerja atas alasan tidak mahu menyusahkan anak-anak.

Aku juga sudah penat mendengar orang kampung bercerita, namun terpaksa memekakkan telinga. Apa guna menafikan, sekiranya ia hakikat yang sebenar. Kami, anak-anak masih tidak mampu menyara ibu ayah.

Mungkin ada yang tertanya, kemana perginya gaji aku setiap bulan. Aku punya komitmen yang sangat banyak. Walaupun menanggung beban hutang yang menggunung, aku tetap tidak pernah lupa menghulurkan duit belanja kepada ibu ayah setiap bulan. Namun tetap tidak mencukupi untuk mereka.

Ya, silapnya pada aku yang terlalu berlembut hati. Begitu mudah bersetuju untuk berhutang demi abang-abangku. Dari pinjaman peribadi, ansuran kereta, ansuran telefon sehinggalah kad kredit termasuk susu dan lampin anak segalanya aku tanggung.

Jangankan simpanan, baki duit gaji yang tinggal pun cukup-cukup buat perbelanjaan makan dan rumah. Sampai satu waktu, aku rasa tidak sanggup untuk balik ke kampung. Tidak sanggup menatap wajah ibu ayah. Aku malu dengan diri sendiri.

Di sekolah, aku dikenali sebagai guru yang peramah. Aku kurang selesa bila bercerita tentang keluarga. Biarlah aku menanggung sendiri kerana tidak mahu membuka pekung di dada. Ada banyak hati yang perlu dijaga.

Dua hari lepas, abang kedua mengirim gambar. Gambar ibu. Wajahnya jatuh sebelah. Puas abang memujuk ibu untuk mendapatkan rawatan di hospital namun ditolak. Katanya risau ditahan di wad. Namun aku tahu, ibu lebih risau menyusahkan kami anak-anaknya. Allahu, betapa kami ni anak-anak yang tak berguna.

Cukup di sini sahaja tulisan ini. Nasihat aku buat semua, jadilah orang yang tegas dan bijak dalam pengurusan kewangan. Mohon semua doakan ibu dan ayah. Semoga Allah memberi kesempatan untuk kita semua membahagiakan ibu ayah.

Doakan juga aku semoga kuat. Aku tahu, disetiap kesusahan itu ada kesenangan. Dan aku yakin, Allah tidak akan membebankan hambanya diluar kemampuan masing-masing. Setiap ujian itu tanda Allah rindu kan…

Terima kasih iiumc.
Terima kasih pembaca.

– Aku anak tak guna (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *