Apa Salah Freshie?

Apa Salah Freshie?

Assalamualaikum readers. Aku baru tamat belajar pada Jun lalu dan secara rasminya baru bergraduasi. Selepas habis saja peperiksaan terakhir aku telah mula melakukan kerja-kerja sambilan di merata tempat disebabkan gagal memperoleh kerja tetap kerana overqualified (aku first class degree and JPA holder, so employer takut nak hire tak tahu lah sebab apa, sedangkan aku demand gaji 1.5k je).

Okay back to the story. Sepanjang aku bekerja sambilan, aku menyorokkan status aku sebagai degree holder. Pekerjaan aku yang pertama adalah operator pengeluaran berstatus kontrak. Pada hari pertama aku bekerja, aku sudah dipuji kerana cepat catch up dan buat kerja, dan aku kemudiannya dibandingkan dengan seorang lagi pekerja baru seperti aku yang status dirinya diketahui sebagai lepasan universiti. “Tengok budak ni, hari pertama kerja cekap dah.. Budak degree pun belum tentu boleh cekap macam ni…” kata SV Leader aku kepada anak buahnya yang lain dan dipalingkan wajahnya kepada pekerja berstatus graduan tadi yang masih terkial-kial membuat kerjanya.

Aku sekadar diam sahaja walaupun rasa ingin menjawab. Mengapa perlu dibuat perbandingan seperti itu? Itu kes pertama, kalau diikutkan banyak lagi herdikan yang diberikan kepada graduan yang bekerja sebagai operator antaranya ialah “belajar tinggi-tinggi akhirnya tolak barang juga”, “belajar degree tapi tak cerdik”. Persoalannya perlukah status degree diungkit??. Bukankah kesanggupan mereka mencari rezeki melalui cara halal yang patut dilihat?

Selain operator pengeluaran, aku juga bekerja sambilan sebagai promoter dan waitress di majlis-majlis tertentu. Aku terjumpa seorang abang yang sudah bekerja sebagai penjawat awam tetapi melakukan kerja sambilan pada hari cuti untuk mencari duit poket. Aku banyak bertanya mengenai peluang masuk ke sektor awam setiap kali ada masa rehat. Ayat pertama yang keluar dari mulut abang tu ialah “abang baru saja lapor diri untuk P/O, baru-baru ni abang baru pergi kursus jumpa ramai freshie macam hang la.. Tapi depa (mereka) tu bukan tahu buat kerja sangat..”. Aku bukan seorang yang sensitif, tapi aku menyirap juga dengar ayat tu.

Kali ni aku balas balik “sebab depa tak tahulah kerajaan hantar pergi kursus suruh belajar, kalau depa dah cekap dan tahu buat kerja buat apa kerajaan nak hantar pi kursus lagi.. Membazir duit, masa dan tenaga saja…”. Abang tu hanya terdiam, kelihatan seperti berfikir sejenak. Dia kemudian hanya membalas, “betul juga noh, sebab fresh la kerajaan hantar suruh belajar noh…”. Nak saja aku balas macam ni “ya betul tu, persoalannya kenapa abang dihantar sekali dengan budak fresh ramai-ramai tu untuk kursus? Bukan abang dah tahu semua ke…”. Tapi aku tak sampai hati pula nak balas sebab prinsip aku biar orang kata dekat kita. Jangan kita rendahkan tahap kita sama level dengan diorang.

Tu baru sikit. Hampir semua part time yang aku buat, mesti ada saja yang memperlekehkan budak fresh. Sebab tu aku sendiri malu mengaku aku fresh graduate. Sekali kita mengaku kita fresh graduate, pandangan orang terhadap kita terus berubah 180 darjah. Terus letak high expectation dan naikkan benchmark. Sedangkan freshie ni kebanyakannya sama saja macam lepasan SPM, lebih kepada teori dan kurang praktikal. Perlu ruang, peluang dan masa untuk belajar.

Pada pengakhiran tahun lalu aku dijemput oleh SPA untuk menghadiri temuduga bagi jawatan penolong pegawai buat kali pertama dalam hidup. 90 peratus calon yang hadir pada hari tersebut sudah berkhidmat dengan kerajaan sama ada secara tetap dan kontrak. 2 orang calon sudah bekerja di sektor swasta dan seorang calon fresh iaitu aku. Semasa memasuki ruangan calon menunggu untuk temuduga aku sempat beramah mesra dengan calon lain yang memang ramah. Masing-masing sibuk menunjukkan pencapaian dan mengeluarkan surat sokongan daripada sampul untuk ditunjukkan sesama mereka sambil berbisik. Terasa seolah-olah tidak dialu-alukan di situ, aku terus pergi ke sofa hujung dan mula bersembang dengan dua calon yang kelihatan terpinggir tadi.

Baru aku tahu dua calon itu daripada swasta. Duduklah kami “underdog” ni bersama-sama. Sesekali aku menyampuk juga perbualan kumpulan penjawat awam ni. Tak dinafikan mereka semua ramah, tetapi cara mereka bercerita jelas menunjukkan mereka menganggap kami terutamanya yang freshie tidak layak dan kami seolah-olah menyekat dan mengambil hak yang mereka rasa patut dimiliki mereka. Kata mereka secara indirect, aku sepatutnya apply jawatan degree dan tinggalkan jawatan diploma untuk orang lain yang lebih memerlukan. Sigh~~ Aku cuba bersangka baik, mungkin mereka berniat baik dan tak bermaksud apa-apa. Mungkin mereka juga penat struggle untuk naik gred. Tapi itulah, daripada kata-kata diorang aku masih fresh dan zero, tapi boleh pula suruh aku apply gred 41. Dilemma. Dilemma. Dilemma.

Aku masa tu memang rasa inferior, rasa tak sebagus diorang walaupun temuduga aku paling lama (40 minit) daripada calon lain. Aku keluar daripada pusat temuduga dengan anggapan bahawa aku takkan diterima sebab aku bukan siapa-siapa. Fresh. Nothing. Too naive. I have nothing to offer them. Aku move on dengan hidup aku, bekerja sebagai operator pengeluaran secara tetap dan pasrah dengan urusan kerja. Waktu tu aku rasa “kalau kerja operator sampai sudah pun tak apa lah..”. Penat sudah mencari kerja dan ditolak atas alasan tidak tahu mandarin, terlampau overqualified dan tidak fleksibal (sebab Muslim). Ada terlintas di hati untuk pergi ke Singapura dan bekerja sebagai cleaner atau housekeeper, or Australia untuk petik buah. Tapi modal pergi tak ada lagi. Maybe one day jika peluang di negara sendiri tak dijumpai. Itu

2 bulan berlalu. Akhirnya keputusan temuduga SPA pun keluar baru-baru ini. Alhamdullillah aku berjaya. Aku sangat terkejut. Aku bernasib naik kerana SPA menghantar emel. Jika tidak aku mungkin tidak akan semak langsung keputusan kerana di saat aku melangkah keluar pada hari temuduga, aku memang sudah move on. Buktinya aku koyak semua transkrip ijazah because I want to start fresh (aku tahu aku memang impulsif, tapi aku bukan sambung degree untuk dapat kerja pun.. Sehelai kertas yang rosak tak mampu mengurangkan ilmu yang aku timba selama empat tahun). Please jangan berleter pasal ni, cukuplah aku dileteri family and relative. But seriously aku tak regret langsung koyak transkrip. Sebaliknya aku rasa tenang dan bebas. Mungkin sebab aku tidak perlu lagi hidup berdasarkan title.

Tapi itulah, kalau rezeki kita memang tak ke mana. Aku akan melapor diri dalam masa terdekat (nasib baik aku tak koyak sijil STPM..haha). Sekarang aku sedang buat persiapan dan mula berhubung dengan calon-calon lain di group whatsapp. Dalam kalangan calon yang berjaya, hanya ada dua orang freshie termasuk aku. Group whatsapp bukan sahaja terdiri daripada calon berjaya tetapi juga calon simpanan. Aku pada awalnya excited untuk berada dalam group tersebut kerana ingin mencari kenalan untuk lapor diri. Tapi hanya calon simpanan yang aktif berdiskusi. Kebanyakan calon simpanan datang daripada penjawat awam yang sudah berkhidmat.

Semua conversation mereka berkisar mengenai kehebatan, keotaian mereka. Sesekali kelihatan ada freshie dan calon drpd swasta cuba untuk menceduk ilmu dan belajar. Tapi pertanyaan mereka dibalas acuh tak acuh sahaja atau dibiarkan krik krik sahaja. Tidak lupa ada juga calon simpanan/berjaya yang tidak habis-habis psiko calon freshie tentang tugas yang bakal digalas nanti. Segelintir tu mula menceritakan pengalaman bertahun yang dimiliki seperti menguruskan event international dan mampu melakukan kerja-kerja utk gred 41, kata mereka, walaupun dah banyak makan asam garam, mereka sendiri masih tidak konfiden walaupun dah otai. Saya tidak tahu apa motif mereka menakutkan freshie. Bukankah memberi semangat dan galakan itu lebih baik?.

Aku bersyukur dapat jawatan ini. Tapi aku merasa kurang konfiden selepas membaca pengalaman-pengalaman calon lain. Mampu ke aku buat kerja dengan baik nanti?… Bukan jawatan, gaji dan pencen yang aku kejarkan. Aku mahu melakukan kerja dengan baik dan beri 200 peratus komitmen untuk mendapatkan 100 peratus gaji. Itu motto aku setiap kali aku bekerja. I want to be 2 times productive than what I ought to be. Tetapi mampu ke aku buat semua ni?. Pengalaman kerja aku semua biasa-biasa sahaja dan lebih menggunakan fizikal daripada skills lain.

Aku mula terfikir, betul ke freshie sekarang teruk sangat sampai digelar macam-macam? Even pensyarah aku sendiri cakap produktiviti negara kita rendah sebab freshie sekarang tak seproduktif gen X. Pensyarah aku cakap gen X sekarang terpaksa bekerja 2 kali produktif untuk compensate loss of productivity create by millenials. Kenapa aku rasa seakan media terutamanya cuba memburuk-burukkan fresh grad untuk mempengaruhi persepsi awam terhadap freshie?… Ke aku yang tak sedar diri? Betul ke kami freshie seteruk itu?. .. Aku rasa aku dah rendahkan diri serendah-rendahnya. Tak demand gaji. Tak memilih kerja. Aku tengok kebanyakan fresh grad lain pun macam aku.

Entahlah.. Berdasarkan pengalaman anda sendiri, apa pendapat anda mengenai fresh grad, or gen Y zaman sekarang. Mungkin melalui perkongsian pendapat di sini, fresh grad boleh buat improvement.

Terima kasih.

– Another Miss Ha

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit