Ayahku Bipolar Disorder

Ini bukan lah cerita aku. Tetapi cerita mengenai ayahku yang menghidap bipolar disorder dan pandangan ku mengenai penyakit ini. Ini luahan aku.

Keluargaku dilanda ujian sewaktu 2012. Waktu itu aku berumur 15 tahun. Aku masih ingat masa tu ada hari anugerah di sekolah, tiba-tiba kakak memberitahu aku ayah tidak sihat. Tingkah laku ayah sedikit pelik. Ayah seorang yang pendiam tetapi hari itu dia sangat banyak berbicara dan seolah-olah seperti orang lain. Ayah tiba-tiba boros berbelanja dan tidak tidur malam.

Ya, aku kenal susuk tubuh itu tetapi itu bukan ayah yang selama ini aku kenal. Mak memberitahu kami adik beradik bahawa ayah terkena buatan orang. Abang aku menangis. Kami bawa ayah pergi berubat dengan seorang ustaz. Mak mula membuka cerita yang disimpan dari kami adik beradik.

Waktu kami kecil (umur 3/4 tahun), ayah pernah berkelakuan seperti itu tetapi Pak Long (abang sulung ayah) memberi air tawar dan memberitahu mak agar jangan khuatir. Beberapa minggu kemudian keadaan ayah kembali seperti biasa.

Tetapi langit tidak selalu cerah. Tahun 2014, sikap ayah yang ku anggap pelik itu kembali lagi dan mak sekali lagi membawa dia pergi berubat dengan ustaz yang sama. Sukar bagi aku menerima kenyataan bahawa ayahnya ku terkena buatan orang. Seperti tahun sebelumnya, keadaan ayah kembali pulih beberapa minggu kemudian.

Betul sangkaan anda semua. Tahun 2016, penyakit ayahnya ku kembali lagi tetapi kali ini aku tidak bodoh seperti dulu. Tahun itu aku melanjutkan pengajian dalam bidang farmasi dan tahu serba sedikit mengenai penyakit berkaitan otak walaupun ilmu itu tidak lah banyak tapi cukup bagi aku mengetahui ada yang tidak kena dengan ayahku.

Aku mengesyaki bahawa ayahku mungkin menghidap bipolar disorder. Aku bimbang, dah la tinggal jauh dari keluarga. Aku telefon memujuk mak untuk mengajak ayah berjumpa pakar psikiatri. Mak memarahi aku. Takut ayah disumbat ke wad psikiatri katanya. Takut diketahui orang sekeliling kerana ada kenalan ayah di klinik kerajaan.

Aku tidak berputus asa. Aku pujuk mak untuk berjumpa dengan doktor di hospital swasta. Seminggu berlalu, mak masih tidak membawa ayah ke hospital sebaliknya terus menerus berubat dengan ustaz itu. Aku sakit hati & cakap dekat mak,

“Mak, bawak lah ayah jumpa doktor. Ros mampu beritahu ni je, ye lah umur Ros kan baru 19, tak layak nak suruh mak itu ini. Mak kan dah makan garam banyak mak tau la kan mana yang betul kannn” , Bukan niat aku untuk perli tapi aku bimbang dengan keadaan ayah aku.

Selepas itu, mak bawa ayah berjumpa doktor di hospital swasta. Doktor tersebut menulis surat rujukan ke pakar psikiatri hospital kerajaan mengesyaki bahawa ayah mungkin menghidap depresi atau bipolar disorder. Bermula tahun itu sehingga sekarang ayah masih berterusan berjumpa pakar psikitiari dan mengambil ubat.

Anda ingat ujian ini akan berakhir selepas berjumpa doktor ? Tidak. Masalah nya ialah ayah aku tidak mematuhi arahan doktor. Dia hanya makan ubat ketika simptom-simptom bipolar disorder kembali dan kalau makan ubat, tidak seperti arahan contoh: arahan makan 2 biji tetapi hanya makan 1 biji.

Pesakit bipolar disorder perlu mengambil ubatnya sepanjang hidupnya & jika tidak mematuhi arahan doktor simptom-simptom akan berlaku kembali. Mak aku juga degil. Mak & ayah, mereka takut ubat. Aku tak tau dah nak bagi nasihat macam mana. Waktu aku menulis sekarang, kami sekeluarga sedang bertarung menghadap simptom-simptom bipolar ayah.

Biasanya, simptom-simptom ini kembali apabila ayah terlalu stres dengan kerjanya. Tiba-tiba nak buat bangsal, tengah hari nak gantung cermin, petang tu pulak nak baiki printer. Tiba-tiba 10 malam pergi berbual di kedai kopi. Tiba-tiba belanja semua orang. Riuh rendah bercerita tentang diri. Tiba-tiba marah, meninggi-ninggi suara dengan mak. Dari subuh 5 pagi sampai 2 pagi tak rehat, tak tidur.

Ayah ku bukan lah seperti itu. Kerjanya sering ditangguh-tangguh, berbelanja ala kadar, tidak pernah ke kedai kopi, tidak suka menunjuk-nunjuk, pendiam & berbicara hal-hal penting, tenang & tidak mudah naik angin. Semua perubahan ini sangat memenatkan, menguji mental & fizikal kami sekeluarga dan ianya bukan lah sekejap tetapi mengambil masa sebulan malah lebih.

Perasaan ku bercampur baur. Aku tidak mampu meluahkan hal ini kepada kawan baik ku. Aku mula menyembunyikan semua hal berkaitan dengan diriku. Aku mula tidak percaya pada mereka. Takut ayah dipandang serong. Aku mula membenci diri kerana tidak mampu percaya kawan baik sendiri.

Mengapa penyakit mental menjadi suatu hal yang taboo, menjadi suatu hal yang perlu disorokkan dari pengetehuan orang ? Mengapa mentaliti kita tidak melihat hal ini penyakit sama seperti penyakit lain ? Mengapa mereka perlu dilabel gila ?

Kadang-kadang aku mula menyalahkan diri sendiri. Silap aku kah yang tidak bertanya khabar soal ayah ku. Jujur aku tidak lah rapat dengan ayahku. Bukan lah bermaksud tidak baik tetapi agak janggal bagi aku untuk menelefon ayahku.

Aku sering menelefon mak tetapi tidak bagi ayah ku. Tetapi jika aku pulang ke rumah, aku mencuba sedaya upaya aku untuk sentiasa menegur ayah kerana aku tahu aku juga jarang bercakap melalui telefon. Mungkin silap aku sehingga ayah merasa dirinya terabai. Ayah di dalam hidupku sangat sukar untuk aku memulakan bicara tetapi dalam pada masa yang sama sangat aku ingin dekati.

Ya, hubungan kami mungkin pelik kepada sesetengah pembaca. Jika ada para pembaca yang menghadapi situasi sama seperti aku sekeluarga boleh tinggal kan komen cara bagaimana anda menghadapinya. Aku ingin menambah baik.

Sekian.

– Ros (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *