Bapa Mertuaku III

Untuk part I, (https://iiumc.com/bapa-mertuaku/).

Untuk part II, (https://iiumc.com/pak-mertuaku-ii/).

Assalamualaikum kepada semua pembaca IIUM Confession, semoga semua berada dalam keadaan sihat hendaknya.

Aku Roronoa Zoro kembali ingin meluah perasaan yang berbelah bagi berkenaan isu yang masih sama, bapa mertuaku.

Pada bulan September tempoh hari kami telahpun berpindah untuk duduk berdua sahaja sementara menunggu rumah siap.

Kali ini aku hanya nak cerita tentang peristiwa yang berlaku sebelum kami berpindah. Drama demi drama kami hadapi tanpa perlu menonton pada pukul 7 mlm.

Sebelum kami berpindah, kami masih lagi melayani bapa mertuaku yang selalu mahukan makan jauh.

Pernah kami ke Temerloh hanya untuk makan ikan patin dan balik singgah di Raub mencari durian dan nyaris-nyaris nak ke Cameron Highland untuk makan nasi lemak strawberi.

Sepanjang perjalanan itu muka aku memang macam tak boleh senyum dan tak sepatah pun aku rasa ingin bercakap.

Kenapa layan kalau tak ikhlas? Sebab aku cuma nak turuti kehendaknya untuk makan ikan patin sahaja, bukan jalan-jalan yang macam ni. Lepas habis makan durian kami terus balik

Untuk menambahkan lagi kemanisan cerita ini, sebelum sampai rumah, ada kami offer untuk singgah mana-mana kedai berdekatan dia tak mahu. So, kami terus pulang.

Sampai di rumah, bapa mertuaku kata lapar lah pula. Di ketika ini aku baru mengerti apakah ertinya jeritan batin.

Menjerit aku dalam hati. Isteriku dengan reaksi muka menggerunkan mengatakan makan lah roti yang ada.

Keluar pukul 11 pagi sampai rumah 8 malam then nak ajak makan luar lagi. Tak terlayan rasanya. Bertambah manis apabila bangun esok pagi dia mengajak kami untuk minum teh di Cameron Highland. Kali ini aku tolak mentah-mentah.

Bermula lah drama yang penuh sedih dan pilu. Dia tak makan breakfast yang ibu mertuaku masak, lunch pun dia skip dan malam tu dia mengadu kepada isteriku yang perutnya masuk angin.

Ibu mertuaku membebel sebab tak mahu makan. Dia hanya menadah telinga tanpa perasaan dan mengatakan nak makan kat luar.

Aku cuma cakap kalau larat, pergi lah kalau penat baik jangan paksa diri. Isteriku mengalah dan membawa dia pergi makan, aku malas nak ikut.

Oh ya, dalam kereta dia mengatakan yang aku cakap kat dia aku takkan bawa dia pergi Cameron Highland. Isteriku menyangkal katanya sebab dia pun ada masa tu. Kantoii. Kami tak ambil pusing pun apa yang dia kata, biarkan je lah.

Itu adalah kali terakhir kami bawa dia ke luar negeri, selainnya hanyalah luar daerah. Namun begitu, dia masih lagi memberi hint untuk mengulangi detik-detik indah itu tetapi kali ini ke Johor dan bermalam di sana.

Bukan kami tak mahu melayan, kami sebenarnya sedang berusaha untuk kumpul duit deposit untuk menyewa pada ketika itu. Walaupun begitu, kami masih melayani dia untuk makan di tempat yang dia suka.

Pernah dia ajak kami untuk pergi makan di Semenyih, kedai kawan dia. Hampir sejam perjalanan, kami sampai di kedai makan di Kawasan kampung.

Kedai ni boleh dikatakan seperti warung kopi tu. Kami tak kisah dan order makan minum. Mee goreng dia sedara sedari sekalian, boleh dikatakan mee kuning yang berkapur tu digaul dengan kicap. Macam tu lah rasanya. Sesuap dan aku tak mampu lagi.

Aku hanya tinggal macam tu jek. Bapa mertuaku hanya tengok sahaja dan menghabiskan nasi goreng dia. Mee goreng kami berdua hanya luak sesuap.

Setelah membayar, di dalam kereta isteriku membuat review tak berbayar yang jujur dan ikhlas. Seperti biasa, dia akan membalas dengan lawak “Abah rasa dia ingat korang order mee kicap kot”.

Isteriku tidak mengalah, dia pun membalas “memang lawak kalau mee goreng kicap + nasi goreng + air RM40, ni warung ke hotel?”. Pedas dan pantas punchline dia, membuatkan bapa mertuaku terdiam.

Pada satu malam yang hening, semasa dinner Bapa Mertuaku memberi cadangan untuk membuat BBQ di depan rumah. Tetapi disambut dingin oleh adik beradik yang lain sebab banyak benda yang harus dibeli dan disediakan.

Tetapi setelah diucapkan berkali kali tanpa jemu, aku pun mengatakan kepada adik beradik yang aku akan beli segala keperluan dan mereka hanya tolong sediakan apa yang patut.

Bapa mertuaku kelihatan gembira, dah kami telah set tarikhnya supaya tak bertindih dengan hal lain.

Pada hari yang dinantikan, semua membuat persiapan dari tengahari dan akan mula membakar selepas maghrib. BBQ ni kami buat di kalangan keluarga kami je bukan besar-besaran yer. So, setelah start membakar, semua berkumpul dan berborak.

Seronok juga rupanya macam ni biarpun bukan di tepi pantai. Bapa mertuaku belum turun kerana ingin solat isyak dulu alang-alang.

Setelah turun kami terkejut sebab dia bersiap seolah-olah nak keluar. Dengan tanpa segan silu dia mengajak isteriku pergi minum. Pergi minum di kala orang lain enjoy makan dan berborak.

Aku terpinga-pinga. Adik beradik lain dan ibu mertuaku marah dia sebab semua orang buat ni untuk dia tapi dia nak keluar. Isteriku hanya berdiam diri, dan bapa mertuaku masih lagi mengajak dia.

Tuan-tuan dan puan-puan, benarlah kata orang tsunami tu menakutkan. Gelombang tsunami yang isteriku keluarkan bersama bebelan tanpa nokhtah mendiamkan suasana.

First time aku tengok dia marah macam tu. Bapa mertuaku hanya diam dan naik ke biliknya. Isteriku pun masih lagi dengan bebelan dia. Aku suap dia ayam pastu suruh dia naik atas tenangkan hati.

Kami masih lagi meneruskan BBQ malam tu cuma suasana dah tak best. Malam yang seronok bertukar hening.

Kepada adik-adik yang bakal berkahwin, cubalah buat pasangan tu marah sekali sakala, bukan apa, takut nanti terkejut macam abang ni yer. Macam abang ni suap makanan jek ke mulut dia, settle lah.

Aku kasihankan isteri yang cuba sedaya upaya untuk melayani drama bapa mertuaku. Ibu mertuaku dah tegur cuma tak diendahkan.

Adik beradik lain pun ada yang melayan dia tapi dia tetap nak isteriku sebab dia boleh request macam-macam. Terkini dia meminta isteriku belikan dia handphone baru.

Sekarang dia menggunakan “Samseng Nota 9” yang dibeli isteriku beberapa tahun lepas. Atas alasan bateri cepat habis, dia nak “Samseng Nota 20” pula.

Setiap kali isteriku menidakkan dia akan buka cerita sedih di mana handphone dia habis bateri ketika berada di luar. Kami offer untuk beli handphone yang berharga bawah RM2000 tapi dia tak nak. Aku pun malas dah nak ambil tahu.

Sebelum ini aku ada mangatakan aku akan cuba untuk adapt dengan situasi ini. Tapi ternyata aku masih belum dapat adapt sepenuhnya.

Most of the time bila bapa mertuaku start drama, aku jadi tak suka. Apabila ditegur, merajuk. Apabila tak ditunaikan permintaan, merajuk. Apabila dibebel, merajuk.

Bukan sengaja kami berbuat begitu, kami pun ada kekangan. Tapi dia tak dapat terima kekangan kami tu.

Sebagai contoh, semasa PKPB ni dilaksanakan kami berdua bekerja dari rumah. Kadangkala isteriku keluar awal pagi dari rumah sewa untuk bawa dia bersarapan. Tapi dia nak pergi ke daerah zon merah. Aku tetap tak paham, kenapa situ?

Seperti biasa isteriku bawa juga dan terpaksa patah balik sebab tak boleh masuk. Macam biasa dia boleh cakap “patutnya kita gi balai polis mintak surat kebenaran bersarapan di zon merah”. Kalau tuan-tuan kena macam ni rasanya ada masa tak untuk sakit kepala?

Ada yang komen “layan jekla sementara masih ada”, ya kak kami layan tapi setakat yang kami mampu. Bila tak mampu, merajuk. “cakap lah elok-elok dengan dia”, ya kak kami dah pun cakap elok-elok tapi tak dapat terima.

“Suruhlah ibu mertua nasihat”, ya kak ibu mertua dah nasihat, dia buat tak tahu sahaja. “dia selesa dengan isteri awak jek kot”, ya kak memang betul tapi bagi lah dia ruang untuk bernafas.

Kesudahannya kami keluar dan menyewa di luar. Biarlah banyak kurangnya pun kami berdua boleh bernafas semula.

Namun begitu, drama masih ada yer sedara sedari cuma nanti lah aku bercerita lagi. Ni pun dah panjang lebar. Terima kasih kerana sudi baca luahan hati ni. Maaflah sekiranya ada yang terkesan secara negatif dengan cerita aku kali ni. Sekian.

– Roronoa Zoro (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit