Bebanan Profesion Perguruan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat barisan admin dan para pembaca IIUM Confession. Sebagai pengenalan, saya merupakan bekas guru yang berpengalaman sebagai pendidik di beberapa sekolah menengah di selatan tanah air selama 10 tahun sebelum melanjutkan pengajian dengan tajaan KPM. Kini saya bertugas sebagai tenaga pengajar di salah sebuah IPG di utara tanah air.

Saya terpanggil untuk berkongsi luahan rasa bersama para pembaca di sini kerana belakangan ini berita-berita yang melibatkan profesion perguruan kembali dipaparkan di media massa dan mendapat pelbagai reaksi negatif dan positif daripada netizen.

Secara peribadi saya melihat isu bebanan yang dihadapi oleh para guru sehingga mengakibatkan ramai guru mengalami tekanan sebenarnya berakar umbi daripada dasar-dasar KPM dan para pentadbir seperti PPD dan JPN itu sendiri. Di sini saya akan menjelaskan satu persatu secara ringkas tetapi agak padat supaya mudah difahami oleh anda.

Pertama, isu guru dibebani oleh kerja-kerja di luar skop perguruan iaitu mendidik. Sebenarnya, para guru seharusnya memahami bahawa sewaktu mereka menandatangani kontrak dengan KPM, jawatan yang ditawarkan kepada mereka adalah Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 yang bermaksud skop tugasan mereka bukan hanya terhad kepada sesi pengajaran dan pembelajaran sahaja tetapi juga melaksanakan setiap dasar-dasar pendidikan kebangsaan yang diumumkan oleh KPM. Walau bagaimanapun, telah timbul beberapa masalah apabila dasar-dasar KPM yang dilaksanakan oleh para guru seringkali berubah-ubah mengikut selera menteri. Kebiasaannya dasar-dasar pendidikan akan bertukar seiring dengan pertukaran menteri kerana setiap menteri memiliki objektif mereka yang tersendiri dalam menentukan hala tuju dan legasi kementeriannya. Akhirnya, di peringkat bawahan, para gurulah yang menjadi “mangsa” untuk melaksanakan dasar-dasar-dasar tersebut. Saya tidak ingin memberi contoh dasar-dasar mengikut selera menteri tersebut di sini tetapi saya pasti anda pasti boleh menekanya dengan tepat.

Kedua, guru juga mengalami bebanan kerja yang lebih kerana waktu kerjanya yang tidak fleksibel. Dalam erti kata lain budaya waktu kerja guru sepatutnya diseragamkan dengan waktu pejabat kakitangan awam yang lain iaitu bermula pukul 8 pagi sehingga pukul 5 petang agar cukup lapan jam waktu kerja sehari. Hal ini kerana setelah para pelajar sekolah mula pulang setelah tamat waktu persekolahannya sekitar pukul 2 petang, para guru boleh memanfaatkan baki tiga jam berikutnya untuk melakukan kerja-kerja yang tidak melibatkan P&P seperti mengisi data maklumat peribadi dan prestasi murid atas talian, menyemak buku latihan pelajar, merancang rancangan pengajaran harian untk hari-hari esok, menyemak kertas ujian, dan bermesyuarat. Yang pastinya para guru seharusnya dilarang sama sekali untuk membawa pulang bebanan kerja sekolah ke rumah masing-masing selepas pukul 5 petang kerana kerana bermula pada pukul 5.01 petang, waktu tersebut adalah hak mutlak para guru untuk mengisinya dengan aktiviti mereka yang tersendiri. Begitu juga dengan cuti hujung minggu para guru yang sepatutnya tidak boleh diganggu dengan aktiviti-aktiviti melibatkan kerja dan sekolah walau apa jua alasannya seperti mersyuarat, kursus, ceramah motivasi, dan sebagainya. Hak-hak guru seperti ini wajib dimaktubkan ke dalam Akta Pendidikan.

Ketiga, masalah penempatan dan pertukaran tempat mengajar guru dilihat merupakan bebanan utama yang mendorong kepada timbulnya stress dan depression dalam kalangan guru. Saya tidak ingin menyentuh isu yang dihadapi oleh seorang ustazah muda yang mengalami kemurungan baru-baru ini tetapi pihak KPM dan SPP sewajarnya menambah klausa syarat baharu dalam kontrak dengan bakal guru iaitu secara jelas menetapkan sekiranya seseorang bakal guru itu sanggup menerima tawaran untuk berkhidmat, mereka perlu bersedia untuk ditempatkan di mana sahaja dalam jangka masa maksimum selama lima tahun dan sebarang permohonan untuk bertukar tempat mengajar dalam tempoh masa tersebut akan dilaksanakan setelah lima tahun dan sebarang rayuan tidak akan dilayan walau apa jua alasannya kecuali jika pemohon memohon pertukaran secara suka sama suka dengan pemohon lain. Dalam jangka masa lima tahun tersebut, tersangatlah mustahil buat KPM dan SPP untuk mendapatkan tempat mengajar baharu yang lebih sesuai dengan lokasi yang diingini oleh sang pemohon kecuali staf di PPD, JPN, dan SPP “lembap mengalahkan sloth”. Perlaksanaan peraturan seperti ini mampu mengurangkan isu guru duka lara kerana terpaksa melakukan perhubungan jarak jauh dengan keluarga masing-masing dan lebih adil buat semua pemohon tanpa mengira latar belakang.

Keempat, KPM dan SPP seharusnya melaksanakan dasar penggiliran penempatan guru-guru baharu dengan lebih efisyen dan sistematik. KPM perlu memiliki data keperluan guru mengikut subjek untuk lima tahun akan datang agar mudah melakukan pengambilan calon-calon guru dengan lebih tepat agar tiada lagi bakal-bakal guru yang terpaksa menunggu lama sehingga dua tahun sebelum berjaya memperoleh penempatan. Buat SPP pula, pihak anda perlulah lebih adil dalam menentukan penempatan bakal-bakal guru. Seharusnya bakal-bakal guru yang muda dan “fresh” ini perlu dihantar ke Sabah, Sarawak, dan pendalaman Perak dan Pahang bagi menggantikan guru-guru senior yang telah lama memohon pertukaran penempatan ke daerah pilihan mereka. Usah diabaikan permohonan guru senior tersebut kerana terdapat banyak kes guru-guru senior di Borneo terpaksa menunggu sehingga belasan tahun sebelum boleh bertukar kembali ke Semenanjung. Ramai rakan satu “batch” dengan saya yang ditempatkan di Sabah setelah tamat pengajian di UPSI dahulu terpaksa menunggu sehingga sembilan tahun sebelum boleh pulang ke Semenanjung, malahan ada juga yang terpaksa menunggu lebih lama daripada itu. Apabila para guru sudah tiada hati lagi untuk mengajar di sekolah lama, bagaimanakah keikhlasan dalam mengajar akan muncul? KPM dan SPP perlu cakna dalam hal ini.

Kelima adalah isu pengambilan bakal-bakal guru di IPG dan ijazah sarjana muda pendidikan institusi pengajian tinggi awam. Berdasarkan pengalaman saya sebagai tenaga pengajar di IPG, selain memiliki keputusan peperiksaan SPM/STPM yang cemerlang saya melihat kini terdapat satu “trend” memilih bakal-bakal penuntut berdasarkan rupa paras dan bukannya sifat sebagai pendidik sewaktu proses temuduga. Saya tidak terlibat dalam proses temuduga tersebt tetapi kebanyakkan hasilnya adalah amat mengecewakan saya. Sebilangan para pelajar saya dilihat tidak memiliki “attitude” dan dedikasi sebagai seorang pendidik. Mereka lebih manja, mudah memprotes, dan mudah mengalah, serta tidak memiliki sikap bersunggh-sungguh dalam melaksanakan tugasan. Sikap mereka ini amat berbeza dengan sikap para pelajar saya sebelum kemunculan telefon pintar dan pelbagai aplikasi media sosial yang mengarut. Kita ingin mencari dan mendidik para guru yang bakal menjadi pendidik anak bangsa, bukannya model atau artis di sekolah. Sikap sebilangan guru muda yang gemar berfesyen dan diambil gambarnya sehingga tersebar di page-page “sampah” dan mengundang komen-komen yang tidak beradap daripada netizen sebenarnya telah menjatuhkan imej profesion perguruan itu sendiri. Saya berani mengatakan bahawa guru-guru seperti itulah yang mudah rasa terbeban dengan profesion ini. Walau bagaimanapun, saya mengakui masih terdapat sebilangan besar bakal-bakal guru yang berdedikasi dan bersemangat untuk menjadi pendidik. Merekalah penawar kepada kami di IPG dan mereka juga menjadi harapan dalam melahirkan generasi muda negara yang cemerlang di dunia dan di akhirat nanti.

Sekian serba sedikit perkongsian, luahan, dan cadangan daripada saya. Sekiranya terdapat salah ejaan atau tatabahasa, saya memohon seribu kemaafan kepada anda kerana lalai dan cemerkap. Setiap yang baik itu datangnya daripada Allah SWT dan yang buruk itu adalah kelemahan saya sendiri sebagai insan biasa. Sekian terima kasih.

– Cikgu S

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *