Belajar Daripada Kesilapan

Kejadian ini berlaku semasa aku sedang bertugas ni hospital lama, Alor Setar. Kejadian ini ibarat siang menjadi angan-angan, malam menjadi buah mimpi, tersemat rapi di dalam mindaku setiap perincian dan peristiwa yang berlaku.

Hospital lama itu, masih lagi menempatkan pesakit-pesakit perubatan yang stabil, pesakit paru-paru, dan juga mereka yang bakal menjalani pembedahan kecil.

Walaupun kebanyakkan wad seperti wad bersalin, wad kanak-kanak sudah ditutup, namun, semasa berkhidmat di jabatan perubatan, seorang house officer perlu bekerja di wad-wad di hospital lama.

Hari itu, aku berseorangan di ward I dan ward H, bertugas syif PM. Syif PM itu secara tidak rasmi bermaksud aku harus masuk kerja jam 6 pagi dan balik pada jam 11 malam dan ke atas. Syif itu kemudiannya digantikan dengan rakan aku pula yang perlu bekerja dari 11 malam sehingga 12 tengah hari esok setelah pulang jam 6 petang hari yang sama.

Itu merupakan hari terakhir aku di hospital lama. Keesokannya, aku harus ke wad jantung pula di hospital baru. Beginilah kehidupan seseorang bergelar house officer. Seminggu sekali bertukar wad, atau paling lama pun, 2 minggu.

Kerja di wad perubatan tidaklah terlalu banyak untuk hospital lama. Pesakit yang stabil sahaja dihantar ke sini. Pesakit yang tidak stabil pula ditempatkan di hospital besar di Jalan Langgar, di mana wad di situ lebih baru, staf lebih ramai dan kelengkapan lebih moden.

Apabila pesakit pun stabil, maka kerja pun tidaklah banyak. Tiada banyak isu. Menyambung antibiotik, menjaga pesakit angin ahmar, itu sahaja. Dan jururawat di sana semuanya pakar-pakar belaka bab-bab penjagaan pesakit.

Syif aku hari itu cukup santai. Tiada perkara-perkara yang tidak diduga berlaku. Dari jam 6 petang sehinggalah jam 11.00 malam, tiada apa-apa. Maksudnya, aku dah boleh kata gelaran jonah itu bukanlah milik aku.

Namun aku agak letih juga hari itu, kerana pada hari semalamnya, aku berkunjung ke gim yang terletak di Jitra, memandangkan ukur lilit perut aku yang mula bertambah-tambah saat aku mula bekerja.

Rakan aku, Dr Wafaa tiba. Dia on-call malam itu, dan jam 11.15 malam setelah aku passover kepadanya, aku berangkat pulang.
Aku memandu kereta perlahan sahaja malam itu. Tidak melebihi 90 kilometer sejam. Maklumlah, di lebuhraya Darul Aman ini banyak perangkap had laju. Terutama di salah satu flyover.

Aku dah terkena hampir 4 kali saman laju. Yalah, kelajuan dibenarkan cuma 90 kilometer sejam sahaja dan aku memandu macam pelesit, 183 kilometer sejam tertera di salah satu surat saman. Tak tahu aku nak bangga atau nak menangis. Pokoknya, aku tak mahu pisang berbuah dua kali.

Sewaktu aku menghampiri persimpangan jalan Hutan Kampung, aku mula memerlahankan kenderaan. Macam hari-hari sebelum ini, aku tak mahu bahagian bawah kereta aku terjejak di jalan raya yang sedikit beralun di situ, tetapi hari itu lain sikit.

Aku lihat ramai sungguh orang berkumpul di tepi jalan. 2 buah motosikal remuk di tepi jalan. Tedapat sebuah kereta Proton Waja yang diletakkan di tepi jalan, dan belakangnya remuk. Bootnya terbuka menampakkan isi dalam kereta.

Saat itu, terdengar bunyi pecahan-pecahan kaca dan plastik dilenyek tayar keretaku. Serpihan-serpihan lampu dan mungkin plastik daripada motosikal yang pecah bertaburan. Aku memandang keluar melalui cermin sisi pemandu. Ini sudah pasti kemalangan jalan raya.

Aku juga dapat melihat terdapat 3 orang pemuda teduduk di tepi jalan sambil dikerumuni ramai orang ramai. Mungkin itu mangsa kemalangan aku terfikir. Tak fikir panjang, aku buka lampu ‘hazard’ aku dan meletakkan kereta di sisi jalanraya.

Orang ramai memandang aku saat aku keluar daripada kereta. Melihatkan stetoskop di leherku, dan tag nama aku yang tergantung di leher, aku pasti mereka tahu aku seorang perawat, dan tahu niat aku untuk menolong.

Tuan kereta Proton Waja itu, seorang lelaki berumur lewat 50-an dan memakai kopiah, berjambang putih dan memakai baju pagoda dan kain pelikat menghampiri diriku,

“Doktor kan? Ni ha depa bawak moto laju sangat, lepas tu belanggar belakang kereta pakcik”, terus dia menceritakan kepadaku tanpa dipinta. Aku mengangguk sahaja, dalam hatiku, nanti kita bincang kemudian, apa yang penting adalah nyawa mangsa-mangsa kemalangan tersebut.

“Takpe, pakcik tolong telefon 999, minta sambung ke Hospital Sultanah Bahiyah sebab itulah hospital yang paling dekat. Lagipun tu hospital baru, kelengkapannya insha Allah ada”, aku mengarahkannya menelefon. Tanpa banyak soal, terus dia mendail dan menelefon talian kecemasan itu.

Aku lihat makin ramai orang memberhentikan kenderaan di sisi jalan. Orang yang baru sampai ada yang ingat motor tersebut berlanggar dengan kereta aku. Mereka pelik mengapa kereta aku sedikit pun tidak remuk.

Aku pun malas nak terangkan kepada mereka ni, kecuali kalau mereka nak menolong, itu tidak mengapa. Tetapi kalau berhenti sekadar nak tahu, dan kemudiannya merekod video menggunakan telefon bimbit, tak perlu pun tak mengapa.

Aku segera membuka pintu sisi penumpang keretaku. Di dalamnya terdapat “beg medic”. Aku panggilnya “beg medic”, kerana di dalamnya tedapat pelbagai peralatan dan instrumen perubatan.

Ada gauze, kapas, benang jahitan, forceps, arterial clamp, gunting, plaster, jarum serta cecair normal saline yang dalam botol kecil tu. Aku meraba-raba juga mencari satu alatan kecil yang dipanggil “portable pulse oximetry”. Dah 2-3 minit aku cari, baru aku sedar alatan tersebut berada di tengkuk.

“Portable pulse oximetry” adalah satu gajet kecil yang boleh menunjukkan jumlah oksigen di dalam darah serta kadar denyutan nadi. Aku tiada alat untuk mengukur tekanan darah, tetapi itu tidak menjadi masalah kerana tekanan darah adalah bacaan ‘vital’ yang terakhir akan terkesan apabila seseorang itu kehilangan darah.

Aku terus turun dan menghampiri pesakit pertama. Rahman namanya, terduduk dan bila aku suruh baring dia tak mahu, mungkin kerana tidak selesa akibat kesakitan.

ABC, itulah yang perlu aku pantau dan lihat. Airway, breathing dan circulation, serta melihat ada tak gejala-gejala 5H dan 5T beberapa penyebab utama yang menyebabkan denyutan jantung terhenti dan boleh diubati. Memang semasa bergelar pelajar perubatan, kami dah terlatih dengan menguruskan kes-kes kemalangan ini. ATLS namanya.

Rahman nampak okay. Kandungan oksigen dalam darahnya, atau sPO2 adalah 98%. Aku lihat terdapat luka akibat tergesel di jalan di pipi kirinya dan tetapi tiada tanda-tanda kepatahan. Pernafasannya normal, matanya reaktif kedua-dua belah dan tanda-tanda yang lain semuanya normal. Aku suruh dia berehat dahulu sementara menunggu ambulans.

Pesakit kedua, Said, putus hujung jari telunjuk tangan kanannya. Segera aku letak gauze untuk menghentikan darah. Yang menariknya, orang ramai menjumpai jarinya yang putus itu dan meletakkan di dalam beg berisi ais.

Aku fikir, mungkin mereka dapat ais daripada gerai makanan di sisi jalan itu, sangat berdekatan dengan tempat kemalangan. Namun aku tak rasa jarinya yang putus tu boleh disambung semula sebenarnya.

Tapi aku letakkan beg plastik di sebelahnya Lengan kirinya patah kerana aku boleh lihat kerana kedudukan tangannya yang agak abnormal. Aku tak boleh cuba buat apa-apa. Segala pembetulan tulang tanpa ubat bius adalah menyeksa pesakit. Aku kira, nanti sampai hospital mungkin doktor sana boleh buat, kerana tidaklah ‘urgent’.

Pesakit ketiga, Musa boleh berdiri lagi. Berjalan sana dan sini. Aku suruh dia duduk sementara aku memeriksanya. GCS okay, Semuanya normal kecuali luka di tangan dan kaki kanannya, mungkin tejatuh dan teseret di belah kanan badannya.

Aku sebenarnya malas mahu memeriksanya. Hari dah semakin lewat dan aku lihat dia nampak tidak apa-apa. Namun aku buat jugalah, Tiada apa-apa yang ganjil atau abnormal bagi aku.

Pakcik tuan kereta cuba memberi air kepada Said, namun aku terpaksa menghalangnya. Aku buat demikian kerana memang seharusnya tidak boleh memberi pesakit apa-apa makanan atau minuman selagi dia betul-betul belum dipastikan tidak mengalami apa-apa kecederaan di otak atau badannya. Macam-macam risiko ada.

Aku sebenarnya kepenatan dan jam menunjukkan pukul 12.45 malam. Lewat. Esok aku perlu masuk kerja jam 6 pagi. Ambulans pun aku kira dalam perjalanan dah.

Aku memberitahu pakcik tu, mereka nampak okay, dan tunggu ambulans datang untuk memberi rawatan seterusnya. Aku masuk dalam kereta dan terus memandu pulang. Aku dah terlalu rindukan tilam empuk di rumahku.

Tiba di rumah, tak sempat aku tanggalkan stetoskop di leher, terus terbongkang tidur kerana kepenatan. Badan pun sakit-sakit juga. Gim punya pasal. Lena sungguh malam itu.

Keesokannya aku bekerja di wad jantung, wad kegemaranku. Kerja tidak banyak juga. Kebanyakkan pesakit yang aku jaga hanya menunggu temujanji mereka di Institut Jantung Negara (IJN) sahaja.

Aku turun ke kafe jam 12 tengahari. Selesai makan sekeping roti, aku nak balik ke wad aku. Tiba-tiba terserempak dengan kawan aku di kafeteria. Nama dia Dr Hani. Aku lihat dia sedang beratur untuk membayar beberapa keping kuih-muih dan roti di kaunter. Aku tahu dia salah seorang house officer yang kini bertugas di jabatan kecemasan.

“Weh Hani, malam tadi hang kerja redzone kan?”, aku memulakan bicara, mencuba sedaya upaya bercakap dengan dialek utara, kerana Dr Zalina juga orang utara.

“A’ah, busy gila wei, ni baru okay sikit”, katanya. Matanya yang ibarat panda itu menceritakan kepadaku bahawa sememangya dia sibuk sehingga tak cukup tidur.

“Hang ada terima pesakit 3 orang laki tak, muda-muda semua, accident kat lebuhraya Darul Aman”, aku bertanya. Aku ingin tahu juga apa terjadi kepada pesakit tu semua.

“Ada, tapi teruk weh. Seorang tu kena masuk ward tulang, patah tangan, jari putus. Seorang lagi subarachnoid bleeding, tolak masuk bilik bedah otak terus, dan sorang lagi DOA (Dead on Arrival – mati ketika dalam perjalanan ke hospital), pendarahan dalaman”, ceritanya panjang lebar.

“Hah!!! Siapa nama yang DOA tu?”, aku terkejut.

“Musa kalau tak silap aku…” jawab Hani.

Aku jadi pucat, serta merta aku berlari ke sinki memuntahkan semua isi perut. Jantung aku berdebar-debar. Ya Allah! Ya Allah, apa yang aku dah buat ni?!

Muka aku bertukar seolah-olah nampak hantu. Pucat lesi. Dr Hani datang ke arah aku di sinki kafe. Dia ingin menenangkan aku, tetapi dia sendiri pun tak tahu mengapa aku jadi begitu.

“Awat weh hang? Ok dak ni?”, tanya dia.

Aku mengangguk dan berlari ke wad aku. Setibanya di wad, aku masuk ke dalam bilik doktor, dan mengunci pintu dari dalam. Mendengar penjelasan Dr Hani ibarat satu ledakan bom bagi diriku.

Pesakit bernama Musa meninggal dunia kerana pendarahan dalaman. Ini semua salah aku. Kalaulah aku menyelak bajunya, mungkin boleh melihat kesan-kesan lebam atau apa-apa tanda, tetapi aku tak buat.

Memang pendarahan dalaman amat merbahaya dan seharusnya sebagai seorang doktor, seseorang itu perlu dan patut mengenalpasti tanda-tanda pendarahan dalaman seseorang pesakit seperti munculnya lebam-lebam di perut.

Aku betul-betul terkesan dengan kejadian tersebut. Kerana kejahilan aku, kemalasan aku, pesakit tersebut mati. Salah aku dia mati. Salah aku. Namun aku tak boleh narcissist. Aku hanyalah manusia yang tak lari dari melakukan kesilapan.

Ayat “ajal maut sudah ditetapkan, tidak boleh dianjak mahupun diawalkan walau sesaat’ sedikit sebanyak mengurangkan rasa bersalah aku yang memuncak-muncak. Aku tidaklah dipersalahkan sepenuhnya, tetapi ada sedikit daripada punca kematiannya yang disebabkan oleh aku.

“You may suffer, but you cannot make your patient suffer”, itulah kata-kata seorang pakar bedah sewaktu aku di sekolah perubatan. Aku terlalu fikirkan keletihan dan kepenatan aku. Apalah keletihan dan kepenatan aku itu jika nak dibandingkan dengan nyawa seorang insan.

Segala kesilapan yang aku lakukan sebegini, tidak sekali-kali akan ku ulangi. Betapa pentingnya perincian sesuatu perkara walaupun kecil. Aku bertekad, tidak akan ku ulangi kesilapan ini selagi hayat dikandung badan. Aku masih dalam proses untuk belajar. Belajar daripada kesilapan.

TAMAT

– Ilzanno Sharky

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *