Berdosa Ke Gemuk?

Assalamualaikum.. Aku dah lama pendam perasaan ni sorang-sorang. Tapi sebab hati ni dah tertahan lagi, aku nak luahkan perasaan aku di ruangan ini. Nama aku Hana. Aku seorang yang gemuk, badan aku start gemuk sejak darjah 2.

Sejak dari tu, sampaila aku dah beranak dua, badan aku maintain gemuk. Aku ni bukanla seorang yang kuat makan, tapi badan asyik naik macam di pam pam. Macam2 cara aku cuba kurus, tapi tak berjaya. Adik beradik aku semua kurus-kurus, taktaula kenapa aku seorang je yang gemuk. Bab diejek gemuk tu of course aku dah lalui dari kecik sampaila dah besar.

Dalam ramai-ramai tu, mak aku kerap mengata aku gemuk. Ye, bukan orang lain, mak sendiri yang kerap body shaming aku. Pelikkan? Tapi itulah mak aku. Kalau diingatkan balik, topik mak aku kalau bercerita dengan adik beradik dia dan kawan2 dia pasal aku, cumala pasal badan aku yang gemuk.

Bila berjumpa dengan sanak saudara yang anak diorang gemuk, mak aku akan cakap “Marilah kenal dengan kembar kamu ni. Sama2 besar, sama2 sihat” sambil merujuk pada aku dan budak yang gemuk tu. Lepas tu, semua orang gelak, taktaula apa yang kelakar.

Bila mak aku berbual dengan mak saudara aku tentang aku yang berhenti kerja kilang tak sampai sehari, mak aku cakap begini pada kakak dia “Yelah, badan gemuk macam Hana ni mana larat nak berdiri lama2”.

Bila nampak aku duduk gelak ketawa bersama kawan sekolah aku yang badan gemuk, mak aku akan bercerita balik pada aku sambil gelak2. “Sapa nama kawan kamu yang kamu sembang tu. Sama2 gemuk, sama2 sihat pulak tu. Dari jauh mak dah nampak dua orang budak gemuk tengah bersembang” sambil gelak berdekah-dekah bersama-sama ayah.

Dan korang yang lahir tahun 80-an mesti ingat lagikan kisah seorang perempuan ni jatuh dari roller coaster dan meninggal dunia. Dan masa bersembang dengan adik beradik aku tentang benda ni, mak aku boleh pulak bagi contoh aku yang gemuk ni. Mak aku kata “contoh macam orang yang gemuk macam Hana duduk sebelah kita masa naik roller coaster, tu boleh jadi salah satu sebab seat sebelah dia longgar, tu yg dia boleh jatuh tu”.

Kelakar pulak bila ingat mak aku cuba jadi detektif conan pasal kes ni, mesti nak kaitkan saiz badan aku. Aku terus merajuk bila mak aku bagi contoh macam tu, tapi mak aku marah aku balik. Dia bagitau kalau beginilah aku mudah kecik hati, sapa yang nak kawan dengan aku.

Masa tu aku benci dengan diri sendiri sebab benda sama yang mak aku duk ulang, gemuk, gemuk, gemuk. Bosan aku. Macam aku ni takda talent lain melainkan gemuk. Macam2 lagi sebenarnya, terlalu banyak untuk diceritakan.

Selain dari mak aku, keluarga belah ayah aku dari pantai timur tu pun setiap kali kami balik ke sana, kerap kali aku jadi bahan gelak ketawa mereka terutamanya adik ayah aku yang bongsu. Kitorang panggil dia Cik Mek. Mulut dia memang jahat, suka mengata aku gemukla, terlebih yisla, terlebih sihatla, busukla, dan macam2 kata nista aku dengar.

Aku membesar jadi seorang gadis gemuk yang tiada keyakinan diri. Yelah, kalau dah itu yang mak aku jamu dari aku kecik sampai dah besar, korang rasa mental tak mental aku ni? Selepas SPM, aku dapat tawaran lanjutkan pelajaran di salah sebuah universiti di utara, jauh dari keluarga, jauh dari mak aku.

Mula dari situ, tiada lagi mulut jahat yang aku jumpa. Kawan2 aku semua baik. Dan aku ada peluang untuk mengelak dari balik kampung ayah aku. Aku cuma balik ke rumah mak aku setiap kali cuti semester, buat pertama kali aku rasa bebas dan gembira. Lepas je habis diploma, aku terus dapat kerja di ibu kota dan tinggal dengan budak2 ofis. Budak2 ofis pun semua ok2. Mula dari situ, keyakinan aku bertambah.

Di sini juga aku berjumpa dengan suami aku dan aku berkahwin tak lama lepas tu. Suami aku orang KL, lepas je kahwin aku terus tinggal di sini. Keluarga suami aku pula 100% jauh beza mentaliti diorang dengan keluarga aku di kampung. Kau gemuk ke, hitam ke, bukan jadi isu besar. Bila aku makin berumur, aku cuba lupakan dan perlahan-lahan maafkan perbuatan mak aku pada aku selama ini sebab dia tetap mak aku walaupun masa kecik dia dera emosi aku. Lagipun, aku cuba move on.

Walaupun sebenarnya perangai mak aku masih tak berubah, masih suka menggunakan fizikal aku sebagai bahan lawak dan tajuk perbualan. Dan setiap kali berkumpul dengan sanak saudara time raya atau kenduri kendara, bila saudara yang lain mengejek fizikal aku, mak aku akan jadi “nasi tambah”. Dia sendiri yang bagi peluang untuk orang lain ejek aku.

Kesiankan, aku ingatkan bila aku dah masuk 30-an, body shaming sepatutnya bukan lagi jadi isu, tapi aku silap. Aku masih diejek, sampaikan diorang jadikan modal anak aku yang kurus tu untuk kutuk aku. Suami aku yang badan besar tu pun kena tempiasnya. Contoh ayat2 yang aku selalu dengar “mak nya sedut lemak anak, mak ayah kemain gemuk, tapi anak keding. Laki bini sama2 gemuk”. Macam-macamla, sakit pulak hati aku bila diingatkan.

Sebab tu aku cakap keluarga suami aku dan keluarga sebelah aku sangat2 berbeza. Masa aku berkumpul dengan saudara mara belah suami, takda berlaku benda macam ni. Disebabkan fikiran aku dah matang dan banyak benda lain aku nak fikirkan, aku banyak2 beristighfar dan lupakan apa yang orang cakap pada aku. Tak pernah sekalipun aku menjawab sebab aku hormatkan gelaran mak, mak saudara dan bapa saudara yang mereka pegang ni.

Nak dijadikan cerita, satu hari tu ayah aku jatuh sakit. Aku ambil cuti lebih untuk tolong mak aku jaga ayah. Dan tiba2 adik ayah aku si Cik Mek ni ntah apa mood datang nak melawat ayah aku. Fikiran aku jadi tak keruan bila dengar, sebab aku dah 10 tahun tak jumpa Cik Mek ni sebab selama ini aku berjaya elakkan diri untuk jumpa dengan dia. Tapi aku cuba positif yang mungkin Cik Mek dah insaf. Tapi, aku salah.

First time Cik Mek nampak aku terus dia cakap “sihatnya dia…..” sambil buat memek muka mengejek. Apa salahnya ko tanya khabar aku dulu kan, tapi kau memilih untuk tambah “saham” neraka. Tak padan umur dah senja, tapi mulut masih jahat macam muda2 dulu. Waktu ini aku masih paksa untuk senyum, tak nak jawab apa2 sebab hormatkan makayah aku di sebelah. Tapi boleh pulak mak aku di sebelah menyampuk dan cakap “laki dia pon sihat jugak, sama2 sihat”. Oh my god!

Tiba2 laki aku yang takda kat situ pun kena, masa tu perasaan aku dah tak ditahan-tahan. Aku terus salam dengan Cik Mek dan terus masuk bilik. Di situ aku menangis sepuas-puasnya. Aku sebenarnya lama dah tak menangis kalau orang kutuk aku gemuk, lama dah aku tak berperasaan macam ni. Tiba2 kenangan2 aku masa kecik semua berebut-rebut nak keluar, dan perasaan aku terhadap mak aku “turn off” terus.

Seriously, aku dah fed-up. Ni bukan pertama kali mak aku kutuk aku dan suami aku. Orang tak tanya pun, tapi mak aku willingly canang satu dunia yang aku dan suami aku sama2 gemuk. Aku serius tak faham dengan perangai mak aku. Adakah mak aku malu ada anak yang gemuk macam aku ni? sebab tu mak aku layan aku macam ni?

Dan sekarang, bila aku dah balik ke KL, aku jadi malas nak balik jumpa mak aku lagi. Aku cuba buang jauh2 perasaan ni, tapi tak boleh. Kalau orang dengar pelikkan, benda kecik je pon. Kena panggil gemuk pun takkan ko nak “turn off” dengan mak sendiri. Aku guna perkataan “turn off” bukan benci sebab benci pada mak tu teruk pula. Tapi perasaan ni datang sendiri tanpa diundang lepas insiden ini.

Walaupun perkara kecik bagi orang lain, tapi bagi orang macam aku, insiden ini membuatkan aku jadi ralat, terkilan dan sedih gila. Tolong bantu aku untuk hilangkan perasaan yang datang ni…. Huhuhu.

– Hana Delisha

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *