Berdosakan Ramai Anak Perempuan

Assalamualaikum. Salam Ramadhan ke 15.

Allahumma solli ala saidina Muhammad wa ala alihi wa sahbihi wa salam…

Sempena bulan Ramadhan mulia ini aku nak luahkan sesuatu yang berharga yang jarang dah diperkatakan oleh orang di dalam dunia materialistik ini. Iaitu tentang kemuliaan anak perempuan dan kemuliaan seorang guru dibanding seorang murid.

Kisahnya begini, suami aku seorang guru. Tapi bukan guru kerajaan atau swasta. Suami aku guru agama. Dia seorang dikenali sebagai guru yang tegas. Sejak muda dia tegas terutama berkenaan akhlak perilaku murid perempuan dan lelaki. Ada di kalangan murid yang tak senang dan benci dengan ketegasannya.

Maklumlah budak-budak remaja kan suka kebebasan. Mereka tak dapat terima pendidikan yang suami aku dan guru-guru jenis tegas ini berikan sehingga suami aku dianggap seorang yang benci dan memandang rendah perempuan. Kerana selalu memarahi murid perempuan yang suka menonjol-nonjolkan diri dan bersikap lihai di hadapan umum.

Selepas lama berkahwin kami dikurniakan beberapa orang yang kesemuanya perempuan. Alhamdulillah kami amat bersyukur kepada Allah kerana memberikan anak cahayamata. Walaupun ada waktunya aku ingin punya anak lelaki. Keinginan hendakkan anak lelaki itu sangat meluap-luap.

Sampaikan aku ceritakan rasa hatiku kepada suami ku, dia memujuk ku dengan berkata “Kita berkehendak dan Allah berkehendak. Apa yang Allah hendak kepada kita itulah yang terbaik untuk kita. Kita ini kan hamba Allah… nabi dan rasul pun ada yang bujang, yang tiada anak, yang tiada anak perempuan, atau yang tiada anak lelaki… tak kan lah kita lebih hebat dari nabi dan rasul… kita ni hamba…”

Tidak pernah sekali pun suami aku merungut atau merasa kecewa setiap anak perempuan yang aku lahirkan. Dia cukup berbangga dan gembira. Bahkan memberikan kasih sayang yang mendalam tanpa syarat. Dia benar-benar seorang ayah yang pengasih dan penyayang. Tak pernah sekali pun terpacul di bibirnya menyesal tiada anak lelaki. Dia amat yakin semuanya milik Allah dan dari Allah. Semuanya juga akan kembali kepada Allah…

Ini sungguh menginsafkan aku agar aku menghayati makna sabar dan syukur yang sejati.

Lalu tak lama kemudian timbullah desas desus orang keliling. Ada yang kata suami aku tak pandai buat anak. Ada yang kata susahnya lah hidup nanti bila anak semua perempuan. Ada juga yang mengejek dan memandang lekeh konon suami aku tak power… malah ada juga makcik-makcik bawang yang membawang mengata aku dapat anak perempuan kerana suami aku garang dengan perempuan. Padam muka kata mereka…

Pelik aku mendengar mereka bercakap macam kaum jahiliyah di zaman nabi. Yang memandang rendah anak perempuan. Sedangkan semua yang bercakap tu beragama Islam. Malah ada di kalangan orang yang alim pandai agama. Sedangkan aku dan suami redha dengan rezeki dan ketentuan Allah s.w.t
Jika Allah beri anak perempuan kami redha. Jika Allah beri anak lelaki pun kami syukur. Anak lelaki dan perempuan keduanya pemberian Allah. Berapa ramai insan di dunia ini nak anak tetapi tidak Allah makbulkan.

Dan sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w sangatlah memuliakan anak perempuan. Banyak hadis nabi yang menyebutkan bahawa jika seorang bapa sanggup memelihara anak perempuan dengan baik. Maka Allah beri ganjaran syurga. Kalian boleh cari sendiri hadis-hadis berkenaan anak perempuan. Malah Rasulullah sangatlah menyayangi dan memuliakan anak-anak perempuannya dengan kasih yang sangat besar.

Lalu dalam masa yang sama timbul lah satu cerita kononnya anak aku semua perempuan kerana doa dan sumpah daripada murid-murid perempuan yang benci dengan suami aku masa belajar dulu.
Katanya mereka berdoa biar suami aku dapat anak perempuan semua baru padan muka.

Anehnya murid-murid lelaki yang pernah dididik, dimarah, dirotan oleh suami aku tidak pernah pula terdengar cerita mereka melaknat guru ini. Bahkan setiap kali berjumpa mereka cium tangan hormat. Dan mengucapkan terima kasih kerana ketegasan dan keikhlasan guru menjadikan mereka manusia. Jika tidak mungkin mereka jadi binatang atau syaitan yang bertopengkan manusia saja. Hidup bergelumang nafsu… Subhanallah…

Murid-murid perempuan yang bermulut lancang ini benar-benar mereka ini lah murid yang biadap dan celaka. Tidak malu semasa kecil mengambil ilmu dari guru tetapi kemudian apabila dewasa kerana dendam kesumat mereka berbangga kerana merasakan doa laknat mereka kepada guru itu dimakbulkan Allah. Dalam bentuk anak perempuan yang ramai. Mungkin mereka fikir suami ku tentu menyesal dan malu hanya ada anak perempuan yang ramai.

Jika murid-murid ini terbaca apa yang aku tulis ini. Aku ingin bertanya adakah kamu fikir Allah kabulkan doa kamu yang bersifat jahat kepada guru kamu? Tahukah kamu orang musyrikin Quraisy pun pernah mentertawakan Nabi Muhammad dengan mencela “Muhammad malang lagi terputus kerana tiada anak lelaki penyambung nasab”

Apakah kamu ni setaraf Abu Jahal dan Abu Lahab yang mentertawakan nabi kerana hanya ada anak perempuan?

Kamu fikir Allah redha dengan penghinaan mereka? Tidak sama sekali.

Malah Allah celakakan mereka. Allah turunkan wahyu sesungguhnya wahai Muhammad bukan kamu yang terputus tetapi merekalah yang terputus.

Buktinya Abu Jahal dan Abu Lahab ada anak lelaki tetapi siapa hari ini yang sanggup mengaku keturunan Abu Jahal si ahli neraka?

Sedangkan Rasulullah keturunannya diturunkan dari Siti Fatimah r.a.

Berapa ramai umat hari ini yang bangga mengaku keturunan Nabi Muhammad yang suci lagi mulia?

Jadi kamu wahai murid yang beragama Islam. Yang mengaku beriman kepada Allah dan rasul. Yang percaya kepada qadha dan qadar. Kamu bangga menjaja cerita kepada orang keliling konon sebab doa kamu lah guru kamu dilaknat dengan anak perempuan yang ramai?

Sesungguhnya kamu ini termasuk orang zalim. Kamu tak tahu malu dan tak ada adab sebagai murid… Allah tidak maafkan selagi kamu tidak memohon maaf dari guru kamu itu. Sebab doa yang jahat oleh seorang murid kepada gurunya tidak akan makbul. Dan sejahat murid adalah yang mengambil ilmu guru tetapi mencaci di belakang guru.

Carilah kisah Bal’am bin Baura murid Nabi Musa yang mendoakan laknat kepada Nabi Musa tetapi Allah terbalik kan lidahnya melaknat dirinya sendiri.

Ya itulah pilihan kamu iaitu kamu isytihar lah kepada orang bahawa dia bukan guru kamu. Yang kamu tidak pernah menuntut ilmu daripadanya. Itu lebih baik buat kamu. Selepas itu kamu nak doa apa pun terpulang lah pada kamu. Dan sesungguhnya Allah maha berkuasa atas apa yang dikehendakinya. Dan Allah pembela orang bertaqwa.

Nilai lah doa kamu itu adakah itu doa orang bertaqwa?

Ingin aku tegaskan Allah mengurniakan kami anak perempuan yang ramai itu adalah satu kemuliaan bukan kehinaan. Dan Allah menguji kepada hambanya mengikut kemampuan hambaNya itu. Suami ku adalah seorang lelaki mulia yang sanggup menjaga maruah isteri dan anak perempuan yang ramai. Yang sanggup menafkah dan mendidik keluarganya. Moga Allah balaslah dia dengan syurga tertinggi seperti dalam sabda Nabi Muhammad s.a.w.

Daripada Aisyah r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:

“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik, nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.” [HR Bukhari, Muslim dan at-Tirmizi].

Itulah secebis kisah akhirzaman yang ingin aku sampaikan kepada kalian. Dunia sudah balik ke zaman Jahiliyah yang mana semua kejahatan dari zaman Nabi Adam sehingga Nabi Muhammad terkumpul di zaman ini.

Antaranya ialah manusia sudah kembali memandang hina anak perempuan sehingga anak-anak perempuan dibunuh malah sejak dalam kandungan lagi. Almaklumlah sekarang sudah boleh scan jantina bayi. Terutama seperti negara seperti India, China dan sewaktu dengannya.

Perempuan-perempuan dijadikan hiasan dimana-mana untuk melariskan barang. Maruah mereka seperti pasir di jalanan. Ibu bapa dan guru tidak lagi dimuliakan. Bahkan dijadikan kuli-kuli yang boleh ditengking herdik. Dan dengan bangga dimalukan di media sosial atau secara lisan (ini tidak termasuk ibu bapa dan guru yang memang jahat dan layak dihukum).

Akhir kalam ketahuilah guru yang baik itu tidak pernah berdendam dengan murid-muridnya sekalipun murid-muridnya tidak mengenang jasanya bahkan sampai ke tahap mencaci maki gurunya itu. Bertaubatlah sebelum terlambat.

Jangan ingat kamu dah pergi haji sekalipun jangan ingat Allah ampunkan semua dosa mu. Sebab dosa dengan manusia wajib minta ampun dengan manusia. Terutama dosa kepada ibu bapa dan guru. Aku mengambil masa 10 tahun bersabar dan memendam kisah ini.

Salam Ramadhan bulan penyucian jiwa. Semoga selamat sampai ke Aidilfitri bersama rahmat, berkat dan maghfirah dari Allah. Biarlah kita hina dalam pandangan manusia tetapi kita mulia di sisi Allah s..w.t.

– Ummu Banat (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *