Bergelut Dengan Pasangan Narcissist

Bergelut Dengan Pasangan Narcissist

Kisah ini bukan kisah aku. Kisah best friend aku. Aku tak tahu layak ke tak aku digelar kawan baik dia bila mana aku tak mampu nak tolong dia keluar dari toxic relationship dengan suami dia. Aku dilema antara nak menolong kawan atau meruntuhkan masjid orang.

Kawan aku seorang yang tak banyak cakap, kurang kawan, surrounded by family, dengan sejarah hidup yang menyakitkan. Hampir 4 tahun dia berkahwin dengan seorang narcissist. Kalau google, boleh baca karakter orang jenis macam ni sangatlah menyeksakan. Kenapa aku cakap menyeksakan? Sebab aku pun terkena tempiasnya sekali sebagai kawan baik dia.

Sebelum kehadiran aku dalam hidup kawan aku ni, dia tiada tempat untuk meluahkan. Hidup dia dengan anak yang berusia 12 tahun (bukan anak suami narcissist ni), dan mak serta adik-adik yang tak berapa ambil tahu. Lepas aku masuk kerja kat situ, ntah nak jadi takdir Tuhan, dia ada tempat nak meluahkan kisah hidup dia. Cukuplah aku ceritakan semula apa yang dia ceritakan padaku.

Pertama, tempoh awal tahun perkahwinan, dia menyara suaminya. Makan minum pakai baju suami di bawah tanggungjawabnya. Kiranya kawan aku ni kena tanggung anak dia sendiri dan suaminya sekali sebab suami dia bekerja sebagai technician kontrak yang gaji tak sampai RM600. Nak banding dengan kawan aku yang gaji RM3k lebih. Tapi sebab kawan aku ni tak kedekut dengan family, Tuhan murahkan rezeki dia. Walaupun hujung bulan cukup makan.

Suami dia? Takde effort nak cari part time lain. Dari atas sampai bawah, semua kawan aku yang tanggung. Siap mintak duit nak modify kereta lagi. Bila kawan aku cerita kat aku mula2 tu aku dah pelik. Tapi kawan aku masa tu dia cakap. Takpe lah, sayang punya pasal. Dia nak bersedekah. Masa ni aku dah rasa something wrong tapi aku diamkan.

Kedua, kalau orang narcissist ni kau kena tahu, dia akan dera dari segi emosi kaw-kaw punya. Bila dia buat salah, dia takkan mengaku salah, tapi dia akan letak kesalahan tu kat victim balik kenapa dia bertindak demikian. Contoh, kawan aku pernah tunjuk message dari suami dia bila kawan aku ni tak angkat telefon masa tengah kerja. Dia panggil kawan aku bebal. Dia pernah panggil kawan aku hamba cina (walhal kawan aku OT nak bagi dia makan jugak).

Dia doa kawan aku otak bersepai. Sumpah mati accident tu benda biasa lah. Dengan aku pun sekali kena sebab kadang-kadang kawan aku tumpang kereta aku. Kena cap isteri derhaka tu jadi makanan lah. Reason dia suka sumpah seranah? Sebab dia cakap kawan aku tak faham bahasa kalau dia tak maki. Reason kenapa kawan aku kena tanggung dia? Sebab dia cakap siti khadijah pun kaya, tak lokek tolong nabi Muhammad. Semua dia buat kat kawan aku ada reason sendiri.

Ketiga, penderaan fizikal. FYI, bukan first time kena pukul ye. Sebelum kawin pun dah pernah kena cekik. Lepas kawin ape tah lagi. Yang best nye family suami dia tahu anak dia suka naik tangan. Tapi macam biasalah, mak mana tak back up anak sendiri. Pusing2 balik kawan aku la yang kena. Ayat cliche mak mertua kawan aku ni “suami isteri kena mengalah”, ” tinggi rendah jawatan kena hormat pasangan” (ini merujuk kepada kawan aku yang bergaji besar dari suami dia).

Siri penderaan fizikal suami dia tak kerap. Dia buat bila dia betul2 marah. Macam tarik rambut ke. Pukul kat belakang leher ke. Tu pun kawan aku senyap lepas kena bantai. Kalau kawan aku takde depan mata, dia tumbuk kereta kawan aku sampai kemek. Aku tanya kawan aku, kenapa proceed kawin kalau dah tahu kaki pukul? Dia cakap dah memang takdir jodoh dia. So aku terdiam.

Kemuncak cerita, kawan aku kena bantai dengan suami dia ni start dari bergaduh mulut. Kali ni kawan aku tak diam macam dulu. Dia melawan. Sebab tak tahan, dia hunus pisau. Suami dia sempat elak dan lari dengan kereta kawan aku ni. Bermula la episod kawan aku lari dari rumah mak dia dan duduk rumah aku. Tinggalkan anak dia dengan mak dia sebab anak dia sekolah dekat area tu (diaorg laki bini ni duduk kat rumah mak kawan aku ni).

Masa tu aku kat Perak, kawan aku call nangis mintak tolong ambik. Kali ni kepala dah berlebam sebab kena tumbuk. Ada tanda darah beku sebab kena tarik rambut. Tangan kena cakar. Kat sini ada silap besar aku. Aku tak ajak report polis sebab aku tak nak masuk campur lebih2.

Since kawan aku pun tak nak jugak report sebab dia tak nak besarkan isu and sebab laki dia pulak ugut dia nak report balik kata kawan aku ni buat percubaan membunuh (ini adalah salah satu perangai narcissist, dia psiko victim baik). So aku sempat ambil gambar yang mana ada je in case kawan aku nak ubah fikiran dia pergi report.

Kawan aku duduk dengan aku dekat 10 bulan jugak. Hujung minggu jumpa anak dia bawak keluar dan mengelak jumpa suami dia. Sebab suami dia duk menetap kat rumah mak kawan aku ni tanpa segan silunya. Sambil bawak kereta kawan aku ni ke hulu ke hilir g kerja walaupun ada kereta sendiri. Ada one day kawan aku dapat ambil balik kereta dia, suami dia sumpah dia mati kena langgar. Tapi Allah tu Maha Adil, satu doa dia pun tak pernah makbul.

Dalam tempoh kawan aku duduk dengan aku tu, baru la kawan aku dapat menyimpan duit. Dia cakap, kalau tak, asal gaji je dia kena pecah tiga. Duit belanja dia, anak dia, dengan suami dia. Belum lagi duit nak bagi kat mak dia. Dalam tempoh 10 bulan tu jugak la, aku jadi mangsa keadaan. Macam2 jenis message aku dapat dari suami dia. Perosak rumah tangga la, bersubahat la mengikut kata ustaz. Ambil isteri dia tanpa izin dia la, nak failkan saman la. Suruh aku berhenti kerja la. Tu kawasan dia la. Nak jumpa aku la.

Muka aku muka bebal la sebab dengar cakap isteri dia. Sampai satu tahap aku stress sampai nak berhenti kerja. Ini adalah satu permainan narcissist. Dia akan tekan kita sampai down. Sebab dia tak boleh push isteri dia, dia push aku. Lama-lama aku pun malas nak layan sebab aku baca balasan terbaik untuk orang narcissist ni ialah diam, jangan respond apa-apa.

Aku yang dulu nya orang yang fragile, tiba-tiba jadi dah tak takut apa dengan suami dia. Kenyang dah makan maki hamun dia. Sampai nak dekat raya hari tu, dia suruh kawan aku datang sujud kat dia. Mati-mati la kawan aku tak nak. Kawan aku berkeras balik kampung rumah nenek dia sendiri, tak nak beraya dengan suami dia. Masa ni baru suami dia cakap elok2 dengan aku mintak tolong pujukkan (ni perangai narcissist seterusnya, dia berubah watak mintak orang kesian kat dia pulak).

Lepas raya, kawan aku suarakan nak balik kat suami dia. Nak try bagi peluang. Sebab suami dia pernah hantar hadiah kat ofis, cakap mintak bagi peluang nak berubah. Mungkin 10 bulan dia bagi tempoh tu dia harap suami dia dah berubah. Suami dia dah berhenti kerja, buat kerja elektrik kat tempat orang. Bisnes sendiri la katanya. Duit kat bank dah banyak sampai orang bank call suruh beli insurance katanya.

Ok kawan aku nak balik aku tak kisah. Tapi part kawan aku cakap suami dia pukul dia sebab suami dia sayang dia aku tak berapa nak hadam. Kawan aku cakap bila isteri tak dengar cakap suami, suami geram, then dia pukul, sebab suami dia sayang. Lagi kawan aku cakap, suami isteri kena saling melengkapi.

Kalau perangai suami dia macam tu nak buat macam mana. Terima je lah. Sebab ustaz shamsul debat cakap Tuhan tu ciptakan pasangan dari jenis kamu sendiri. Tu dah takdir dia hidup dengan suami dia. So aku pun tak boleh nak cakap apa. Kang aku cakap lebih kena saman jadi pihak ketiga rosakkan rumah tangga orang pulak. Dia pun balik rumah dengan niat nak betulkan balik keadaan.

Dalam sebulan balik rumah ni, adalah suami bagi nafkah RM200 katanya.. Tapi lepas tu macam biasa lah. Makan, minyak kereta semua kawan aku kena keluar duit balik. Kadang-kadang suami dia nak pinjam duit, nak rolling modal. Makan tengah hari paksa kawan aku lunch dengan dia sebab duit takde.

Ok kali ni belum sampai penderaan fizikal lagi. Dia abuse dari segi mental pulak. Kawan aku beli hp baru sepanjang duduk dengan aku dulu. Suami dia ni jenis pakai hp 3310 je. Kisah nye kawan aku dah tak boleh main hp depan suami dia dah. Dia cakap kalau dia nak beli, dia boleh beli tapi dia nak ada communication antara suami isteri.

Padahal sebelum tu kawan aku cakap suami dia ade mintak kawan aku ni belikan hp baru dengan jam baru kat dia tapi kawan aku malas nak layan. Ni lagi perangai narcissist, dia tak boleh tengok orang lebih dari dia. Dia anggap pasangan dia saingan dia sendiri. So apa yang kawan aku harapkan suami dia tu berubah tak dapat la.

Update terbaru, kawan aku asal pergi kerja je mengalir air mata. Bukan sebab kena pukul tapi kena penderaan emosi. Semua benda jadi salah dia. Kisah lama kena ungkit balik. Kisah dia lari dari rumah dia duduk rumah aku. Kereta dia pulak dah selamat laki dia sapu, nak jimat minyak katanya (sebab kereta suami dia kereta racing). Kali ni kawan aku dah tak melawan. Paling kuat pun dia diam dan menangis.

Dia cakap dengan aku, dia tengah kumpul kekuatan. Nak fail kat mahkamah pun dia tak mampu sebab dia tak pandai cakap. Selok belok nak mintak nasihat peguam pun tak tahu macam mana. Suami dia pandai buat muka kesian atau turn kesalahan tu balik kat dia. Siap ugut kalau kawan aku failkan cerai, dia nak saman balik guna personal lawyer (personal lawyer celah mana pun aku tak tahu, RM10 pun mintak kat bini).

Kawan aku nak fail fasakh sebab pernah kena pukul dulu pun dah tak valid sebab tak report polis dulu. Bukti gambar je la ade. Duit nafkah tak bagi pun dia tak tau nak buktikan macam mana suami dia tak bagi. Pernah sekali dia suarakan isu nafkah tu, suami dia cakap “Kan aku cakap aku pinjam. Kalau aku dapat duit projek tu aku campak duit kat muka kau balik”. Inilah ayat yang keluar dari mulut syurga kawan aku ni.

Aku cakap dengan kawan aku, kalau dia tak nak tolong diri sendiri, satu dunia bagi nasihat pun takkan jalan. Kawan aku ni taknak anak dia ni tak berbapak walaupun suami dia tu bukan ayah kandung anak dia. Aku pun boleh jadi tukang dengar je lah. Tukang dapat sumpah seranah suami dia sekali bila bergaduh dengan kawan aku. Sebab suami dia cakap aku la punca semua.

Kalau ikut hati aku ni, aku tak nak ambil tahu langsung pasal kawan aku ni. Malas nak layan. Tapi ntah kenapa Tuhan tak nak bagi aku berganjak ke mana2. Lagi2 bila anak perempuan dia pernah peluk aku menangis2 tak nak jumpa bapak tiri dia. Hati aku jadi luluh. Aku stay je kawan dengan kawan aku ni walaupun kena maki berbakul2 dengan suami dia kata aku peruntuh rumah tangga orang bila kawan aku dengan anak dia lari kat aku. Aku kesian, tapi aku tak boleh nak tolong selagi kawan aku tak bangkit sendiri. Pertolongan aku jadi terbatas selagi dia bergelar isteri orang..

Apa perlu aku buat sebagai seorang kawan?

– Miss J (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit