Buat Baik Berpada-pada

Assalamualaikum. Terima kasih admin kerana sudi menyiarkan confession aku. Berkali-kali aku cuba menulis confession ni tapi tak pernah berjaya siapkan. Aku cuba lagi untuk menulis kali ni, supaya ia dapat menjadi pengajaran buat yang lain.

Nama aku Asma’ (bukan nama sebenar). Aku merupakan salah seorang tenaga pengajar di sebuah kolej.  Aku berkenalan dengan seorang rakan sekerjaku bernama Bananah (bukan nama sebenar). Setelah beberapa ketika, hubungan kami semakin rapat kerana kami saling membantu dalam menyelesaikan tugasan kolej dan berkongsi cerita peribadi. Kami juga sering makan dan solat berjemaah bersama-sama.

Setelah kami menjadi sahabat karib, Bananah memperkenalkan aku dengan seorang pelajar kolej yang sedang dibantunya, bernama Chanda (bukan nama sebenar). Sewaktu Bananah menceritakan kepadaku tentang penyakit Chanda, aku sangat simpati dan berazam untuk turut membantu Bananah tentang urusan perubatan dan kesihatan Chanda. Untuk pengetahuan, Chanda menghidap kanser dan selalu berulang-alik ke hospital.

Suatu pagi sedang aku dalam perjalanan menuju ke kolej, aku mendapat kiriman whatsapp daripada Bananah yang meminta pertolonganku untuk menghantarkan Chanda yang kurang sihat ke kolej untuk mengambil peperiksaan akhir. Aku terus menuju ke rumah Chanda kerana Bananah tidak sempat mengambil Chanda sementelah dia perlu mengawas peperiksaan pada pagi itu. Dan peristiwa itulah permulaan kepada tercetusnya salah faham antara aku dan sahabatku, Bananah yang akhirnya mengorbankan  persahabatan kami.

Sejak peristiwa aku menghubungi Chanda untuk mengambilnya di rumah, Chanda kerap menghubungi aku melalui whatsapp dan cuba mendekati aku. Chanda juga sering mengadu tentang sakitnya, keluarganya yang sering menyisihkannya dan berkali-kali menghantar gambar-gambarnya termasuk gambar sakit, tisu dipenuhi darah, katilnya di hospital dan ubat-ubat yang dia terpaksa ambil. Aku semakin kasihankan Chanda. Chanda juga sering mengadu dia tak mampu berjalan hatta untuk membeli makan malamnya.

Aku sedar, sebagai tenaga pengajar aku perlu ada jurang dengan pelajar di kolejku. Disebabkan itu, hanya sesekali aku menawarkan diri untuk membeli makanan, menemani Chanda makan atau ke hospital/klinik. Chanda jarang menolak pelawaan aku, cuma dia memintaku untuk merahsiakan perjumpaan kami daripada Bananah. Walaupun aku rasa pelik dengan permintaan Chanda, aku menuruti sahaja permintaannya kerana bagi aku tiada apa yang perlu aku risaukan. Aku hanya membantu, itu pun jika keadaan mendesak.

Namun, semakin hari aku semakin hairan dengan Chanda kerana dia meminta aku merahsiakan segala urusanku dengan dia daripada Bananah, sedangkan Bananah sahabatku. Apabila aku tanyakan alasan untuk merahsiakan daripada Bananah, Chanda hanya menjawab yang Bananah cemburu dan aku tak perlu tahu lebih lanjut kerana dia sangat mengenali Bananah. Aku berasa pelik, namun dalam kekeliruan itu aku masih berhubung dan membantu Chanda seperti biasa.

Satu lagi yang buatkanku keliru dengan Chanda ialah dia sering menghubungiku dan mengatakan dia rindu aku dan tak boleh hidup tanpa aku. Dia mengadu bahawa keluarganya tidak sayang padanya dan sepanjang aku mengenalinya dua kali dia beritahu yang dia nak bunuh diri. Aku menjadi semakin risau dan mula mengambil berat tentang Chanda serta menghubunginya hampir setiap hari untuk memastikan dia dalam keadaan baik.

Tidak berapa lama kemudian Chanda menghubungiku dan memberitahu bahawa dia terpaksa memutuskan hubungan denganku, kerana dia memilih Bananah. Aku semakin keliru. Kenapa perlu buat pilihan, sedangkan kami semua perempuan? Kawan je kot. Sejak itu, aku tidak lagi menghubungi Chanda. Malah, Bananah juga tidak lagi mengajakku jika ingin ke hospital untuk menghantar Chanda. Aku membiarkan keadaan itu walaupun aku keliru dengan apa yang berlaku. Hubungan aku dengan Bananah juga semakin renggang.

Aku tak pasti sama ada perlu percaya kepada Bananah atau Chanda, kerana apa yang berlaku kebanyakannya bertentangan dengan apa yang mereka berdua perkatakan. Namun, dalam diam-diam Chanda menghubungiku dan mengatakan dia rindu aku, tapi dia berkeras yang jika aku memberitahu Bananah apa-apa dia akan pergi daripada hidup aku. Aku ikutkan sahaja permintaannya mengenangkan dia selalu sakit dan perlukan perhatian. Kami sering berjumpa di kolej tanpa pengetahuan Bananah.

Dipendekkan cerita, aku juga bersahabat baik dengan seorang tenaga pengajar lain, Del (bukan nama sebenar). Ketika kami sedang menikmati makan malam, Del menceritakan padaku tentang seorang pelajar kolej yang cuba mendekatinya. Aku berdebar sewaktu mendengar gambaran tentang pelajar tu. Siasat punya siasat akhirnya kami simpulkan bahawa pelajar tersebut ialah orang yang sama yang sering mengganggu dan menagih simpati daripada tenaga pengajar yang dia jumpai – Chanda.

Del menasihatkan aku untuk terus meninggalkan Chanda dan tidak ambil peduli tentangnya lagi. Aku pula bimbang kalau aku tinggalkan Chanda dia akan ugut untuk bunuh diri lagi. Namun, kerana nasihat Del yang bersungguh-sungguh itu aku semakin menjauhkan diri daripada Chanda.

Dalam masa yang sama, aku cuba untuk bersemuka dengan Bananah agar Bananah tahu apa yang berlaku. Aku juga tak mahu Bananah menjadi mangsa Chanda yang seterusnya. Malangnya, usaha aku itu tidak berhasil kerana Bananah tidak mahu mendengar apa-apa penjelasanku tentang Chanda. Bagi Bananah, Chanda ialah seorang yang sangat dipercaya dan dia tidak mahu mendengar cerita buruk tentang Chanda. Untuk pengetahuan pembaca, Chanda ialah seorang hafizah dan dia juga banyak memberi ceramah di masjid-masjid.

Aku sangat sedih kerana Bananah salah anggap tentang apa yang aku cuba sampaikan, seolah-olah aku tak punya peluang untuk membela diri dan menceritakan hal sebenar yang berlaku. Bananah memberitahuku bahawa Chanda sangat benci pada aku, walaupun hanya mendengar namaku pun dia tak mahu. Menurutnya, Chanda yang memintanya untuk menjauhkan diri daripada aku. Aku terkejut mendengar kata-kata Bananah yang sangat berbeza daripada apa yang Chanda perkatakan pada aku.

Aku tekad untuk kumpulkan segala bukti yang aku ada tentang perbualan aku dengan Chanda. Sekali lagi aku cuba menunjukkan bukti-bukti tersebut pada Bananah, namun Bananah hanya mentertawakan aku dan dia menegaskan bahawa dia tak perlukan semua bukti itu. Katanya, jika Chanda menipu itu adalah antara Chanda dan Allah. Dia hanya membantu Chanda. Sekali lagi hati aku terhiris dengan cara sahabat aku melayaniku.

Hanya Allah yang tahu perasaanku ketika itu. Aku dikecewakan oleh dua orang kawan sekaligus dan pengalaman itu membuatkan aku sangat sukar untuk mendapatkan sahabat baru dan menawarkan pertolongan kepada sesiapa yang memerlukan. Aku mengambil masa lebih 2 tahun untuk pulih sepenuhnya daripada fobia dan mencari semula diri aku.

Benarlah kata pepatah, buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Nasihat aku, tidak salah berbuat baik tapi mesti ada hadnya. Tidak salah berkawan, tapi jangan percaya pada kawan seratus peratus. Simpan beberapa peratus untuk meragui kawan kita itu, kerana dia juga manusia biasa yang ada kelemahan. Selepas peristiwa itu, aku lebih berhati-hati untuk bergaul dengan orang lain. Kawan aku pesan, “expect suatu hari nanti kawan kita akan tikam kita dari belakang masa berkawan dengan dia supaya kita tak terlalu sakit apabila sesuatu terjadi dalam persahabatan.”

Letakkan kepercayaan penuh hanya pada keluarga sendiri, terutamanya mak ayah sebab mereka berdua kasihkan kita sejak kecil tanpa mengharapkan balasan. Dan hanya kepada Allah yang kita boleh percaya dengan sesungguhnya.

– Asma’

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *