Bukan Aku Tak Bersyukur II

Untuk part I, (https://iiumc.com/aku-bukan-tak-bersyukur/).

Assalamualaikum… Pertama sekali, terima kasih admin kerana pernah siarkan luahan aku suatu tika dulu..

Luahan pada tahun 2018. Tika aku sakit. Tika aku sendiri berperang dengan jiwa. Tika aku sendiri mencari makna untuk teruskan hari hari mendatang.

Alhamdulillah.. Aku kembali dengan jiwa yang baharu.

Terima kasih admin, terima kasih yang pernah memberi kata kata semangat tika itu. Jasa kalian sangat besar untuk aku.

Tahun 2020. Aku sudah berumur 29 tahun, punya anak dua sekarang. MASIH SEORANG GURU :)

Ketika aku menulis luahan pertama dahulu, aku dalam keadaan ‘kesakitan’ yang kritikal.

Bila aku baca kembali luahan aku, serta-merta aku tepuk dahi, malu pun ada hahaha. Tapi itulah hakikatnya. Luahan seorang aku yang punya penyakit depression yang teruk.

Jika kalian baca luahan pertama aku dulu, sebenarnya kalian boleh nampak bertapa aku mencari cari hala tuju hidup aku. Aku kerap bertanyakan tentang takdir aku, aku menyalahkan pekerjaan aku sebagai punca.

Tapi alhamdulillah, aku sudah sembuh. Aku sudah waras sekarang. Bagi yang senasib dengan aku, walaupun mengambil masa bertahun tahun untuk sembuh, tapi yakinlah, kita boleh sembuh.

Apa yang aku buat?

Pertama: Ada yang komen minta aku perbanyakkan ibadat, ingat Tuhan dan sebagainya.

Demi Allah, sewaktu aku sakit dulu.. Aku beramal seperti aku akan mati. Menangis siang malam di atas sejadah.

Pagi2 sepanjang perjalanan ke sekolah, aku akan pasang zikir, dengar bacaan Al-Quran, dengar ceramah ceramah aku untuk isi jiwa aku dengan ketenangan.

Tapi apa yang jadi? Aku jadi rasa bersalah, semakin down, semakin putus asa bila terkenangkan dosa2 aku pada suami, pada anak..

Aku rasa aku hamba Allah yang tak tahu bersyukur. Semua ini berlaku kerana waktu itu aku tak boleh berfikir dengan waras. Otak aku tak boleh fikir dengan betul.

Jadi, aku pilih untuk mencari ‘ketawa’ aku dulu. Maksud aku, aku perlu cari sesuatu yang boleh buat aku ketawa, senyum dipermulaan pagi untuk ke sekolah.

Aku cuba buka siaran lain seperti era fm atau sinar fm pada waktu pagi. Jangan salah faham, bukan aku nak kata siaran agama itu tak bagus, bagus..

Sangat bagus. Tapi waktu ini jiwa aku tengah celaru. Aku tak boleh hadam nilai positif itu. Berbanding dengan siaran radio biasa yang lebih santai dengan lawak lawak dan topik2 yang kadang kala menghiburkan hati.

Bermula dari situ, aku mula tersenyum tatkala terdengar lawak jenaka yang entah apa apa pun sebenarnya hahaha.. tapi cukup untuk buat aku tersenyum pagi.

Kedua: Berjumpa semula pakar psikologi.

Aku kembali ke pangkal jalan setelah berputus asa dalam mendapatkan rawatan.

Komen2 kalian yang meminta aku untuk kembali ke hospital dan kata-kata semangat daripada seorang senior di sekolah yang perasan akan ‘kesakitan’ aku berjaya menyedarkan aku tentang ‘jangan berputus harapan’.

Aku masih ingat kata-kata beliau.. ‘Bila kita sakit, kita jangan nafikan! Kita kena terima bahawa diri kita sedang sakit. Dapatkan rawatan. Itu saja caranya.’

Petang itu juga, aku ke hospital membuat temu janji baru bersama doktor psikiatri.

Alhamdulillah aku mula makan ubat ikut aturan, mula berkongsi cerita dengan doktor dan dapatkan nasihat, kaunseling di saluran yang betul.

Ketiga: Pengurusan emosi.

Aku ada masalah pengurusan emosi yang menyebabkan penyakit aku semakin teruk. Bayangkan, aku pernah dimaki oleh pelajar dengan kata kata kesat.

Tapi aku tak marah. Aku cuma rasa sedih. Itu pun aku simpan sendiri. Aku tak tahu macam mana nak luahkan rasa marah. Sama juga kalau suami aku buat hal.

Aku akan diam dan minta maaf hahaha. Pernah aku terbaca whatsapp suami aku dengan perempuan setempat kerjanya.

Mesej yang tidaklah tahap bersayang sayang, tapi cukup untuk menanam benih benih cinta dan boleh disemai sehingga mekar.

Tapi aku tak marah, malah aku yang minta maaf kerana tidak menjadi isteri yang baik.

Hidup aku hanya tahu meminta maaf, berkata ‘ya’, ‘baik abang’, ‘baik puan’, ‘terima kasih abang’, ‘terima kasih puan’. Aku hanya tahu menerima, tidak pernah menolak. Aku hanya tahu jadi positif yang akhirnya memakan diri.

Sehinggalah doktor yang merawat aku mengungkapkan satu kata kata yang mengubah aku sekarang. Katanya..

‘Ada sebab Allah ciptakan perasaan marah. Marah itu sihat, tak pernah marah itu sakit. Marah ni makhluk..

Kalau kita penjarakan dia dalam diri kita, lama-lama dia akan keluar sendiri tanpa kita rela. Ke mana dia nak pergi? Kepada orang atau sesuatu yang tak mampu melawannya. Contohnya? Baby.’

Tika itu aku langsung tersedar.

‘Sebab itu awak ada perasaan nak cederakan baby tanpa sebab. Semuanya kerana perasaan yang awak pendam selama ini. Jadi… luahkan. Bila marah luahkan. Tak salah, tak berdosa pun untuk marah.’

Dan sekarang, aku mampu meluahkan perasaan marah aku. Aku gembira, sangat gembira sebab dapat keluarkan apa yang aku rasa. Aku jadi lebih yakin untuk berdepan dengan sesiapa saja. Alhamdulillah.

Semasa sesi kaunseling di hospital, kaunselor pernah mengajar aku cara meluahkan emosi dengan betul. Katanya, bila kita marah, kita sebut perasaan itu.

Contohnya ‘Cikgu rasa marah bila awak tak siapkan kerja rumah.’, ‘saya rasa kecewa bila baca mesej abg dengan perempuan lain.’ ‘Saya sedih bila abg tak tolong saya jaga anak.’ ‘Saya suka abg bagi saya hadiah.’

Dan aku buat. Hasilnya memang berjaya. Aku rasa lebih baik dari hari ke hari. Aku rasa orang mula faham aku dan sebaliknya. Alhamdulillah.

Ada beberapa lagi cara yang aku buat sehingga aku berjaya sembuh seperti mencari TERAPI yang menggembirakan aku,

RAWATAN ALTERNATIF, KAWAL CARA PEMAKANAN, KAWAL CARA BERSOSIAL, AMALKAN KONSEP HAPPY MOTHER HAPPY FAMILY, ME TIME dan beberapa lagi.

Tapi aku rasa tulisan aku ini sudah terlalu panjang. Risau juga timbul rasa bosan nanti.

InsyaAllah jika ada rezeki, aku akan kembali berkongsi.

Aku minta maaf jika perkongsian aku ini menimbulkan rasa kurang senang, tidak bersependapat atau tidak bersetuju dengan cara aku.

Akhir kata..

Pastikan diri kita ketawa dahulu untuk buat orang sekeliling kita tersenyum.

Assalamualaikum.

– Aku (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit