Bismillah. Cerita ni adalah cerita sebenar bapak aku yang asalnya aku nak buku kan. Tapi aku tak sempat dan tak banyak masa.
Sesiapa yang pernah membaca siri Tamar Jalis pasti tahu, macamana pengkisahan Datuk penulis yang diceritakan.
Kisah ni bukan kisah Tamar Jalis, namun mungkin ada sisi Datuk Tamar Jalis yang hampir menyamai..
Umur bapak aku aku sikit lagi nak cecah 90 tahun. Alhamdulillah panjang umur. Seorang yang tekun, bijak dan gigih bekerja.
Bapak anak sulung lelaki dalam keluarga. Sekecil 5 tahun, beliau telah bekerja menoreh getah bersama dengan ibunya.
Sekecil itu juga beliau mengayuh basikal ke Pekan Batu Pahat yang jaraknya 24km untuk membeli beras.
Dia pernah dikencingkan (ya benar, dikencing) oleh ayahnya iaitu atuk aku Embah Darim kerana bapak aku tertidur di tangga keletihan.
Embah Darim anak bongsu dalam keluarganya, sebab tu bila dia ada anak sulung lelaki (bapak), dia kerjakan habis-habis bapak aku dengan mengerah tenaganya mencari rezeki.
Embah Darim perasan kacak, dengan warna mata seakan kebiruan, kulit cerah, hidung mancung dan kurus rincing, jadi dia rasa dia tak wajar bekerja dan tugas mencari rezeki digalas oleh bapak dan ibunya.
Bapak dikatakan sebagai orang yang bijak dan hebat bersukan. Embah Darim menghalang bapak ke sekolah dengan alasan, biar bapak bekerja. Embah Darim buat apa?
Dia akan duduk dipangkin hadapan rumah, minum kopi dan berbual dengan kawan-kawannya sehingga senja. Nasib bapak aku tidak mengikut perangai Embah Darim.
Bapak aku rajin bekerja dari kecil hingga dewasa. Dia juga rajin mencari ilmu dan berhikmah dalam berkata-kata. Bila dia bujang, dia sekolahkan semua adik-adiknya.
Sehingga kini, adik-adik bapak sentiasa menyantuni bapak kerana usaha bapak menyekolahkan mereka, mereka dapat membaca dan mahir 3M (Membaca, Menulis dan Mengira).
Beberapa peribadi bapak yang aku sebagai anak pun akan kagum. Bapak akan puasa sepanjang tahun, kecuali hari-hari Tasyriq dan haru haram yang lain. Makannya sedikit, jarang menambah ke pinggan.
Lauknya ringkas, jarang makan makanan yang bersantan. Biasanya pucuk ubi, pucuk paku, atau apa-apa sayur yang dicelur dengan sambal tumis.
Bualnya tidak banyak, hanya cakap perkara perlu. Bapak tak suka berbual kosong atau menyembang membuang masa. Segala apa yang dibeli, akan dicatatkan tarikh, hari, masa, harga dan beli dimana.
Bapak begitu tertib dalam menjaga peribadi dan kelakuan diri, Aku yang 40an ini tak pernah mendengar bapak sendawa, juga tak pernah mendengar bapak kentut.
Bukan aku saja, Mak yang usia 85 tahun pun, seumur hidup belum pernah lagi mendengar dia sendawa dan kentut.
Begitu juga adik beradik yang lain. Semestinya bapak manusia biasa, cuma beliau begitu beradab dalam menjaga kelakuannya.
Bapak menguasai ilmu tareqat dan ilmu tasawuf.
Dulu-dulu, untuk melawan penjajah pistol pun tidak ada. Bapak lahir semasa zaman British jadi dia merasa pemerintahan British dan Jepun. Dia menjadi imam di kampung dan menjadi rujukan masyarakat dalam hal agama.
Pada zaman 80an yang mana, sukar untuk anak orang kampung untuk mendapat tajaan belajar keluar negara, abang aku telah diterbangkan ke London.
Abang-abang lain juga berjaya masuk kursus perubatan dan masuk ke universiti, maka dikatakan anak-anak bapak semuanya menjadi.
Orang-orang kampung akan datang kerumah, dan minta air jampi kepada bapak. Mereka berhajat supaya anak mereka cerdas dan terang hati untuk menuntut ilmu,
Bapak kata, yang bagi Allah, bukan dia. Bapak juga pesan, paling afdhal adalah doa ibu bapa. Tetapi bila ada yang berhajat, takkan bapak nak tolak.
Bapak akan puasa, qiamulail, solat hajat dan juga amalan-amaln ibadat yang lain tanpa henti. Kemudian air tersebut diberi kepada mereka yang datang dengan harapan.
Ada sesetengah kenduri kahwin, yang dhujan lebat minta bantuan bapak untuk mengalihkan hujan.
Bapak dengan ilmunya, solat hajatnya, doanya kepada Allah tanpa henti, dapat mengalihkan hujan yang lebat. Ada juga doanya mungkin Allah tidak perkenan.
Bapak juga seorang yang berani. Jiran pernah meminta khidmat beliau mengalihkan Pontianak dari sebuah pokok dan bapak aku sikitpun tidak gentar.
Kerana keperibadian bapak, sejak dari kecil ada Jin yang bernama Dasim ingin berkawan dengan beliau.
Cerita perihal Dasim ini tidak diceritakan kepada kami, terutamanya anak-anak beliau yang generasi muda.
Dalam adik beradik aku, ada generasi tua generasi muda. Lima orang yang atas usia dari 60an ke 50an, manakala generasi muda dari 40an ke 30 tahun.
Ada jarak 10 tahun antara anak yang kelima dan keenam. Dasim ini, jin yang menawarkan pelbagai tawaran kepada bapak.
Dia pernah kata kepada bapak, ‘Jika kau seru namaku, dan beberapa potong ayat ini, serta luruhkan daun pokok cermai, daun-daun itu akan bertukar menjadi duit’..
Bapak aku? Dia adalah orang yang lurus dan bekerja kuat, imannya tidak goyah dengan wang.
Abang aku yang cerita pada kami generasi muda dan aku cuba verify cerita ini dengan bapak, tapi bapak hanya tersenyum. Bapak aku pernah pesan, walau macammanapun, manusia dan jin tidak boleh berkawan.
Manusia adalah khalifah dan selain itu, penciptaan mereka lebih rendah dari manusia. Sebab itu, manusia tidak perlu takut. Begitulah pesannya.
Sejak dari aku kecil, aku perasan ada yang menumpang dirumah kami. Tengah duduk santai-santai tiba-tiba TV ditekan.
Dulu punat TV berada di TV jadi bila kita tekan, punatnya tenggelam. Waktu matahari rembang, aku terdengar alunan suara lelaki mengaji yang sangat merdu dari bilik solat.
Aku menjengah keluar dan panggil ‘Abah!” (bapak aku). Namun ku lihat bapak sedang tidur keletihan di ruang tamu.
Suara mengaji terus hilang. Abang-abang pernah bercerita, Dasim pernah meminta untuk solat berjemaah dengan bapak dan bapak tunaikan.
Setiap kali aku suarakan kenapa rumah kita seram bah… Bapak aku kata, ‘rumah ni kau punya! Kau tak perlu takut pada jin, syaitan atau iblis!’
Aku sampai rasa di Dasim tu beranak pinak kat rumah aku sebab ada je kejadian seram berlaku. Entah apa agaknya bapak aku dengan si Dasim ni berjanji,
Kau boleh menumpang rumah aku, tapi sampai satu masa kau kena pergi.. atau kau boleh menumpang, tapi kau jangan buat apa-apa pada ketiuunan aku ke.. aku tak pasti. Sebab segala rahsia hanya diceritakan pada generasi lama.
Usai aku habis pengajian di universiti, bila aku pulang ke rumah, aku perasan tiada lagi bau kopi jam 3 pagi.
Tiada lagi entity yang berlari-lari dalam rumah. Tiada lagi TV dan lampu terbuka secara tiba-tiba. Tiada lagi pintu yang dibuka dan bunyi orang mandi pagi-pagi dibilik air.
Mungkinkah Dasim dan keluarganya telah terbang ke Mekah, seperti yang dijanji kepada bapak apabila sampai tempoh tertentu? Wallahualam…
**Ada beberapa perkara yang aku tukar sikit bagi menjaga kerahsiaan keluarga..
– Dee Ahm (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit