Catatan Anak Tunggal

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat pembaca semua. Waktu menunjukkan jam 12.15 minit pagi untuk tarikh 20 oktober 2020 ini.

Setelah puas memikirkan perkara ini sepanjang hari, aku memutuskan agar jari jemariku menari di atas papan kekunci ini.

Namaku HDM. Aku merupakan seorang anak tunggal dan aku tinggal bersama ibuku yang merupakan ibu tunggal. Jadi kalian pasti mengerti mengapa aku ini anak tunggal kan.

Hari ini, aku ingin melakarkan sebuah perasaan yang telah lama terbuku di jiwaku. Sebelum itu, akan ku ceritakan sedikit latarbelakangku agar kalian dapat sama-sama melihat dari sudut aku melihat.

Harus diingatkan, bahawa penulisanku ini adalah hanya bahagian pendahuluan bagi kisahku. Akan ku ceritakan kemudian, mengapa aku terfikir untuk menulis kisah ini. Itupun jika ada yang sudi membacanya.

Ibu bapaku berpisah saat aku masih sangat kecil. Kecil jika mahu dibayangkan, aku masih belum belajar meniarap. Ibuku memilih untuk pulang ke kampung halaman kerana lebih mudah untuk menguruskan ku, iyalah pada ketika itu ibu baru berusia 22 tahun.

Ibu bekerja di sebuah kilang dimana gaji pada ketika itu adalah RM12 sehari. Aku tidak pasti, bagaimana nilai RM12 pada tahun 1996 itu. Ibu terus bekerja di kilang tersebut sehingga tahun 2004.

Gaji pokok ibu paling besar ketika itu sekitar RM600 sebulan. Jauh dari taraf mendapatan semasa bukan?? Nak tahu mengapa terjadi?? Nanti aku coretkan..

Mengenai ibu, ibu memang merupakan antara pekerja paling cekap, kerana dia mampu untuk membawa bahan dari syarikat untuk dikerjakan dirumah pada waktu malam.

Masih ku ingat, ketika itu, aku turut bersama membantu ibu. Waktu itu aku masih kecil, seingatku sekitar umur budak tadika.

Aku turut sama menggoyang-goyangkan kakiku untuk membantu ibu, walhal tanpa aku sedara, jasaku hanyalah dalam membuat onar. Maaf ibu.

Ibu bekerja siang dan malam, sabtu dan ahad untuk menyara kami. Banyak kali juga, aku dengan sengaja menghubungi syarikat ibu dan mengatakan bahawa aku demam, kerana aku terlalu rindukan ibuku.

Oleh kerana panggilan tersebut, ibu akan dapat pulang lebih awal dari kebiasaan. Kesian ibu, terpaksa naik bas awam untuk pulang lebih awal kerana jika pulang pada waktu biasa, ibu hanya perlu menaiki bas pekerja.

Begitulah, sikap anak muda yang berfikiran pendek. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, ibu membuat keputusan untuk berhenti kerja kerana dia berasa tertindas setelah OT nya tidak dibayar oleh pihak syarikat tempat dia bekerja.

Setelah berhenti kerja, ibu telah melalui beberapa fasa kehidupan dalam mencari pekerjaan yang lebih baik dan rezekinya ada di sebuah institusi pengajian di negeri ini.

Jawatan yang ibu sandang adalah, guru taska. Ibu menjadi guru taska, menjaga puluhan anak- anak pensyarah yang bergaji besar dengan gaji yang diterima RM450 sebulan.

Setelah ditolak duit tambang bas, insuran aku, insuran dirinya, beri pada atuk dan nenek adalah saki baki beberapa ringgit lagi. Aku ingat lagi, aku selalu ikut ibu bekerja pada hari sabtu, kerna sabtu ibu perlu bekerja separuh hari.

Ibu sangat garang dalam mengendali kanak-kanak tersebut, tetapi kanak-kanak tersebut sangat manja dengan ibu sehinggakan pada hari guru ibu boleh dikatakan cikgu favourite di situ.

Dengan kadar gaji yang agak kecil, ibu memilih membuat part time sebagai tukang jahit untuk menambah pendapatan.

Jadinya, kerja ibu ketika ini adalah siang di taska, malam menjahit. Selain itu, ibu juga ada membuat nasi lemak 50sen, dan aku akan membawa nasi lemak tersebut untuk dijual dengan kawan-kawan disekolah.

Perkara paling kelakar dalam hidup aku, dalam beg, dalam bakul depan dan belakang basikal aku, penuh dengan nasi lemak.

Ada ketika aku mendapat order, 50 bungkus sehari. Disitulah minat aku dalam menabung dan berniaga dipupuk. Dulu, aku simpan duit belakang bingkai gambar, hehehehe. Macam perangai makcik-makcik, walhal aku baru berusia 9 tahun.

Seterusnya, mungkin berkat ibu bekerja dengan baik, Allah beri ibu rezeki yang lain. Ibu berhenti bekerja di taska atas dorongan pemilik taska tersebut yang melihat bakat dan kemahiran ibu. Ibu mula mengambil kursus jahitan di giatmara berdekatan.

Disitulah segalanya bermula, ibu sangat tekun dalam urusan pembelajarannya meskipun dia bermula pada usia 31 tahun. Ibu berjaya menjadi pelatih terbaik buat tahun itu. Tahniah ibu.

Setelah habis kursus tersebut, ibu membuat keputusan untuk berniaga di kampung. Ibu mengusahakan kedai jahitan pakaian hasil dari perniagaan nasi lemak kami yang dulu serta pinjaman kewangan dari pihak Mara.

Aku ketika itu tidak lagi menjual nasi lemak, kerana fokus untuk persediaan UPSR.

Ibu menjadi tukang yang sangat berbakat dan mahsyur ketika itu, alhamdulillah. Aku juga sekolah menengah sama seperti kawan-kawan yang lain.

Duit belanja sekolah RM3, rasa best sangat. Aku boleh beli nasi lemak + sosej + air anggur. Aku berpeluang ke sekolah berasrama, menyambung diploma dan ijazah sarjana muda dengan titis keringat ibu.

Terima kasih ibu, kerana membesarkan ku hingga ke tahap ini. Jasamu tak mungkin dapat ku balas meskipun aku hidup 1000 tahun dan berbakti padamu. Tetapi selagi hayat dikandung badan, akanku pastikan kau selalu tersenyum.

Terdapat pelbagai ranjau duri juga aku terpaksa hadapi, untuk ke tahap ini. Mungkin akan kucitakan nanti.

Aku minta maaf, jika ada yang terkurang dalam penulisanku pada kali ini. Kan ku cuba dengan lebih baik jika penulisanku ini mendapat respon yang baik.

– HDM (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *