Cinta Hati, Hati Mati

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Semoga dengan serba sedikit perkongsian yang aku sampaikan ini, diharap dapat memberi manfaat buat pembacanya.

Aku adalah seorang anak perempuan tunggal dalam keluarga. Lengkap pendidikan,makan,pakai dan segala yang asas sebagai manusia. Ibaratnya, segala kepingin aku, tertunai. Meskipun hanya berpeluang mengenali ayah seusia beberapa tahun kelahiranku sahaja. Kasih sayang ibu tak pernah kurang. Namun, tumbuh aku sebagai seorang remaja, aku tak lari dari khilaf sebagai manusia.

Dambaan kasih dari seorang lelaki, bukanlah sesuatu yang aku ingin atau sesuatu yang terlalu perlu bagi aku. Aku juga tidak pasti, adakah tertakdir atau kebetulan disengajakan. Tahun pertama perkenalan itu,kami masih belasan tahun. Jarak empat tahun sahaja. Dialah yang banyak mengajar aku itu dan ini. Sehingga suatu tahap, dari teman biasa menjadi mesra, dari pertemuan biasa menjadi luar biasa. Hingga kami akhirnya tewas dalam permainan nafsu dan hasutan syaitan. Kesucian yang aku simpan direnggut dengan tewasnya pada “cinta mati” pada seorang lelaki.

Setahun berlalu,perkara yang aku paling tidak ingin tahu—terjadi. Bagai suatu tamparan, terbongkar segala rahsia sisi gelap dia. Seorang perempuan tidak aku kenali mengaku pernah ditiduri si dia. Aku buntu, aku tidak tahu perlu apa aku buat. Tapi aku bagai batu. Aku tetap menanti si dia. Bagai manusia bodoh, menurut, mengikut segala apa mahunya dia. Hingga aku biar seluruh leluhurku turut dicaci dihina kerana dianggap “perampas”. Bayangkan, belasan tahun. Apalah yang aku tahu?

Hampir tujuh tahun berlalu,aku masih memperbodoh diri. Masih mengharap menanti, tetap berdoa masih ada harapan untuk hubungan itu. Sekaligus merapuhkan “cinta mati” buat Tuhan, merenggangkan “cinta mati” buat ibunda yang setia, memperjarak “cinta mati” dengan sahabat, dengan saudara. Bagai terlupa siapa aku sebenarnya.

Allah Maha Kuasa. Entah bagaimana DIA jentik hati aku untuk suatu hari itu aku memanjat doa kepada-Nya, supaya aku dimatikan dalam keadaan aku sempat benar-benar bertaubat. Kerana setelah sekian lama, hati ini terasa mati. Tidak ada nikmat lagi. Tandus dan tidak lapang seperti dulu lagi.

Sekali lagi, Allah Maha Berkuasa. Tidak lama aku terima pengakuan dia— “Aku sudah bertaubat. Kita patut bertaubat.” Keputusan yang aku terima selapangnya. Tidak ada dendam, tidak ada sakit hati. Mungkin, itulah jawapan Tuhan buat doa-doaku. Saat itu juga aku sedar, Allah sangat dekat. Hidayah juga sangat hampir. Tinggal aku sahaja memilih,masih mahu terus bergelumang dengan dosa, atau kembali ke asalku dengan jiwa yang bersih dan tenang.

Sahabat sekalian, berbaloikah “cinta mati” jika nanti hakikat sebenar hanya membuat “hati mati?” Selagi mana pintu taubat itu Allah buka selapangnya, berlarilah ke Tangan Tuhan, yang sentiasa terbuka menanti tulus tangis taubat darimu. Betapa selama ini aku telah menyakiti diriku yang berharga. Betapa selama ini aku membiar hati dipijak henyak dek kerana “cinta mati” yang menghilangkan siapa aku sebelumnya.

Semoga sebelum terbit mentari di ufuk Barat, masih berpeluang kita mencari secebis redha Tuhan. Semoga amalan sebesar zarah tertimbang berat, di neraca pengadilan Tuhan. Semoga lintasan menuju Syurga, dipermudah ibarat sekelip mata memandang. Semoga singgahsana istana menghijau, menjadi milik kita semua.

– Anon.as

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *