Cinta vs Harta

Cinta vs Harta

Pertama sekali, aku nak minta maaf sekiranya penggunaan bahasa aku agak susah untuk difahami. Pada mulanya aku ingatkan apa yang berlaku pada aku ni sekadar kisah dongeng dalam drama, tapi aku tak sangka aku perlu melaluinya.

Nama aku Sarah. Aku berasal dari sebuah keluarga yang punya segalanya. Aku anak tunggal, jadi apa saja yang aku inginkan pasti aku akan dapat. Dari dulu lagi, ibu bapaku berpesan jika aku mahu berkahwin, aku harus mencari pasangan yang mampu menanggung aku 100%.

Selepas tamat spm, aku melanjutkan pelajaran ke sebuah ipta di selangor. Di situ, aku bertemu seorang lelaki yang aku suka. Aku namakannya Ali. Ali setahun lebih tua dari aku. Aku menjalinkan hubungan dengannya. Tamat diploma, Ali terus bekerja. Oleh kerana pada masa itu aku masih belajar, Ali selalu membayar semua perbelanjaan bila kami keluar bersama.

Tamat diploma, aku sambung belajar ke peringkat degree. Setelah 3 tahun berhubungan dengan Ali, aku mengajak Ali untuk datang ke rumah dah bertemu ibu bapaku. Ibu bapaku melayan Ali dengan baik sekali. Namun, setelah Ali pulang, mereka beritahu aku yang mereka tak suka Ali sebab dia tiada masa depan. Ali cuma seorang pekerja kilang yang tak punya simpanan. Ali banyak menghabiskan duitnya untuk keretanya.

Pada masa tu aku marah kerana aku tak suka masa depanku ditentukan ibu bapaku jadi aku tetap berhubungan dengan Ali tanpa memberitahu mereka. Aku percaya Ali akan berubah dan mungkin ibubapaku akan merestui hubungan kami.

Tiga tahun kemudian, aku telah graduate dan bekerja di sebuah syarikat di selangor. Hubungan kami makin serious. Ali masih sama tetapi sejak aku bekerja Ali banyak ‘share’ post di mana isteri patut membantu soal kewangan suami di facebook padaku.

Tak lama lepas tu, ibu bapaku memberitahu aku yang mereka mahu kahwinkan aku dengan seorang kenalan mereka. Aku baru berusia 26 tahun, lelaki itu, aku namakan dia Farid, berusia 30 tahun. Bila aku beritahu mereka yang aku masih bersama Ali, mereka marah dan terus memaksa aku berkahwin dengan Farid. Ini tidak adil bagiku kerana Farid juga pekerja biasa dan bukanlah jutawan jadi tak ada bezanya dia dengan Ali padaku. Namun, Farid ada rumah sendiri, dan ada wang simpanan jadi ibubapaku percaya dia seorang yang bertanggungjawab.

Bila aku ceritakan pada Ali, Ali marah lalu memutuskan hubungan kami. Aku jadi sedih kerana aku sudah 7 tahun berhubungan dengan Ali tapi begini akhirnya. Aku marah dengan ibubapaku, aku berkeras tak mahu berkahwin sampailah minggu pernikahanku. Aku berubah fikiran kerana Ali telah memberitahu rakan rakan ku bahawa ibuku mahu ‘menjual anaknya’ kepada orang kaya. Itu semua salah. Ya, ibuku mahu mengahwinkan aku dengan orang yang aku tak suka tapi ini atas sebab tanggungjawab.

Setelah aku berkahwin, kami pindah ke rumah Farid. Aku beritahu dia yang aku tak suka dia dan aku ingat lagi dia cakap pada aku yang dia juga belum suka padaku tapi selepas berkahwin dia bertanggungjawab atas aku sebagai isterinya. Kami hidup macam kawan. Makin lama aku kenal Farid, aku makin suka padanya. Walaupun gajinya tak besar, dia tak pernah minta aku membayar apa apa tanggungannya. Setiap bulan, gaji aku hanya untuk bayar credit card dan kereta aku sahaja.

Setelah tiga tahun berkahwin, aku baru faham kenapa ibubapaku buat aku begini. Ini semua demi kebaikan aku. Aku rasa berdosa kerana melawan mereka pada awalnya. Kini aku bahagia dengan Farid yang melayan aku dengan baik sekali.

Baru baru ini, aku terjumpa facebook Ali. Ali sudah berkahwin tapi masih menetap dengan orang tuanya. Ali masih menaiki kereta yang sama, kini tidak bekerja. Aku terfikir kalau aku yang berkahwin dengannya pasti aku perlu menyara dia dan anak anak.

Banyak mulut berkata ibu bapaku mata duitan tapi kalau fikir secara logik, kenapa aku perlu meninggalkan cara hidup aku yang selesa untuk berkahwin dengan orang susah? Ya, cinta itu penting tapi cinta tak boleh bayar segala keperluan hidup kita.

– Sarah

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit