Coretan Seorang YB

Malam tadi, aku renung muka kedua-dua orang anak yang sudah pun nyenyak dibuai mimpi. Air mataku menitis sayu. Perasaanku dibuai-buai bila mengenang nasib yang menimpa tika ini.

Aku tahu ramai di luar sana yang hadapi cabaran hidup yang lebih besar. Sekurang-kurangnya aku masih punyai tempat berlindung dan cukup makan minum untuk sekeluarga. Cuma tidak seselesa seperti satu waktu dahulu. Kini segala-galanya jimat seboleh mungkin.

Kerjayaku untuk setahun kebelakangan ini memang tidak pernah diduga. Dua tempat kerja dalam masa setahun dan kini aku mengganggur kembali. 2 bulan lepas, aku ambil keputusan besar untuk meletak jawatan walaupun tiada lagi jaminan kerja baru, juga walaupun isteriku juga tidak bekerja lagi.

Itu keputusan yang telah aku fikir berbulan-bulan lamanya, aku berpegang pada prinsip atas moral. Ansuran bulanan untuk rumah, aku gunakan Akaun 2 KWSP untuk 12 bulan. Aku membuat kira-kira, duit simpanan di bank mampu bertahan selama empat bulan. Itu persiapan awal untuk merencana tempoh sukar yang masih belum tentu berapa lama lagi.

Bila lihat wajah anakku Kaklong, aku terus sayu bila terkenang terpaksa menangguhkan pembelian beg sekolah yang baru. Beg yang digalas itu sudah berusia lebih tiga tahun. Beberapa kali koyak di situ dan di sini, dijahit lagi oleh si ibu. Dahulunya niatku mahu mengajar Kaklong erti kesusahan. Cuma di saat aku diuji ini, beg itu koyaknya yang dijahit berulang kali tidak lagi mampu bertahan.

Lubang di sana sini tidak bisa ditutup lagi. Satu kepala zip di ruang utama beg sudah rosak, tidak boleh lagi membuka dan menutup. Yang satu lagi, pemegang kepala zipnya pula sudah patah. Kaklong melilit tali keras di cangkuk kepala zip supaya zip boleh kembali ditarik. Tetap beg itu yang digalas setiap hari tanpa banyak cakap.

Kaklong mungkin faham dengan keadaan aku. Aku bisik di telinganya, beg baru akan aku beli untuknya penghujung tahun ini. Itu janji aku. Tetapi itu masih tidak dapat mengurangkan rasa bersalahku. Aku terjumpa beg laptop lama di dalam stor, masih elok di luaran.

Aku bersihkan dan buang beberapa bahagian dalam beg yang telah koyak. Aku hulurkan pada Kaklong dan dia melompat riang dan memelukku. Papa doakan supaya Kaklong berjaya hidup di dunia dan akhirat.

Duit poket di sekolah juga telah aku catu buat dua orang anakku. Kini aku beri nilai yang separuh daripada nilai dahulu. Nilainya kini hanya cukup-cukup untuk dipilih hanya satu di antara sepinggan makanan atau secawan air manis ataupun sepaket jajan. Anakku Adik bertanya kenapa begitu? Aku peluk dan usap-usap belakang Adik. Jawapan yang dipinta aku pendam sahaja.

Aku hanya mampu menyedapkan hatinya dengan mengatakan Ibu akan menyediakan makanan yang lazat di rumah sehinggalah Adik tidak tertawan hati dengan tarikan di sekolah sana. Walaupun, sebenarnya lauk dan makanan di rumah juga hanya sekadar yang aku mampu.

Aku cukup faham, kanak-kanak sebaya itu masih belum boleh mengerti. Apatah lagi bila tengok di sekeliling kawan-kawan membeli makanan minuman itu dan ini di dalam dan di luar sekolah. Kerapkali Adik minta belikan makanan kegemaran laksa penang dan pau ayam, jarang sekali aku tunaikan kebelakangan ini. Ada sahaja alasan dhaif yang aku lemparkan. Papa minta maaf dekat Adik.

Takkan mahu mengganggur sahaja? Tak cari kerja ke? Mungkin itu soalan yang ditanya. Sudah lebih lima bulan aku usaha mencari kerja baru, semenjak belum berhenti kerja lagi. Kalau tidak beratus, sudah berpuluh kerja yang aku minta.

Hampir semua platform aku gunakan. Jobstreet, Jobstore, Monster yang dikatakan banyak scam, Indeed dan lain-lain. Di Linkedin juga di FB. Hanya dua yang sangkut untuk temuduga tetapi majikan sudah ada pilihan yang lain. Temuduga untuk jawatan lebih rendah juga aku harung juga.

Tiba di depan penemuduga, katanya aku terlebih layak untuk jawatan yang rendah itu. Aku membalas, aku tidak kisah akan jawatan dan gaji lebih rendah buat masa ini sebab niatku mahu menyara keluarga. Namun mungkin itu pendirian asas mereka bila mencari calon pekerja.

Aku cuba baiki resume sebab ramai yang berkata dokumen itu penting untuk menarik perhatian pertama pihak majikan. Sejumlah duit dilabur kepada website resume builder. Panduan dan nasihat di laman sesawang dan pengalaman orang lain tentang perihal mencari kerja, aku ambil cakna. Namun, rezekiku masih belum tiba.

Aku tambahbaik hubungan dengan tuhan. Aku lebih kerap ke surau walaupun bukan kesemua lima waktu. Aku bawak Adik bersama ke surau, adalah juga masa dia bermain sebentar dengan kawan sebaya usai lepas solat. Kuliah-kuliah taman syurga juga aku cuba sedaya upaya untuk hadiri. Tabung di surau aku cuba isi dengan kadar kemampuanku.

Setiap hari selesai subuh, aku membaca Surah Ar-Rahman, Al-Waqiah dan Al-Mulk. Bila sang mentari sudah menginjak naik aku lakukan solat dhuha 4 rakaat. Alhamdulillah, amalan itu sudah aku amalkan secara ustiqamah buat beberapa ketika ini.

Di malam hari lepas waktu Isyak, langsung aku dirikan Solat Hajat. Sahabatku yang alim hal agama ajar satu amalan solat hajat yang dimulai dengan duduk di sejadah dan membaca kalimah Basmallah selama 1000 kali sebelum solat hajat ditunaikan. Ini yang telah aku amalkan buat beberapa waktu ini. Pesannya terus amalkan sehingga hajat dimakbulkan.

Dalam doa, aku pohon hajat pada tuhan untuk dikurniakan rezeki kerja padaku. Aku panjatkan keampunan pada tuhan kerana sungguh aku pendosa tegar. Mungkin dugaan ini adalah kifarah daripada tuhan akibat dosa-dosaku yang banyak.

Aku mohon pada Tuhan, janganlah disebabkan janji-janjiku yang lalu untuk berubah menjadi lebih baik, yang mana selalu aku mungkiri dan lalaikan, menjadi penghalang kepada doaku daripada dimakbulkan. Itu luahan hatiku dan aku sedar tuhan itu Maha Pengampun sifatnya.

Bila terjaga tengah malam, aku cuba gagahkan bertahajud dan bertaubat. Walaupun kadangkala aku tertewas juga, aku niatkan untuk terus cuba bangun. Aku perbaiki solat aku. Kalau dulu kadang-kadang aku tidak berbaju semasa solat, kini tidak lagi.

Masaku lebih panjang di tikar sembahyang berwirid berzikir, perkara yang jarang aku lakukan dahulu. Bab wuduk juga aku perbaiki. Hanya sekarang aku sedari, ada sesetengah amalan sunat yang bila sengaja ditinggalkan menjadi makruh hukumnya. Aku mohon ampun Ya Rabb, amalanku masih culat-calit di sana sini, tetapo aku mahu terus berusaha. Namun, rezeki kerjaku masih tertangguh.

Bagaimana aku boleh bertahan? Semuanya adalah dengan rahmat tuhan. Mujur ada sedikit duit simpanan dan talian hayat kad kredit. Namun, makin hari makin berkurang duit di bank. Duit itu yang aku gunakan untuk bayar ansuran kereta, segala komitmen dan belanja di rumah. Dua bulan ini, aku tidak bawa anakku bila membeli barang dapur bulanan di Tesco.

Jauh sekali seperti kelaziman dahulu, bawa bersiar-siar di kompleks beli belah yang penuh dengan godaan. Aku takut dan rasa bersalah jika tak dapat tunaikan hajat anak-anak meminta itu dan ini. Stok makanan di rumah juga cepat habis, tiada lagi makanan ringan untuk dikunyah semasa waktu senggang bersama keluarga.

Sekali-sekala aku melawan ego berjimatku. Taman permainan adalah tempat bersiar yang baru dengan aiskrim corong dijadikan hidangan. Ronda-ronda di dalam kereta aku jadikan hiburan. Aku bawa juga isteri anak-anak menikmati makan di kedai sekali sekala. Mujur isteri faham keadaanku, kedai dan menu yang dipilih juga sekadarnya dengan tahapku.

Dia yang akan meyakinkan anak-anakku tentang sebab-sebab di mana dan apa makanan minuman yang perlu dipesan di kedai. Ya, memang dulu setiap hujung minggu adalah masa yang aku gembirakan keluarga untuk menikmati hidangan di luar dengan pelbagai rasa kampung, western, fastfood dan mamak yang diselang seli selera tekak.

Aku mengekang berat badanku dari terus menaik seperti sebelumnya. Aku mengurus nafsu makan yang membuak-buak rasa mahu makanan kegemaran. Akalku berkata, adalah sesuatu yang pelik bila aku yang kurang berduit dan tidak bekerja, tapi badan pula makin gemuk dan perut makin buncit.

Dua tiga minggu lepas, saluran air kumbahan di rumah tersumbat teruk. Melimpah air kotor dan busuk di luar rumah. Aku cuba usahakan untuk lancarkan aliran namun tak berjaya. Tukang bangsa asing dipanggil. Terbang lagi duit simpanan aku.

Selang dua tiga hari kemudian, paip di sinki pula bocor di luar kemampuan aku untuk baiki sendiri. Sekali lagi duit aku lebur. Besar dugaanmu pada ku, ya Tuhan. Aku berkata dalam hati. Aku hanya mampu tersenyum hiba.

Bukanlah niat aku untuk tidak ataupun kurang bersyukur dengan nikmat tuhan ketika ini. Sungguh. Jauh sekali untuk kufur nikmat. Bukan aku tidak sedar ramai lagi di luar sana yang hidupnya dibelenggu kesusahan yang amat sangat. Hidup gelandangan di lorong-lorong yang tiada tempat berteduh apatah lagi tiada upaya untuk membeli makanan.

Juga, cerita si bapa pekerja pengawal keselamatan yang hidup sukar memberi nafkah pada keluarganya yang besar, yang memang tidak pernah cukup. Ada juga kisah ibu muda yang membuat khidmat Grab Food sambil mengendong anak kecil di depan badannya kemana sahaja pergi kakinya mencari sesuap nasi. Aku sedar semua itu dan aku insaf.

Coretan ini hanya bertujuan untuk buatkan aku terus kuat menempuh liku-liku hidup yang tidak kutahu di mana penghujungnya. Aku yakin dengan Tuhan, itu yang aku ulangi di mulut, dan percaya dalam hati. Tipu kalau dikata aku sentiasa kuat. Ada sahaja bisikan yang singgah dan mengatakan aku sudah usaha bermacam-macam tapi rezeki kerja masih tidak berhasil. Seolahnya minta aku putus asa.

Kadangkala, ada pula bisikan halus dan jahat yang menghasut aku untuk meninggalkan amalan yang sedang aku amalkan. Aku usaha dan terus usaha untuk tetapkan hatiku berpegang pada jalan Tuhan yang Maha Esa.

Sememangnya aku memohon rezeki kerja pada tuhan. Namun rezeki itu sendiri luas maksudnya. Tuhan tidak beri ini, tetapi tuhan beri itu. Apa yang diminta, mungkin lambat sedikit akan tiba. Mungkin akan diganjar di hari pembalasan kelak. Mungkin rezeki lebih baik yang tidak terduga akal yang akan datang menjengah. Aku sedar hakikat itu dan aku bersyukur.

Tidak boleh dibayang akal jika tika ini aku atau ahli keluarga diuji dengan sakit teruk tanpa sebarang perlindungan insuran yang dulunya dilindung oleh syarikat yang aku bekerja. Bila diimbas balik sepanjang tahun ini, baru dua tiga kali anakku sakit demam. Mereka jarang sangat sakit demam tahun ini. Itulah rahmat tuhan. Maka, nikmat mana dari tuhanmu yang ingin kau dustakan!

Kawan-kawanku di mana tika ini? Sungguh, aku bukan jenis yang suka mencanang perihal masalah diri. Aku biarkan kawan-kawanku tahu tentang hal ini bukan daripada mulutku. Dua tiga kumpulan Whatssap sudah tahu nasibku. Aku hanya mengiyakan tanpa bicara lanjut.

Aku tahu mungkin ada sahabat di dalam kumpulan itu turut senasib atau lebih bernasib malang. Masing-masing mungkin punyai masalah sendiri yang tidak dikongsi di luar lingkungan. Kalau benar ada sahabat yang ingin membantu, biarlah ia datang daripada hati yang yang tulus.

Yang terus mesej peribadi, barulah aku bercerita. Beberapa orang kenalan yang lain pula, aku cuba hubungi untuk bertanyakan peluang kerja sekiranya ada bukannya semata-mata mengadu nasib malang. Syukur ada yang memberi respons positif dan tunjukkan usaha bersungguh cuba membantu.

Perihal usaha bersungguh itu sahaja sudah aku hargai walaupun belum tahu bagaimana pengakhirannya. Ada seorang dua yang turut mengingatkan aku untuk hubungi mereka untuk sebarang bantuan kewangan. Terima kasih sahabat.

Tidak mungkin aku bawa khabar buruk ini pada orang tuaku. Aku tidak mahu bebankan mereka. Biarlah aku tipu bersebab kepadanya. Yang mereka tahu, hanya isteriku yang tidak bekerja. Cukup setakat itu. Itulah juga yang diketahui oleh saudara mara dan keluarga mentuaku. Yang sering aku minta hanyalah supaya emak doakan rezeki kami semua sentiasa diluaskan dan ditambah serta segala hajat diperkenankan oleh yang Maha Berkuasa.

Sahabatku yang alim berpesan semasa pertemuan bulan lepas. Bila Tuhan mudahkan kita lakukan amalan-amalan khusus yang telah dirancangkan setiap hari, itu tandanya makin dekatlah hajat kita bakal dimakbulkan tuhan. Terima kasih sahabat dunia akhirat kerana menitipkan pesan agama dan kata-kata semangat yang sangat aku perlukan.

Walaupun aku diami rumah teres batu serta memandu kereta buatan Jepun, namun hatiku yang dirundung duka ini mungkin tidak nampak dek mata kasar oleh orang sekeliling. Peritnya kehidupan yang kurasa saat ini. Benarlah semua yang ada padaku cumalah pinjaman sementara di dunia.

Ya Rabb, coretan ini bukanlah surat terbuka buatmu. Sesungguhnya, Kau yang Maha Mengetahui yang tersurat dan tersirat. Tidak perlu aku ceritakan padamu di atas kertas. Coretan ini bukanlah sebagai ruang untuk aku berbangga diri dengan amalan agamaku yang jauh lagi daripada sempurna. Bukan juga untuk mengharap simpati manusia. Jauh sekali ceritaku di sini, hanya untuk mengadu nasib hidup semata-mata.

Nukilan ini dititip khusus buat diriku sendiri supaya terus istiqamah menghambakan diri padamu Ya Rabb, serta yakin dan terus kuat berusaha menjemput rezeki-Mu yang sangat luas. Mungkin juga tulisan ini boleh menjadi asbab manfaat pada orang-orang yang membacanya.

Aku mahu katakan padamu Ya Allah, engkaulah tuhan yang aku sembah dan engkaulah tuhan yang aku memohon pertolongan. Aku seorang YANG BERHAJAT (YB) berpegang teguh dengan kata-kata itu. Sungguh aku yakin kepadamu sahaja!

Yang benar,

– Muchtar H. (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *