Damai Ketika Sujud

Hidup ini penuh dengan pencarian. Tetapi apakah pencarian yang paling menyesakkan dada? Ketika kamu mencari jiwamu yang telah hilang. Ada, tetapi tiada.

Begitulah pencarian aku selama ini dan akhirnya pencarian itu bertitik di atas lembaran sejadah. Tenang, damai dan indah.

Aku membesar sebagai wanita berdikari. Melaksanakan banyak perkara dengan kudrat sendiri.

Kehilangan ibu dan bapa sewaktu aku di institut pengajian tinggi, benar-benar menguji. Ah, rebah juga. Dengan semangat yang masih bersisa, aku bangkit kerana tanggungjawab pada keluarga.

Si bongsu ketika itu, masih bersekolah lagi. Bagaimana mungkin seorang kakak hendak menjadi lemah sedangkan ada jiwa-jiwa yang perlu dititipkan dengan semangat perjuangan?

Tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya terpaksa aku ketepikan. Redha dan tiada sesalan. Aku yakin peluang masih ada di masa hadapan.

Pada ketika itu, mengemudi haluan keluarga adalah lebih utama.

Belum sempat luka kehilangan terubat, terjebak pula dengan cinta dan harapan untuk bersama hingga ke hari tua. Menanam janji dan sumpah setia, tetapi menuai luka dan air mata.

Punah akhirnya dengan kehadiran orang ketiga. Sakitnya rasa, tidak terungkap dengan pena dan air mata. “Tuhan, hijrahkanlah aku”.

Pintaku ketika itu. Belum sempat berhijrah, pintu hati diketuk lagi. Oleh si dia yang baik budi pekerti.

Belum juga sempat saling mengenali, Tuhan benar-benar hijrahkan aku ke sebuah tempat yang jauh. Seperti yang aku minta suatu ketika dulu. Jauh dan asing. Sunyi dan sepi.

Sepertinya Tuhan benar-benar mahu aku mulakan hidup yang baru. Baru. Semuanya baru. Tempat yang baru. Teman yang baru. Kerja yang baru. Suasana yang baru. Pengalaman yang baru.

Di sini Tuhan tiupkan hidayah. Di sini aku mencari erti hidup bertuhan. Aku mencari damai. Aku mencari tenang. Aku mencari sesuatu yang hilang.

Ya, seakan ada sesuatu yang hilang dan terhalang. Rasa yang tidak tenang. Ku dekati Tuhan tetapi seakan ada sesuatu yang menghalang.

Sempit, sisih dan tidak pulih. Maka aku renung kembali hidup yang aku jalani sehari-hari. Dan baru ku temui, yang terhalang itu adalah dosa pada Ilahi. Hubunganku dengan lelaki ajnabi.

Ya, bercinta itu seakan sesuatu yang dinormalisasi tetapi hakikatnya selagi tiada ikatan yang diredhai, maka tetaplah ia tidak dirahmati. Hubunganku dengan si dia sememangnya tidak jelas noktahnya.

Masing-masing mungkin hanya mengisi kekosongan di jiwa dan tidak bersedia.

Dengan sebuah tekad, setelah menyedari sebuah hakikat, maka terlerailah ikatan yang semenangnya tidak pernah diiktiraf dalam kalam Allah. Titik. Lerai. Punah dan berkecai.

Aku ingin mencari Allah. Aku mencari Dia yang telah lama aku tinggalkan. Aku ingin mengutamakanNya dalam segala hal.

Aku berlebih-lebih dalam mengiktiraf manusia sedangkan aku lalai mengiktiraf Pencipta manusia. Dan, Aku telah temui Dia pada malam-malamku.

Aku temui Dia dalam sujud-sujudku. Aku temui Dia di atas lembutnya sejadahku. Aku temui Dia dalam setiap denyutan nadiku. Aku temui Dia dalam hembusan nafasku.

Aku tidak mahu lagi kehilanganNya. Dia ada dalam tidur dan jagaku.

Tenang. Damai. Indahnya hidup bertuhan. Walaupun… Amalanku tidak mungkin akan sempurna. Hijrahku masih banyak lompongnya. Akhlakku adakala membawa luka.

Perkataanku kadangkala mengguris jiwa. Perbuatanku mungkin ada menyesakkan dada.

Namun, kerana aku ini manusia biasa, maka seiring dengan masa, aku akan terus mencari dan mencari, manusia-manusia, dan jalan-jalan yang membawaku ke Firdausi….

– Pencinta Kedamaian (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *