Dengki

Hari ni aku nak kongsi 1 pengalaman buat iktibar untuk kita semua. Temanya, Dengki. Orang yang ada perasaan dengki ni, dia takkan puas hati bila tengok kesenangan & kelebihan orang lain. Dia akan gembira bila orang tu hilang kelebihan atau hidup sengsara.

Suatu ketika dulu, ada seorang perempuan ni aku bagi nama dia Melur. Melur seorang yang cantik & pandai. Tutur kata dia lemah-lembut, nampak sopan saja. Tapi Melur ni ada 1 perangai yang mana dia tak boleh tengok orang yang lebih cantik, lebih pandai & lebih ramai peminat dari dia.

Mula-mula aku baik ja dengan Melur tapi Melur mula tak puas hati dengan aku bila mana aku tegur dia buat assignment sambil lewa & berkelakuan sumbang. Melur dengan bangga cerita dekat aku yang boyfriend dia sentuh dia dalam kereta. Mengucap panjang aku.

Aku kata kat dia, lelaki yang ikhlas & baik dengan kau takkan sentuh kau selagi kau belum halal untuk dia. Aku katakan boyfriend dia bukan lelaki yang baik & aku minta dia putus sebelum dara tergadai.

Aku sangka Melur mendengar nasihat aku tapi rupanya dia mula sakit hati dengan aku. Melur baik saja di depan aku tapi belakang aku, dia fitnah macam-macam sampai orang terdekat dia datang serang aku. Keselamatan aku terancam masa tu. Allah ja yang tahu betapa takutnya aku.

Mujur ada kawan-kawan aku yang mengintip senyap-senyap. Jadi diorang dah tahu perangai Melur. Tapi aku minta kawan-kawan aku buat biasa & simpan perkara ni antara kami saja. Aku takut kalau diorang pulak yang kena serang.

Masa ni aku belum nampak sikap sebenar Melur. Aku ingat dia sakit hati sebab mulut aku ni lantang sikit. Aku kalau orang buat kerja sambil lewa, aku memang naik angin.

Makanya aku pun berubah, cuba cakap baik-baik. Tegur orang dengan cara yang lebih baik. Aku minta maaf kat Melur, sentiasa jaga tutur kata & perlakuan supaya tak menyakitkan hati dia. Aku kira Melur ni hatinya sensitif sebab dia nampak lembut sangat.

Suatu hari, aku pergi ke bilik kawan aku (Teratai) sebab aku nak minta dia ajar aku buat 1 assignment. Aku nampak Melur tanya dia, “Assignment tu dah siap ke? Kalau dah siap nanti hantar kat aku ea.” Aku nampak muka Teratai macam takut & iyakan saja. Aku pun tanya la kenapa.

Teratai kata Melur selalu minta assignment dia untuk Melur tiru. Teratai terpaksa bagi sebab dia takut kena serang dengan geng Melur. Aku nasihatkan supaya dia bagi ja tapi assignment yang tak lengkap. Yang lengkap simpan tempat lain. Bila cikgu minta baru bagi yang lengkap tu. Sebab cikgu aku pernah tangkap diorang meniru sebelum ni.

Lepas dari tu, kawan aku (Kenanga) pulak tegur kesalahan Melur masa buat assignment. Kenanga ni aku tau dia baik sangat & lemah-lembut. Tapi teguran dia yang lembut tu pun Melur tak dapat terima. Lagi dahsyat Kenanga kena. Melur fitnah dia sampai boleh dikatakan hampir semua pelajar perempuan benci Kenanga.

Satu ketika Kenanga datang kata kat aku, “Kau percaya aku kan? Tolong la percaya aku. Semua orang dah benci aku. Aku tak buat pun yang macam Melur cakap. Aku tak tengking dia. Aku tak halau dia dari bilik aku.” Aku pernah dengar ada pelajar perempuan kata kat Kenanga, “Tak sangka ea orang yang nampak baik & pakai tudung labuh macam kau boleh buat kat Melur macam tu.”

Allah, luluh hati aku dengar tapi aku tak mampu nak menyangkal dakwaan tu secara terang-terangan. Takut aku jadi sasaran Melur sekali lagi. Selain kena fitnah, Melur pernah dengan sengaja tuang bahan kimia kat tangan aku. Muka dia selamba ja tengok aku cepat-cepat cuci tangan, mujur bukan asid. Kang tak pasal hilang sebelah tangan aku.

Aku, Teratai & Kenanga ada 1 kelebihan berbanding Melur. Kami sama-sama skor lebih tinggi dari dia dalam semua mata pelajaran. Bila saja aku sedar dengan perangai Melur yang cepat dengki dengan orang yang lebih dari dia, aku bertindak biar low profile.

Aku pakat dengan Teratai & Kenanga. Bila cakap dengan Melur, kita iyakan saja. Jangan bangkang. Jangan sangkal, jangan kata dia salah. Kalau dia tanya, cantik tak baju dia. Kata ja cantik. Sebab kami bertiga bukan orang senang. Kami harapan keluarga untuk belajar tinggi. So we need to survive until the end of our study.

Pada ketika ni aku rasa Melur adalah perempuan paling jahat yang aku pernah jumpa dalam hidup aku. Lepas habis belajar, aku putuskan semua hubungan dengan dia sebab aku dah tak nak rapat lagi dengan orang macam tu. Aku berdoa semoga aku tak jumpa lagi orang yang kuat dengkinya macam Melur. Aku pernah persoal kenapa Allah bagi aku jumpa Melur.

Tahun berganti tahun, hidup aku diuji dengan pelbagai dugaan tapi aku dah tak jumpa orang macam Melur. Namun, aku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Aku diuji pulak dengan mentua & ipar-ipar yang dengki terhadap aku. Aku dapat tahu diorang selalu stalk media sos**l aku lepas tu sakit hati & buat fitnah.

Sama macam Melur, depan aku lagak biasa tapi belakang aku, macam-macam tuduhan. Mereka bersangka buruk kemudian sebarkan seolah-olah aku terbukti buat perkara tu sedangkan bukan saja aku tak buat, aku tak pernah terfikir pun nak buat.

Suami aku minta aku block mereka semua di media sos**l aku. Dulu Melur sorang, sekarang lagi ramai klon melur dalam hidup aku. Terjawab sudah persoalan kenapa Allah bagi aku jumpa Melur. Sekurang-kurangnya aku ada pengalaman sikit dalam berurusan dengan orang yang dengki macam tu.

Aku buka & baca surah Yusuf, hasad dengki itu benar. Tak perlu hairan pun kenapa dalam kalangan ahli keluarga pun boleh dengki. Mak aku pesan baca ayat 81-82 surah Yunus setiap kali lepas solat maghrib untuk pelihara diri daripada sihir sebab orang bila dah dengki ni, kita tak boleh jangka apa yang dia sanggup buat untuk musnahkan hidup orang yang dia tak suka.

Boleh juga lazimi Surah An-Nas untuk minta perlindungan Allah daripada perbuatan orang yang berhasad dengki. Aku percaya tak ada siapa pun yang boleh bagi mudarat pada diri kita tanpa izin Allah.

Aku tak benci diorang yang dah berbuat jahat kat aku malah aku & suami sentiasa doakan semoga Allah bagi hidayah pada diorang. Kesian bila tengok diorang beribadah tapi lepas tu fitnah orang sebab dengki hingga memutuskan silaturrahim sesama ahli keluarga.

Abu Hurairah r.a berkata, sabda Nabi s.a.w:

Awaslah kamu daripada dengki (hasad) kerana hasad itu akan memakan semua amal kebaikan sebagaimana api memakan kayu atau rumput.

Hadis riwayat Abu Dawud.

Semoga kita terpelihara dari sifat dengki yang boleh memusnahkan semua amal kebaikan kita. Kecantikan, kepandaian & kemahsyuran, semuanya datang dari Allah. Semua yang kita ada, semua Allah punya. Allah boleh bagi & Dia boleh ambil balik bila-bila masa.

– Seroja (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit