Depresi atau Derhaka II

Untuk part I, (https://iiumc.com/depresi-atau-derhaka/).

Assalamualaikum admin dan pembaca IIUM Confession. Terima kasih admin kerana sudi siarkan luahan aku yang lalu. Sudah berbulan juga sejak luahan yang lepas. Terima kasih atas semua pandangan dan nasihat serta semangat dan doa yang kalian titipkan.

Aku baca semua komen kalian. Terima kasih sangat-sangat. Aku kembali menulis hari ini dengan rasa kecewa yang menggunung dalam hati aku. Dan aku harap juga luahan ini dapat memberi nasihat kepada sesiapa yang berkenaan.

Adik lelaki ku masih begitu. Malah makin jauh tersasar. Solatnya pun aku tak pasti dia masih lakukan atau tidak. Cuma satu yang baiknya, dia sudah tidak mengharapkan duit ibu. Dia sudah berkerja di warung kepunyaan rakannya.

Tapi dia masih duduk serumah dengan ibu dan aku pasti dia takkan keluar dari rumah ibu. Aku ajak ibu duduk denganku sementara waktu dan sewakan rumah yang ada sekarang supaya adikku berhenti membuat ibu terasa hati (kerana dia masih tidak pernah menegur ibu).

Tapi ibu menolak dengan ayat “kalau ibu pindah, mana adik kau nak pergi? Dia bukan ada duit tu. Egonya sahaja yang banyak. Duitnya tiada.

Kalau anak-anak ibu nak tinggalkan ibu, tinggalkanlah. Tapi ibu takkan tinggalkan anak-anak ibu”. Sejujurnya aku kecewa. Ibu masih nak tanggung makan dan tempat tinggal adikku. Adikku pula masih tak sedar diri.

Kecewanya aku sehingga aku tak mahu balas wassap ibu dan angkat call ibu pada hari tersebut. Tapi mujurlah Allah sedarkan aku. “takkan lah kerana adik yang memang sudah derhaka tu, aku pun nak jadi derhaka?”

Aku terus whatsapp ibu mintak maaf. Haihh. Sungguh niatku untuk mengajar adikku. Tapi ibu tak berhenti kata:

“Jangan berhenti doa. Ibu sentiasa maafkan dia. Dia cuma tersasar sekejap. Nanti dia akan sedar. Kalau tak tahun ni, tahun depan. Kalau tak tahun depan, bila-bila la Allah nak bagi dia sedar. Ni kifarah dosa-dosa ibu dulu.

Allah sedang uji ibu. Ibu pendosa dulu. Masa ibu jahil dulu, anak-anak ibu tak pernah tinggalkan ibu. Takkan bila anak yang ibu kandung buat silap sekali ni dalam hidup dia, ibu nak buang dia?”

Allahu… menangis aku. Betul, ibu pernah buat silap dulu. Tapi ketika itu, baik atau buruk ibu, ibu tetap ibu kami. Satu-satunya yang kami ada. Bertahun-tahun ibu lalai dan leka dan alhamdulillah kini ibu jadi lebih baik.

Aku tak pasti jika kejahilan ibu yang dulu yang dijadikan modal oleh adikku untuk dia berkelakuan seperti sekarang. Bagi aku, hidup kita sekarang adalah pilihan kita. Masa lalu kita adalah pengajaran untuk diri kita.

Kita tak boleh salahkan masa lalu kita atas pilihan yang kita buat sekarang. Kalau kita pilih untuk derhaka, itu pilihan kita. Betul kan? Atau aku silap?

Berbalik pada adik lelakiku dan gadis pilihannya. Beberapa minggu yang lalu, kami dapat tahu yang gadis kesayangannya telah berkahwin dengan orang lain. Lucu kan?

Melihat gambar gadis tu atas pelamin bergelak ketawa dengan orang lain buat aku rasa pedih sangat. Kenapa?

Kerana hendak menikahi gadis itu, adikku yang tidak pernah melawan kata ibu, adikku yang sangat rapat denganku, sangat manja denganku, adikku yang menjadi harapan ibu, hilang dari keluarga kami.

Selepas dia menagih simpati adikku dengan cerita-cerita buruk tentang keluarganya sehingga adikku jadi orang yang hilang pertimbangan, dia akhirnya menikahi orang lain tanpa rasa bersalah.

Dan adikku masih b***h menyalahkan kami, katanya kalau kami terima gadis itu, dia sudah berkahwin dengan gadis itu dan sudah bahagia bersama. Gadis itu tinggalkannya kerana kami tidak restu.

Tapi tau tak apa yang paling melucukan? Ketika dia hendak tinggalkan adikku, dia masih membuat cerita sedih, “kakak & abang i tak bagi i makan”, “kakak & abang i tak pedulikan i”, “i nak pergi kerja tapi takde transport”.

Cerita-cerita sedih dia ni, buatkan adikku simpati dan menghulurkan duit bulanan kepada dia setiap bulan!!! Bukan sedikit, paling kurang pun RM800 setiap bulan. Patutlah adikku sentiasa kesempitan duit. Motornya pula diberikan pada gadis itu untuk dipakai pergi kerja.

Tapi sebabkan Allah nak tunjuk, motor tu accident ketika gadis itu guna dan tersadai di bengkel sehingga sekarang. Gadis tu sedikit pun tidak mahu bertanggungjawab. Apatah lagi mahu datang ke rumah minta maaf dengan ibu dan keluarga kami.

Sebaliknya membina rumah tangga dengan orang lain setelah meletakkan racun dalam keluarga kami. Macam mana aku tahu tentang semua ni? Aku baca sendiri whatsapp telefon adikku.

Kenapa aku marah sangat? Sebab sudah beberapa kali juga aku contact dengan gadis itu. Bercakap dengan baik. Tak pernah marah. Malah aku katakan, kalau nak kahwin, aku akan uruskan. Aku pun taknak adikku terus menderhaka.

Tapi jawapannya padaku “saya tak boleh kawin lagi kak buat masa sekarang dan saya sendiri tak pernah terfikir untuk kahwin”. Tapi selang beberapa minggu selepas itu, aku dapat gambar perkahwinan dia, melalui IG dia.

Dan ketika itu, dia masih menerima duit bulanan dari adik aku. Aku rasa dia tak tahu yang aku selalu stalk IG dia. Hebat kan. Ya. Aku tahu aku tak boleh salahkan gadis itu 100% atas kebodohan adik aku sendiri.

Percayalah, aku sedang didik hati untuk redha. Tapi sangat-sangat berat. Adik aku, yang sangat-sangat rapat dengan aku, hilang sekelip mata. Tinggal jasad jek. Adik aku yang sebelum ni marah bila aku mencarut, sekarang ni carutkan aku.

Adik aku yang selama ni datang ke riba aku, “kak.. Tolong korekkan telinga..”, “kak, tolong masakkan ni”, “kak, tolong picit jerawat” dan macam-macam lagi permintaan dia. Adik aku yang ni dah tiada.

Sebab buta dengan cinta. Adik aku tahu tak yang gadis dia sudah berkahwin? Ya dia tahu selepas beberapa hari dan reaksinya? Menyalahkan kami.

Adik aku juga burukkan kami di media sosial. Mengatakan keluarga dia tak pedulikan dia dan perlakukan dia seperti anak pungut. Dia juga ada mengatakan yang dia berasal dari keluarga toksid. Bila ditegur, “semakla” katanya.

Aku dapat simpulkan yang cintanya yang begitu mendalam pada gadis itu membuatkan dia mengaplikasikan kisah keluarga gadis itu (yang tak tahu la betul atau tak) kedalam keluarga dia sendiri. Hahahaha.

Adikku begitu menghayati kisah sedih gadis kesayangannya. Aku tak pasti apa lagi yang dia burukkan kami pada orang luar.

Nasihatku pada mana-mana gadis, kalau ada kenal mana-mana lelaki yang burukkan keluarga sendiri, janganlah percaya 100%. Siasat dan selidik dulu. Jumpa keluarganya. Aku sendiri buntu sekarang. Dari komen-komen yang lepas, ramai yang cakap, “kalau adik aku ni, lama dah kena”.

Percayalah, aku memang nak sangat bagi penampar sekali dua. Tapi memikirkan ibu yang akan sedih nanti, aku tahankan saja la. Kami membesar tanpa rotan.

Kami tak pernah dirotan. Sebab jegilan mata ibu sahaja sudah cukup menakutkan kami. Hahahaha. Lain orang, lain caranya kan?

Ada yang bertanya, adik beradik tiriku tinggal dimana? Adik beradik tiriku tinggal di rumah papa. Dalam sebulan, 2 minggu ibu akan duduk rumah papa, luangkan masa dengan anak-anak papa. Mereka masih baik dengan ibu.

Mereka lebih kisahkan ibu berbanding anak lelaki ibu. Malah mereka banyak marah adikku sebab berkelakuan seperti orang tidak bertamadun dengan ibu. Ibu ambil keputusan untuk bersara awal untuk jaga bisnes papa bersama anak-anak papa.

Bagi ibu, anak-anak papa umpama anak-anak dia juga. Kami juga punyai hubungan yang baik setakat ni alhamdulillah. Bisnes papa agak merudum kini dan ibu banyak gunakan duit pencennya untuk selamatkan bisnes papa. Doakan ibu dan bisnes arwah papa ya.

Aku tak pasti apa lagi yang boleh dilakukan. Kadang kala aku terfikir, aku yang salah ke? Sebab bila dia masih mampu bercakap dengan aku dulu, aku selalu katakan “solatlah dik. Adik tau adik dah derhaka kan? Solatlah. Supaya adik dapat petunjuk.

Sampai masa nanti, kalau betul dia jodoh adik, ibu akan terima”. Tu ayat yang aku selalu keluarkan. Aku salah ke? Entahlah. Mungkin tak cukup atau mungkin ayat-ayatku salah.

Atau mungkin aku tak cukup memberi semangat. Atau entahlah. Yang pasti, Allah sedang menguji kami. Terima kasih pembaca semua atas segala nasihat dan doa. Aku hargai sangat. Doakan kami ya. :)

– Kakak (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit