Dia Yang Ku Jadikan Suami

Assalamualaikum. Terima kasih admin jika siarkan. Hanya ingin berkongsi cerita. Maaf jika penulisan tidak menarik dan sedikit panjang.

Bismillah. Namaku Mia berumur 30-an. Ketika usia mencecah angka tiga aku berhijrah, merantau, membawa diri ke tempat asing, tempat yang tiada siapa yang kenal diri aku ni saja ingin mengelak dari di asak tentang soal jodoh. Rimas.

Di tempat serba asing ni la aku mulakan perjalanan hidup baru. Bermula dari bawah. Bekerja biasa-biasa sahaja walaupun dulu kerja berpangkat tinggi dan bergaji lumayan, tapi aku tak kisah, aku bahagia walaupun kat sini kerja macam nak meninggal.

Lebih seronok bila berkenalan dengan ramai kawan-kawan baru. Dalam ramai-ramai kawan ada seorang lelaki yang aku ingin ceritakan iaitu Aqil.

Aqil dan aku bekerja di company yang sama. Masih muda, linkungan usia pertengahan 20-an. Sudah agak lama bekerja di sini.

Aku tak berapa rapat dengan Aqil di sebabkan kerja di bahagian berlainan dan waktu shift berbeza. Tapi kami mempunyai kelompok kawan-kawan yang sama. Bagi aku dia agak sombong dan kasar jadi perbualan aku dengan dia takat hi hello ok bye.

Enam bulan kemudian….

Di jadikan al kisahnya, suatu hari bos umum ada rombakkan cara kerja, secara tak langsung aku di ‘partner’ kan dengan Aqil. Dia mentor dan aku pulak ‘side kick’ dia. Waktu bekerja memang dia teliti,tegas, garang, dan tak ada rasa simpati walaupun aku perempuan.

Tempat kerja ni memerlukan fizikal yang kuat di sebabkan itu hanya aku sahaja perempuan di sini, yang lain-lain adalah lelaki. Kadang-kadang dia panggil aku oii-oii, hey hey saja.

Dia tak tahu yang aku ni jauh lebih tua dari dia sebab bila di tanya soal umur aku bagitahu aku berusia 26 tahun. Jadi ramai yang tak tahu usia sebenar aku. Aku nampak muda sebab aku rendah dan kawan-kawan pulak semuanya muda.

Sebulan kemudian……….

Pagi yang indah sekali, Aqil tiba-tiba ajak aku sarapan, kami baru selesai kerja shift malam masa tu. Aku fikir oklah kerja pun dah penat, perut pun lapar, kaki pun dah menggigil.

Kebiasaannya selepas kerja kami akan lepak makan ramai-ramai. Tapi kali ni aku dengan Aqil berdua je sebab yang lain-lain ada hal. First time keluar berdua dengan dia, tapi tak kisahlah.

Siap order, kami start makan, tapi aku rasa pelik sebab dia banyak diam mungkin tak ada topik nak bercerita sebab kami tak pernah borak tentang hal diri masing-masing. Hubungan ‘strictly professional’ je sebelum ni.

Saja untuk hilangkan rasa janggal aku bercerita itu ini, dia pulak kadang-kadang senyum dan kadang-kadang tekun pandang. Tengah aku rancak bercerita tiba-tiba dia tanya……

“Kau nak kawin dengan aku tak??” Bila fikir balik dan macam versi slow motion dalam drama pulak. Nak tersembur makanan dalam mulut aku time tu.

Terus aku pandang dia, tembak tepat, aku tanya kau gila ke apa?? Dia senyum lagi. Aku tanya lagi apa yang dia tahu pasal diri aku. Dia pandang je. Umur aku?? Family aku?? Asal aku?? Semua dia geleng.

Langsung tak tahu apa-apa. Bahkan nama sebenar aku pun dia tak tahu. Aku tanya dia habis tu macam mana boleh terfikir untuk kawin dengan aku. Dia hanya jawab dia suka cara aku bekerja dengan dia.

Aku gelak. Betul-betul gelak sebab tak tahu nak jawab apa. Dia kata “takpe, kau fikirlah dulu, kalau kau setuju kau bagitau, kalau tak nak pun aku ok je”. Aikk!! Macam tu pulak.

Di rumah, aku call “mutual friends” kami. Aku ceritakan apa yang terjadi. Majoriti menyokong. Ramai yang mengundi setuju dengan bermacam hujah positif. Tak ada siapa yang heran tentang faktor usia aku yang jauh beza dengan dia. Satu malam aku tak tidur memikirkan hal ni.

Sebenarnya ini bukan kali pertama aku di lamar orang. Berusia senja ni macam-macam lamaran yang aku terima, dari yang kaya yang miskin, yang bujang dan lebih banyak suami orang.

Biasanya aku biarkan saja, tak ambil peduli sebab masih belum terbuka pintu hati nak menamatkan zaman bujang. Bahagia sendiri. Lagipun yang melamar tu banyak yang mengarut saja. Tapi kali ni terasa lain. Aku ambil peduli untuk fikir.

Esoknya….

Selepas habis waktu kerja aku ajak aqil bersembang. Aku ceritakan sedikit sebanyak hal diri aku. Umur aku yang sebenarnya dan lain-lain. Dia agak terkejut bila tahu umur aku yang sebenar, tapi dia tak kisah. Aku katakan pada dia kalau family dia setuju, aku sanggup.

Mesti ramai yang fikir, macam tu je?? Sebenarnya sejak aku membawa diri, aku banyak berdoa soal jodoh. Fikir mungkin sudah tiba masa nya.

Semasa bulan puasa tahun tu tiap-tiap malam aku berdoa tentang jodoh. Aku tak suka bercinta dan setiap kali aku berdoa aku niatkan beberapa perkara spesifik yang mahu bila di pertemukan jodoh.

Selepas tu, kami berbincang dengan keluarga masing-masing. Dua-dua tak ada halangan. Family dia percaya pada dia untuk buat keputusan hidup sebab dari usia muda dia sudah pandai berdikari.

Family aku pulak jenis tak kisah lantak lah sebab usia aku dah kertu. Lagipun mak ayah aku dah lama meninggal, adik beradik aku malas nak layan aku sangat dah, asal aku bahagia sudah.

Percaya atau tidak, aku kawin dengan si Aqil sebulan selepas dia melamar. Dia yang pilih tarikh. Urusan nikah semuanya sangat mudah. Tersangatlah mudah. Aqil yang uruskan A-Z. Sebenarnya sebelum dia ajak aku kawin dia dah plan siap-siap.

Hantaran? Aku tak mintak apa-apa, hanya cincin sebentuk cincin emas. Majlis perkahwinan kami simple sangat. Tak ada pelamin, tak ada baju pengantin gah-gah.

Hanya jubah dan purdah ringkas. Aku yang bertegas mahukan majlis begitu. Jemputan hanya orang-orang terdekat saja.

Namun makanan kami sediakan agak meriah. Itupun ramai yang sponsor dan bantu. Syukur sangat. Memang dari dulu lagi aku mahukan majlis yang simple saja.

Selepas kawin, time ni la sebenarnya baru nak tahu suami ni macam mana. Sebelum ni tak kenal pun, lepas kawin ni la baru nak ambik tahu.

Alhamdulillah, Suami aku ni sebenarnya sangat romantik. Depan orang je nampak kasar-kasar tapi bila berdua dia romantik. Kadang-kadang dia sengaja buli aku depan kawan-kawan, aku layankan jela sebab aku tahu dia mengusik.

Kawan-kawan pulak geram je tengok aku kena buli. Perkara paling susah nak tukar ialah bahasa panggilan.

Sebelum kawin aku kau, lepas kawin nak bersayang-sayang rasa janggal. So senang aku panggil dia nama jela. lagipun kawan-kawan suka mengusik kami.

Paling aku suka dia teliti dan pembersih. Time duduk rumah habis semua dia sapu dia lap. Bab kemas rumah basuh pinggan, basuh baju semua dia uruskan. Bab makan je dia nak aku masakkan. Aku bagi dia telur dengan kicap pun dia dah happy.

Kicap tu wajib, tak boleh tinggal. Walaupun dia jauh lebih muda, tapi sebabkan sikap dia yang tegas buat aku lebih senang ikut cakap dia.

Banyak lagi kelebihan dia yang aku nampak selepas kami kawin tapi aku malas nak puji lebih-lebih. Kang riak pulak. Dia pun bukan sempurna, ada jugak kekurangannya.

Walaupun aku dengan suami bahagia dalam bersederhana, namun macam-macam juga ujian yang kami hadapi. Semoga kami melaluinya dengan tenang. Tapi kalau sambung cerita bab ujian takut tiga episode pun tak habis lagi. Cukup la aku cerita sampai sini.

Doakan aku dan suami kekal bahagia. Terima kasih Allah kerana jadikan dia suamiku walaupun jodohku sedikit lewat. Terima kasih juga untuk yang sudi baca walaupun panjang berjela.

– Mia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit