Dia Yang Obses Dengan Kerjaya

Assalamualaikum wbt. Salam sejahtera buat readers yang aku yakin menjadikan page ni sebagai bacaan santai sekali gus mendapatkan sebarang idea dan pedoman daripada coretan pelbagai isu yang telah disiarkan.

Aku pun begitu, sesekali aku meletakkan diri aku sebagai confessor dalam mana-mana kisah yang aku rasa dekat dengan aku. Tetapi, sekarang aku tergerak hati menulis confession ni selepas membaca coretan rakan-rakan confessor mengenai wanita atau isteri yang bekerjaya.

Boleh aku katakan, link-link ini, https://iiumc.com/kalau-isteri-bekerja/https://iiumc.com/untuk-confessor-isteri-bekerjaya/, dan https://iiumc.com/isteri-yang-bekerjaya/, menjadi panduan untuk aku coretkan kisah aku yang sedang bingung dengan kedegilan isteriku, Yully yang obsess dengan kerjayanya.

Umurnya baru mencecah tiga puluhan. Penampilan tidaklah menarik sangat sebab dia jenis bertudung litup dan lebih gemar berpakaian rona gelap. Karektor dia tidaklah juga seperti perempuan Melayu terakhir. Err, tapi aku jatuh cinta dengan dia atas sebab lain yang tak boleh aku kongsikan di sini. Apa yang pasti, kami sekufu.

Aku teruskan lagi, Yully seorang yang sangat aktif dan komited dengan kerjayanya di sebuah organisasi yang dikenali ramai dalam bidang perkhidmatan.

Rata-rata orang atasan dan staf di tempat kerjanya mengakui dia seorang kakitangan yang bagus. Dia sangat suka belajar sesuatu yang baru sehingga sanggup terima pelbagai projek yang pada masa yang sama mampu melonjakkan namanya dalam kalangan klien yang menerima perkhidmatan syarikat mereka.

Memang aku tahu Yully sangat hebat dengan kerjayanya. Kebetulan, jodoh kami dipertemukan dalam sebuah projek antara syarikatnya dengan organisasi aku. Bukan saja aku menyenangi dengan cara kerjayanya mengendalikan urusan kami, tetapi dia juga professional dalam menjalankan tugas tanpa melibatkan emosi dan hal ehwal bersifat peribadi.

Walau pun kadang-kadang wujud konflik dalam hubungan kami, dia tetap meneruskan khidmatnya. Aku gelarkannya The Iron Lady. Dia tergelak, tetapi aku tahu, dia berbangga dengan gelaran itu..

Dek kerana sibuknya Yully dengan kerja di pejabat dan sering outstation, kesihatannya sering diabaikan. Kerap juga balik rumah mengadu stress. Aku pula memang jenis suka mendengar cerita dia kalau dia stress. Aku layankan saja walau pun dalam hati, ‘awak resign jelah’.

Mana taknya, demam dan batuk bukan perkara besar yang dia ambil peduli. Dia tega bekerja daripada ambil mc. Gayanya, kalau dia tak ada di office, boleh lingkup syarikat kot. Biasanya, bila dia stress, kami ambil cuti melancong sekitar dalam negara. Keluar negara pernah sekali setakat ni lantaran dia sangat sibuk dengan kerjanya. Nak cuti lama-lama dia bimbang kerja tertangguh banyak.

Itu belum lagi aku sebut pasal pengurusan rumah tangga. Alhamdulillah, tiga tahun berkahwin jarang kami bertikam lidah. Seperti biasa, aku lebih suka mendengar daripada bercakap. Kalau aku tak setuju pun aku diam. Tapi aku bukan takut bini. Pada aku selagi tindakan dia tidak bertentangan dengan agama, aku malas nak cari gaduh.

Dia penat nak masak? Aku ok je masak apa yang dia nak. Dia tak lipat baju bertimbun? Ada masa aku buat, kalau tak biarlah bertimbun. Tapi syukur, dia bukan jenis suka rumah bersepah. Kalau aku tak buat, memang dia yang akan buat daripada ruang tamu, sampai ke dapur dan toilet.

Dalam pada aku fikir dia pentingkan kerjaya, dia sebenarnya tak kurang hebat mengurus rumah tangga. Memang dia tangkas sekali pun penat. Bila penat mulalah minta aku urut-urut badannya. Aku sangat-sangat tak faham dengan tahap kedegilannya dalam soal kerjaya.

Aku sebenarnya kesian sangat dengan Yully. Sibuknya dia macamlah bos besar walau pun bukan bos besar, sekadar ketua unit je pun. Bila aku minta dia steady dan tidak rushing macam esok nak kiamat, dia kata pekerja swasta memang macam ni. Kena selalu kejar KPI dan tunjuk komitmen yang tinggi. Sekali pun zahirnya dia cekal, tetapi hatinya kadang-kadang rapuh.

Kalau ada projek gagal, dia menangis depan aku. Sudahlah gagal, kena marah dengan bos pun satu hal. Tapi dia tak serik-serik. Aku cadangkan dia berhenti kerja, dia marah aku pula. Macam-macam alasan diberi selain menuduh aku cemburu dengan kecemerlangannya. Memang pun, dia pernah dapat anugerah atas kecemerlangannya.

Aku tak hairan pun sebab aku pun dapat APC dalam tempoh lima tahun service. Kalau nak kata aku tak komited dengan kerja, aku pun tak kurang juga sibuknya. Cuma mungkin betul dia kata, kerja private tak sama dengan sector kerajaan. Tak mahu aku membanding-bandingkan kerja. Wallahu a’lam.

Apapun, aku bukan suka-suka mencadangkan begitu. Kalau dia berhenti kerja, insya-Allah aku mampu menanggungnya. Lebih-lebih lagi, setakat ni kami belum dikurniakan zuriat. Gaji aku pun lebih dua kali ganda daripada dia. Kelayakan akademik aku lebih tinggi daripada dia yang berdegree luar negara.

Bukan ke bagus kalau dia relax di rumah sambil buat apa yang dia suka sebagai hobi. Dia pun memang suka menjahit. Kalau tak pun, dia boleh je sertai kursus-kursus jangka pendek mengikut bidang yang dia minat atau hadiri kelas-kelas pengajian agama.

Selama ni aku perhatikan, soal-soal akhirat jarang dia ambil berat walau pun cukup lima waktu solat fardhunya. Aku pun bukanlah pandai sangat. Tapi Alhamdulillah, kadang-kadang dapatlah aku luangkan masa dengar kuliahmaghrib atau subuh di masjid rumah aku. Kalau tak dapat banayka pun, adalah sikit kadang-kadang aku kongsikan dengan Yully.

Apa pun, pada aku Yully tak ada point untuk argue permintaan aku supaya dia tidak bekerja. Malah, sering juga dia mengungkit janji aku untuk membenarkan dia bekerja agar dia ada pendapatan sendiri sebelum kami bernikah. Ya, aku tahu, tetapi masa tu aku tak tahu situasinya adalah begini.

Katanya lagi, dia bercadang nak sambung belajar lagi dah tentu perlukan duit. Nak bagi duit pada mak ayah di kampung pun ya juga. Adik-beradik dia ramai lelaki, tapi dia rasakan dia perlu sama-sama menanggung ibu ayah dia yang tidak lagi bekerja. Akhirnya aku mengalah juga lantaran dia rasa dia mampu hadapi segala rintangan kerjaya dia. Ah, suka hati awaklah, Yully.

Namun, baru-baru ni, Utusan Melayu gulung tikar kan. Balik rumah dia menangis-nagis kerana stress. Eh, dia bukan kakitangan Utusan yang dibuang kerja. Malah, di Malaysia ni bukan Utusan saja syarikat yang bermasalah. Banyak syarikat yang dulunya gah dah gulung tikar atau diambil alih oleh pihak lain.

Malah, banyak lagi syarikat yang berada di hujung tanduk nasibnya waktu ini termasuklah syarikat Yully. Faktorya tak perlulah aku menyebutnya, nanti jadi isu pula. Kalau dia tak cerita pun aku memang tahu. Kementerian aku pun dah tiada lagi projek dengan syarikat dia.

Sekali lagi aku sarankan Yully fikirkan cadangan aku sebelum ni untuk dia berhenti kerja. Dia dengan keras hatinya berazam mahu berkhidmat ke hari terakhir jika betul-betul syarikatnya itu bakal gulung tikar. Walhal, division dia daripada 12 dah tinggal 7 orang disebabkan syarikat gagal membayar gaji mereka on-time. Tak tahulah apa lagi yang ditunggu oleh Yully dan puluhan staff syarikat tersebut. Gamaknya nak tunggu skim VSS baru nak berhenti.

Pada aku, kalaulah Yully tak nak berstatus suri rumah dengan alasan dia lulusan luar negara, boleh saja dia cari kerja lain yang lebih establish. Pengalaman dia banyak. Sudah banyak projek dia handle. Aku tak menghalang pun dia nak bekerja, tetapi aku tak nak dia menangis kerana stress dengan kerja lagi.

Bimbang juga kalau dia sakit mental kalau dibiarkan sebab kerja swasta ni overload tu biasalah. Kadang-kadang jatuh sakit dia buat tak peduli. Doktor bagi mc tiga hari dia singgah juga office setelkan kerja. Yang paling aku tak tahan, kadang-kadang Sabtu Ahad pun dia bekerja sampaikan jarang kami dapat balik kampung kedua-dua belah family. Kenduri saudara-mara memang dah jarang pergi.

Semalam sempat balik kampung, ayah dia minta aku slow talk dengan Yully untuk tinggalkan syarikat dia berkhidmat sekarang. Pak mentua aku tu bukan orang kampung biasa-biasa. Dia pun bekas pekerja swasta tapi syarikat yang establishlah. Dah pencen baru balik kampung.

Kata ayahnya, kalau nak bertukar tempat kerja tu bertukarlah sekarang sebelum apa-apa perkara yang tidak diingini berlaku. Katanya, kalau nak bertukar bila umur dah 40 tahun, tiada siapa pun nak ambil bekerja. Dia siap nasihatkan aku lagi supaya berpindah daripada bandaraya ke kawasan pinggiran kota sebab memahami kos sara hidup kami di KL yang tinggi.

Alhamdulillah, aku memang pun dah beli rumah di area luar KL untuk persediaan pencen 20 tahun lagi. Tapi mengenangkan Yully yang buat office tu macam rumah kedua dia, maka rumah yang kami sewa ni dalam kawasan yang sama dengan officenya.

Memang kalau dia balik malam pun aku tak risau. Hanya aku yang rela bekerja jauh sikit daripada rumah ni demi keselesaan dia. Dan bayangkanlah, hutang rumah aku bayar, sewa rumah pun aku bayar. Keperluan rumah lagi belum kira. Gaji 6-7k pun rasa macam air yang mengalir. Allahu rabbi.

Sungguh, aku tak anti pun dengan wanita bekerjaya. Banyak ruang dan bidang yang memerlukan wanita berada di situ. Namun, sama seperti kebanyakan suami, aku mahukan Yully menjadi penyejuk mata hati waktu aku pulang kepenatan daripada bekerja. Tetapi apa yang berlaku, seringkali aku yang menyambut kepulangannya walau pun officenya dalam area perumahan kami.

Hari-hari aku berdoa supaya rumah tangga kami harmoni. Setiap kali watu solat memang kalau boleh kami berjemaah kerana hanya waktu ini kami dapat bersama-sama. Lepas solat dan makan semua, kami buat kerja masing-masing kalau tak terus tidur.

Kalau boleh aku mohon pandangan, adakah wajar aku berkeras untuk memintannya berhenti kerja sekarang? Atau terus membiarkan dia obsess dengan kerjayanya separuh mati?

Bagaimana pun persepsi kalian tentang kisah aku ni, aku harapkan doa kebahagian kalian untuk kami. Dan kepada para isteri yang bekerjaya, tahniah buat anda yang mampu mengatasi kemelut di tempat kerja dan rumah tangga pada waktu yang sama. Insya-Allah.

– Aku Yang Penyabar (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *