Diceraikan Talak Tiga Semasa Mengandung

Assalamualaikum dan salam sejahtera, para pembaca IIUM Confession.

Ini merupakan penulisan aku yang pertama dihantar di sini untuk disiarkan. Jika ia diterbitkan, aku harap cerita yang bakal aku sampaikan ni menjadi pengajaran kepada semua wanita di luar sana; hargailah pasangan masing-masing.

Dan kepada yang nak berkahwin, pilih bakal suami yang betul-betul baik. Bukan apa, takut menyesal di kemudian hari.

Nama aku Eusoffe, dan aku bukan watak utama dalam cerita ini. Anggap saja aku seorang narator. Nak dijadikan cerita, aku punyai seorang kakak yang bernama Niki (bukan nama sebenar).

Orangnya cantik, tak dinafikan dan berusia awal 30-an. Kalau di kampung dulu, ramai lelaki yang pasang mata pada dia, termasuklah suami orang. Dan aku percaya, sekarang pun masih ada suami orang yang berminat dengan dia. Tunggu aku cerita selanjutnya.

Niki tamatkan zaman bujangnya seawal umur 20 tahun. Waktu itu dia dah ada seorang anak yang dilahirkan tanpa nasab. Bagi aku, Niki beruntung sebab masih ada lelaki yang nakkan dia dan boleh jaga anak tirinya macam anak kandung sendiri.

Lebih beruntung, lelaki yang diberi nama Ilham (bukan nama sebenar) bekerja dalam sektor kerajaan dan merupakan anak Felda. Dah tentu kehidupan Niki dan anaknya lebih terjamin.

Ilham baik orangnya dan pandai memasak. Sepanjang perkahwinan, mereka dikurniakan lima cahaya mata (enam termasuk anak sulung Niki).

Lepas pencen, walaupun sambung bekerja di sektor swasta, Ilham tak pernah bermalas-malasan dan mengharap isteri untuk buat semua kerja di rumah. Setiap kali balik makan tengahari, dia selalu tolong Niki masak dan uruskan anak-anak.

Tapi biasalah manusia, kalau ada kelebihan mesti ada kekurangan. Walaupun Ilham baik dan rajin, tapi dia kedekut sikit dalam bab perbelanjaan. Bukanlah kedekut sampai keluarganya tak cukup makan, tapi kehendak Niki yang tak ditunaikan.

Bagi aku, apalah salahnya belikan barang kemas atau beg tangan berjenama untuk isteri sendiri, bukannya selalu. Tapi ini tidak, emas kahwin Niki pun Ilham pernah gadaikan sebab kononnya tak cukup wang perbelanjaan.

Oleh sebab Niki pun ada kehendak sendiri, dia ambil keputusan untuk berniaga atas talian. Duit hasil jadi ejen untuk macam-macam jenama dihabiskan untuk beli beg tangan, alat mekap, dan lain-lain.

Sekurang-kurangnya Niki ada pendapatan sendiri dan boleh tunaikan keinginan. Well, this is when the story gets interesting…

Suatu hari, Niki kenal seseorang daripada tempat kerja dia. Ya, walaupun kerja atas talian, tapi majikan dia selalu buat bengkel dan kursus di hotel-hotel seluruh negara.

Mungkin sebab Niki dah tak tahan dengan perangai Ilham yang kedekut, dia ambil keputusan untuk berkenalan secara serius dengan lelaki tu, Fazli (bukan nama sebenar).

Fazli ni pun ada sialnya juga. Dia suami orang dan katanya dalam proses nak berpisah dengan isterinya. Dalam masa yang sama, Fazli yakinkan Niki untuk minta cerai daripada Ilham, kononnya nak jadikan Niki isteri yang sah lepas Niki menjanda.

Dipendekkan cerita, Niki yang dah bercerai talak satu dengan Ilham, ditinggalkan pula oleh Fazli si celaka yang sebenarnya isteri tengah sarat mengandung. Semuanya dah jelas… Fazli berfoya-foya dengan Niki sewaktu isterinya tengah menunggu hari untuk lahirkan anak.

Niki yang dah menjanda dan ditinggalkan pula oleh Fazli, terpaksa berpindah ke negeri yang sama dengan keluarga kami. Nasib baiklah waktu itu Niki masih ada pendapatan.

Jadi, dia menyewa rumah dekat dengan rumah keluarga kami. Sekurang-kurangnya, aku boleh tolong hantarkan dia ke mana-mana.

Tempoh menjanda Niki tak lama, dalam masa setahun, dia berkahwin dengan Aizal (bukan nama sebenar). Aizal bekerja sebagai sekuriti, jadi kehidupannya tidaklah mewah. Oh, ya. Aizal ialah duda anak dua. Tapi kedua-dua anaknya, bekas isteri yang jaga.

Sewaktu mula perkenalan, Aizal dilihat sebagai seorang lelaki yang lemah-lembut. Sebelum berkahwin pun, Aizal yang bereya nak dirikan rumah tangga dengan Niki, katanya nak bina keluarga sendiri di sini (Aizal berasal dari negeri luar).

Selepas hanya beberapa bulan berkenalan, mereka diijab kabulkan. Mesti korang fikir cerita ni ada ‘happy ending’, kan?

Kisah yang akan diceritakan lepas ni akan jadi lebih menarik. Siapa yang ceraikan Niki dengan talak tiga? Aizal atau lelaki selepas Aizal? Apa jadi dengan anak dalam kandungan?

Bersambung dalam Bahagian Dua…

– Eusoffe (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *