Ego Ayah

Assalamu’alaikum semua, terima kasih admin siarkan luahan saya ini. Saya N, seorang wanita berumur 30 tahun. Saya nak berkongsi sedikit masalah ayah saya.

Ayah saya bekerja sebagai penjual makanan di tepi jalan, ibu saya bekerja kilang tapi ayah saya lebih banyak masa di rumah dari bekerja.

Jadi, pendapatan ayah saya ni tak menentu itupun mungkin cukup-cukup untuk dirinya sendiri membeli rokok dan mengisi minyak kereta.

Dari saya kecil, kami sekeluarga hanya mengharapkan ibu yang bergaji tetap membeli semua barang keperluan harian.

Sebagai anak sulung dari 5 orang beradik, saya sudah merasa betapa susahnya hidup ketika kecil. Makan bercatu, baju pakai pemberian orang, barang sekolah juga guna duit saku sendiri.

Setiap kali cuti sekolah saya akan mencari kerja part time untuk membayar yuran sekolah pada tahun berikutnya.

Saya selalu melihat ibu dan ayah saya bergaduh sebab tak cukup duit. Ayah saya seorang yang ego tak boleh ditegur. Ibu saya selalu minta ayah cari kerja lain tapi ayah selalu bagi alasan tak suka bekerja bawah orang, berniaga lagi menguntungkan.

Untung kalau rajin. Kalau datang malasnya, dia hanya duduk di rumah tengok tv atau tidur. Kalau tak cukup duit ayah akan pinjam dengan ibu tapi memang tak pernah dibayar balik.

Apabila saya sudah habis belajar, alhamdulillah nasib kami sekeluarga mula berubah. Saya mendapat tawaran kerja yang bergaji besar.

Saya menyuruh ibu saya berhenti kerja dan berehat di rumah tetapi mendapat tentangan dari ayah. Katanya nanti ibu bosan duduk di rumah. Mungkin itu alasan kalau ibu sudah berhenti bekerja, ibu tak boleh bagi duit kepada ayah lagi.

Setiap bulan kami adik beradik ada memberi duit belanja kepada ibu dan ayah sebanyak RM1,000 tidak termasuk belanja dapur dan lain-lain tetapi ayah saya selalu merasa tidak cukup.

Saya kasihan kepada ibu kerana dia semakin tua dan tidak larat. Ibu selalu mengadu letih bekerja dan letih dengan perangai ayah tetapi dia tidak mahu melawan ayah.

Masalah ayah saya juga, ayah saya tidak mahu mendengar pendapat saya dan adik beradik dalam apa jua perbincangan.

Contohnya ketika mahu renovate rumah keluarga kami. Ayah kata kami adik beradik tak perlu masuk campur tentang hal rumah dan biar dia yang menguruskannya sedangkan duit untuk renovate rumah itu kami kongsi adik beradik.

Salahkah kami memberi pendapat?

Akhirnya sehingga sekarang proses renovate rumah kami tak pernah siap kerana selalu berganti tukang rumah. Bila kami tanya bila nak siap hanya bagi alasan duit tak cukup.

Kami lihat ayah renovate rumah juga tanpa ada plan yang betul, hanya ikut tukang rumah yang membuatnya. Saya pun sudah malas untuk menegur kerana akhirnya saya dan ayah akan bergaduh kerana ayah merasa dia selalu betul.

Kami adik beradik juga tidak suka pulang ke rumah kerana bila kami pulang ke rumah pasti ada yang bergaduh dengan ayah. Kami akan pulang untuk bertemu ibu sahaja dan membelikan barang keperluan rumah.

Soal jodoh, ibu sering menyuruh saya mencari pasangan hidup kerana risau melihat saya sudah berumur 30 tahun tetapi masih tiada teman lelaki dan selalu habiskan masa dengan bekerja.

Saya sebenarnya takut untuk berkahwin. Saya takut saya akan dapat lelaki seperti ayah saya. Saya takut saya akan digunakan kerana ramai lelaki yang cuba mendekati saya disebabkan harta benda yang saya ada.

Ini saja yang mampu saya luahkan. Terima kasih kerana sudi membaca.

– N (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *