Emosi Seorang Doktor

Peristiwa ini berlaku pada hari ketiga saya memulakan kerja sebagai pegawai perubatan siswazah, atau dikenali sebagai house officer (HO), di sebuah hospital di Kedah. Sewaktu itu, saya berada di posting pertama, iaitu di jabatan pembedahan, dan hari pertama saya adalah bersama dengan pakar yang merawat kes berkaitan hati (hepatobiliary team).

Cerita ini bermula apabila seorang pesakit dimasukkan ke wad dan diletakkn di katil nombor 13. Pesakit berumur 51 tahun itu, Pakcik Jamal tersenyum gembira setiap kali kami bertembung dengannya di pagi hari. Semasa itu, saya mengikuti morning round bersama medical officer (MO) untuk membincangkan kes dan pelan rawatan. Saya agak tertarik dengan salah seorang MO yang berbangsa India itu, Dr Moven namanya.

Dia seorang yang tersangat peramah tak kira dengan pesakit berbangsa apa sekalipun. Dr Moven yang tinggi lampai dan agak kacak mukanya, serta peramah pula menjadikan atmosfera semasa morning round sungguh menyeronokkan. Dia suka bersembang dengan Pakcik Jamal setiap kali round dibuat. Walaupun mereka berlainan bangsa, dia bertutur dengan Pakcik Jamal dengan bahasa melayu yang sangat tipikal bunyinya seperti orang melayu berdialek kedah bercakap.

Dr Moven ini, saya suka akan cara dia approach pesakit, dgn ramahnya, sesekali mengurut kaki Pakcik Jamal menyebabkannya kelihatan sungguh gembira, kalau dilihat daripada luaran. Sedikit pun orang lain menyangka bahawa pakcik Jamal mempunyai barah pundi hempedu yang tidak boleh dibedah dan prognosisnya sangat tidak baik. Kali ini dia masuk kerana jangkitan kuman di pundi hempedunya.

Memang biasanya apabila organ seseorang manusia ini terkena kanser, dan dalam kes di mana kanser tersebut tidak boleh dibedah kerana pelbagai faktor, organ tersebut akan mendapat pelbagai komplikasi. Ini kerana fungsi asas sesuatu organ itu tidak berjalan dengan baik apabila terkena kanser. Kanser boleh mengubah struktur asas sesuatu organ itu, menjadikannya rosak, tidak berfungsi serta mudah dijangkiti kuman.

Tidak dinafikan bahawa pesakit-pesakit sebegini akan selalunya dimasukkan ke wad atas pelbagai komplikasi. Dalam kes Pakcik Jamal, kansernya sudah pun berada di tahap 4, dan apabila dia terkena jangkitan kuman, doktor perlu memberinya antibiotik yang perlu dimasukkan melalui intravena, kerana sesetengah antibiotik yang kuat tidak ada dalam bentuk oral (yang boleh dimakan).

Saya in charge pesakit tersebut pada awalnya. Awal subuh pagi saya akan bertanya keadaannya bagaimana, ada gejala-gejala baru atau tidak, atau ada apa-apa soalan nak ditanya. Pakcik Jamal kebanyakkan masanya kata semua okay. Dia cuma berasa tidak selesa akibat kesakitan di belah kanan dadanya, selain daripada kulitnya yang bewarna kuning, yang kita panggil sebagai jaundice.

Saya gembira menjaga dia, maklumlah saya kehilangan ayah sejak 8 tahun lepas, jadi bila berjumpa pesakit sebegini, sedikit sebanyak saya boleh berasa seronok dan melepaskan rindu terhadap arwah ayah saya yang tidak sempat saya jaga dahulu. Memang ayat “Treat the patient like you are treating your parents” sudah melekat di dalam otak saya sejak di awal posting lagi.

Hari ketiga kemasukkan di wad, semuanya seperti biasa. Pakcik Jamal juga tinggal lagi sehari nak duduk di wad untuk menghabiskan rawatan antibiotiknya yang berlangsung selama 3 hari itu. Saya lihat, esok, pasti pesakit ni boleh discharge, lihat tubuh badannya yg agak gempal, bermaksud selera makannya bertambah, kalau nak dibandingkan dgn hari kemasukkannya di wad, memang banyak perbezaannya.

Saya berjalan bersama Dr Moven untuk ke kafe dan duduk makan bersama. Doktor sama doktor memang begini, tiada perkara lain yang nak diborakkannya selain daripada hal perubatan dan juga pesakit. Sambil saya makan, tiba-tiba Dr Moven berkata kepada saya,

“Aku rasa Pakcik Jamal tu tak berapa elok la keadaan dia”

“Kenapa boss cakap mcm tu?” jawab saya dengan penuh kehairanan.

Saya selalunya akan memanggil superior atau senior saya sebagai boss kerana saya merasakan panggilan itu lebih sesuai kalau nak dibandingkan dengan memanggilnya abang, ataupun doktor kerana saya juga seorang doktor,

“Aku tak rasa tak sedap hati masa round tadi, aku rasa macam ada sesuatu yang mnyebabkan aku rasa dia tak elok sangat dan dia bakal LO. Tengok blood result dia pun tak elok ” jawab Dr Moven.

LO adalah singkatan untuk Last Offices atau Laying Out, merupakan singkatan yang sering digunakan untuk menggantikan perkataan mati atau meninggal dunia. Terminologi ini sering digunakan kerana perkataan “mati” merupakan satu perkataan yang sangat sensitif di hospital.

Kemudian, pun meneruskan makan. Tetapi masih terngiang-ngiang di kepala saya, kenapa boss cakap mcm tu, sedangkan mengikut pengamatan saya, saya rasa Pakcik Jamal tu dah sihat keadaannya, dan rawatan antibiotik pun cuma tinggal sehari sahaja sebelum dia dibenarkan untuk balik.

Saya balik ke wad untuk menyelesaikan kerja-kerja tertangguh yang lain. Walau bagaimanapun, saya tidak in charge Pakcik Jamal pada hari itu. Pakcik Jamal di kubikel 1, dan saya menjaga kubikel 2 pada hari itu. Kawan satu wad dengan saya, Dr Melissa yang menjaga Pakcik Jamal pada hari itu.

Tapi yalah, memandangkan saya menjaga  pakcik tu sejak dia masuk lagi, saya sibuk la bertanya kawan saya, macamana keadaan pesakit dan apakah progressnya. Dr Melissa memeritahu saya tidak banyak berubah untuk pesakit itu. Semuanya stabil dan mengikut pelan yang telah dibincangkan tanpa ada apa-apa masalah. Setiap kali saya lalu di sebelah katil Pakcik Jamal, dia tidak pernah lupa untuk mengangkat tangan kepada saya sambi berkata

“Assalamualaikum doktor!”, sambil menunjukkan wajahnya yang ceria.

Pada hari itu juga, ada pesakit yang perlu dihantar ke Intensive Care Unit (ICU), jadi saya menawarkan diri untuk menemani pesakit memandangkan keadaan pesakit. Sememangnya pesakit yang kritikal memerlukan seorang jururawat dan seorang doktor untuk mengiringi mereka ke ICU.

Saya menolak katil pesakit bersama Staff Nurse (SN) Azimah. Dia adalah jururawat yang pertama menegur saya pada hari pertama bekerja, orang Johor Bharu. Setelah selesai urusan penghantaran pesakit, saya balik ke ward bersama SN Azimah dan menolak katil pesakit tadi yang sudah pun kosong.

Sampai sahaja di ward, saya lihat, langsir di katil Pakcik Jamal tertutup. Suasana hiruk piruk. Saya segera menjengah di balik langsir.

Allah!, benda yg saya paling takutkan, Pakcik Jamal collapse dan tak sedarkan diri. Dr Melissa sedang melakukan cardiopulmonary resuscitation (CPR). Dr Moven memasang brannula, dan seorang lagi doktor sedang menekan bag untuk memberi pernafasan kepada pesakit.

Beberapa orang jururawat sedang membancuh ubat di troli kecemasan yang bewarna merah itu, betul-betul disebelah katil Pakcik Jamal. Saya segera tanya Dr Melissa

“Wei, kau dah penat tak? Bagi aku sambung CPR”

Dr Melissa turun daripada katil, tercungap-cungap dia dan berpeluh-peluh, sampai menitik-nitik di dagunya. Maklumlah dia perempuan, dan memang tak dinafikan kebanyakkan doktor ni, bila dah mula bekerja memang tak exercise pun akibat terlalu sibuk. Hujungnya stamina kurang dan cepat penat bila melakukan aktiviti fizikal. Saya menyambung CPR, itulah kali pertama saya buat CPR selepas bergelar seorang doktor.

Apabila kita mengenali pesakit dengan baik, seakan ada ikatan emosi di mana semasa sedang menekan dada pesakit saat CPR sedang berjalan, tekanan tersebut dilakukan dengan begitu bersemangat, tekad dan bersungguh-sungguh.

Kesungguhan untuk nak lihat pesakit sedar kembali, nak dengar degupan jantung pesakit yang terhenti berdegup semula, nak lihat dada pesakit yang kaku saat tiada pernafasan kembali turun naik semula.

Maksud saya, bukanlah membuat CPR hanya sekadar melepaskan batuk di tangga, bukanlah membuat sekadar syarat dan memenuhi standard operating procedure (SOP) sahaja. Sebaliknya, dilakukan dengan harapan untuk menyelamatkan pesakit, walaupun tahu saya hanyalah sekadar seorang manusia, hamba yang tiada kuasa apabila soal ketentuan ajal.

Namun, Pakcik Jamal langsung tiada respond, matanya tertutup, dadanya turun naik kesan daripada pernafasan yang dilakukan dengan bag valve mask. Mukanya pucat lesi tetapi kuning. Matanya tertutup rapat.

Mr Low, pakar pembedahan kami tiba, dia memakai skrub dewan bedah bewarna biru. Saya perasan ada kesan-kesan garisan glove di pergelangan tangannya, bermaksud dia bergegas dengan pantas daripada dewan bedah yang terletak di tingkat 2 terus ke wad di tingkat 4.

45 minit kami cuba menyelamatkan Pakcik Jamal, memerah segala keringat dan kudrat, mendesak otak untuk berfikir apakah lagi yang boleh dilakukan. Tetapi, ajalnya sudah tiba. Apabila disuluh lampu pada Pakcik Jamal, anak matanya mengembang dan tidak lagi mengecut, menandakan perjalanan darah ke otaknya sudah berhenti.

Salah satu tanda apabila seseorang itu mati. Saya juga perasan, saat kelopak mata pesakit dibuka, matanya tidak lagi bersinar, seperti mata orang yang masih hidup lagi. Kelam dan gelap.

“Call off the CPR, time of death, 2.58 pm”, kata Mr Low mengisytiharkan waktu kematian pesakitnya itu.

Segala-galanya ibarat terhenti. Saya tergamam, kaku dan pucat serta kepenatan lantaran CPR yang dilakukan terus-menerus. Saya membuka glove, dan memakai semula kot putih yang saya sendiri pun tak pasti bila saya buka. Saya duduk di kaunter jururawat, bukan sedih atau sebak, tetapi masih tergamam. Otak saya masih lagi memproses apakah perkara yang baru sahaja berlaku terhadap Pakcik Jamal.

Pakcik yang baru sahaja pagi saya berborak rancak pagi tadi, dan baru sahaja menjawab ‘sihat’ apabila saya bertanyakan khabar, sudah pun kerahmatullah.

Pakcik yang sering memberi salam setiap kali saya lalu di sisi katilnya, dan yang tak putus-putus menawarkan buah-buahan yang dibawa oleh isterinya terus daripada kebunnya kepada kami semua kini sudah tiada. Tanpa saya sedari, air mata mula bergenang di mata, dan saya mula bernafas seakan-akan orang yang sedang selsema, kesan daripada air mata dan hingus yang menyumbat lubang hidung. Dr Moven perasan saya mula mengalirkan air mata.

Dia menarik kerusi, dan duduk di sebelah saya sambil memegang bahu kanan saya seraya berkata

“Don’t be sad or dissapointed, yes, we fail to save that patient, but as long as we did our best, there is nothing we can do that goes against god’s will”

Kata-katanya buat saya lebih sebak. Saya berlari ke bilik oncall, sy kunci pintu dan terduduk di atas lantai sambil bersandar di dinding. Saya menangis teresak-esak. Saya sedih. Saya rasakan diri saya gagal. Saya terasa, pasti ada perkara yang saya tak perasan apabila merawat Pakcik Jamal.

Hati kecil ini mula bertanyakan soalan secara bertubi-tubi dalam diri saya. Adakah saya buat yang terbaik? Adakah saya menggunakan segala kudrat saya untuk merawat pesakit? Jika Pakik Jamal itu adalah ayah saya, akan adakah apa-apa perubahan yang saya lakukan?

Saya tak nafikan, namun semasa waktu itu, sikit pun saya tak teringat pasal ajal maut yang telah tertulis sejak Pakcik Jamal lahir sahaja. Tarikhnya, masanya dan saatnya, semuanya dah tercatat.

Selepas saya rasa sedikit lega, saya keluar dan duduk di kaunter, menyambung laporan dan kerja bagi pesakit lain. Dr Moven disebelah, sedang menandatangani borang kematian pesakit. Segera saya tanya dia soalan yang telah saya simpan lama sejak perbualan saya dengannya di kafe hospital.

“Boss, how did u know that the patient is condition is bad, and he is going to succumb soon?”

“Once u have few years of experience, making millions of mistake, lose countless patients and working long enough, you will see it”, jawabnya dengan jawapan yang tersirat dan cryptic

Agaknya dia terlihat mata saya yang merah, terus dia tanya

“Are u crying?”

Menahan ego seorang lelaki, saya menipu

“No boss, i was just sad, and just now i scratched my eyes, that’s why”

“You are bad at lying” katanya sebelum menyambung,

“Once you work long enough, kau akan lihat pesakif mati macam perkara biasa, and its okay to be sad. Did u know that I was also sad that Pakcik Jamal LO, walhal baru semalam kita main-main chest physio dengan dia. But you know what, if you depressed lebih-lebih bila pesakit mati, you shouldn’t be a doctor”

Saya mengangguk, bersetuju. Saya tak nafikan saya memang sedih, namun terlalu bersedihan dan kecewa pun tidak elok. Masakan tidak, walaupun ada satu pesakit mati, ada berpuluh lagi yang masih mengharapkan kita untuk memberi rawatan yang terbaik, dan bila emosi kita tak terkawal, kita akan melakukan lebih banyak kesalahan yang bakal menyebabkan ramai lagi pesakit terseksa dan mati.

Setibanya saya di rumah, saya tak boleh tidur. Terbayang-bayang gurauan dan muka Pakcik Jamal yang sentiasa tersenyum. Saya cuba untuk lelap dan akhirnya jam 4 pagi saya terlelap.

Apabila saya bangun dari tidur, saya rasakan sedikit lega. Saya cuba berfikir sedikit positif dan cuba untuk lihat dari perspektif mengenai apakah perkara yang saya boleh dapat daripada pengalaman pahit yang baru saya tempuhi ini.

Saya tersedar bahawa bagaimana hebatnya seseorang manusia, ajal tidak boleh dilewat mahupun diawalkan. Saya jumpa Dr Moven, sy terus terang bertanya kepada dia mengenai apakah perkara yang perlu saya buat sekiranya saya berhadapan dengan kes sebegini lagi.

“Boss, actually apa boss rasa bila pesakit mati?

“Sad of course, but I am used to it”, jawabnya sambil menulis di fail pesakit.

“Oh, so did u lose a lot of patients during your houseman?”, saya meneruskan lagi soalan.

“Countless… as a senior, let me tell you this, do you know what is the worst kind of doctor in this world?”, katanya menyoal saya semula.

“Frankly I don’t know boss”, sememangnya saya tak tahu.

“The worst kind of doctor is the one who was so numb that they don’t feel anything if their patient live or die, that’s what I’m trying to teach you to not to be like one. We have emotions. We feel happy and satisfy whenever we manage to treat and heal the patients, and we feel sad and disappointed whenever we lose a patient. That’s what makes us a human. A little bit of emotion, sympathy and empathy is what determine us to make a better choice in saving lives, but you have to remember, a doctor who was so overwhelmed with disappointment and sadness will not only dangerous to the patient, but to himself too. Hope you can learn this in times to come”

TAMAT…

Artikel ini ditulis bagi memberi pengajaran kepada pembaca mengenai aspek emosi seseorang perawat apabila kehilangan seorang pesakit. Dr Moventhiran, merupakan MO saya sewaktu kejadian ini berlaku, kini beliau meneruskan pengajiannya untuk menjadi pakar bedah otak. Sama-sama kita doakan agar pengajian beliau berjalan lancar dan beliau boleh meneruskan untuk menabur bakti bukan sahaja untuk merawat pesakit, malah untuk memberi motivasi dan kata-kata semangat untuk mereka yang baru sahaja bergelar seorang doktor.

Di sini juga saya ingin memohon maaf kerana mencampur adukkan bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris dalam artikel ini. Perbualan dan dialog yang ditulis adalah serupa dengan perkara yang berlaku. Sila ambil perhatian bahawa nama pesakit diolah bagi menjaga privacy pesakit. Terima kasih.

– Ilzanno Sharky

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *