Hello, pembaca semua. Aku Aira, seorang wanita berumur 25 tahun. Aku tinggal di kawasan utara semenanjung Malaysia. Dah tamat diploma bulan 10 tahun lepas, alhamdulillah.
Jadi, ni sekadar pengakuan dan keluhan hati aku yang makin lama makin bercelaru. Macam aku cakap awal-awal dalam pembuka bicara tadi, aku umur 25 tahun and baru tamat diploma. Mesti ada pembaca dah tergaru-garu kepala. Ada yang tak.
Pendek kata, aku STPM tak beberapa memuaskan jadi aku terpaksa sambung pelajaran taraf Diploma sejak pihak universiti kata aku punya kelayakan STPM tidak mencapai standard yang mereka mahukan. Ini lah yang apa aku dapat setelah membazir setahun setengah masa aku atas paksaan ayah sendiri. Dan inilah hasilnya. Ironinya, dia taknak mengaku itu semua salah dia. Lelaki kan.
Jadi, mahu tak mahu, dia sekali lagi paksa aku bila tahu aku dapat panggilan dari universiti yang terdekat, katanya aku berpeluang untuk sambung pelajaran taraf Diploma. Ayah aku dapat tahu, walhal aku tak tahu macam mana dia boleh tahu jugak; memaksa aku supaya mempercepatkan urusan untuk hari pendaftaran ke universiti.
Setelah aku menjejakkan kaki ke universiti, dunia aku tunggang langgang. Semuanya terbalik. Ada sahaja yang tak kena bagi aku. Setiap semester, aku akan menangis. Aku ingat universiti ni suatu tempat yang menyeronokkan macam aku tengok dalam filem, dalam drama yang aku tonton. Aku silap. Sangat sangat silap.
Tempatnya toksik, pelajar-pelajar bersifat antagonistik terhadap orang macam aku. Kebaikan aku selalu dipergunakan dan aku selalu lambat untuk sedar kelakuan mereka terhadap diri aku. Tapi, tak semua benda buat aku muram seharian.
Para pengajarnya semua baik belaka. Hanya kepada orang dewasa aku mampu memberikan hormat. Untuk pelajar di sini, tak sangat. Kesihatan mental aku makin merosot. Sahabat-sahabat sejati aku di Kuala Lumpur seolah-olah tahu dengan keadaanku di sana kerana sentiasa berhubung denganku waktu mereka senang.
Aku menghabiskan masa selama tiga tahun setengah untuk belajar. Setelah mengharungi enam semester di universiti dan satu semester di tempat aku buat praktikal, boleh dikatakan personaliti aku dah berubah. Bak kata sahabat baik aku, Ana dan Qila berkata kepada aku:
“Kau tak ceria macam dulu. Dulu kau selalu buat lawak bodoh, bikin kitorang gelak.”
“Kau makin muram durja ni, Aira. Kau dulu lagi kuat dari ni.”
Ya.
Fasa Diploma telah mengubah aku sepenuhnya. Dari seorang yang sangat periang karekternya, kepada seorang yang berfikiran negatif dan rela berkurung di rumah seharian. Bagaimana semua ini terjadi?
Allah S.W.T. sahaja yang belajar akan nasib-nasibku di sana. Aku hanya ceritakan masalahku kepada sahabat rapat aku sahaja kerana keluarga aku tak percaya pada sakit mental.
‘Itu sebab kau tak solat.’
‘Kau selalu tinggal solat. Macam mana Allah nak tolong kau.’
Benda nilah yang buatkan aku lagi tersepit. Tapi, aku cuba juga kentalkan hati yang dah lama berderai untuk habiskan pelajaran aku walaupun aku berniat untuk berhenti. Berkali-kali. Setelah habis belajar, aku dapat kerja. Sebagai seorang penjaga kedai kat kedai pakcik aku di sini. Walaupun gaji basic, aku sebenarnya rasa selesa di sini. Mungkin ini panggilan Allah supaya aku belajar berniaga.
Tapi, sejak aku bekerja di sini, banyak jiran aku bertanya jika aku mahu sambung belajar. Aku kerap jugak memikirnya. Tapi jawapan aku ialah ‘bukan sekarang. Saya masih lagi tak sedia.’ Walaupun berkali-kali mereka sarankan aku untuk sambung belajar, aku kerap gelengkan kepala dan jawab benda yang sama.
Jawapan ini aku tujukan kepada ibuku juga. Ayah aku seperti dah putus asa dengan aku. Agaknya dia tahu yang aku semakin tak gembira kerana paksaan dia untuk aku sambung belajar. Di tempat aku tak mahu pula tu.
Aku taknak memori hitam kembali menghantuiku. Belajar hanya mengambil masa dan menambah umurku sahaja. Banyak lagi perkara aku nak buat dari terperap di institusi yang mengajar benda yang takkan kita buat lepas habis belajar nanti. Buang masa dan tambah hutang pelajaran sahaja.
Ingat scroll ijazah tu boleh bayar hutang PTPTN atau MARA ke? Akhirnya, kau kerja kat tempat makan, McDonalds atau tempat yang tak ada kaitan dengan benda kau belajar waktu universiti dulu.
Pesan aku, baik tambahkan pengalaman dan cuba benda baru. Tambahkan ‘life skills’, inshallah benda ni lagi berguna. Umur aku masih panjang dan aku tahu bukan aku sahaja yang berasa sambung belajar ni benda yang aku takkan nampak dalam empat – lima tahun akan datang.
Inilah kisah aku dimana menyambung pelajaran mengubah diri aku. Aku sekarang semakin sihat, tapi memori masih lagi bermain macam pita rakaman. Moga-moga hidup aku dipermudahkan selepas apa yang aku lalui.
Maaf kalau cerita aku agak berterabur. Dah lama aku tak tulis benda macam ni. Sekian.
– Aira (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit