First Love: Bahagia Yang Tertangguh

Assalamualaikum wbt. Perkenalkan namaku K, bukan nama sebenar. Aku berumur lingkungan 40an. Dah lama aku memerhatikan coretan demi coretan di sini. Seronok membaca kisah kisah yang dipaparkan ada sedih, suka, seram dan sebagainya.

Hari ni diriku rasa terpanggil untuk turut sama mencoretkan sedikit coretan setelah terbaca kisah ‘first love’ (https://iiumc.com/cinta-pertama-2/) yang dicoretkan oleh sahabat kita.

1992 lebih kurang 30 tahun yang lalu, aku mengenali seorang kawan lelaki yang aku namakan N. Dia rakan sekampungku, usia kami berbeza 5 tahun. Masa tu aku di tingkatan 3 dan dia di tingkatan 6 atas di sekolah berlainan.

Kami bukan bercinta ye, kami hanya berkenalan, dulu-dulu kan trend berkenalan gituww.. dulu mana ada fb, twitter dan berbagai benda canggih macam sekarang.

Pada mulanya kami berkawan biasa dan akhirnya kami menjadi kawan rapat. N selalu membantuku dalam pelajaran. Selalu bagi aku pinjam buku-buku sekolahnya. Masa dulu kan buku rujukan mahal. Hanya orang-orang tertentu saja yang mampu beli.

Kami sangat seronok berkawan, N baik. Dan tak tau mengapa, aku rasa N lain dari yang lain. Dia sangat menarik di mataku.

Tahun berganti, N telah ditawarkan meneruskan pengajian ke Maktab Perguruan. N bakal jadi seorang guru. Aku gembira dengan nya.

Dan aku… meneruskan kehidupan di kampung. Bergelumang dengan buku dan nota nota peperiksaan SPM yang bakal dihadapi pada tahun itu. Aku juga ada cita cita yang ingin ku kejar.

Masa berlalu, hubungan kami semakin renggang. N jarang bertanya khabar begitu juga aku. Aku dan N sibuk dengan urusan masing masing.

Masa tu kami hanya berhubung melaui surat. Bukan senang nak berhubung pada waktu itu. Dan pada masa yang sama ibu bapa ku dan ibu N sudah dapat menghidu keakraban kami.

Ibu dan adik beradik N menunjukkan sikap kurang senag terhadap hubungan kami.

Maklumlah…anaknya kan bakal jadi cikgu. Mana la sepadan dengan gadis kampung seperti ku, masih terumbang ambing tanpa haluan hidup. Apatah lagi keluargaku pula tidak sesenang keluarga N. Kami hanya petani.

Semakin hari kami semakin menjauh, aku hanya mampu merindui N. Sesekali N pulang ke kampung ketika cuti, aku hanya melihat N dari jauh. Ibunya tak sudi mengizinkan kami berkawan. Aku merasa rendah diri dan aku akur… siapa lah diriku.

1995, keputusan SPM diumumkan. Aku mendapat keputusan yang tidak menghampakan walaupun bukan pelajar cemerlang. Aku memasang tekad untuk menyambung pelajaran.

Namun.. sekali lagi aku kecewa. Aku terpaksa melupakan hasrat itu. Keluargaku susah, ibu tidak bekerja dan ayah sudah uzur.

Aku masih ada 2 adik yang masih bersekolah. Lantas aku mengambil keputusan untuk bekerja. Ibu ayah izinkan aku ke Kuala Lumpur, dengan harapan dapat mengurangkan beban keluarga.

Aku membawa hati yang kecewa, kecewa dengan N.. kecewa dengan cita cita yang tak kesampaian. Tapi aku redha, mungkin inilah perjalanan hidupku.

Ketika di Kuala Lumpur, aku berkenalan dengan seorang lelaki bernama A .Kami tinggal menyewa di blok perumahan yang sama. Dan kebetulan dia berasal dari negeri yang sama di pantai timur.

Aku.. ok jer, dah dia nak berkawan. Bukan lah menjadi bebanan. Lagi pun kawan sahaja tidak lebih. Tapi lama kelamaan A mula berubah. Dia mula menunjukkan perasaan sayang dia padaku.

Untuk pengetahuan semua, A seorang yang lurus, baik orangnya, selalu ambil berat tentang diriku. Dia juga berasal dari negeri pantai timur seperti aku. Aku rasa dia ok2 saja. Tapi hatiku masih berbelah bagi.

Aku masih lagi terkenangkan N. N orang yang sangat istimewa bagiku. Apatah lagi pada waktu ini aku tidak ada perasaan untuk menjalin hubungan atau berjanji dengan mana-mana lelaki. Tapi jauh di sudut hati aku kesiankan A. Dia sangat berharap agar aku menerimanya.

A boleh dikatakan agak mendesak. Melalui abang iparku yang juga kawannya, dia menyatakan hasratnya. Dan tanpa pengetahuanku, dia sampaikan juga pada ibu bapaku dikampung. Ibu menyukai N. Dia pandai mengambil hati orang tua. Dan aku… sangat naif waktu itu.

Dan Akhirnya, aku akur dengan A. Aku bersetuju menerima A. Walaupun pada masa itu aku masih keliru.. adakah aku betul betul menyukai dia, atau aku sekadar simpati pada A. Dan yang pasti di ketika itu aku dalam keadaan tersepit.

Keadaan hidup memaksa aku untuk menerimanya. Aku berharap selepas berkahwin kehidupanku berubah. Ada keluarga yang bahagia dan hidup yang sempurna bersama A.

1997, aku bertunang. Dan tak lama selepas itu aku ditawarkan mengikuti pengajian diploma perguruan di sebuah IPG di negeri bersejarah.

A menguruskan pengajianku, hantar dan ambil. A tidak berkira dari segi tenaga dan wang ringgit. Aku berterima kasih padanya. Aku semakin melupakan N, tenggelam dengan kebaikan A.

Aku juga sibuk dengan kerja kursus dan tugasan tugasan disana. N sudah tidak ada lagi dalam fikiranku. Sehingga masuk semester kedua, A menyatakan hasrat utk menamatkan zaman bujangnya.

Dan ketika itu aku iyakan saja. Aku malas nak berfikir panjang. Bagiku, kalau tak kawin dengan dia.. aku bukan nak cari orang lain dah. Aku serah segalanya pada takdir. Aku terima dia seadanya, biarpun aku masih lagi ragu-ragu dengan rasa cintaku padanya.

Ohh ya, sebelum terlupa. Semasa ibu N tahu aku ditawarkan kursus perguruan. Dia ada sampaikan pada seseorang yang dia sudah tak keberatan menerima aku, dan harap aku tak tergesa-gesa untuk kahwin. Dan aku… hanya mampu tersenyum dalam hati. Maaflah sudah terlewat.

Berbalik semula hal perkahwinanku dengan A. Pihak keluarga kami telah menetapkan tarikh dan akhirnya kami diijabkabulkan. Kenduri di kedua-dua belah pihak sangat meriah. Ibuku sangat gembira kerana A adalah pilihannya, ayahku biasa-biasa saja.

Pelangi yang kuharapkan bertukar ribut dan badai.. Selepas kahwin segalanya bermula, Barulah aku tau siapa A. Aku ingat selepas kahwin rasa cinta dan sayang yang belum wujud dapat beransur-ansur disemai.

Rupanya tidak, rasa itu semakin menjauh. Aku dan A sentiasa berada dalam kemelut rumahtangga. A tidak seperti yang kuharapkan. Namun apa daya, aku tekad meneruskan perkahwinan ini. Aku berharap agar keadaan akan berubah.

Dipendekkan cerita, setelah 15 tahun usia perkahwinan kami. Dikurniakan 5 orang anak. Setiap kali bersalin aku berharap agar A berubah, tapi dia tetap sama.

Hidupku banyak sengsara, banyak terpaksa menahan rasa. Masalah kewangan, pengurusan anak anak, urus rumahtangga, segala bebanan hidup terletak dibahuku.

Aku penat.. aku stress. A tak pernah bertanya, tak pernah cuba memahami aku. Dia dengan dunianya sahaja. Kerja dan lepak bersama kawan-kawannya sehingga larut malam.

Aku dah tak mampu lagi bertahan, apatah lagi akhir-akhir ini A sudah mula naik tangan. Sebelum perkara lebih buruk terjadi, aku mohon undur diri. Demi aku dan anak anakku.

Dan akhirnya sept 2012 terlerailah ikatan antara aku dan A. Sungguh aku terkilan.. Dulu aku mengharapkan A memberi kebahagian padaku, aku terimanya tanpa syarat. Biarpun hati tak cinta, aku tekad untuk bersama.

Dulu tak pernah aku terfikir untuk selidik latar belakang A, Aku tak kisah dia tak de pelajaran. Aku tak kisah dia tak de asas agama. Aku juga tak kisah apa pekerjaannya.. Aku hanya fikir dia layan aku baik dan dia baik dengan orang tua ku.

Tapi aku redha.. Aku terima Takdir ini, sebagai sebahagian perjalanan hidup yang telah Allah tetapkan untuk aku.

Selepas bercerai aku bawa anak-anakku pulang ke kampung. Aku mohon pertukaran antara negeri. Aku pulang bersama anak-anak dengan membawa pakaian sahaja, segalanya aku tinggalkan pada A, rumah dan segala barangan lain.

Biarlah aku bina hidup baru bersama anak-anakku di kampung. Aku tinggalkan A dengan dunianya. Waktu ini anak anakku berusia 14, 13, 11, 9 dan 4 tahun. Bermulalah kehidupan baruku di kampung.

Selang beberapa bulan selepas itu bermulalah episod baru yang tak disangka-sangka. Rupa -rupanya N juga telah berpindah ke kampung. Sudah hampir 20 tahun aku tidak menemuinya dan tak pernah menghubunginya. Kami berpisah diusia ku 17 tahun dan dia 22 tahun.

Kami berpisah sewaktu sama sama keluar dari kampung dan kami bertemu semula setelah masing-masing pulang ke kampung.

Kami bekerja dalam bidang yang sama, kementerian yang sama. Oleh sebab itu sudah tentu kami selalu bertembung. Lama kelamaan aku dan dia mula bertanya khabar dan akhirnya kami jadi rapat semula.

Baru ku tahu rupanya N belum berkahwin. N masih bujang. Aku ada bertanya padanya, kenapa masih membujang sedangkan ramai gadis yang sudi mendampinginya. N hanya diam… N ada rupa, walaupun bukan tinggi lampai tapi N ada perwatakan yang menarik.

Dari cerita-cerita yang ku dengar, N seringkali menolak sekiranya ada yang ingin carikan jodoh untuknya. Ibu N juga sudah puas memujuknya untuk kahwin. Dah ramai anak gadis yang diperkenalkan pada N, namun N tetap membisu. Ibu N dah tak kuasa , dah berputus asa.

Aku? Sejujurnya masih simpan perasaan pada N. Dulu dan kini rasa itu masih sama. Tapi aku tak pernah melayan perasaan itu semasa masih menjadi isteri A.

Aku tau dan faham kedudukan ku, aku kenal dosa pahala. Dan kini, aku jua masih tidak melayan rasa itu. Kerana aku juga faham kedudukanku, aku ada anak anak.

Aku ada tanggungjawab. Ibu N masih seperti dulu, masih menolak kehadiranku. Dan kali ini atas alasan yang berbeza. Aku akur.. aku juga tidak berharap apa apa. Dan N… untuk kali keduanya terpaksa memendam rasa.

N anak yang sangat taat. N banyak berkorban rasa untuk ibunya. N sayangkan ibunya, ayah N meninggal ketika usianya 17 tahun. Ibunya berkorban segala galanya untuk membesarkan N dan adik beradiknya.

Aku dan N masih berkawan, kami tidak berharap apa apa dan tidak pernah memasang impian menggunung. Kami redha dan hanya meneruskan kehidupan seperti biasa.

Aku sedaya mungkin memberikan yang terbaik buat anak anakku, ayah mereka hanyut dengan dunianya. Hanya sesekali bertanya khabar, apalagi memberikan nafkah anak anak. Biarkan.. aku masih mampu untuk membiayai anak-anakku dan kehidupan kami.

2014, Aku terima berita ibu N telah Kembali ke Rahmatullah. Salam takziah aku ucapkan pada N. Aku tau N sangat terkesan dan sedih atas kehilangan ibunya yang tersayang.

2015, kami sama sama graduate dalam bidang masing-masing. N sambung belajar di UPSI dan aku di IIUM Gombak. 4 tahun kami bertungkus lumus dan akhirnya kejayaan berjaya digengami.

Aku puas kerana biarpun terlewat, aku akhirnya berjaya mendapat segulung ijazah. Begitu juga N. Dalam pada itu, N juga telah dinaikkan pangkat sebagai pentadbir sekolah. Aku turut bangga.

2016, setelah setahun lebih selepas ketiadaan ibunya, N tinggal bersendirian di rumah. Makan minum, pakai.. N uruskan sendiri. N meluahkan rasa kesunyian padaku. Usianya kini mencecah 46 tahun. Dia juga selalu sakit-sakit. Aku dan dia merancang untuk hidup bersama.

Atas apa yang telah kami lalui, suka dan duka.. akhirnya kami mengambil keputusan untuk berkahwin. Pada mac 2016 termeterailah ikatan perkahwinan antara kami berdua.

Tidak ada ucapan yang dapat kami ungkapkan, lama sungguh kami memendam rasa. Berjumpa di usia belasan tahun, berkahwin di usia 40an.

Mahalnya pengalaman ini. Syukur Pada Allah. Aku dan N sangat terharu. Sesungguhnya takdir Allah sangat indah. Setelah hujan ribut, kilat dan petir… Allah hadirkan Pelangi. Kami bertemu pada saat yang kami saling memerlukan. Terima kasih Ya Allah.

2021, Kini sudah hampir enam tahun aku dan N hidup bersama. Kami sudah ada sebuah banglo di kampung. N telah sekali lagi dinaikkan pangkat yang lebih tinggi.

Aku juga telah dua kali dinaikkan gred perkhidmatan. Dan pada 2018 kami dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, N sangat gembira.

Puteri bongsu itu menjadi buah hati N, abang dan kakak-kakaknya. Tatkala merenung puterinya, wajah N sentiasa berseri-seri. N juga dah jarang jatuh sakit. Semoga N sihat-sihat selalu dan kami akan meniti hari tua bersama. Terima kasih N.. Terima kasih untuk segalanya.

Anak anakku juga telah berjaya, kak long dah habis belajar kini kerja kat KL. Angah pun dah tamat diploma uitm, berura-ura nak sambung degree tapi terbantut sebab pkp. Sekarang bekerja di sektor swasta.

Anak ke 3 sedang menunggu tawaran pekerjaan, yang ke 4 sudah mendapat tawaran di sebuah kolej menunggu masa untuk lapor diri, dan yang ke 5 di tingkatan 1. Alhamdulillah…

Dan A, Al Fatihah buatmu, Mei lalu A telah Kembali ke Rahmatullah. Meninggal ketika tidur akibat serangan jantung.

Ku doakan rohnya tergolong dalam golongan orang yang beriman dan beramal soleh, Ya Allah ampuni dosa-dosanya. Aku telah halalkan segalanya. A tidak terhutang apa apa lagi denganku. Semoga dikau tenang disana. Biar apa pun yang berlaku antara aku dan A, aku redha.

Buat suamiku tercinta N.. Semoga ikatan perkahwinan ini berkekalan hingga ke syurga. Terima kasih sudi bersama-samaku.

Di penghujung usiamu, izinkan aku membahagiakan dirimu, N kau lah dulu yang pertama dan kini menjadi yang terakhir. Berakhir sebuah penantian 1992-2016. Syukur Ya Allah…

Terima kasih pada pembaca yang sudi membaca coretanku ini, maaf andainya terdapat kekurangan. Semoga ada iktibar yang dapat diambil dari pengalaman hidupku.

Sekian.. Wassalam.

Nukilan,

– ~K~ (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *