Kisah Zara ini buat aku teringat cikgu-cikgu yang suka membuli dan mengambil kesempatan. Ada juga pro dan kontra merotan ni. Tapi bagi aku, aku sokong je cikgu rotan dan denda, tapi kena adil dalam melaksana tanggungjawab dan jangan pilih bulu.
Biar aku cerita pengalaman kakak aku pula dalam menghadapi kerenah dan birokrasi cikgu yang suka ambil kesempatan atas kemiskinan anak-anak yatim yang tiada perlindungan ni. Asyik cerita aku je seperti siri-siri sebelum ini. Takpe, aku cerita dia pula yang sebagai perempuan. Aku lelaki, lain pula pengalaman.
Suatu hari, ketika di sekolah menengah, Ani dipanggil pengetua.
“Ani, Ani… saya dapat laporan bahawa awak menyorokkan sahabat awak di suatu tempat, kerana sebelum ni sahabat awak ada datang ke rumah awak semasa cuti sekolah!”
Ani terpingga-pingga. Sebagai anak yatim, Ani tidak menjawab, kerana pengetua beliau seorang yang tegas. Kebetulan sekolah tersebut adalah sekolah berasrama penuh terbaik negara ketika itu.
“Kamu cakap betul-betul, Ani. Di mana sahabat kamu? Kalau kamu tidak bercakap benar, saya akan ambil tindakan tegas,” kata pengetua.
“Maaf cikgu, saya tidak tahu kerana saya hanya kawan, tapi tidak tahu sahabat saya ke mana.”
“Baik, saya akan siasat,” kata pengetua.
Semenjak hari itu, cikgu memanggil Ani setiap hari. Cikgu menghina ibu Ani.
“Ibu kamu memang jahat, menyorokkan anak orang. Ibu kamu memang hina, tak sedar diri orang miskin, tiada suami!”
Pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap Ani. Ani menjadi murung, sedangkan Ani adalah pelajar cemerlang dalam sukan dan akademik. Dia pernah dipanggil oleh Marina Chin untuk program mewakili negara dalam Sukan SEA ketika itu.
Ani berjaya menjadi johan kebangsaan dalam sukan ketika tingkatan 3. Sudah tiga tahun berturut-turut dia menang peringkat negeri, kini kebangsaan. Sangat menakjubkan bagi Marina Chin yang mengetahui tentang kehebatan Ani. Ani dijemput menghadiri satu rancangan televisyen, tapi Ani dihalang guru.
“Kalau kamu teruskan juga, biasiswa PETRONAS dan kamu sekali saya buang sekolah!” ugut guru tersebut pada Ani.
“Kamu didenda kerana terlibat menyorokkan, dan kamu tidak boleh sertai apa pun aktiviti luar lagi,” tegas guru itu.
Kini Ani kemurungan akibat tekanan fitnah oleh seorang guru wanita. Setiap hari dia dipanggil, dituduh menyorokkan, didera otaknya si anak kecil ini. Setiap malam dia akan ke belakang almari, menangis.
Perwatakannya berubah, sedih dihina kerana kemiskinan, dibenci rakan kerana tohmahan guru. Tapi beliau masih memiliki seorang rakan yang baik bernama Siti, yang sentiasa memberi semangat.
Apabila sahabat ini menerangkan bahawa tohmahan itu palsu — kerana pelajar yang lari dari asrama itu sebenarnya berada di rumah ibu bapanya sendiri dan ingin berhenti — Siti pula diugut.
“Siti, kamu jangan campur urusan ini. Kalau tidak, kamu akan dibuang sekolah!” ugut guru tersebut.
Semenjak itu, Siti tidak berani campur tangan. Hanya memberi semangat pada Ani setakat yang termampu.
Bagi Ani pula, dia ingin mengadu pada ibu, tapi dia tahu ibunya pasti susah hati. Ibunya balu yang miskin. Ani hanya menangis setiap malam di almari buruk itu.
Akibat dari tohmahan tersebut, Ani disisih guru. Semua acara sukan Ani terpaksa ditinggalkan kerana guru wanita tersebut beralasan Ani menipu beliau — menyorokkan sahabat yang berhenti sekolah. Fitnah tersebut berterusan hingga Ani mengambil peperiksaan SRP.
Namun Allah Maha Besar. Dalam fitnah cikgu itu, Ani tetap mendapat straight A dalam SRP.
Setelah itu, sepanjang persekolahan di situ, Ani telah berubah. Beliau menjadi pendiam dan menghabiskan persekolahan dalam fitnah yang tidak pernah dibersihkan.
Sebenarnya cikgu itu membuat fitnah kerana anak seorang yang ternama dalam jabatan pendidikan yang terlibat dalam sukan tersebut tidak terpilih, hanya berkedudukan nombor tiga. Jadi, untuk memilih anak rakan baiknya mewakili kebangsaan, Ani menjadi mangsa.
Dikeji, dihina sepanjang persekolahan. Ya, cikgu berjaya menghentikan sukan yang Ani ceburi. Itu bertujuan supaya Ani berhenti sekolah dan sukan.
Bagaimana Ani tahu cerita ini? Ada yang menceritakan padanya ketika Ani telah dewasa.
Kini Ani telah dewasa. SPM beliau keputusan yang sangat baik dan kini bekerja di luar negara. Memiliki ladang dan rumah jutaan USD serta berkedudukan 18 jam penerbangan dari sini.
Kakak saya ini juga seorang darah pejuang. Berjuang untuk hidup dalam kehinaan suatu masa dahulu. Hanya mental yang kuat menghindarkan kami dari menjadi gila akibat tekanan dan fitnah. Begitulah nasib kami sebagai anak yatim.
Buat arwah cikgu tersebut, kata kakak saya — sehingga kini dia trauma. Saya tak tanya pula sama ada dia maafkan atau tidak. Sebab cerita ini berkisar ketika kami berbual zaman persekolahan, ketika dia balik bercuti setiap tahun.
Buat cikgu-cikgu, adillah kalian dalam melaksana tanggungjawab. Saya tidak membenci cikgu, kerana isteri saya juga pendidik di sebuah IPTA. Tapi bersikap adil, amanah, dan cemerlang dalam mendidik adalah utama.
Hukumlah murid dengan kebaikan, bukan dengan penderaan.
“Yatim.”
– Yatim (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit