Gadis Miskin Yang Mahu Mengubah Diri IV

Untuk part I, (https://iiumc.com/gdsmskn/).

Untuk part II, (https://iiumc.com/gadis-miskin-yang-mahu-mengubah-diri-ii/).

Untuk part III, (https://iiumc.com/gadis-miskin-yang-mahu-mengubah-diri-iii/).

Sambungan dari bahagian 3. Kali ini, penulisan saya agak panjang demi memenuhi permintaan pembaca dan banyak menjurus kepada pengurusan kewangan.

Saya menghadiri ‘interview’ jawatan sambilan dalam perkhidmatan awam di KL dan berjaya. Saya dihantar berkhidmat ke serata negeri. Hampir seluruh negeri di semenanjung saya jelajahi dan menimba pengalaman bekerja sejak SPM.

Awal 2006, tarikh saya mula berkhidmat. Saya mula berasa ada sinar baru dalam hidup. Saya merancang apa yang perlu dilakukan. Perkara pertama adalah membina rumah yang selesa untuk mak tinggal.

Rumah kami duduki sekarang semakin uzur, kayunya reput dan berbunyi bila dipijak. Rumah ini sudah lebih 50 tahun usianya. Syukur Allah memakbulkan doa dan memberi jalan kepada kami untuk membina rumah tanpa memohon bantuan pihak kerajaan.

Mak mempunyai kebun getah seluas 1 ekar lebih (tahun 2012, mak menukar hak milik tanah ini kepada saya dan 5 orang kakak saya. Tanah inilah yang menjadi tapak rumah saya sekarang).

Pokoknya sudah tua dan tidak lagi mengeluarkan getah. Kebetulan ada orang kampung meminta untuk membeli kayu getah untuk membuat perabot.

Hasil jualan kayu pokok getah tua, gadai barang kemas mak, campur dengan tabungan mak, saya, bantuan dari 2 orang kakak yang bekerja dan sponsor 2 orang abang ipar, rumah kami siap dengan kos RM25K. Rumah 3 bilik dengan 1 bilik air. Kecik tapi lebih selesa.

Tahun pertama berkhidmat, saya tidak begitu menonjol. Saya penah dimarahi senior dan dimalukan di hadapan orang lain kerana melakukan kesalahan kecil. Kerana itu, saya cuma lebih banyak memerhati kerana bimbang mendapat malu.

Tahun kedua, saya berpindah negeri. Di sini, senior-seniornya jenis yang suka bagi peluang kepada junior untuk menonjol. Pertama kali dalam hidup, saya diarahkan menjadi juruacara majlis untuk satu majlis.

Saya takut sebenarnya, tapi azam nak ubah diri tu terlalu kuat. Dengan galakan daripada senior-senior membuatkan saya berani mengambil risiko. Itulah permulaan saya belajar bercakap di khalayak ramai.

Tahun ke3, saya diberi tugas yang lebih penting. Perlu berurusan dengan agensi-agensi luar dan orang ramai. Tugas yang sangat menyeronokkan. Bos saya seorang lelaki tua yang ‘strict’ dan ‘workaholic’.

Semasa mula bekerja dengan dia, saya stress kerana dia cerewet. Saya mengadu dengan seorang senior. Nasihat seorang senior tersebut berjaya mengubah keadaan.

Kata senior saya, katakan ‘yes’ 7 kali pada setiap arahan tanpa membantah, selepas itu saya akan memenangi kepercayaan dia.

Saya ikuti nasihat senior saya dan ternyata ia betul-betul membantu. Saya berjaya mendapat kepercayaan bos dan mudah bekerjasama dengan beliau.

Bos saya inilah yang banyak mengajar saya cara berurusan dengan orang, cara ‘entertain’ tetamu. Dia mentor yang mengajar saya ‘public relation skills’.

Sungguh, saya berterima kasih dengan beliau. Apabila saya berjaya mendapat status kontrak dan menjadi senior, saya ikut langkah senior saya dulu. Bagi peluang kepada junior untuk buat kerja mengikut cara mereka sendiri.

Start bekerja, saya mula merancang kewangan saya. Saya letakkan target berapa ribu saya perlu kumpul setahun dan apa yang akan saya buat dengan duit tersebut. 2006, saya menabung untuk bina rumah mak.

Masa ni, kerja sambilan, gaji saya sekitar RM2k sebulan. Apabila ditawarkan kontrak, gaji berubah dan mengecil iaitu sekitar RM1400 bersih sebulan.

2007, saya gunakan duit simpanan RM5K sebagai deposit membeli kereta. 2008, saya mengambil insuran sebagai perlindungan (10 tahun kemudian, saya terpaksa membatalkannya kerana masalah kewangan.

Saya tidak punya wang selepas rumah siap dan kontrak kerja ditamatkan. Duit insuran inilah yang membantu menyara saya selepas diberhentikan kerja).

2009, saya berpeluang bercuti ke luar negara buat pertama kali. Siapa sangka, tuah saya apabila abang ipar saya dihantar berkursus ke luar negara dan mengajak saya menemani kakak dan anak2nya bercuti.

Bayangkan seorang gadis miskin pertama kali menjejak kaki ke kota cinta Paris dan London. Bagaikan satu keajaiban.

Duit simpanan saya dari tahun 2008, saya gunakan untuk membayar tiket penerbangan sebanyak RM3K. Perbelanjaan lain ditanggung oleh abang ipar saya. Untuk menjimatkan perbelanjaan, kami menumpang tidur di rumah keluarga angkat abang ipar.

Dari situ saya beroleh keyakinan, banyak impian dan angan2 saya yang Allah makbulkan.

Saya berangan mahu jadi ‘reporter’, Allah berikan saya peluang memegang jawatan ketua editor majalah sekolah. Saya berangan menjadi arkitek, pelan lantai rumah mak dan rumah saya sekarang adalah hasil idea saya.

Masa sekolah saya bercita-cita mahu melanjutkan pengajian ke London gara-gara terpengaruh dengan drama Melayu. Saya berjaya juga sampai ke London walaupun cuma sebagai pelancong, bukan pelajar.

Saya mahu menjadi penulis, saya realisasikan dengan menulis beberapa confession di IIUMC, di group lain juga serta banyak menulis tentang pelbagai perkara di 2 akaun FB saya sendiri.

Saya mahu jadi yakin dan boleh bercakap di khalayak ramai, di hadapan ‘students’ sekolah, IPT dan pegawai-pegawai kerajaan juga sudah tercapai (Cerita lengkap di bab V nanti).

‘So, my point here is that never give up on something that you really want’. Bak kata pepatah Turki, ‘God made low branches for birds that cannot fly well’. Tak mampu mengubah dunia, ubahlah diri kita setakat termampu.

Itulah yang mengubah persepsi saya tentang hidup dan impian. Saya yakin ada harapan bagi mereka yang tidak putus asa. Ada kejayaan untuk mereka yang berusaha.

Anda kena berani keluar dari zon selesa. Jangan peduli kata-kata negatif. Jangan ikut orang jika tak sesuai dengan kita. Kejarlah apa yang anda mahu dan jangan berhenti daripada berimpian.

Mungkin ada pembaca hairan bagaimana saya boleh menyimpan duit dengan banyak. Untuk makluman, saya masih bujang dan tiada tanggungan. Tinggal pun di pinggir bandar yang tidak memerlukan kos yang tinggi selain gaya hidup saya juga sederhana.

Saya tidak gemar berjoli. Hobi saya juga tidak mahal. Saya hanya suka memasak, berkebun, menjahit, membaca buku dan mengemas rumah di hujung minggu.

Saya tidak suka lepak di kedai hipster, tidak suka menonton wayang atau makan benda mewah. Mungkin sebab sudah biasa hidup susah dari kecil.

Saya tidak membuat sebarang ‘part time’ untuk mencari duit saku. Pendapatan sampingan saya hanyalah daripada:

1. Duit OT, bergantung kepada keperluan. Bukan selalu.

2. Duit bonus. Biasanya 2x setahun.

3. Duit claim perjalanan apabila menghadiri kursus.

4. Duit ganjaran tamat kontrak.

5. Kereta saya jadi ‘Grab car’ untuk kawan2 balik kampung.

Kawan rapat saya tahu saya seorang yang sangat ‘particular’ dengan perbelanjaan kereta. Saya ada buku khas menanda duit minyak setiap bulan, kos ‘maintenance’, insurans dan duit minyak yang kawan saya hulurkan.

Saya bukan penjimat tegar tetapi penjimat berhemah. Saya suka shopping, melaram dan bercuti. Tetapi saya kawal pembelian dengan berhemah. Saya suka beli barang keperluan secara borong dan waktu sales.

Ada orang menghabiskan RM15 seminggu untuk mencuci kereta. Dalam sebulan, dia habiskan sekitar RM60. Setahun? RM720. Saya basuh sendiri kereta saya. jarang cuci di carwash. Dengan jumlah RM720 tadi anda boleh beli 1 dinar emas setiap tahun. Bayangkan jika 10 tahun.

2012, tahun terakhir saya memohon jawatan dengan SPA. Saya lulus dalam peperiksaan bertulis SPA untuk pegawai gred 41. Saya mendapat beberapa panggilan temuduga, malangnya semua gagal.

Saya yakin kegagalan saya kerana Allah merencanakan yang lain untuk saya. Ditakdirkan tahun tersebut kesihatan mak mulai merosot.

Saya satu-satunya anak mak yang belum berkahwin dan saya membuat keputusan penting, mengorbankan cita-cita saya untuk menjaga mak.

Saya berhenti mencari kerja dan kekal dengan kerja tersebut sehingga ditamatkan perkhidmatan. Pekerjaan saya ini memudahkan saya mengambil cuti apabila mak saya sakit dan orang lain tidak perlu menggantikan tempat saya.

Sebab itu, jangan lah bersangka buruk kenapa sesetengah orang statik dalam pekerjaan, mungkin ada perkara lain yang dia terpaksa korbankan. Jangan menghina anak dara tua yang tidak berkahwin. kita tidak tahu pengorbanan mereka yang mungkin menjaga orang tua.

Kesihatan mak saya tidaklah teruk sepanjang masa, tapi setiap bulan saya memandu sendirian hampir 400km sehala untuk balik menjenguk mak.

Hantar dia ke klinik, belikan barang dapur, mengemas rumah, memasak, basuh baju dan menyediakan barang keperluan serta bekalan.

Adik beradik saya ramai. Sulung dan bongsu je lelaki, diapit 9 perempuan dan saya perempuan terakhir.

Kakak2 saya kebanyakan surirumah dan tidak pandai memandu kereta. Selebihnya tinggal di negeri lain. Sekali sekala abang saya ambik alih tugas menghantar ke klinik jika saya tidak sempat balik.

Mak sangat baik. Tidak mahu menyusahkan anak-anak yang dah berkeluarga. Bimbang menyusahkan menantunya. Dia takkan minta tolong anak menantu. Hanya saya yang mak harapkan.

Saya anggap ini sebagai hikmah dan peluang saya berkhidmat untuk mak sebagai ladang pahala untuk saya.

Dua tahun kemudian, adik saya pula jatuh sakit. Selalu pengsan dan meracau-racau tidak sedarkan diri. Masa ni saya sudah mengeluarkan banyak duit simpanan saya membeli aset dengan beli tanah, kumpul emas, langsaikan hutang kereta.

Mujurlah gaji masa ni alami kenaikan yang agak banyak selepas kerajaan umum kenaikan beberapa peratus. Setiap kali gaji naik, saya lebihkan menyimpan dan lebihkan memberi.

Duit simpanan saya tinggal RM100 di dalam bank. Saya berjimat kerana perlu menghantar duit untuk adik saya berubat. Adik lelaki saya sudah tidak mampu mencari nafkah, menanggung isteri dan anak perempuannya.

Sebagai kakak, saya rasa bertanggungjawab menggalas tanggung jawab menghulur duit nafkah walaupun sedikit, agar beban kewangan adik ipar saya berkurang.

Saya selalu berpesan kepada junior2 saya, jika ada adik beradik yang susah, utamakan mereka dahulu.

Bila gaji saya naik dan dapat bonus, saya ambik inisiatif tolong bayar yuran sekolah 2 orang anak sedara dan bagi duit poket kepada adik ipar, anak sedara dan kakak saya yang kematian suami serta hidup susah.

2015, demi azam saya untuk memperbaiki kelemahan diri, saya menawarkan diri terlibat dengan projek KIK (kumpulan inovatif dan kreatif) meskipun tahu cabaran dan komitmen projek tersebut.

Orang lain bekerja jam 8-5. Kami bekerja dari jam 8 pagi hingga 1 pagi selama beberapa minggu. Saya mula jatuh sakit, balik je rumah saya menepek kat toilet, muntahkan asid perut sebab terkena gastrik.

Masa ni tekanan kerja melampau. Kawan saya yang sedang mengandung mengalami tumpah darah dan dinasihatkan doktor supaya berehat.

Dia keguguran tak lama kemudian. Seorang lagi pula terpaksa meninggalkan suami selepas dua hari berkahwin demi komitmen terhadap pertandingan tersebut.

Hasilnya, selepas beberapa peringkat tapisan dan pertandingan, team kami berjaya mendapat naib johan di peringkat jabatan dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM1500.

Terbayar sudah penat lelah kami. Walau bagaimanapun, kami kalah di peringkat kementerian. Saya gembira dengan kekalahan tersebut sebenarnya sebab sudah terlalu penat bekerja.

Kerana mahu mengubah diri saya menjadi lebih baik dan berpengalaman, saya banyak menawarkan diri untuk kerja2 sampingan di samping tugas hakiki.

Sebagai orang bujang, adakalanya beban tugas lebih diberi kepada saya. Tidak mengapa, saya anggap itu sebagai ujian buat saya. Mesti ada hikmah suatu hari nanti.

Betul sangkaan saya, tugas-tugas tersebut rupanya banyak melatih saya, memberi pengalaman yang tidak mungkin orang lain dapat. Ia juga satu peluang sebenarnya Allah bagi untuk saya realisasikan impian saya.

Saya pernah cerita sebelum ni bagaimana saya diketawakan kerana menggigil semasa ‘presentation’.

Saya bertekad satu hari nanti saya akan bercakap di khalayak ramai dengan yakin. Ia juga sebagai persediaan terhadap projek yang lebih besar kepada saya suatu hari nanti (saya ceritakan di bahagian akan datang).

Saya terlibat sebagai sukarelawan dan dijemput jadi penceramah jemputan kepada sebuah agensi kerajaan dalam program kepada student IPT. Saya membuat ‘proposal’ kepada bos untuk program-program ceramah di sekolah.

Bos saya luluskan ‘proposal’ saya. Alangkah gembiranya. Saya mengumpul bahan dan buat ‘slide’ untuk ceramah tetsebut. Beberapa rakan sejawat membantu saya untuk program-program ini.

Ketika ini, atas komitmen kerja dan personal loan membeli tanah, saya lupakan hasrat bercuti dan shopping. Saya cuma ambil cuti untuk membawa mak berjalan-jalan ke rumah kakak-kakak saya yang jauh di perantauan.

Nampak jelas betapa gembiranya mak dapat menziarahi anak-anak yang jarang pulang. Kakak-kakak saya juga gembira dapat berjumpa mak dan kenal rumah mereka.

Masa ni saya betul-betul tidak berduit, tetapi nekad menyimpan sedikit wang membawa mak saya bercuti di Cameron Highland. Saya bawa bersama adik saya sekeluarga untuk proses penyembuhan sakitnya yang saya agak berpunca dari tekanan perasaan.

Mak saya tahu saya tidak berduit sebab dah lama saya tak shopping. Kereta saya pula mengalami kerosakan. Mak berikan duit minyak kerana kesian.

Pernah beberapa tahun saya tidak membeli baju raya kerana mengutamakan family. Penah saya simpan duit untuk ke saloon rambut untuk reward diri, tapi membatalkannya untuk membayar yuran sekolah anak sedara.

Satu hari, mak saya mengadu keadaan kesihatan dia semakin merosot. Dia minta saya balik segera. Mak jatuh sakit sebaik saje saya pulang ke rumah.

Kali pertama mak meminta saya menghantar ke hospital kerana tidak boleh bernafas. Mak meminta saya memandikan dia sebelum ke hospital dan dimasukkan ke icu.

Kata doktor mak menghidap sakit buah pinggang tahap 4 dan doktor syak ada masalah paru2 juga. Betapa kuatnya mak menahan sakit.

Allah makbulkan doa mak yang tidak mahu menyusahkan anak2. Saya sempat mencuci najis mak semasa dia sakit sebelum ni meskipun zahirnya saya sangat penggeli.

Selama 2 minggu saya berulang alik ke hospital menziarahi mak. Tiada penjaga dibenarkan masuk kecuali waktu melawat.

Hari jumaat, 31 Mac 2017, mak menghembuskan nafas terakhir di hadapan saya dan 2 orang kakak. Saya uruskan sendiri semua urusan hospital. Saya turut serta memandi dan mengafankan jenazah mak sebagai khidmat terakhir saya.

Mak mengamanahkan saya urusan wasiat harta yang tinggal. Tanah2 semua telah diserah semasa arwah masih hidup. Hanya tinggal duit simpanan dan barang kemas. Abang, kakak2 dan adik lelaki saya terima segala keputusan saya walaupun saya cuma anak bongsu perempuan.

Kerana mereka tahu saya menjaga mak dan mak amanahkan saya urusan wasiat. Duit dan barang kemas mak, saya uruskan selepas merujuk pusat agama. Saya bahagikan 2/3 secara faraid dan 1/3 bahagian didermakan seperti wasiat mak.

Cukuplah setakat ni kisah saya. Jika admin izinkan, saya tulis untuk bab akhir selepas ini. Pembaca sekalian, uruslah kewangan anda dengan baik. Ketepikan kehendak diri untuk tabungan di waktu kecemasan.

Ketika menulis kisah ini saya sudah 4 bulan tidak bekerja tapi masih boleh meneruskan hidup dengan baik kerana sudah bebas hutang dan mempunyai tabungan yang cukup.

Jika gaji naik setiap tahun, lebihkan memberi dan bersedekah, bukan menaikkan taraf hidup. Belajarlah hidup sederhana mungkin bimbang jika satu hari nanti berlaku perkara tidak diingini.

Kepada yang masih punya ibu bapa, berbuat baiklah kepada keduanya. Utamakan mereka lebih daripada kepentingan peribadi. Juga bantulah keluarga terdekat dahulu dalam urusan sedekah. Saya yakin, akan ada ganjaran baik menanti suatu hari nanti.

Berhati2 lah dalam mengurus amanah orang. Sangat besar tanggungjawab. Jangan sesekali memakan harta haram atau mengambil hak orang lain. Sesungguhnya sebaik2 manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia lain.

Terima kasih.

– Dahlia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *