Gadis Miskin Yang Mahu Mengubah Diri

Hi pembaca sekalian, saya Dahlia. Pernah confess disini berkaitan pengurusan kewangan ‘Duit, Kerjaya dan Dugaan’ (https://iiumc.com/duit-kerjaya-dan-dugaan/).

Terima kasih untuk komen-komen yang sangat membina. Saya mohon maaf tidak dapat memperkenalkan diri. Kehilangan kerja bukan satu-satunya masalah yang saya hadapi ketika ini.

Ada masalah-masalah lain yang tidak boleh didedah kepada umum. Saya punya masalah di tempat kerja sebelum ni dan juga masalah peribadi sehingga menganggu kesihatan. Saya mengalami insomnia, tiada selera makan sehingga berat badan tinggal 34kg daripada 40kg.

Saya bimbang jika saya menghidap d3pr3ssion. Seorang kawan menasihat agar membuat ujian DASS (D3pr3ssion, anxiety dan stress scale) atau berjumpa pakar psikiatri.

Saya membuat sendiri ujian DASS di google dan mendapat markah 42 untuk d3pr3ssion (exteremely severe). 12 untuk anxiety (moderate) dan 32 untuk stress (severe).

Saya belum bersedia untuk berjumpa pakar psikiatri. Saya yakin masih boleh mengawalnya. Untuk menghilangkan rasa sedih melampau, saya habiskan masa berkebun, memasak, menjahit, membaca dan menulis.

Kadang2 saya menulis tentang masakan, tumbuhan, traveling, review buku dan kehidupan di kampung di akaun fb untuk mengasah bakat penulisan saya.

Kali ni saya ceritakan kisah saya berusaha untuk mengubah diri saya, atasi kekurangan saya, pernah dibuli dan kemiskinan pada zaman sekolah. Moga perkongsian ini membantu mereka yang mempunyai masalah yang sama untuk mengubah diri.

Lahir dalam keluarga yang miskin rasanya agak normal menjadikan kita rendah diri dan pemalu. Badan saya sangat kurus.

Masa umur 12 tahun, berat saya cuma 20kg. Saya demam panas yang hampir meragut nyawa ketika itu. Kakak-kakak saya menangis kerana saya sudah lembik dan tidak bersuara.

Mujur sempat diselamatkan dan dibawa untuk mendapatkan rawatan. Mak pernah bawa saya ke klinik 2 kali tetapi doktor tidak mengesan sebarang masalah, suhu badan saya juga normal.

Hanya bila nazak baru badan saya menunjukkan kesan. Rasanya terlalu lama saya dirawat di hospital, mungkin hampir sebulan kot. Dengan masalah kurang berat dan kurang darah.

Masa darjah 1, saya dibuli oleh budak lelaki. Penah disekeh dan dicekik. Rasa sedih dan hina. Saya tak pernah bercerita pada mak ayah. Saya berazam untuk ubah diri saya.

Masa tingkatan 4, saya nekad ambik kelas Taekwondo sehingga berjaya mendapat black belt first degree. Tiada lagi orang yang berani membuli saya.

Yuran masuk kelas Taekwondo bukannya murah, baju, yuran bulanan dan yuran ujian kenaikan tali pinggang sangat mahal bagi gadis miskin seperti saya.

Mak ayah tidak melarang dan tidak juga menyokong. Tapi sebab nak ubah diri, saya membuat kerja part time, bekerja di kedai makan milik sepupu.

Tugas saya memasak, mencuci pinggan mangkuk dan mengambil order. Tapak tangan saya kasar, mengelupas, nipis dan berdarah kerana alergik dengan pencuci pinggan.

Dengan duit buat kerja part time, saya beli beg sekolah pertama berharga RM14. Beli t-shirt baru, peralatan sukan sekolah serta membayar yuran kelas Taekwondo.

Selepas SPM, saya merantau ke Negeri Sembilan dan tinggal bersama kakak saya dan abang ipar. Saya bekerja di kilang kasut di Batu 8, Port Dickson. Abang ipar saya tentera, tinggal di kuarters batu 5. Hasil gaji inilah saya simpan jika berjaya masuk universiti.

Sayangnya result SPM dapat pangkat 1 tapi cuma 22 agregat. Saya membuat keputusan menyambung pelajaran ke tingkatan 6 di sebuah sekolah terkenal di negeri saya.

Masa tu sekolah saya terpilih menjadi sekolah rintis Bestari. Dengan duit kerja kilang inilah saya bayar yuran sekolah yang agak mahal dan membeli peralatan sekolah. Saya mahu dapat pendidikan terbaik di bandar.

Mak ayah saya miskin dan tidak berpendidikan. Sejak kecil saya dilatih berdikari, saya uruskan sendiri pertukaran sekolah dan menyediakan duit belanja.

Kakak saya nyaris berhenti sekolah kerana masalah kewangan tapi atas ihsan guru-guru, dia berjaya tamat persekolahan dan melanjutkan pelajaran ke UPSI.

Saya berjaya menamatkan STPM. Sayangnya surat jemputan lambat sampai kat rumah, tak merasa naik pentas terima hadiah anugerah pelajar cemerlang bagi Top 10 student STPM.

Selepas exam, saya merantau ke Selangor, bekerja di kilang elektronik milik Jepun di Sungai Way. Sempat kerja 3 bulan dan kumpul RM700 untuk bekal masuk universiti.

Alhamdulillah, saya berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Utara Malaysia. Tahun 2000, tahun pertama PTPTN memperkenalkan pemberian wang pendahuluan kepada pelajar yang bakal memasuki universiti sebanyak RM1500.

Bantuan ni sangat membantu pelajar miskin membuat persediaan. Mak gembira kerana saya berjaya masuk U dan saya usahakan sendiri mencari duit. Tidak mahu menyusahkan ibubapa.

Cukuplah kisah saya berhenti di sini buat kali ni. Saya akan sambung pada Part 2. Sedikit nasihat dan ped0man untuk adik2 dan pembaca yang dikasihi:

1. Jika anda rasa stress dan mempunyai simptom d3pr3ssion, cepat-cepat dapatkan rawatan. Cari orang yang dipercayai untuk luah dan boleh bagi sokongan.

Cari dan buat aktiviti yang anda suka untuk sibukkan diri dari memikirkan masalah, selain dekatkan diri dengan Pencipta.

2. Bagi mereka yang diberi peluang hidup kali kedua, manfaatkanlah umur anda membuat kebajikan. Mungkin ada tujuan lain Allah menghantar anda ke dunia selain untuk beribadah kepadaNya, iaitu membantu orang lain dan mengubah hidup mereka.

3. Kepada mangsa buli, bangkitlah mempertahankan hak dan jangan kalah dengan pembuli. Jangan jadi lemah. Jangan jadikan kelemahan fizikal untuk terus dibuli.

4. Kepada adik-adik yang masih belajar, usahakan cari duit poket masa cuti sekolah atau semester. Baru adik-adik rasa susah payah dapatkan duit dan latih diri menguruskan kewangan dengan betul.

5. Jangan biasakan diri duduk dalam zon selesa. Jika ada peluang, berhijrahlah mencari pengalaman hidup dan bersosial. Anda akan mudah menyesuaikan diri dengan tempat baru dan menambah rakan.

Sekian.

– Dahlia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *