Haid

Saya Leya. Berumur 29 tahun. Sudah mendirikan rumah tangga 2 tahun tapi masih belum dikurniakan anak. Saya terpanggil untuk menulis confession ni bila terbaca tentang PCOS yang ditulis oleh -Wanita PCOS- dalam confession nya di sini sebentar tadi.

Sebelum tu tahniah saya ucapkan pada dia sebab bertindak awal berusaha merawat penyakit tersebut sebelum kahwin.

Jujurnya sebagai wanita berkahwin, saya rasa sudah cukup lewat bilamana masih tidak mempunyai zuriat setelah 2 tahun berkahwin dan tinggal bersama suami. Walaupun doktor mengesahkan saya bukan PCOS, tapi saya merupakan seorang wanita yang mempunyai kitaran haid tidak normal. Kadang2 pernah haid saya tidak datang selama 6 bulan – paling lama. Kadang2 sebulan, 3 bulan, dan sebagainya. Memang agak sukar bila ditanya berapa bulan sekali datang haid?

Sebenarnya kitaran haid saya yang tidak teratur ni sudah bermula semasa saya mula2 datang period. Masa tu umur 13 tahun. Sehingga sekarang umur saya 29 tahun, haid saya tidak pernah stabil. Dan ini merupakan antara punca utama saya masih gagal untuk mengandung selain daripada tiada rezeki lagi.

Saya sekarang sedang menjalani rawatan kesuburan di hospital. Saya memulakan rawatan bersama suami setelah usia perkahwinan mencecah setahun.

Ya, dan sekarang saya sangat kecewa kerana tidak mula merawat haid yang tidak teratur ni sedari awal. Sewaktu remaja, saya menyedapkan hati dengan mengatakan haid tidak teratur ialah perkara biasa bagi seorang remaja yang baru tumbuh hormon. Semasa di ipta, saya menyedapkan hati dengan mengatakan ianya berpunca dari stress belajar menyebabkan haid on off datang. Bila habis belajar dan mula bekerja, sekali lagi saya menyedapkan hati denga mengatakan bila kahwin nanti, masalah ni pasti akan selesai. Dan saya berkahwin pada umur 27 tahun. Period saya tetap seperti biasa. 3 4 bulan sekali ianya datang. Kadang2 6 7 bulan sekali datang. Genap setahun setelah tidak menunjukkan tanda2 hamil, saya ke hospital untuk melakukan pemeriksaan sekaligus rawatan. Dan perkara yang saya takutkan sudah terjadi. Suami saya normal. Kitaran haid saya yang bermasalah menyukarkan saya untuk hamil. Kerana menurut doktor, jika tiada haid bermaksud tiada telur yang dihasilkan oleh sistem pembiakan saya.

Selain ke hospital saya juga berurut dengan bidan2. Makanan tambahan, suplimen, ubat ubatan, susu, dan sebagainya semua saya cuba jika ada yang mengesyorkan. Sampai satu tahap saya fedup sampai saya rasa ianya hanya buang duit, tenaga dan masa saya. Saya kecewa dan menyesal kerana tidak merawat period yang tidak teratur ni sedari awal. Ya, mungkin rezeki saya belum tiba, tapi bila mengenangkan ianya berpunca dari period saya, saya jadi down. Sebab benda tu dah lama menghantui saya tapi saya ambik mudah. Saya tak cuba mengatasi sedari awal.

Saya kecewa. Rawatan tetap saya teruskan tetapi yang membuat saya kecewa apabila rawatan tersebut bukan fokus pada membantu kehamilan saya tetapi lebih kepada menstabilkan dulu period saya. Sehingga kadang2 buatkan saya letih dan keliru. Pernah saya dinasihatkan mengambil sejenis ubat untuk membetulkan period, tetapi pada masa yang sama ubat itu tidak akan membantu saya untuk mengandung kerana ianya sangat panas. Bila saya tidak mahu mencuba, dikatanya saya tergesa gesa nak anak sehingga tidak sedar yang period tidak teratur. Betulkan dulu period, baru boleh fikir pasal anak. Katanya…

Pernah saya di sound oleh seorang bidan yang sedang mengurut saya. Masa tu saya tidak datang period hampir 5 bulan. Orang yang terlalu nak anak seperti saya sebenarnya selalu mengharapkan yang diri tengah mengandung bila tak datang period dalam tempoh lama walaupun sebenarnya ia perkara biasa. Bila bidan tu mula mengurut dengan kuat di bahagian perut, saya tiba2 bagitahu makcik tu supaya jangan urut terlampau kuat takut dah ada baby dalam perut. Makcik tu ketawa. Dia jawab “awak jangan fikir pasal nak mengandung selagi period awak belum teratur. Awak kena betulkan period dulu. Baru kita ikhtiar pulak untuk mengandung”. Jawapannya seolah2 mustahil saya akan mengandung sebab period tak teratur.
Kadang2 ada yang nasihatkan saya supaya bersenam. Saya join kelas zumba dan renang tapi dalam masa sama ada yang menasihatkan saya agar jangan lasak takut baby dah lekat(masa tu period saya lambat 3 bulan). Penat sangat bila jadi macam ni. Rasa tak tahu nak ikut yang mana. Last2 kecewa dan sedih.

Untuk pembaca di luar sana, cuma 1 nasihat saya. Jika anda masih belum berkahwin tapi ada simptom2 yang memungkinkan anda sukar untuk hamil, tolonglah rawat segera. Jangan tunggu dah kahwin baru nak menggelabah. Sebab semua tu akan jadi lebih stress. Mana nak rawat penyakit, mana nak ikhtiar dapatkan anak. Lebih parah jika suami tidak faham dan tidak memberi sokongan. Fikirkanlah…

Sekarang ni saya tetap akan teruskan rawatan dan berdoa. Semoga rezeki saya dan suami akan tiba juga suatu hari nanti. Mohon semua pembaca tolong doakan agar saya dikurniakan zuriat secepat mungkin. Amin..

– Leya

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit