Hari Ibu dan Saya II

Assalamualaikum semua pembaca. Salam penghujung Ramadhan. Selamat datang Syawal.

Ada yang masih ingat tentang cerita saya?

“Hari Ibu dan Saya” (https://iiumc.com/hari-ibu-dan-saya/)

Baru-baru ni kita juga baru menyambut Hari Ibu. Alhamdulillah.. Hari Ibu yang bermakna buat saya.

Anak sulung saya, suka melukis. Suka mewarna. Macam-macam dia lukis. Bila dah lukis sesuatu lukisan tu, dia akan ceritakan pada saya semula, apa keseluruhan cerita tentang lukisan dia.

Mungkin inilah gambaran pelukis-pelukis tentang sesuatu karya. Setiap gambar, ada cerita.

Kadang, dia hanya lukis watak seorang kanak-kanak, tapi ekspresi lukisan tu buat saya kagum. Ekspresi menangis, takut, geram, ketawa. Sangat menjadi. Tergelak saya.

Kalau lukisan terkejut, keningnya semua dilukis atas kepala. Siap mata terjojol terkeluar. Punyalah dramatik. Dengan satu gambar, penceritaan dia boleh sampai ke bulan. Layan… Haha.

Melihatkan minat dia ke arah itu, saya mula bawak dia sertai pertandingan melukis dan mewarna.

Alhamdulillah. Percubaan pertama, dia dapat nombor dua untuk kategori umur dia – 6 tahun. Bukan main seronok dia. Buat masa sekarang terhenti dek PKP.

Hari Ibu yang lalu, dia suruh saya pejam mata. Saya pun pejam.

“Tadaaaa..”

Dia beri saya lukisan. Dalam lukisan tu ada saya, dia dan adik dia. Baju kami diwarnakan Ungu. Posing, baju yang sangat familiar.

Ya, dia lukis kembali gambar Hari Raya kami tahun lepas. Sebijik. Kami sedondon bewarna ungu.

Pada ketika itu, anak kecik saya masih baby. Lukisan tu bertajuk Keluarga. Dibawah gambar ditulis Ummi, Kakak, Adik. Bezanya, lukisan yang sama tapi mereka dah dewasa.

Mata saya mula berkaca.

“Selamat Hari Ummi..!” sambil senyum-senyum menunjukkan giginya yang rongak.

“Kakak lukis gambar kita raya ke?”

“Iyalah..”

“Tapi, kenapa tak sama? Dulukan adik kecik lagi, mana pakai songkok?”

“Iyalah.. Ni gambar kakak ngan adik bila da besar nanti. Kakak ngan adik akan ja…ga ummi. Sayang ummi.”

Saya tak dapat tahan sebak. Saya menangis.

Bukan ucapan yang saya harapkan. Bukan hadiah yang saya pinta. Sebaknya saya kerana anak yang baru berusia 6 tahun sudah semakin faham dengan jalan cerita hidup kami anak-beranak.

Dia sentiasa ada dengan saya. Saya juga faham dia dan sentiasa belajar mencuba memahami naluri kecilnya. Saya tahu banyak yang dia cuba terjemahkan melalui lukisannya. Saya belajar banyak dari dia. Belajar jadi seorang Ibu, kawan biasa, kawan baik, kawan gaduh. ;)

Alhamdulillah urusan Fasakh saya telah selesai. Tahun ini, Syawal pertama saya official bergelar Ibu Tunggal. Walaupun dah bertahun juga saya memegang gelaran Ibu Tinggal. Huhu. Perasaannya amat berbeza. Saya rasa lega. Allah juga permudahkan rezeki saya membeli rumah baru.

Walaupun hanya rumah subsale lama kos murah tahun 80an, jadilah Syurga Dunia buat kami anak beranak.

Masa tengok rumah tu memang nangislah keadaannya. Tapi itu jelah yang termampu. Saya nangis siap-siap dan mula melakar impian. Seronok saya dapat kembalikan hobi saya. Saya minat deko.

Rumah yang awalnya anak saya pun tidak mahu. Yelah, sebelum ni, rumah kami besar. Tinggal dikejiranan yang dikata ‘have-have’. Sekarang duduk di rumah kecil. Yang saiz ruang tamu sekali dapurnya sama saiz dengan bilik master saya dulu.

Jatuh terduduk? Tidak. Inilah permulaan baru saya. Tapi kini, anak saya tak sabar nak masuk rumah baru dia. Berulang kali cakap pada saya, “Terima kasih ummi, buatkan rumah kakak cantik-cantik.”

Padahal saya tidak membuat sebarang renovasi. Belom berkemampuan. Hanya memperindahkan agar sedap mata memandang. Semua saya buat sendiri. Terasa dihargai bila si kecil memuji.

Saya seronok belajar di youtube dan perkongsian orang lain tentang ilmu-ilmu pertukangan, mulalah bercita-cita nak ada set complete barangan hardware. Juga kebun mini di rumah. Saya catatkan seperti jurnal setiap satu perjalanan dalam membina Syurga Dunia saya sebagai terapi jiwa.

Bersyukur Ya Allah. Rezeki itu datang dari pelbagai sudut dan arah.

Allah beri saya kekuatan luar biasa. Jerih payah saya turun naik sana sini sendirian uruskan rumah, uruskan hal penceraian dengan kekangan kewangan juga kudrat tenaga akhirnya berbaloi. Tinggal satu urusan belom selesai, harta sepencarian. Semoga urusan saya dipermudahkan.

Terlalu banyak yang saya belajar. Ada ketikanya saya down. Jadi saya jumpa doktor. Bercakap dengan doktor. Bercakap dengan kaunselor. Itu rutin saya. Saya pesakit kemurungan dan trauma (PTSD). Memang dari sebelum kahwin. Bukan semua orang boleh paham.

Dulu, Bongsai juga kata dia paham saya, tapi akhirnya dia kata saya ‘gila’. Ada ketikanya, sakit tulang belakang kembali menyerang.

Saya pernah jalani fisioterapi di hospital. Punca? Domestic abuse. Saya bodoh. Saya tak lapor. Bongsai tu tak padan kecik, kemain dia smack down saya macam WWE atas tiket suami. (Dalam tuntutan Fasakh, saya nyatakan semua ni.)

Jadi setiap kali saya nak angkat barang berat, saya ingatkan diri saya tentang postur yang betul. Saya nak hidup lebih baik. Demi anak-anak.

Jika dulu, si Bongsai pernah hina saya. Saya ni terlalu ‘besar’ buat dia. Saya gemok macam lembu. Padahal dia yang kecik. Bila ada yang lain, dia lembukan saya. Rasa nak lempang.

Masa baru nak kahwin, kemain cakap saya kerengga. Spesis zoo agaknya saya ni dimata dia. Dari level serangga terus naik taraf ke haiwan ternakan. Mungkin sekarang, saya terlalu penat membuatkan badan saya agak susut banyak.

Penat dengan hal pindah rumah dan sebagainya. Dan saya buat dua kerja. Lagipula, saya semakin aktif berlari sana-sini yang dulunya seolah-olah disekat. Saya lebih enjoy dengan virtual run. Lari sendiri-sendiri. Dari accumulate 20km sebulan, sekarang ke 50km. Dan saya nak cuba 100km.

Adakalanya, saya bawak anak-anak saya sertai saya. Seronok dan kadangkala mencabar. Saya kuatkan bonding saya dan anak-anak dengan pelbagai aktiviti. Bagi saya, gemok boleh kurus. Tapi kalau dah bongsai, manakan boleh jadi setinggi petai..

Saya rasa seronok dan bahagia sekarang. Saya dah keluar dari kehidupan bertoksik saya. Sayangi diri, cipta bahagia, kerana itu bermula dari diri untuk diri.

Terima kasih Allah atas nikmatMu ini. Terima kasih rezekikan hambaMu ini anak-anak buat penawar peneman jiwa. Inilah hadiah yang bermakna.

– Aloya Lempoyang (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *