Hari Ibu dan Saya

Assalamualaikum semua. Puasa tak tu? Semoga dikurniakan kekuatan dan terusan Istiqamah untuk menunaikan ibadah kepada Allah.

Saya cuba ringkaskan, compactkan apa yang nak dikongsikan walalupun panjang. Semoga apa yang saya kongsi, buruknya menjadi teladan, baiknya jadi sempadan.

Saya, ibu sepasang anak. Alhamdulillah. Umur betul-betul ditengah 30. Bekerja. Setiap kali hari ibu, ada gurisan dalam hati saya. Tapi itu juga merupakan kekuatan saya. Saya tak pernah terima apa-apa ucapan, “Selamat Hari Ummi”, “Ibu”, “Mama” dari sesiapa. Tapi saya menganggap semua ucapan general “To All Mothers” tu untuk saya juga. ;)

Yelah.. Anak saya kecil lagi. Yang sulung baru 5 tahun, yang kecil baru masuk 6 bulan. Debab budaknya. Tapi saya tahu, mereka menyayangi saya. Kakak setiap hari peluk saya, “Sa..yang ummi..” Bila nak pergi kerja, dihantar saya sampai depan pagar, sambil tanya,

“Ummi, balik cepat ye? Ummi keje baik-baik tau.. Ummi keje ke? Ummi jangan keje lah..” dan babai saya sampai saya hilang dari pandangan mata dia. Ada ketikanya, dia berlari kejar saya. Nak salam lagi katanya. Ulanglah sampai 30 kali. Itulah anak. Anak saya, juga anak-anak yang lain pastinya.

Seorang ibu tak perlukan kata-kata ucapan. Cukup mereka menjadi anak yang cemerlang dunia dan akhirat. Kerana kita ini yang sebenarnya menumpang kasih sayang mereka. Dan dari doa mereka jugalah yang membantu kita di barzakh sana.

Gurisan dalam hati saya cukup pedih. Saya mengalami trauma yang agak dasyat selepas terjatuh ketika jungle trekking yang merubah kehidupan saya. Trauma ini sukar dilupakan meskipun sudah 17 tahun berlalu.

Saya lambat dapat anak. Selain trauma, saya menghidapi cyst yang menyukarkan saya dapat anak. Keluarga mertua memang berharap tinggi nak cucu dan ini menjadi isu. Kerana suami, anak lelaki tunggal. Dan kerana ini, menjadi salah satu punca ketegangan hubungan antara saya dan keluarga mertua.

Pengetahuan tentang penyakit-penyakit wanita sebenarnya masih lagi rendah di kalangan kita apatah lagi ibu bapa veteran. Begitu juga dengan suami. Ada yang faham, ramai juga yang sebaliknya. Ada juga yang cuba faham, tak jadi faham, terus taknak faham.

Saat saya tahu saya bakal jadi ibu (setelah menjalani rawatan), keadaan rumahtangga saya semakin dingin. Suami hantar saya pulang ke rumah mak ayah saya atas sebab saya mabuk teruk. Dengan jadual kerja yang tak menentu menyukarkan dia untuk menjaga saya.

Sejak hari itu, setiap hari saya tunggu dia balik. Dan akhirnya saya ditinggalkan sendirian menghadapi liku-liku bergelar seorang ibu. Bukankah berita ini yang mereka mahu? Saya dituduh menantu derhaka dan sebagainya hanya kerana saya tak balik kesana.

Taknak berpanjangan, saya diamkan sahaja. Dalam saya diam, dia memfailkan penceraian saat kandungan saya 5 bulan. Kes tertangguh kerana keadaan saya yang teruk. Dan suami hanya datang ketika saya dah nak masuk labour room.

Katanya, dia hanya nak tengok seksanya saya bila beranak akibat derhaka dekat ibunya. Itulah hari dia munculkan diri sejak dari awal saya mengandung. Itupun pihak hospital yang hubungi.

Saya begitu tersentuh dengan adanya Hari Ibu. Saya betul-betul merasainya. Bercakap dengan anak sendirian, dengan perut memboyot mencuba mencakupi segala keperluannya. Mujur saya hidup bergaji. Setelah beranak, saya teruskan hidup seperti biasa. Duduk dirumah keluarga saya. Rumah yang saya duduki sepanjang perkahwinan sampailah saya ‘dihantar’ pulang itu telah disewakan fully furnished.

Lagipula, kami ada membeli rumah yang jauh lebih selesa. Dan rezeki anak, dapat kunci rumah ketika saya berpantang. 2 tahun tunggu rumah tu siap. Tapi apakan daya, kerana saya sedang berpantang, dia yang uruskan hal rumah baru. Tiada khabar berita selepas itu.

Saya tetap ibu tinggal. Saya tak pernah dapat tengok rumah baru saya. Sampailah anak saya 8 bulan, terjentik dihati saya. Kehidupan apa yang sedang saya lalui? Saya rasa tidak adil kepada anak jika saya tidak berbuat sesuatu.

Saya muhasabah. Saya turunkan ego saya untuk cari dia. Berusaha bina semula keluarga. Niat saya hanya satu, sebab anak. Sekurang-kurangnya saya tidak ralat kerana dah mencuba walaupun keluarga saya menentang.

Suami bersetuju. Dan kami berusaha bina kembali yang telah runtuh. Kes penceraian ditarik semula. Saat saya menjejakkan kaki ke rumah baru, saya menangis semahu-mahunya. Kepada keluarga mertua, saya baiki hubungan. Sebenarnya saya memang rapat dengan pakcik-makcik keluarga belah mertua.  Di kampung, memang saya ‘cucu’ kuat dapor.

Saya dapat rasa kehidupan bekeluarga yang lengkap untuk berapa ketika. Dia juga banyak berubah. Banyak. Dia cinta pertama saya dari zaman lepas sekolah sehingga berkahwin. Tidak ada lelaki lain. Dulu, bukan saya yang suka dia. Saya sukakan lelaki yang tinggi. Kerana kesungguhan dia, saya terima walaupun dia level-level bongsai je. Biasalah, apa yang kita tak suka itulah yang kita dapat.

Begitu juga saya. Cuba ubah diri ini yang sememangnya kurang. Sehinggalah suami memberitahu saya yang dia dah kahwin lari di Thailand. Niat dia satu, nak selamatkan dan bimbing si janda. Saya rasa sesak nak mati. Dalam hati saya, muka sampan tinggi bongsai macam ni pun orang nak sondol? Sedih, pedih.

Orang pertama yang saya beritahu adalah mertua. Saya tak dapat nak bekerja sepanjang minggu itu. Deringan telefon tak henti-henti dari pakcik makcik keluarga belah mertua yang cuba memberi sokongan terhadap saya. Bila macam ni, keluarga mertua lah yang berada di belakang saya. Mereka rasa marah dibelakangi. Dipujuknya saya agar bersabar, fikirkan anak.

Saya rahsiakan hal ini dari pengetahuan keluarga saya kerana malu. Saya hadapi sendirian kerana tak mampu nak meluah rasa. Saya tidak bercerita dengan sesiapa mahupun kawan sendiri. Entah. Rasa tersilap langkah.

Saya memang tak aktif dalam media sosial. Jika tengok facebook saya juga sendu. Bilangan rakan maya yang sendu. Post yang sendu. Dan saya bukan orang yang gemar muatnaik status. Saya bataskan privasi kehidupan saya cukup untuk diri saya. Jadi tidak ramai dapat menghidu. Berbeza saya dengan suami. Dia kalau boleh gambar tengah pegang gayung nak mandi pun dia upload.

Saya cuba mencari hikmah atas musibah ini. Saya cuba terima. Belajar redha. Cuba beri masa. Terima hakikat yang dalam kehidupan saya ada orang lain. Saya tak pernah sekalipun serang dia. Tidak pernah berjumpa dengan dia. Saya katakan dalam hati, jika benar suami nak berkahwin untuk membimbing atas jalan agama, saya terima. Lagipun, niat saya untuk anak.

Beberapa tahun berlalu.

Saya rasakan seperti ibu tinggal. Seperti biasa, jadual kerja suami yang tak menentu. Balik ikut hari. Tiada masa. Seperti semuanya saya uruskan sendiri. Jangan kata saya tak mencuba. Bukan ditentang kawin dua itu. Tapi biarlah diletakkan pada tempat yang betul.

Masa untuk anak saya juga sudah terbahagi. Anak saya juga terpaksa bersaing masa dan kasih dengan seorang perempuan dewasa. Tidak adil bukan? Pernah saya cuba minta cerai kerana tidak mahu teruskan.

Dia minta saya beri dia masa perbaiki keadaan. Pernah dia diberhentikan kerja. Saya menanggung segalanya. Ya. Wanita itu tidak bekerja. Saya masih mencuba dan bertahan. Saya minta Allah berikan saya kekuatan dan kesabaran.

Dia cuba ikat saya dengan anak. Dan akhirnya saya mengandung anak kedua pada tahun lepas. Cukup, saya tak mahu ingat.

Nak dijadikan cerita, berlaku satu kejadian yang saya langsung tak boleh terima. Saya rasa tertipu. Dikhianati, tidak adil. Saya katakan pada suami, cukuplah setakat ini derita saya. Saya nekad, di usia kandungan baru mencecah 7 minggu, saya failkan penceraian.

Dan saya beritahu perkara sebenar kepada keluarga saya yang selama ini saya diduakan. Walau.. Sebenarnya, keluarga saya dah sedari tahu kerana suami kantoi beberapa kali. Sengaja mereka diamkan.

Saya tekad bercerai walaupun dia memang tak mahu melepaskan saya. Dia kata saya nusyuz. Tak layak dinafkahi. Dan sejak itu saya dibiarkan bergantung tak bertali akibat tercabar dan dendam. Rumah kami dijual. Rumah yang penuh tangisan. Ketika melangkah masuk juga keluar.

Tetapi tangisan keluar itu dengan segala tekad dan kekuatan. Saya perlu tamatkan kehidupan bertoksid saya. Dengan bangga dia mempamerkan wajah wanita itu untuk umum yang selama ini dia sembunyikan. Tanpa rasa bersalah dan tidak menghormati perasaan ahli keluarga saya. Keluarga mertua? Saya diamkan diri dari mereka. Cukuplah segala emosi yang roller-coaster.

Sekali lagi saya sendirian berjuang melalui segala kepayahan mengandung dan melahirkan. Berulang kali warded. Ada diabetic. Tekanan darah rendah. Bleeding. Saya dah duduk dalam wad dari minggu 33. Setiap hari, yang datang melawat saya tanpa gagal, abah dan anak saya, si kakak, yang petah berbicara.

“Ummi sakit ea? Ummi cepat baik tau. Ummi nanti keluarkan adik tau,” sambil cium-cium perut saya. Sebab itu saya katakan, kita ini yang menumpang kasih sayang mereka.

Dan akhirnya saya selamat melahirkan anak di hospital ditemani jururawat-jururawat yang sangat baik budi pada genap minggu ke 36. Sungguh.. Dikelilingi dengan orang baik itu satu nikmat.

Saat di labour room, saat itulah saya hamburkan segala rasa kesedihan, kepayahan, kekecewaan yang selama ini saya sembunyikan dari orang. Sakit bersalin itu sementelah hilang bila terlihat bayi yang merah, tembam dan menangis itu.

“Puan, ini bayi apa?”

“Boyyy..”

Tiada lagi orang yang datang dengan wajah kebencian yang hanya nak melihat seksanya sakit beranak. Sedangkan sakit bersalin itu nikmat. Saya rasa tenang, lebih kuat dan bersyukur. Kerana itu, Hari Ibu itu besar maknanya bagi saya walaupun hari-hari adalah hari ibu.

Selamat Hari Ibu buat saya.

Juga wanita-wanita yang kuat diluar sana.

Saya doakan semoga kita ini dirahmati.

Semoga urusan saya dipermudahkan. Aamiin.

– Puan Aloya Lempoyang (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *