Hati-hati Dengan Pakej Umrah Murah

Assalamualaikum buat pembaca-pembaca IIUM Confession sekalian.

Pakej umrah murah yang saya maksudkan adalah pakej yang kosnya dibawah RM 4000. Mungkin ada travel agency yang betul-betul menawarkan pakej umrah murah tanpa unsur penipuan tapi saya rasa terpanggil untuk beri peringatan pada mereka yang terfikir untuk mendaftar dengan pakej umrah murah ni.

Saya dapat tahu tentang pakej ni dari pak sedara saya yang baru saja balik dari umrah dengan syarikat tersebut (pada masa itu). Dan pakej tersebut berharga RM 3800 dengan lebihan kos (katanya) ditanggung oleh hartawan yang baik hati nak sedekah. Jadi memandangkan pak sedara saya dan keluarganya dah pernah pergi dengan travel agency tersebut, saya dan keluarga rasa lebih yakin untuk mendaftar.

Dipendekkan cerita kami sepatutnya berlepas pada hujung bulan 3 tahun ni dan kisahnya bermula disini. Keraguan yang pertama timbul bila ayah saya dan ahli-ahli umrah yang lain meminta surat formal mengerjakan umrah untuk diserahkan pada majikan bagi permohonan cuti. Tapi walau sudah beberapa kali diminta namun pasangan yang mengendalikan umrah ni (kami panggil Abang Long dan Kak Long) tidak dapat mengemukakan surat tersebut.

Keraguan kedua pula timbul bila waktu berlepas ke tanah suci yang beberapa kali ditunda. Kami yang sepatutnya berlepas pada hujung bulan 3 diberitahu kira-kira seminggu sebelum berlepas yang tarikh berangkat terpaksa ditunda kerana masalah VISA sangkut. Tarikh kemudiannya ditunda ke bulan 5 namun masalah sama timbul apabila pihak travel agency senyap tanpa sebarang berita.

Hal yang sama berlaku dari bulan 5 ke bulan 6, dan akhirnya ditunda ke bulan selepas haji iaitu bulan 10 dan ditunda lagi ke bulan 11. Akhirnya kami buat keputusan untuk menarik diri dari pakej umrah tersebut.

Dari 50-60 orang yang mendaftar pada mulanya, yang tinggal hanyalah 20 orang semasa kami menarik diri. Dan setiap kali pun kami dijanjikan yang kami bakal berlepas pada sekian-sekian tarikh namun perkara sama berlaku apabila harapan kami sekali lagi musnah apabila tarikh tersebut ditunda lagi. Namun alhamdulillah duit kami tetap dipulangkan semula selepas itu.

Mungkin ini semua hanyalah ujian daripada Allah bagi kami yang pertama kali ingin mengerjakan umrah dan mungkin betul travel agency tersebut mempunyai masalah dalam mengendalikan pakej umrah tersebut tapi saya pernah bercerita tentang hal ni pada seorang kakak yang pernah mengikuti kursus pengendalian jemaah umrah dan haji dan katanya kos RM 3800 tu masih lagi tidak cukup untuk menampung kos hotel, flight, barang-barang dan sebagainya.

Dan katanya lagi, sebenarnya kebanyakan travel agency yang menjanjikan umrah murah ni menggunakan duit dari orang-orang yang mendaftar umrah selepas kami (mereka yang baru mendaftar) untuk membiayai kos sebenar pakej umrah yang menyebabkan tarikh selalu ditunda (untuk rolling duit).

Dan sebelum saya dan keluarga tarik diri tu kami dengar travel agency tu nak buka untuk umrah RM 1500 pula. Kebetulan waktu saya dan mak hantar beg umrah, ramai yang sedang mendaftar dan ada sebahagiannya dari orang kampung kami juga. Bila mak saya gosip2 dengan diorang ni, kami dapat tahu yang travel agency ni cakap kami tak dapat pergi sebab mak saya takde mahram walaupun kami rancang nak pergi sekeluarga.

Saya cuma rasa sedih sebab kami dah rasa semangat nak pergi, buat kenduri doa selamat, beli barang2, susun dalam beg, dah siap letak tepi pintu tapi tak dapat pergi sebab ditunda beberapa kali dengan alasan demi alasan. Kalau sebulan dua boleh terima lagi tapi dari bulan 3 ke bulan 11? Saya cuma tak nak perkara yang sama berlaku pada orang lain.

Jadi sebaik-baiknya daftarlah dengan syarikat travel agency yang boleh dipercayai walaupun kosnya mahal sikit. Sekurang-kurangnya terjamin pergi dan balik. Ada juga kes umrah murah ni yang terkandas di airport masa di tanah suci tak lepas balik sampai terpaksa balik guna duit sendiri. Jadi hati-hatilah..Kalau duit dipulangkan takpe lagi, kalau tak macam mana?

Pak sedara saya yang pergi sebelum ni pun ada daftar untuk haji tahun ni di bawah syarikat yang sama dengan kos RM 15 000 tapi tak dapat pergi dan cuma diberitahu beberapa hari sebelum berlepas. Akhirnya dia pun tarik diri juga. Ada yang pernah daftar dengan pakej umrah murah ni tak? Mungkin boleh share pengalaman positif atau negatif.

Terima kasih dan assalamualaikum.

– D

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *