Hikmah Belum Bernikah

Hikmah Belum Bernikah

Untuk kamu yang belum bernikah disini Tok nak kongsi hikmah yang utama kamu dapat sekiranya belum bernikah.

Pertama, kamu punya masa yang banyak.

Terlalu banyak masa yang kamu boleh habiskan dengan perkara yang berfaedah. Antaranya, mencari ilmu yang bermanfaat. Kamu boleh pergi ke kelas agama. Belajar dan bertadabur al-Quran. Mendengar ceramah-ceramah di dalam YouTube.

Boleh jadi kamu sedang memperbaiki dirimu. Menambah kemahiran. Tambah sahaja skil yang boleh beri tambah nilai untuk dirimu. Belajar berkomunikasi, belajar pelbagai bahasa, belajar etika, belajar ilmu-ilmu jahitan atau mengait. Belajar hal-hal kereta atau menukang.

Semua ini tidak rugi. Malah menjadikan kamu lebih berdikari. Kata abah Jack Of All Trade. Semua serba boleh. Tak dinafikan kita semua ada kekurangan. Yang kurang bolehlah kamu minta nasihat dan pandangan daripada mereka yang lebih mahir.

Kedua, dapat berbakti kepada kedua ibu bapa.

Kamu punya masa dan masih bujang. Inilah masa yang terbaik untuk berbakti kepada mereka. Ibu bapa Tok sudah lanjut usia. Jadi Tok akan berusaha untuk pastikan kerja-kerja rumah seperti menyidai kain, membasuh baju atau pakaian dibasuh sebelum ke tempat kerja. Tapi terus terang Tok kata kalau adik Tok ada (cuti belajar), memang Tok tak buat Hihihi. Tok terus bersiap sahaja ke tempat kerja.

Perkara yang Tok paling suka buat bila dirumah sapu halaman rumah dan membasuh kereta. Ini secara tak langsung mak Tok akan senyum pagi-pagi bila tengok kebun bunga dia bersih dan cantik. Untuk abah pula, boleh bergaya dengan kereta yang baru dibasuh. Hihihi.

Walaupun kecil tapi bila tengok mak abah Tok gembira, Tok terasa senang hati. Memandangakan Tok masuk kerja jam 10.30 pagi. Jadi, pagi-pagi Tok dah plan nak buat apa. Ada kesempatan Tok akan pergi bayar bil-bil yang dikirimkan oleh abah Tok. Secara tak langsung kita dah mudahkan kerja dia.

Ketiga, bertemu sahabat.

Seimbangkanlah hidupmu. Jangan sahaja bekerja dan tinggal dirumah. Kadang-kadang perlu juga kamu berkawan. Bertukar-tukar cerita. Masa inilah kamu kenal rakan-rakan kamu. Dapat kawan yang lawak memang tak kering gusi lah kamu. Tok ada 2 orang kawan yang masih belum berkahwin. Perempuan. 2 orang ini memang gila-gila.

Dari mereka berdua inilah kadang Tok belajar sesuatu dari mereka. Dan mereka 2 ini sangat banyak cakap. Tidak seperti Tok. Dan Tok sangat seronok dengan mereka. Apa yang baik Tok ambil, apa yang tak berkenan dihati Tok tolak ketepi. Habis cerita. Sambil-sambil itu Tok berkenalan jugalah dengan seseorang. Tapi Tok tidak meletakan harapan yang tinggi. Pengalaman lalu jadikan Tok lebih chill. Andai ada takdir kahwin bersama, Tok bagitahu kamu ya.

Keempat, mencari pendapatan sendiri.

Kamu yang bujang komitmen sudah tentu tidak banyak bukan. Paling tidak pun ada hutang PTPTN ? Macam Tok lah. Hihihi. Apa pun hutang tetap hutang. Jangan tak bayar ya. Masa inilah kamu berhempas pulas mencari duit. Ini semua untuk kesenangan kamu di masa akan datang. Boleh beli kenderaan atau rumah yang kamu mampu miliki.

Dan dengan pendapatan ini juga kamu boleh gunakan untuk membantu siapa-siapa yang memerlukan. Kepada siapa yang kamu ingin bantu, bantulah dahulukan adik beradikmu. Pandanglah mereka dengan pandangan yang penuh kasih. Kerana mereka itulah darah daging kamu yang setia sampai mati.

Apa pun Tok nak nasihatkan pada kamu. Belajarlah untuk mengurus pendapatan. Jangan terlalu seronok membelanjakan wang. Belajar lah ilmu-ilmu kewangan daripada yang pakar. Antara yang popular ketika ini, Harith Faisal. Boleh juga beli buku kewangan di kedai buku Popular.

Akhir kata, Tok nak pesan gunakanlah kudrat dan masamu sebaik mungkin. Gembirakan hati-hati disekelilingmu. Terima kasih.

– Tok (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit