Hikmah Mengapa Dia Bukan Jodohku II

Assalamualaikum sahabat IIUM. Sabrina kembali lagi, hehehe. Sebenarnya tak sangka yang coretan hidup aku akan disiarkan. Terima kasih banyak-banyak Admin. Dan yang paling aku tak sangka, confession aku mendapat beribu likes, beratus komen dan share. Aku baca semua komen, satu persatu. Allahu, terharu dengan kebaikan hati korang semua.

Terima kasih kerana sudi mengambil masa dari kesibukan masing-masing untuk membaca kisah hidup aku. Tak lupa kepada yang mendoakan arwah Reezwan, dan yang mendoakan kebahagiaan aku, terima kasih banyak-banyak. Semoga kalian dipermudahkan segala urusan dan sentiasa di dalam rahmat Allah.

Ada juga yang kata kisah hidup aku ini macam novel dan drama. Hehe. Ya, tidak aku nafikan. Hidup kita semua memang satu drama. Sama ada drama itu santai, sadis, penuh kebahagian, penuh kesedihan, penuh kekeliruan dan bermacam permasalahan lagi, itulah apa yang ditakdirkan untuk kita. Bagaimana kita menghadapinya itu lah yang menunjukkan siapa diri kita, yang menentukan bagaimana plot dan klimaks drama itu. Hidup didunia ini hanyalah satu ujian.

Ya, lama aku pendam cerita ini. Hanya Azila yang tahu tentang siapa lelaki bernama Reezwan dalam hidup aku. Aku ceritakan di page IIUM sebab sejak akhir ini aku selalu teringatkan arwah Reezwan selepas bermimpikan dia minggu lepas. Mimpi hanya mainan tidur, tapi mimpi itu membuatkan aku merindui arwah. Terasa sesak dada aku. Sesak penyesalan kerana menolak untuk berjumpa dengan arwah buat kali terakhir.

Selepas menulis di sini, dan selepas membaca komen korang semua, aku lega. Ketika berwhatsapp dengan Azila, dia cakap kat aku, “sudah-sudahlah teringatkan arwah tu sab, ingat kau tu dah bersuami”. Aku hanya diam saja. Salah ke untuk aku mengingati dia? Sekadar mengingati dan merindui sahaja. Aku tetap sayang dan cintakan suami aku.

Beberapa komen yang aku baca, ada yang seperti senasib dengan aku (walaupun berlainan cerita) dan nampak seperti masih menunggu hikmahnya. Kadang-kadang kita tidak sedar pun akan hikmah sesuatu kejadian itu kerana ia boleh datang dalam pelbagai cara. Dan tidak semestinya kita akan terus nampak didunia ini. Mungkin hikmahnya menunggu di akhirat. Bersabarlah. Cuba. Sesungguhnya sabar bukan perkara mudah. Sebab itu besar ganjaran nya untuk mereka yang bersabar.

Sebelum arwah Reezwan meninggal dunia, aku selalu bersangka buruk dengannya. Mana tidaknya, sekejap ada sekejap lagi hilang, kemudian muncul semula. Aku merasakan dia seperti mahu mempermainkan aku, atau sekadar tempat melepaskan kebosanan. Azila bermati-matian mengatakan arwah bukan jenis lelaki seperti yang aku fikirkan. Aku tidak percaya. Bagiku, bidang kerja dia yang sangat glamour itu lah yang membuat dia jadi begitu. Ye lah, dikelilingi gadis-gadis pramugari yang cantik. Mana mungkin aku ada tempat dihatinya. Lagipun orang selalu cakap, lelaki kalau nakkan kita, tiada apa yang boleh menghalangnya. Kalau lah aku tahu dia sakit….

Kuatnya dia kerana mampu menyembunyikan penyakitnya. Kuatnya dia kerana mampu menjauhkan diri dari aku kerana tidak mahu aku bersedih. Itulah kasih sayang yang ikhlas. Pada hari ke-7 arwah meninggal dunia, Azila memberitahuku yang dia akan menghadiri kenduri tahlil. Aku meminta pertolongan Azila untuk menunggu di rumah arwah sehingga majlis selesai kerana aku mahu menelefon dan bercakap dengan ibu arwah Reezwan. Setelah selesai majlis, Azila menghubungi ku. Waktu itu aku agak terkejut dan tidak bersedia kerana aku bagitahu Azila untuk whatsapp aku bila majlis selesai dan aku yang akan hubungi dia.

Berdebar-debar hati aku bila Azila berikan telefon kepada ibu arwah. Aku tidak berapa ingat isi perbualan tetapi aku tidak akan melupakan apa yang ibu arwah katakan padu aku. “Wan selalu cerita kat aunty pasal awak. Takpelah, bukan jodoh korang kat dunia ni. Redha ye nak” Selepas perbualan dengan ibunya, aku menangis semalaman dan tidak tidur. Pergi kerja dengan mata merah dan bengkak.

Korang boleh bayangkan tak? Kalau lah doaku untuk dijodohkan dengan arwah Reezwan Allah makbulkan, dan kami berkahwin, dan tak lama kemudian Reezwan pergi menemui Penciptanya, bagaimana kah keadaan aku menghadapi pemergiaannya? Adakah aku akan kuat? Adakah mampu untuk aku meneruskan hidup tanpa insan yang kalau menjadi jodohku, semestinya banyak kenangan manis diciptakan ketika hidup bersama? Tidak. Aku tidak dapat bayangkan. Allah tidak akan menguji hambaNya lebih dari kemampuan.

Ya, mungkin Allah tahu aku tidak akan mampu menghadapi kehilangan arwah sebagai kekasih/ tunang/ isteri arwah ketika itu. Hikmah itulah yang tersembunyi, dan hanya terjawab sehinggalah hari aku mengetahui Reezwan telah dijemput Allah. Inilah sebab doaku yang bersungguh itu tidak dimakbulkan. Sedangkan iblis yang dilaknat itu apabila dia meminta sesuatu dari Allah pun di makbulkan.

Apatah lagi doa yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dari kita hamba-Nya yang amat Dia kasihi. Allah amat mengasihi kita wahai sahabat sekalian. Bagaimana aku begitu yakin Allah amat mengasihi kita? Kerana aku manusia, hamba Allah, dan aku mengasihi kedua orang tuaku, suamiku, anakku, adik-beradikku, sahabat baikku dengan kasih yang tidak mampu terungkap dengan kata-kata.

Ya, kita MANUSIA BIASA pun sudah merasa perasaan mengasihi sebegitu rupa. Walaupun disakiti, dikecewakan, dilukai, kita TETAP memaafkan dan MASIH menyayangi. Dan Allah? Allah adalah Maha Pengampun, Maha Pengasih, Maha Penyayang. Ya, MAHA. Tak tercapai dek akal kita setinggi mana kasih sayang dan sudinya Allah mengampunkan kita, asalkan kita bertaubat.

Kepada yang masih belum nampak hikmah dari apa yang ditakdirkan untuk hidup korang, cubalah untuk bersangka baik dengan Allah. Ingatlah akan kasih sayang Nya. Apa yang kita mahukan tidak semestinya baik untuk kita, dan mungkin apa yang kita tidak mahukan itulah yang terbaik untuk kita. Alhamdulillah, Allah sudah beri aku kebahagiaan. Allah hadirkan suami yang baik dan seorang anak lelaki berusia 1 tahun yang sangat comel dan bijak, Muhammad Reezwan namanya :).

Semoga kalian juga akan menemui kebahagiaan. Salam sayang untuk semua.

– Sabrina

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *