Household Husband, Isteri Yang Terluka

Selepas membaca entri household husband (https://iiumc.com/298199-2/), tiba-tiba saya rasa nak bercerita pula kisah saya.

Kisah saya lebih fokus pada penghargaan suami pada isteri bukan nafkah walaupun ia berkaitan.

Saya sebenarnya dah lama memendam perasaan luka mendalam dengan suami saya. Sebelum saya mulakan luahan, saya bagi sedikit intro pasal rumahtangga saya.

Saya berumur 29 dan suami berumur 31. Sudah berkahwin mencecah 6 tahun dan mempunyai dua orang anak.

Sepanjang perkahwinan saya boleh katakan suami kerap bertukar kerja dan ada masalah kerja. Selain daripada toxic environment, suami juga seorang panas baran, ada masalah pengurusan emosi dan mudah mengambil keputusan melulu.

Saya selalu dijadikan tempat dia melepaskan kemarahan dan dimata dia hanya nampak kekurangan saya.

Acap kali bergaduh dia selalu memberi kata-kata kesat, ugut saya macam-macam, dan meletakkan semua kesalahan dibahu saya. Dikatanya dia menyesali ada isteri macam saya, saya punca masalah dia dan macam-macam lagi.

Saya jadi tertekan dan sedih sebab bila dia berhenti kerja atau ada masalah dengan kerja, saya yang selalu ada dengan dia dan sehabis baik untuk bantu dia.

Bila dia hampir putus asa, saya cuba sehabis baik memberi kata-kata semangat dan motivasi pada dia.

Ada kala bila dia terlalu stress, saya yang tolong siapkan kertas kerja untuk dihantar pada boss dia. Bila dia berhenti kerja, saya yang tolong karangkan resume dan hantar pada syarikat yang ada kekosongan.

Dan perkara ini berulang dan berulang sepanjang perkahwinan kami.

Sekarang suami sudahpun tidak bekerja berbulan-bulan lamanya.

Bila saya ajak berbincang tentang masalah yang kami hadapi dia kata saya hanya mencari topik untuk bergaduh. Perbincangan kami selalunya berakhir dengan pergaduhan.

Dan bila sudah seakan ‘berdamai’ sekalipun, kami hanya berlakon seperti konflik itu tidak pernah wujud. Tiada closure.

Sebagai isteri , saya jalankan tugas dan tanggungjawab seperti biasa. Tapi makin hari luka saya makin mendalam.

Dan perkara ini sangat memberi impak yang besar pada diri saya dan persepsi saya.

Saya masih lagi mencari komunikasi yang berkesan untuk kami, tapi sungguh saya hanya manusia biasa.

Kerap saya rasa lost sebab semua perihal anak-anak, masa depan, kewangan, kerjaya dan hal urusan rumahtangga seperti semuanya dibahu saya.

Saya makin hilang rasa hormat dan kasih pada suami. Walaupun luaran saya masih menjalankan kehidupan dan tanggungjawab sebagai isteri seperti biasa.

Tetapi sekarang, atas sebab semua yang pernah terjadi, hati dan fikiran saya, selalu berbisik kata-kata negatif.

Ada masa, saya sangat membenci suami saya.

Saya selalu rasa saya tiada nilai dimata dia.

Ada masa, saya mula memikirkan kehidupan masa depan tanpa suami saya walaupun saya rasa tak patut.

Saya nak doakan suami tapi pada yang sama saya taknak harapkan apa-apa daripada perkahwinan ini lagi. Apa yang suami buat pada saya terlalu banyak, sukar untuk saya lupakan walau bisa dimaafkan.

Bila saya tengok pasangan lain yang sangat mengasihi satu sama lain, hati saya yang dulu pernah merasakan yang sama, kini kosong.

Kalau nafkah yang saya kejarkan sudah tentu sudah lama saya undur diri. Tapi apa yang saya harapkan dari suami hanyalah pandangan ihsan pada isteri dan sentiasa berusaha demi keluarga.

Jagalah tutur kata dan perbuatan pada isteri.

Sungguh isteri saja yang ada masa susah senang.

Kepada pembaca semua, doakan saya kuat.

Sungguh hati kita Allah SWT yang pegang.

Doakan saya terus kuat berjihad dan dapat jumpa pengakhiran yang baik.

Assalamualaikum wrh wbt.

– Siti (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit