I Don’t Belong Here

Assalmualaikum. Pertama sekali aku minta maaf ya kalau penulisan ni membuang waktu kau membacanya. Dan perlu aku beritahu isinya adalah sangat depressing, gelap. Kalau tak mahu buang waktu atau turut murung, berhentilah setakat ini. Tulisan pun caca merba kerana aku emo.

Aku wanita berusia awal 30an, bujang, bekerja. Aku nampak sangat normal dan mentally ok dari luaran. Tujuan aku menulis ni cuma untuk meluahkan dan mungkin mencari persamaan situasi aku dengan orang lain, atau solusi… nak sedapkan hati.

Hari ni aku menangis (lagi) semahunya sebab aku rasa sangat tidak diperlukan dimuka bumi ini, yang aku seolah cuma bahan ketawa dan contoh orang yang ‘bermasalah’, tiada tempat untuk aku dimuka bumi.

Tak, tak ada sesiapa yang benar-benar ketawakan aku. Semua itu perasaan aku lebih-lebih lagi selepas keluar dari bilik mesyuarat. Aku sangat kaku untuk berbicara dalam kumpulan. Aku percaya tentu rakan-rakan sekerja aku pelik dengan ‘masalah’ aku.

Kenapa susah sangat bercakap, berbual? Entah aku pun tak tahu. Yang pasti aku selalu ‘blank’ bila perlu berbual dalam kumpulan. Tak tahu bagaimana dan bila untuk menyumbang dalam perbualan.

Rasa b0doh… sangat. Rasa aku tak ‘belong’ walau dalam team aku sendiri.

Kawan-kawan pun aku tak berapa ada. Di pejabat cuma ada kawan-kawan yang sekadar untuk bergembira. Yang rapat dengan aku suatu waktu dulu kini tinggal jauh atau sudah berkahwin. Hakikat menjadi dewasa, satu persatu kawan akan membawa haluan sendiri jauh dari kau.

Nampak sangat remeh, tapi untuk aku yang perlu melalui hari-hari dengan perasaan ‘I don’t belong here’ dan tak punya sesiapa selama bertahun-tahun lamanya…berat rasanya untuk aku bangun pagi dan ke pejabat. Tak ada ‘excitement’ disana atau dimana-mana.

Kalau kawan perempuan pun susah cari, apatah lagi nak cari jodoh. Lelaki mana yang akan tertarik dengan perempuan macam aku? Cantik tidak, hodoh tidak. Menarik tidak. Pandai sembang tidak. Pelik pulak tu. Mustahil ada yang tertarik. Akal aku mengiakan fikiran sebegitu kerana tak pernah ada yang ingin cuba mengenali aku.

Kerana aku rasa aku tidak memberi sumbangan yang cemerlang dalam kerjaya (aku seorang yang boleh diharap buat kerja, tapi passion tak ada, tak pandai bercakap, dan aku tak tahu harus ke mana)… dan ditambah pula dengan kurang yakin diri serta rasa keseorangan yang menggunung….

Aku seolah dah ‘mati’. Aku teruskan bangun setiap pagi kerana ada secebis kepercayaan bahawa bunuh diri adalah berdosa, aku tak mahu keluarga aku sedih, dan Tuhan perintahkan aku bangun.

Aku tak ada angan atau cita lagi dalam hidup ini kerana aku rasa aku tak berguna dan tak diperlukan disini. Wallahi, kekosongan dan keseorangan itu menyakitkan. Aku sering rasa ingin mati dan minta Tuhan cabut nyawa aku segera (aku tahu macam orang tak sedar diri amalan belum cukup).

Ibarat rutin, dalam sebulan pasti ada satu atau dua hari aku akan rasa terlalu ‘down’ seperti hari ini. Kebanyakan hari aku berjaya ketepikan rasa-rasa diatas dan sibukkan diri dengan perkara lain. (Btw, aku tak rasa aku depress, kerana masih boleh cuba kawal apa yang aku patut buat dan tidak).

Begitulah aku yang sentiasa merasakan diri ini serba kekurangan dari orang lain. Macam mana aku boleh ubah kepercayaan itu?

Terima kasih.

– wxyz (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit