Assalamualaikum. Hari ini saya nak luahkan sedikit dilema sebagai seorang ibu kepada anak dara yang sudah matang dan cukup dewasa untuk berkahwin.
Cukuplah saya membahasakan diri saya sebagai Ummi. Saya merupakan ibu tunggal yang kematian suami dan sekarang terpaksa berhempas pulas siang dan malam untuk membesarkan dan menjaga anak-anak berbekalkan kudrat saya sendiri yang masih diberi izin oleh Allah s.w.t. Kisahnya begini..
Saya memiliki ramai anak perempuan. Antaranya adalah dua orang yang kini mencapai usia yang matang untuk berkahwin. Satunya bernama Sari (bukan nama sebenar), dan Wana (bukan nama sebenar). Si Kakak adalah Sari dan si adik adalah Wana.
Kedua-dua mereka merupakan lulusan Universiti yang tersohor di Terengganu. Dengan kelulusan mereka, saya akui sebagai seorang ibu, saya cukup berbangga dengan pencapaian mereka selama saya membesarkan mereka.
Mereka merupakan anak-anak yang mendengar kata ibu dan taat pada kedua orang tuanya satu ketika dahulu. Untuk ringkaskan cerita, maka saya akan ceritakan dulu kisah si adik, Wana.
Wana merupakan seorang pelajar cemerlang. Di Universiti, beliau antara pelajar yang sering mendapat kelulusan yang baik. Beliau pandai berdikari, jarang sekali menyusahkan ibubapanya. Merupakan antara anak-anak saya yang paling saya kagumi dari dahulu hinggalah sekarang.
Namun, masalahnya bermula apabila beliau mengenali seorang budak lelaki bernama Hazeeq. Jika tidak keterlaluan, boleh saya katakan antara manusia yang tidak pernah kita terfikir bahawa orang sebegini sememangnya wujud, bukan sekadar dalam drama TV.
Wana merupakan seorang siswazah yang akan menghabiskan sem akhir di Universiti. Hazeeq datang sebagai ‘peneman sepi’ dalam kehidupan Wana yang terlalu pandai berdikari. Macam pasangan biasa, mereka kerap berbalas mesej dan call, ini saya perasan di awal perkenalan mereka ketika mana Wana pulang ke kampung, beliau sering saja mengurung diri didalam bilik dan menangis.
Sebagai seorang ibu, saya sudah syak ini adalah bahana ‘cinta’. Maka saya selidiki sehingga saya ketahui tentang status ‘boipren’ dia yang bernama Hazeeq ini.
Pada awalnya, saya memang tiada masalah berkenaan hal ini. Kerana pada saya ia adalah perkara yang normal yang selalu berlaku kepada kebanyakan orang diluar sana. Adat budak-budak zaman moden, bercinta dengan ‘telefon’. Semuanya nak dibuat dengan telefon dari makan sampailah ke tidur.
Maka tak peliklah kalau menangis pun depan telefon. Jadi bagi saya yang selaku seorang ibu yang juga pernah melalui zaman awal dewasa, saya fikirkan itu bukanlah satu hal yang terlalu janggal untuk difikirkan. Saya cuba nasihati anak-anak saya semampu saya agar tidak terlalu bertuhankan telefon.
Namun satu hari, terjadi satu perkara yang amat mengguris perasan saya dan ia mengoyak jantung saya bagaikan hilang separuh nyawa. Tidak pernah terfikir bahawa Allah akan menghantar ujian sebegini rupa keatas saya dan keluarga saya.
Saya dikejutkan dengan panggilan telefon oleh Wana yang ketika itu masih berada di Universiti, berkenaan satu kes yang melibatkan campurtangan pihak pengurusan tertinggi Universiti dan juga pihak Polis.
Hazeeq telah melakukan cubaan rogol keatas anak saya, iaitu Wana. Saya mengurut kuat dada saya ketika terdengar luahan itu dari mulut anak saya sendiri, bagaimana seorang ibu boleh mendengarkan perihal sebegitu dengan hati yang tenang??
Wana telah membuat laporan polis berkenaan cubaan Cabul dan rogol yang telah dilakukan oleh ‘boipren’ dia sendiri iaitu Hazeeq. Sebelum kejadian, Hazeeq telah membawa Wana dengan keretanya ke satu tempat yang agak terpencil. Selepas satu pertikaian lidah berkenaan satu isu yang katanya isu ‘duit’, Hazeeq tiba-tiba dirasuk iblis dan meludah muka Wana sebelum menampar mukanya berkali-kali.
Purdah dan tudung Wana disentak sehingga tercabut. Perutnya ditumbuk dan diterajang sehingga senak bagaikan hendak mati. Tangannya pula dengan gila menjalar ke seluruh tubuh Wana dan mengoyak kain yang dipakai Wana sehingga berlaku koyakan besar di pangkal paha Wana dan kesan cakaran jari manusia iblis itu jelas terlihat di pahanya.
Dalam kesengsaraan neraka 5 minit itu, Wana cuba meraung dan meminta tolong tetapi tiada siapa yang mendengar memandangkan lokasi kereta yang di parkir oleh Hazeeq agak jauh dari lokasi orang ramai. Perkara ini jelas dibuktikan melalui pengakuan anak saya sendiri dan disertakan sekali dengan laporan Polis yang telah dibuat olehnya sejurus selepas insiden itu.
Selepas dibelasah, Wana dilepaskan dengan ugutan bahawa jika perkara ini diberitahu orang ramai, lagi nahas dia akan kerjakan Wana nanti. Hazeeq juga mencabar samaada adakah Wana berani nak ambil risiko untul bagitahu orang lain? Sebab katanya dia lelaki gentleman, tidak takut bersemuka dengan sesiapapun.
Ibubapanya yang berada di Selangor sama sekali tidak tahu akan perihal perkara ini. Jejak jenayahnya ditutup rapi bagaikan seorang profesional. Kesan peristiwa itu, Wana demam seharian dan meraung bagaikan orang kena rasuk. Lebam-lebam satu badannya angkara manusia iblis. Allahu.
Bila teringat kembali kisah ini pada saat saya menukilkan watikah ini, terhiris-hiris hati saya bagaikan perkara itu baru berlaku semalam. Hati ibu yang mana yang mampu mendengar kisah ini terjadi kepada anak yang pernah dikandungkannya separuh nyawa selama 9bulan 10hari dan membesarkannya sehabis nyawa hingga jadi dewasa sebegini? Allah…
Itu kisah yang berlaku satu masa dahulu. Yang mana pada masa itu saya telah melarang sama sekali Wana daripada terus berhubung dengan budak lelaki tersebut. Wana akur dan faham akan kesilapannya sendiri sebelum ini yang terlalu percaya pada seorang lelaki yang mempunyai ‘rupa’.
Untuk pengetahuan admin, Hazeeq memiliki muka iras kacukan melayu-cina, yang mana jika dilihat pada citarasa anak dara moden, muka begitulah yang jadi idaman mereka rata-rata kalinya. Kata orang muka k-pop. Muka up-to-trend atau muka latest update. Zaman saya dahulu, muka Duran-Duran jualah yang jadi citarasa remaja pada ketika itu.. cukup disitu huraian tentang rupa, berbalik kepada sambungan kisah tadi.
Nak dijadikan cerita, setelah berminggu lama selepas insiden tersebut, akhirnya lelaki tersebut datang kembali untuk menuntut cinta iblis yang pernah tergantung olehnya satu masa dahulu. Kenapa saya katakan cinta iblis? Kerana hubungan percintaan yang penuh dengan tindak-tanduk Haram oleh si lelaki tersebut keatas anak saya.
Yang menyedihkan hati saya adalah, anak saya sendiri, Wana yang satu masa dahulu adalah anak yang baik dan mendengar kata, dengan sewenang dan tegarnya tiba-tiba kembali bercinta dengan Si Hazeeq tersebut. Hazeeq merupakan pelajar lulusan Syariah, yang mana mungkin banyak ‘ilmu agamanya’ berbanding anak saya yang hanya lulusan biasa.
Wana tiba-tiba kembali macam dahulu, menangis dan banyak bersendiri. Kadang saya terfikir, adakah anak saya telah disihirkan? Jika tidak, kenapa tindak-tanduknya seakan orang yang telah dicalit dengan minyak sihir dagu dan seumpamanya? Nauzubillah.
Saya cuba bawa beliau berubat dengan Ustaz, mana tahu ada kemungkinan terkena sihir, tetapi beliau enggan dan membentak sama sekali. Jadi dengan kudrat tua saya sekarang, siapalah yang mampu memaksa manusia dewasa untuk melakukan sesuatu perkara yang diluar kemahuannya.
Hanya Allah tempat saya berdoa dan bergantung harapan saya. Siang malam saya mendoakan agar Allah berikan petunjuk kepada anak saya dan berikan jalan keluar kepada kami sekeluarga daripada kemelut ini. Tidak henti-henti airmata tua ini mengalir demi anak yang tersayang.
Konfliknya bermula disini yang membuatkan saya dilema sepanjang hari saban minggu dan bulan..
Hazeeq telah datang bertemu saya mengaku bahawa sekarang beliau telah insaf. Beliau sudah bertaubat dan sudah betul-betul mendalami agama sekarang. Beliau berjanji jika diizinkan mereka berkahwin, beliau akan menjaga Wana sebaik-baiknya bagaikan tulang rusuk sendiri.
Jauh disudut hati kecil saya, tidak sekali saya merelakan lelaki iblis ini mengahwini anak saya. Muka yang dulu pernah diberi kepercayaan akhirnya dipijak dan dihenyak, kali ini datang lagi dengan muka yang sama untuk meminta simpati berbekalkan rupa dan manisan kata-kata.
Jika kalian dipihak saya, apa yang kalian lakukan? Namun begitulah, tidak termampu kudrat saya untuk menghalang. Kerana Wana juga menunjukkan minat sepertinya beliau rela dipasangkan dengan Hazeeq. Seolah-oleh tragedi yang berlaku tempoh hari tidak memberi apa-apa impak kepadanya. Padahal, lebam-lebam dibadannya masih cerah lagi sampai sekarang.
Allahu, bagaimanakah harus saya buat keputusan sebagai seorang ibu? Sungguh tubuh tua ini tidak terdaya lagi untuk melarang. Hanya Hati yang mampu membenci. Tapi saya tahu, hati tidak mampu membuat apa-apa yang mampu dibuat oleh anggota badan yang lain. Kerana itulah selemah-lemahnya hati. Disitulah kekuatan manusia, disitu jugalah kelemahannya.
Bantu kami Ya Allah agar keluar dari belenggu ini. Kisah Sari saya akan ceritakan dilain hari jika saya masih diberi izin bernafas olehNya. KepadaNya jualah tempat kita bersandar dan membulatkan hati. Semoga Allah permudahkan. Terima kasih sudi membaca.
– Ummi (Bukan nama sebenar)
Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit