Ina Yang Buntu II

Untuk part I, (https://iiumc.com/ina-yang-buntu/).

Confession ini ialah sambungan daripada kisah aku yang pertama.

Aku mengambil keputusan untuk menangguh dahulu pernikahan kami. Ya, walaupun abang kedua aku menyokong 100% untuk teruskan.

Untuk pengetahuan anda yang komen ‘buka fail wali enggan’ dan seangkatan dengannya, aku sudah pergi ke mahkamah daerah bersama pasangan. Sungguh, cakap senang daripada buat.

Sebak hati bila nak maklum pada staff mahkamah nak buka fail wali enggan.

Di situ, sesi kaunseling pertama aku. Mereka panggil aku berasingan dengan pasangan. Ustazah minta aku ceritakan summary kenapa mahu buka fail wali enggan.

Aku mulakan cerita serba ringkas mengenai ibu bapa, pasangan dan kenapa ibu bapa aku tidak restu niat kami untuk bernikah which is tidak sekufu dari segi pendapatan.

Ustazah terus terang juga tidak bersetuju dengan pernikahan ini.

Hal ini kerana dia juga sependapat dengan kedua ibu bapa aku bahawa pasangan aku tidak mampu menyara aku kerana beza pendapatan yang agak jauh. Tambahan lagi pasangan merokok.

Tetapi selepas ustazah nasihat dan memberi contoh-contoh kes penceraian kerana masalah kewangan dan tidak ada redha ibu bapa, beliau minta aku istikharah lagi sekali.

Aku akur dan pulang tangan kosong dengan pasangan. Si dia hanya turut apa sahaja keputusan aku. Teruskan atau tangguh.

Tidak banyak bunyi. (Untuk pengetahuan, aku dan abang pergi ke rumah si dia (sebelum ke mahkamah) untuk berbincang mengenai hal ini. Pelik kan, perempuan ke rumah lelaki.

Tapi, ibu dan ayah sudah warning jangan bawa orang yang mereka tidak suka masuk ke rumah ibu. Jangan malukan keluarga si dia. Pihak sana juga setuju untuk ke mahkamah. Malah sudah bersedia jika mahu nikah di siam, is that a good thing?)

Aku pulang dan maklum kepada ibu tentang hal ini. Seperti biasa, ibu aku hanya mendiamkan diri dan menjauhkan diri dari aku. Ibu juga marah pada abang kedua kerana ajar aku untuk membelakangkan ibu bapa.

Kata ibu, jika benar pasangan aku yang terbaik, dia akan hormat permintaan ibu dan ayah. Bukan menurut kehendak abang aku melawan ibu dan ayah.

Sebagai abang pula, akan cari calon yang lebih baik dari segala aspek yang perlu ada pada seorang lelaki sebelum berkahwin (termasuk ekonomi yang stabil).

Kata ibu juga bagaimana mahu bahagia dalam perkahwinan andai tiada restu dan redha ibu bapa? Sedangkan keredhaan Allah terletak pada keredhaan kedua ibu bapa. Ibu ayah mana nak lihat anak hidup susah.

Pada waktu dan ketika ini, jelas menunjukkan aku yang akan sara si dia, kerana itu mereka bantah dan usaha halang. Pengalaman sendiri dan orang sekeliling membuatkan mereka buat keputusan begitu.

Aku buntu tapi aku fikir dan minta pendapat sahabat-sahabat mengenai perkara ini. Ada yang suruh teruskan wali enggan, ada juga yang suruh dengar cakap ibu ayah.

Selepas beberapa hari, aku sudah pulang ke rumah sewa. Selain mahu menenangkan hati yang resah, jauh daripada keluarga tidak sihat, aku juga perlu masuk office seperti biasa.

Di sini, aku muhasabah dan cari video-video tazkirah mengenai restu ibu bapa dalam perkahwinan, anak derhaka, dan sebagainya.

Hati rasa sayu sangat apabila mendengar nasihat-nasihat dan tazkirah mengenai ibu bapa. Semakin kuat hati aku untuk mendengar cakap ibu bapa dan tidak bernikah.

Kebetulan ada juga sahabat yang mengalami masalah yang sama, cuma tidak seteruk aku sehingga keluar perkataan ‘anak derhaka’, ‘tidak restu’ atau ‘tidak redha’ jika teruskan jugak kahwin.

Aku tak buat istikarah seperti yang ustazah minta. Kerana sekarang bila difikirkan balik, istikharah sebelum ini sudah terjawab. Cuma aku yang terlalu sayang dan cinta pada dia sehingga buta dan tepis tanda-tanda yang Allah hantar.

Restu dan redha ibu bapa juga antara jawapan istikharah aku sebelum ini. Ustaz juga ada cakap percayalah pada naluri ibu bapa.

Selepas buat keputusan untuk dengar cakap ibu dan ayah, hati rasa lebih tenang. Sabar la. Allah ada.

Apa la sangat pengorbanan kasih cinta aku pada dia kalau nak dibandingkan dengan pengorbanan ibu aku semasa ayah biarkan aku.

Ibu aku yang membesarkan aku sehingga ke hari ni. Begitu lama Allah letak syurga di bawah tapak kaki nya. Tak sanggup aku mengheret ibu ke mahkamah.

Tak sanggup lihat ibu sedih kerana keputusan aku nak jugak kahwin. Aku beritahu ibu untuk tidak pulang ke rumah buat sementara waktu (Selalunya aku pulang ke kampung setiap hujung minggu).

Hanya mohon doa supaya dilindungi daripada perkara buruk. Walaupun aku masih lagi cuba untuk move on dan lupakan hal ini, tapi sakit tidak dapat kahwin kerana ibu bapa tak restu sangat pedih.

Mungkin sekarang belum lagi rezeki kami untuk berkahwin, apabila kami berdua sudah stabil ekonomi, mungkin juga ibu bapa aku sudah lembut hati untuk terima dia dan menilai sendiri kesungguhan dia memenuhi kehendak mereka.

Itu harapan dan doa aku. Kalau dah jodoh tak ke mana. Doakan aku kuat dan redha akan segala ketentuan, tidak benci pada bapa dan terus kasih pada ibu.

Sekarang aku cuma nak alone time dan jauh daripada negative people.

– Ina (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *