Ina Yang Buntu

Hi semua. Nama aku Ina (bukan nama sebenar). Hampir jejak 30 tahun. Aku anak ketiga daripada lima adik beradik. Dua abang. Dua adik. Perempuan dan lelaki. Aku juga dipanggil kakak dalam keluarga.

Aku lahir dalam toxic family. Ibu dan ayah juga toxic parents. Ayah aku bekerja dalam sektor perubatan. Ibu pula bekerja dalam sektor awam. Keluarga kami dikenali kerana adik beradik semuanya dikatakan ‘menjadi’, ‘pandai’ dan juga kerana pekerjaan ayah aku.

Tapi tak semua tahu yang ibu aku sahaja yang menyara kami adik beradik dari kecil sampai dewasa kecuali adik perempuan aku. Cuma dia sahaja yang dapat duit, perhatian dan layanan maksimum daripada ayah.

Kami semua sedar akan hal itu. Tetapi ayah masih menggangap dia adil sampai ke hari ini. Ayah tidak menyediakan duit belanja dapur dan rumah kepada ibu.

Kami tinggal di kuarter kerajaan sehingga ibu pencen. Sekarang kami tinggal di rumah ibu beli kerana ayah masih tidak memberikan tempat tinggal kepada ibu. Walaupun pendapatan ayah lebih dari cukup untuk menyara kami sekeluarga.

Ibu pula semasa kami kecil sentiasa suapkan kami dengan cerita buruk tentang ayah.

Betapa susah dia ditinggalkan bersalin berpantang sorang-sorang tanpa sesiapa, menyara makan pakai sekolah anak-anak lain tanpa duit ayah, keluarga mertua yang iri hati dengan kehidupan dia padahal semua yang dia ada adalah hasil duit dia sendiri.

Pokok pangkalnya kami sudah biasa dengan ketiadaan ayah di rumah, ketidak adilan dia terhadap empat anak yang lain dan cakap buruk tentang ayah dari kecil sehingga dewasa.

Sekarang semua dah dewasa. Kami bersyukur kerana masih ada ibu yang sentiasa tidak kedekut dalam membesarkan kami.

Tetapi, inilah hasil daripada didikan ayah yang hanya suka mengatur hidup anak-anak, panas baran, suka brainwash anak-anak sekiranya tidak sama pendapat dengan dia, ibu yang sentiasa burukan ayah ketika ketiadaan ayah.

Abang sulung sakit. Dia d3pr3ssion. Hidup dalam dunia sendiri. Duduk dalam bilik yang dipenuhi sampah sarap (Ayah dan ibu masing-masing masih tidak mahu membawanya jumpa doktor).

Abang no 2 pula sudah selamat berkahwin dan bahagia dengan keluarga kecil tetapi dianggap derhaka oleh ayah dan ibu kerana cuba menolong abang pertama berjumpa doktor psikatri tanpa pengetahuan ibu ayah. Mereka menganggap anaknya diculik.

Dihalang masuk campur kerana dia anak mereka. Biar mereka uruskan. Sedangkan abang pertama sudah hampir 22 tahun hidup dalam keadaan begitu. Kakak ipar dikatakan mandul oleh ayah kerana masih tidak mendapat zuriat.

Adik perempuan yang ditatang bagai minyak yang penuh sudah tidak tahu ke mana. Akidah tergadai dek kelalaian di bumi asing. Tudung hilang. Kelab malam biasa.

(Ya. Ayah dan ibu masih mementingkan diri dan menjaga nama sendiri daripada membawa adik perempuan aku berubat dan membetulkan akidah. Tak mahu orang kampung tahu).

Adik lelaki bongsu membawa diri memulakan hidup baru jauh di perantauan. Aku pula masih cuba mencari di mana hikmah semua ini. Aku penat. Aku cuba menjadi kakak yang waras dan diperlukan ketika adik beradik lain jauh.

Aku sabar dan sabar. Walaupun aku sedar aku ada minor d3pr3ssion. Teatpi aku cuba cari kawan-kawan apabila sedih. Kesabaran itu tidak dapat memuaskan hati ibu dan ayah. Jadi aku lebih banyak diam dan pendam daripada mengeluarkan pendapat.

Tahun lepas aku menyuarakan hasrat untuk mendirikan rumah tangga dengan pilihan hati. Dua tahun sudah aku memujuk ibu dan ayah untuk terima pilihan aku. Tetapi ditolak mentah-mentah oleh ayah.

Aku pujuk ibu dulu. Kata ibu dia sudah boleh terima. Asalkan aku bersedia dengan cabaran rumah tangga. Aku paham. Pengalaman pahit dalam rumah tangga ibu membuatkan ibu bersikap begitu terhadap niat ku.

Tahun ini, ayah pula, walaupun sudah tidak baran, tetapi sikap toxic masih ada. Masih bersikap ‘sentiasa betul’.

Tidak memberi peluang langsung kepada si dia untuk berjumpa dan berbincang mengenai perkara ini. Katanya tidak sekufu. Kerja biasa-biasa. Tidak mampu untuk menyara aku.

Jauh di sudut hati aku, aku tahu ayah malu sekiranya orang kampung tahu ‘drama’ yang ada dalam keluarga aku. Hal ini kerana pilihan hati aku merupakan orang kampung aku juga. Tapi dia tidak mengaku.

Macam mana dia belum pernah duduk semeja dengan pilihan hati aku, sudah tahu yang orang tu jahat dan sebagainya? Aku tidak boleh terima. Aku sedih. Aku terluka. Macam-macam alasan diberi supaya aku putus dgn pilihan hati.

Selama 20 tahun lebih ayah tidak peduli mengenai hal aku, aku masuk universiti tidak hantar, aku konvo tidak datang, duit dikirim pun apabila aku marah-marah dan ungkit tak adil dengan adik perempuan.

Semua susah bangun aku di univeristi, cari kerja hanya ibu yang dengar dan ada dengan aku. Tetapi, tiba-tiba dia mahu menjadi hakim dalam urusan perkahwinan aku. Atas nama ayah. Atas nama wali. Aku sedih.

Ya. Aku tahu ada procedure memboleh wakilkan wali dan sebagainya. Tetapi ayah sudah warning sekiranya aku memilih si dia.

Dianggap membuang keluarga. Sedangkan selama ini dia hidup, tanggungjawab dia kepada keluarga tak ada. Kepada anak-anak juga pilih kasih. Memburuk-burukan anak A depan anak B. Adakah apa yang dia buat kepada ibu dan anak-anak tidak dianggap derhaka dan berdosa?

Bagi aku, dia tidak layak bercakap mengenai tanggungjawab. Aku jadi benci dan berdendam dengan ayah. Bukan hanya kerana hal kahwin. Tapi kerana sejak dari dulu dia tidak peduli hal aku, kenapa sekarang mahu guna tiket ‘ayah’ dan ‘wali’?

Aku buntu. Aku juga tidak faham kenapa ibu tidak mahu menuntut fasakh dari dulu. Ketika kami semua masih kecil. Masih boleh diselamatkan daripada terikat dengan ayah yang tidak bertanggungjawab.

Mungkin ibu tidak mahu hidup berstatus ‘janda’. Sekarang ibu hanya banyak diam apabila melibatkan hal anak-anak. Ibu kerap kali menggunakan ayat ‘serah kepada ayah’, ‘ikut ayah’. Aku jadi tertekan.

Kami adik beradik menjadi tertekan dan membawa haluan masing-masing. Sekarang ayah lebih kerap pulang ke rumah kerana anak-anak tiada (ayah sewa di rumah lain sejak ibu pencen). Aku tak faham. Ayah aku tidak malu ka menumpang harta isteri dari dulu sampai sekarang?

Rumah isteri. Kereta isteri. Barang dapur duit isteri. Bila susah cari isteri. Bila senang tinggal. Lupa jenguk anak isteri. Sekarang semua dah terlambat. Anak-anak sudah dewasa, sudah boleh fikir ayah baik atau tidak. Ibu toxic atau tidak.

Keluarga broken atau keluarga normal. Sekiranya aku pilih untuk meneruskan perkahwinan ini, aku akan dicop derhaka dan lupa diri oleh mereka. Berbaloi kah? Aku buntu.

Sudah lali dengan nasihat, ‘sejahat-jahat ayah, dia tetap ayah kamu’. ‘Jangan melawan, hidup tak berkat’.

Adakah aku perlu mengorbankan kebahagian ini kerana ayah tak restu? Ayah yang mengabaikan tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak?

Sedangkan keluarga si dia sudah maklum akan hal dalam keluarga aku malah sedia terima baik dan buruk keluarga aku. Aku sedih. Kecewa.

Abang no 2 menganggap aku ditindas dan dibuli oleh ibu dan ayah. Apa yang mereka mahukan, aku dah beri. Kerja sudah, kereta sudah. Tetapi kenapa mereka tidak boleh bertolak ansur dengan aku?

Manakala adik perempuan aku walaupun sudah lari akidah masih dibela dan dibela. Mungkin kerana aku kakak. Lebih banyak menyerah kalah daripada melawan. Lebih banyak tunduk daripada bersuara lantang. Disebabkan mereka tahu perangai aku, mereka ambil kesempatan.

Aku masih dalam proses mencari hikmah semua ini dan mencari solusi untuk masa depan aku sendiri. Walaupun abang aku sudah setuju mahu menjadi wali sekiranya ayah tidak mahu menjadi wali.

Ya. Aku cemburu melihat keluarga rakan-rakan yang normal. Rakan-rakan yang boleh membuat majlis perkahwinan secara normal.

Kerana aku tahu, siapa sahaja yang aku kenalkan untuk ayah, dia tidak akan setuju. Siapa saja pilihan aku, dia akan cantas. Majlis kahwin seperti orang lain mustahil untuk keluarga seperti aku.

Apa yang boleh aku pesan untuk rakan-rakan yang menghadapi masalah seperti ibu aku, keluar la dari neraka dunia. Bina hidup sendiri dengan anak-anak.

Biar apa orang nak kata. Daripada biarkan anak-anak terus berada dalam genggaman toxic father/ mother dan toxic family. Muhasabah dan perbaiki diri sendiri.

Jangan biar diri dizalimi dengan suami tak bertanggungjawab. Kesian kepada anak-anak. Semua ada kesan di masa depan.

Jangan salahkan anak itu sekiranya dia endah tak endah kepada orang tua nya apabila dewasa, kerana sejak kecil dia dibuat endah tak endah oleh orang tua sendiri.

Minta maaf tapi orang yang mengalami nasib yang sama atau dari broken family sahaja yang lebih faham apa yang aku dan adik beradik aku alami.

– Ina (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *