Islam Itu Mudah

Islam Itu Mudah

Salam semua, berikutan dengan confession sebelum aku ni yang bertajuk “Pasangan Yang Beragama” (https://iiumc.com/pasangan-yang-beragama/). Ada yang mempersoalkan kenapa aku berhujah tentang jodoh jika aku memilih Islam, dan tidak kurang juga ada yang membekalkan doa. Semua yang diutarakan itu aku terima dengan minda yang terbuka atas sebab aku belajar untuk melihat setiap perspektif dalam hidup aku dan orang lain secara positif.

Sambungan ini aku ingin menjelaskan lagi tentang hidayah yang aku miliki ini dan mengapa taufik belum aku kecapi. Seperti yang aku nyatakan dalam confession sebelum ini, bukan mudah untuk seorang non-muslim nak memeluk Islam walaupun dalam hati dan akal fikiran kita sendiri kita tau bahawa Islam itu adalah agama yang benar. Tiada ilmu yang boleh membawa lari atau menguatkan pilihan kita tentang sesuatu melainkan Islam itu sendiri.

Aku banyak belajar pasal Islam melalui pembacaan. Banyak buku aku berunsurkan keislaman, malahan aku sendiri mempunyai tafsir Quran yang disimpan dengan niat aku ingin meluangkan masa untuk membacanya. Semua buku itu terpaksa disembunyikan kerana aku tinggal bersama keluarga kerana tempat kerja aku hanya sejengkal dari rumah. Dan aku kenal Islam dan memilih Islam lebih kepada kerana aku selalu ke masjid mendengar hujah-hujah dan apa itu Islam bersama kawan-kawan. Sememangnya ketika berada di masjid dalam keadaan aurat tertutup itu aku berasa aman dan sayup pada masa yang sama kerana ibarat aku berada di tempat yang sepatutnya aku berada namun sayup kerana aku bukan Islam.

Memang betul lah apa yang disampaikan oleh beberapa pembaca confession aku tu, boleh je aku mengucap dua khalimah syahadah itu dan menjadi Islam. Sembunyikan daripada keluarga, kemudian? Adakah mengucap dua khalimah syahadah dan menyembunyikan daripada keluarga itu, dan hidup seperti biasa berjaya menyelamatkan aku daripada menjadi jahil kerana dua khalimah syahadah itu sahaja?

Mengertikan kamu bahawa apa yang aku inginkan bukan sekadar mengucapkan dua khalimah syahadah. Aku ingin menjadi seorang wanita Islam yang berpeluang untuk belajar tentang Islam dan hidup dalam Islam. Aku bukan wanita yang warak tapi aku ingin belajar membaca Al-Quran, aku ingin bersolat dengan sebetulnya, aku ingin berdoa dan becerita dengan Allah kerana deep down I know I need to and I want to.

Memang betul kahwin atau nikah tu bukan jalan yang betul untuk memeluk Islam. Tapi cuba korang fikir, dalam family non-muslim ni kalau aku dah peluk Islam pun, di mana peluang aku nak pergi kelas agama jika semua orang kenal siapa aku dan family aku, dimana peluang aku nak menutup aurat jika keIslaman aku itu adalah rahsia? Dan sehingga bila aku perlu berpura-pura untuk menjadi bukan Islam sekiranya pada ketika itu aku sudah melafazkan dua khalimah syahada namun kehidupan aku adalah seperti sebelum aku mengucap?

Kadang kala bila aku berkongsi aku sendiri boleh menangis, bukan sebab aku sedih orang lain tak faham. Tapi aku sedih kerana aku sedar yang aku tidak mempunyai kekuatan untuk memilih agama yang membantu aku menjadi lebih baik dari sebelumnya iaitu Islam. Aku cuma mampu meminta agar korang semua doakan perjalanan aku ini dipermudahkan. Kerana aku bukan tidak mencuba, aku mencuba dan terus mencuba, namun setakat ini memang aku tidak boleh berganjak dari tempat aku berada sekarang . . . .

– Amoi

Hantar confession anda di sini -> www.iiumc.com/submit

Share via
Copy link
Powered by Social Snap