Isteri Berhak Minta Cerai

Assalamualaikum wbth. Lately, aku kerap baca confession pasal rumahtangga bermasaalah sama Ada di pihak suami atau isteri. Atau kedua-duanya.

UAI kata, bila dah nak menikah, perkara perkara yang perlu belajar adalah pasal ilmu rumahtangga lah.

Hukum hakam dalam hubungan suami isteri dan binaan rumahtangga tu sendiri. Jadi aku tak mau ulas panjang Bab lain.. nak sentuh sikit pasal Bab isteri mintak cerai atas sebab2 tertentu yang dibenarkan syarak.

Di sini aku sertakan artikel untuk senang faham. Artikel ni agak panjang. Cuma aku nak ingatkan 1 perkara.

Hukum agama adalah suatu perkara utama yang kita kena tahu dalam satu satu perbuatan itu sendiri. Kedua emosi dan sejauh mana kau mampu sabar.

“Apakah hukum isteri meminta cerai daripada suami walupun si suami telah insaf diatas kesalahan masa lalu?”

Pada asalnya tidak boleh bagi seorang isteri meminta cerai daripada suaminya tanpa sebab Syar’ie. Daripada Thauban RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا مِنْ غَيْرِ بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الجَنَّةِ

Maksudnya: “Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan maka haram baginya bau syurga.”

Riwayat al-Tirmidzi (1187)

Hadis di atas menjadi dalil bahawa seorang wanita dilarang untuk meminta cerai atau melakukan ugutan cerai kecuali jika ada alasan yang dibenarkan.

Al-Hafiz Al-Mubarakfuri berkata bahawa kenikmatan yang pertama kali dirasakan oleh penduduk syurga ialah mendapatkan bau haruman syurga.

Keadaan ini akan diperolehi oleh orang-orang yang berbuat baik sewaktu di dunia. Sedangkan yang disebutkan dalam hadis adalah wanita tersebut tidak mendapatkan bauan syurga itu.

Kenyataan tersebut menunjukkan ancaman terhadap isteri yang memaksa minta diceraikan tanpa alasan. [Lihat: Tuhfatul Ahwadzi, jld.4, hlm. 381] Al-‘Azhim Abadi juga menyebutkan hal yang sama dalam kitab ‘Aunul Ma’bud, jilid 6, halaman 201.

Perlu diketahui bahawa hukum asal bagi penceraian (talak) adalah halal di dalam Islam, tetapi makruh (yakni dibenci Syarak). Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَبغَضُ الحَلاَلِ إلى اللهِ عزَّ وجلَّ الطَّلاَقُ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dibenci Allah adalah talaq.”

Riwayat Abu Daud (2178)

Namun begitu syarak mengharuskan bagi isteri meminta cerai apabila berlaku sesuatu keadaan yang tidak dapat dielak yang boleh menyebabkan berlakunya mudarat kepada isteri seperti:

1. Kegagalan suami untuk menyediakan hak isteri seperti nafkah, pergaulan yang baik, dan tempat tinggal yang stabil.

Isteri yang tidak diberikan hak yang disebutkan itu boleh memilih sama ada bersabar atau memohon perpisahan. [Rujuk al-Mughni oleh Ibn Qudamah, jld.8, hlm.204].

2. Suami itu menghina isterinya dengan memukulnya tanpa sebab yang sah, melaknatnya dan memaki hamunnya dengan bahasa kesat.

Ini termasuklah memboikotnya tanpa alasan syarak, memukulnya, dan memaki seperti mengatakan “engkau anak anjing”, “engkau anak laknat”, “engkau anak kafir” dan sebagainya. [Rujuk; Hashiah al-Dusuki ‘ala al-Sharh al-Kabir, jld.2, hlm. 345]

3. Suami suka bermusafir lama seperti 6 bulan dan isteri itu takut dirinya tidak dapat mengawal fitnah, yakni keperluan syahwatnya.

Imam Ahmad pernah ditanya berapa lama seorang suami boleh meninggalkan isterinya kerana musafir? Jawabnya: 6 bulan. [Rujuk; al-Mughni oleh Ibn Qudamah, jld.7, hlm. 305]

4. Suami di penjarakan dalam suatu tempoh masa yang lama dan isterinya menderita kerana darar akibat perkara itu dan menuntut cerai.

Pendapat Malikiyyah menunjukkan menuntut cerai itu dibolehkan kerana dianggap hilang tanpa uzur selama setahun. [Rujuk; Mausu’ah al-Kuwaitiyyah, jld. 29, hlm. 67].

5. Suami berpenyakit mandul, tiada daya s3ksual, atau sakit berbahaya dan seumpama dengannya.

6. Suami berperangai fasiq lagi buruk dengan dosa-dosa besar seperti melakukan perkara syirik, tidak solat dan berpuasa dan isteri telah bersabar lama setelah menasihatinya.

Sheikh Ibn Uthaimin pernah ditanya tentang isteri yang meminta cerai dari suami yang penagih dadah kerana takut pengaruh buruknya kepada keluarga. Sheikh menjawab menuntut cerai itu dibolehkan.

7. Timbul kebencian melampau dalam hati isteri walaupun tidak diketahui puncanya. Berkata Sheikh Jibrin:

“Keadaan seperti ini sunat bagi suami itu menceraikannya jika dia melihat daripada keadaan kegagalan si isteri itu menahan diri, bersabar yang mana membawa kepada cerai khulu’ kerana permintaan cerai itu berpunca daripada kegelisahan dalam hatinya dan tiada dosa atas demikian itu.”

8. Si suami menghalang isterinya daripada berjumpa keluarganya khususnya ibu bapanya sendiri.

Selain itu juga, boleh merujuk S3ksyen 53. Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh. Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Pulau Pinang) 2004 Bahagian V – Pembubaran Perkahwinan:

(1) Seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu:

(a) bahawa tempat di mana beradanya suami atau isteri telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;

(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;

(c) bahawa suami atau isteri telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;

(d) bahawa suami atau isteri telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;

(e) bahawa suami telah m4ti pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah m4ti pucuk;

(f) bahawa suami atau isteri telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;

(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali Mujbirnya sebelum dia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan dia belum disetubuhi oleh suaminya itu;

(h) bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya iaitu, antara lain;

(i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kezaliman atau kelakuan aniaya;

(ii) berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut Hukum Syarak;

(iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah;

(iv) melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami itu daripada menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta itu;

(v) menghalang isteri atau suami daripada menunaikan atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya;

(vi) jika suami mempunyai isteri lebih daripada satu, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum Syarak;

(i) bahawa walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh suami kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya atau isteri enggan disetubuhi;

(j) bahawa isteri tidak izin akan perkahwinan itu atau izinnya tidak sah, sama ada oleh sebab paksaan, kesilapan, ketidaksempurnaan akal, atau hal keadaan lain yang diakui oleh Hukum Syarak;

(k) bahawa pada masa perkahwinan itu isteri, sungguh pun berkebolehan memberi izin yang sah, adalah seorang yang sakit otak, sama ada berterusan atau berselangan, dalam erti Ordinan Sakit Otak 1952 [Ordinan 31/52] dan sakit otaknya adalah dari suatu jenis atau setakat yang menjadikannya tidak layak untuk berkahwin; atau

(l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.

Kesimpulannya, seorang isteri boleh minta cerai daripada suaminya jika dia memiliki sebab yang sah dari sudut syarak, kuat lagi munasabah. Namun hendaklah diingat bahawa ini adalah jalan keluar yang terakhir, bukan solusi yang awal.

Semua perkahwinan akan menghadapi konflik dan cabaran, tidak ada yang terlepas daripadanya.

Apa yang membezakan di antara satu perkahwinan dengan perkahwinan yang lain ialah usaha yang dilakukan oleh kedua-dua pasangan untuk saling memperbaiki suasana dan belajar dari kesilapan masing-masing.

Bertolak ansur dan memberikan peluang kepada pasangan yang telah bertaubat serta telah berusaha untuk tidak mengulanginya adalah satu usaha ke arah kebaikan. Semoga masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan baik.

Wallahu’aklam.

– Hamba Allah Muslimah (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *