Isteri Yang Depressed

Assalamualaikum semua. Aku sebenarnya nak minta pendapat readers bagi permasalahan aku sekarang ni.

Benda ni aku pendam 7 tahun berkahwin. Aku bukan nak buka aib sesiapa disini. Tapi aku perlukan bantuan / cara nak bawa isteri aku jumpa pakar. Isteri aku ada masalah mental.. tapi bukan gila. Aku pun sebenarnya taktahu kondisi dia apa. Takpelah, aku cerita, mungkin ada yang tahu isteri aku ni sebenarnya ada sakit apa..

Pertama sekali, isteri aku ni datang dari keluarga bermasalah. Ibu dia ‘kupu-kupu’ malam. Ayah dia selalu pukul dia masa kecil. Kemudian kahwin dengan isteri baru pastu tinggal dia macam tu je. Jadi, dia terpaksa kerja start umur 13 sambil sekolah menengah secara haram.

Haram sebab umur 16 baru legal kerja.. aku kenal dengan isteri masa dia umur 20, aku 25. Kami kahwin lepas 6 bulan.. aku sebenarnya niat nak tunggu lagi. Tapi disebabkan kami bukan mahram, aku tak boleh nak protect dia yang seorang diri. Sebab tu aku pilih untuk cepatkan pernikahan.

Lepas sebulan nikah, isteri pregnant. Dia berhenti kerja dan duduk dirumah. Dia memang jadi isteri yang baik. Sampai air basuh tangan pun dia hidang walaupun aku taknak. Everything is okay, perfect. Tapi, aku perasan banyak sangat lukisan, kertas yang dah dironyok dalam tong sampah. Kat dinding bilik tetamu penuh dia tampal lukisan yang aku tak sangka dia pandai melukis.

Tapi… semuanya macam ‘dark’. Satu lukisan tu perempuan kecil tengah menangis.. satu lagi tu perempuan kecil tengah duduk kat atas curam yang tersangat tinggi.. dibawahnya ada tangan-tangan hitam sedang cuba menarik. Ada lagi yang perempuan tengah lemas dalam laut… cuba untuk keluar ke permukaan. Dan beratus lagi lukisan yang seakan macam tu.

Pada awalnya aku tak fikir banyak. Aku cuma ingat isteri aku ni suka melukis. Tu jela.. sampai lah lepas bersalin. Dia tak nak mak aku jaga dia masa pantang. Ibu dia memang dah lama tak contact. Nak upah orang jaga kat rumah, dia pulak taknak. Betul-betul berkeras nak pantang seorang diri.

Aku ni kerja pukul 7 pagi sampai 11 malam.. cari duit lebih demi anak isteri kan.. jadi memang takde kat rumah waktu tu. So isteri yang buat segala benda dari mandikan anak, sediakan makanan sendiri, buat kerja rumah dan lain-lain. (Masa ni dah suruh dia rehat, jahitan dia kat bawah tu banyak, tapi dia kata boleh buat). Aku pun anggap everything is fine.

Sampai lah one day aku cuti.. anak aku menangis tanpa henti. Biasalah baby memang kuat menangis.. tiba-tiba isteri aku ambil pisau. Terkejut beruk aku. Dia cuba nak bunuh diri dia, aku pujuk slow-slow tak jalan. Aku terpaksa berkeras sikit demi nak dapat pisau tu..

Masa tu tiba-tiba ada keluar darah dari kain dia.. menggelabah aku angkut pergi hospital. Rupanya jahitan banyak terbukak.. Allah.. masa ni aku betul marah. Aku kemas barang dia pergi rumah mak aku, mintak mak aku jagakan sampai dia betul-betul sembuh. Tapi lepas 3 hari dia kemas balik barang dia naik teksi balik rumah..

Aku tanya kenapa buat mcm tu.. dia jawab sebab dia takut kena marah. Takut kena marah yang rumah tak kemas dan dia tak buat kerja.. dia asyik ulang banyak kali perkataan ‘takut’. takde siapapun yang marah dia. Aku boleh je nak hantar baju pegi dobi atau basuh sendiri.. siapa yang marah dia??? Sampai sekarang aku tak tahu.

Kami ada anak umur 6 tahun, 4 tahun, dan 8 bulan. Setiap bersalin mesti dia yang paksa diri nak uruskan.. setiap kali pantang dia akan ulang perkataan ‘takut’ orang marah yang dia tak buat kerja asyik rehat. Aku dah lain macam dah tapi cuba cool kan diri.. siapa yang marah dia? Ayah dia ke? Hmm. Lagi-lagi dengan keadaan dia tak boleh tidur malam.

Start kahwin sampai sekarang dia tak pernah tidur sebelum subuh… kalau dia terlelap sebelum subuh, dia akan mimpi ada ayah dia pukul dia.. hentak kepala dia.. dia meracau racau takut… pada awal nya aku buat tak endah. Tapi sekarang ni aku mula rasa yang dia ada satu trauma masa kecil yang dia tak pernah dapat nak buang.

Aku sendiri tak tahu nak tolong macam mana. Kalau aku bawa dia pergi hospital, aku risau doktor panggil aku ni yang gila.. oh ya, disebabkan dia tak boleh tidur malam.. kalau besoknya ada urusan yang kena pergi pagi, dia paksa diri dia untuk pergi jugak.

Dan bila dia tak cukup tidur, perangai dia dari sopan santun, baik hati, lemah lembut, bertukar 360 darjah macam orang tak siuman.. pisau tu dia toreh-toreh kat tangan.. menangis.. sambil ulang yang takda siapa sayangkan dia.. takda siapa nakkan dia.. dia rasa sorang-sorang… padahal setiap kali tu takde angin bergoncang pun.. takde bergaduh ke apa pun..

Disebabkan benda ni dah lama aku hadap.. aku ada sikit improvement untuk handle dia.. prinsip aku, bila dia fikir dia tak layak jadi seorang ibu atau isteri, then minta cerai atau lepas, aku akan fikir benda lain. Aku takkan ucap langsung perkataan tu kat depan dia. Walau macam mana pun, dia isteri aku. Aku sayang dan takkan lepaskan dia selagi aku masih hidup.

Setiap kali dia tak cukup tidur, aku akan elakkan dia dari nampak pisau. Dan terus dodoikan dia sampai tertidur.. walaupun aku dah lambat nak pergi kerja. Masa aku takde, aku pantau rumah melalui cctv.. banyak kali nampak isteri kurung diri dalam almari masa baby tak berhenti menangis. Lepas 10 minit dia akan keluar balik dalam keadaan tenang.

Oh ya, dia ada hyperventiliation. Banyak kali jadi, memang kerap bila panic datang, dia hembus guna plastik… kalau tak dapat kawal, jari-jemari dia akan jadi bengkok.. keras dan sejuk.. aku risau patah je. siapa yang pernah tengok tu tahu la macam mana.

Lukisan-lukisan dia dalam masa 7 tahun ni dah boleh penuh satu bilik.. aku biarkan je asalkan dia bahagia. Tiap kali trauma tu datang, aku akan jaga isteri macam anak kecil. Yang perlu dibelai, perlu didodoikan, perlu dipeluk, ucap perkataan sayang banyak kali tanpa henti.. sampai dia tertidur.. waktu dia normal, semuanya okay.. rumah kemas dengan bersih.. makanan sentiasa ada.. solat cukup.. mengaji.. ajar anak-anak pelajaran..

Tapi, walaupun aku dah dapat cara untuk handle, jauh disudut hati aku. Aku tertanya tanya, betul kah cara aku ni? Ada ke yang aku silap? Aku ingin jugak isteri aku dapat tidur normal macam biasa.. aku sebenarnya taktahu kondisi apa yang ada kat isteri aku.. nak kata depressed pun ada, nak kata trauma pun ada, nak kata insomnia pun macam ada.. nak kata split personality pun ada..

Aku taktahu nak refer pada siapa.. nanti orang kata aku pulak yang gila.. lagipun aku tak pernah bercerita pasal ni kat sesiapa pun walaupun mak ayah aku sendiri. Lagipun bila dengan diorang, isteri aku ni normal.. hmm..

Walaupun banyak kali isteri nak cederakan diri dia, setakat ni tak pernah dia cederakan aku atau anak-anak. Dia macam ada satu dendam pada diri dia.. yang aku pun tak tahu apa benda.. aku tahu banyak lagi yang dia tak cerita pada aku pasal trauma dia masa kecil..

Kalau aku terpaksa hadap perkara ni sampai tua, aku redha. Orang lain diuji dengan benda berbeza-beza.. mungkin ini bahagian aku.. Allah Maha Pengatur setiap hidup hamba-hambaNya..

– Hakim (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *