Jatuh Cinta Pada Suami Sendiri II

Untuk part I, (https://iiumc.com/jatuh-cinta-pada-suami-sendiri/).

Aku tak sangka tulisan aku sebelum ini akan jadi bahan menarik di media sosial. Jujurnya, masa mula menaip dulu niat cuma satu, nak lepaskan apa yang tersumbat dalam hati. Menulis bagi aku cara paling selamat untuk susun emosi: aku boleh pilih kata, tapis rasa, dan simpan airmata bila perlu.

Tapi bila tulisan itu dikongsi ramai dan ruangan komen dibuka, barulah aku sedar; dunia luar memang suka bagi pendapat.

Macam-macam yang aku baca, ada yang puji, ada yang gelak, ada juga yang buat tuduhan sampai ke tajuk “lavender marriage”, ada yang kata Zam mungkin gay, ada pula yang kata aku menafikan diri sendiri.

Semua komen aku baca. Ada yang buat aku ketawa, ada yang buat aku sakit hati, tapi aku telan semuanya dengan senyap. Siapa mereka untuk faham jalan cerita hidup aku, betul tak?

Sejak posting itu, Hidup aku masih rutin yang sama: kerja, ulang-alik hospital, jaga ibu yang makin kritikal, dan pulang ke rumah yang cuba aku jadikan tempat rehat.

Dalam kekusutan itu ada satu perkara yang semakin jelas. Aku jatuh cinta dengan suami aku, Zam.

Pada mulanya aku cuba nafikan; mungkin hanyalah bias sebab dia selalu ada bila aku perlukan, sebab dia sabar, sebab dia tak pernah marah bila aku keras kepala, sebab dia jaga dan lindung aku. Tapi perasaan itu semakin dalam, bukan sekadar penghargaan atau rasa selesa.

Masalahnya, sebutan “Saya sayang awak” itu jadi susah! Lebih susah dari yang aku sangka. Aku takut. Takut kalau Zam tak rasa perkara yang sama. Takut kalau segala kebaikan dia selama ini hanyalah manifestasi tanggungjawab, bukan cinta.

Zam, kalau nak digambarkan satu kata, aku akan pilih “tenang.” Dia steady, tidak berbolak-balik, macam batu di tengah arus. Dia tunggu aku balik malam supaya aku tak masuk rumah gelap seorang diri; dia bantu urus kerusi roda ibu bila aku sibuk, dan dia diam bila aku menangis, memberi ruang tanpa soal.

Kadang-kadang aku rasa jika dia bukan suami aku, mungkin aku sudah lama jatuh hati. Tapi bila dia memang suami aku, aku jadi takut! takut dia hanya buat semua itu kerana rasa bertanggungjawab, bukan kerana rindu yang sama.

Satu malam yang aku ingat jelas: aku balik kerja letih, buka pintu, tengok dia di sofa macam biasa, buku di tangan, lampu masih menyala. “Awak tak tidur lagi?” aku tanya.

“Saya tunggu awak. Takut kalau awak balik rumah gelap sorang-sorang,” jawabnya ringkas.

Ayat itu simple, namun buat dada aku panas. Aku ulang-ulang di dalam kepala: Saya tak nak awak rasa seorang diri. Kenapa ayat ringkas itu bunyi macam pengakuan cinta?

Beberapa hari selepas itu kami bawa ibu jumpa doktor; Zam ikut, tolak kerusi roda, bercakap dengan nurse bila aku sibuk. Mama sempat tersenyum, “Kamu ni, macam anak lelaki mama pulak.”

Zam tunduk hormat, “Saya anggap mama macam mak saya sendiri.” Saat itu aku tengok dia lama. Dia bukan hanya suami di atas kertas, dia sudah sebahagian daripada keluarga aku. Tapi masih, tiga patah kata itu tetap sukar.

Malam-malam semasa siapkan kerja, aku sering menaip “Saya sayang awak” di laptop, kemudian delete. Berulang kali. Rasa bodoh, rasa pengecut.

Suatu malam aku nekad untuk tunjukkan, bukan hanya kata. Duduk rapat di sofa, bahu sentuh bahunya. “Awak sejuk?” dia tanya. “Tak. Saya cuma nak kongsi selimut dengan awak,” aku balas, sandar kepala di bahunya.

Jantung berdegup, aku bisik, “Saya rasa tenang bila dengan awak.” Dia diam, tangan dia tegang.

Sebelum masuk bilik, aku pegang lengan dia dan terlepas juga, “Terima kasih sebab selalu ada dengan saya.” Dia balas, “Itu tanggungjawab saya.” Pedih — seperti ada dinding licin memisahkan kami.

Selepas ibu pergi (Apr 2025), segala-galanya berubah. Kehilangan itu buat aku kosong, dan dalam kekosongan itu, aku nampak Zam lebih jelas. Dia ada sepanjang masa; urus jenazah, bacaan tahlil, sampai malam aku termenung di bilik ibu yang sunyi, dia pegang bahu aku dan biarkan aku menangis.

July lepas, aku buat keputusan paling berani. pakai gaun satin gelap yang selama ini tersimpan sejak tahun lepas, berdiri di depan dia, dan kata apa yang aku rasa.

“Saya dah tak ada siapa lagi. Yang tinggal cuma awak. Saya tak nak hidup kita sekadar tanggungjawab. Saya nak awak. Betul-betul awak.”

Dia diam, nafasnya berat, lalu bisik, “Beri saya masa. Saya janji akan jawab semuanya. Cuma bukan malam ini.”

Hati aku mati, aku jadi batu. Aku tidur.

Tapi aku sempat jawab, “Saya akan tunggu. Sampai bila-bila pun saya sanggup tunggu.”

Bulan lepas, Zam akhirnya buka mulut. bukan dengan retorik, tapi jujur. “Sep… saya tak pandai dan tak pernah bercinta. Saya tak pernah tahu apa maksud cinta tu. Dari mula kita kahwin, semua yang saya buat, zahir dan batin, hanya kerana tanggungjawab. Macam yang kita janji dulu”

Aku terdiam, dada berombak. “Jadi semua ni awak tak rasa apa-apa?” tanyaku. Dia pejam mata, “Saya keliru. Bila awak mula dekat, saya jadi takut. Takut kalau saya tak mampu balas. Takut hati saya kosong, dan saya hanya menipu awak dengan layanan yang awak sangka penuh makna.”

Aku tidak mampu kata apa-apa lama. Kemudian, dengan suara yang lembut tapi tekad, dia tambah, “Tapi Sep. Untuk awak, saya akan cuba.”

Aku bisik kembali, “Saya takkan tinggalkan awak. Tapi jangan biarkan saya menunggu lama. Mulakan walau sedikit.”

Malam itu kami duduk dalam diam, bukan lagi sunyi kerana jarak, tetapi sunyi penuh harap.

Untuk pertama kali sejak lama, ada lorong kecil yang terbuka: dinding tanggungjawab mula retak, memberi ruang kepada sesuatu yang mungkin akan menjadi hangat. Cinta yang sebenar, jika dijaga baik-baik.

Jadi itulah update aku. Aku tidak tahu bagaimana cerita ini akan berakhir. Mungkin bahagia, mungkin ada lagi ujian. Y

ang aku tahu cuma satu: aku sudah pilih untuk berani mencintai, dan kali ini aku mahu cinta itu menjadi sesuatu yang halal, nyata, dan penuh keberkatan , bukan sekadar tanggungjawab yang sejuk.

Doakan kami, ya..

– Sephia (Bukan nama sebenar)

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *