Jawapan kepada “Enlightenment”

Jawapan kepada “Enlightenment”

Boleh juga baca confession ini, (https://iiumc.com/enlightenment/).

Ingatkan aku seorang sahaja ex-aktivis Islam yang keluar jama’ah dek kekeringan rohani. Rupanya saudari “suffered soul” juga melalui perjalanan hidup yang hampir sama denganku. Aku lelaki. Sejak lepas SPM , hampir sedekad aku mengikuti pelbagai jama’ah. Nak cerita panjang, tak muat.

Ringkasnya, sepanjang zaman belajar dulu, aku menyertai pelbagai jama’ah, Tabligh, serpihan Ikhwan Muslimin (e.g. NGO pejuang Melayu, NGO Dr. Maszlee Malik, dll.), “salafi” dalam Ikhwan, toriqat sufiyyah (Naqshabandi, Syazlee, Ba’alawi, etc.), ahli kalam, dan akhirnya tak ada haluan. Lolz!

Tujuan aku memasuki jama’ah tersebut hanya satu, yakni mencari psikoterapi dalam Islam. Kesimpulannya aku gagal mendapat jawapan yang memuaskan. Aku terpaksa mencantum serpihan jigsaw-puzzle daripada setiap jama’ah dan kugabungkan dengan pembacaanku tentang psikologi moden seperti neurologi dan juga meditasi dalam falsafah akhlak dalam ajaran Buddha dan Stoicism. Hindu tak menarik minatku kerana terlalu banyak renyahnya manakala ajaran Samawi seperti Kristian dan Yahudi pula telah disimpulkan dengan kedatangan Islam.

Jika ditanya apakah meditasi dalam Islam, ramai yang akan jawab, solat atau zikrullah. Sekarang, aku pelawa saudaraku yang memberi jawapan tersebut untuk: 1) menggariskan tatacara mencapai khusyu’ dalam solat yang boleh dipelajari oleh orang awam, bukan setakat untuk orang khawwas (khusus); 2) mengecapi zauq (kelazatan rohani) dalam amalan zikrullah.

Setakat ini aku masih belum menemui karya ulama kontemporari dari kelompok Sunni yang menjawab persoalan ini, namun aku berjaya menemukan beberapa penulisan oleh ulama Syi’ah yang berusaha merungkai persoalan khusyu’ dalam solat dan juga penulisan ulama Sufi dalam persoalan kelazatan rohani. Sayangnya semua pendekatan tersebut tidak dijalinkan dengan kajian psikologi moden. Hal ini berbeza dengan amalan meditasi dalam ajaran Buddha yang dikaji selumat-lumatnya oleh para saintis dalam bidang neurologi, psikologi, dll.

Aku menghadapi persoalan khusyu’ ini dari sudut pandang psikologi. Pengalaman rohani yang dikatakan orang seperti moksya, nirvana, fana’ fillah, dan lain-lain itu lebih dikenali dengan nama mat salehnya sebagai “cosmic consciousness”. Nak tahu lebih lanjut boleh kaji William James, Muhammad Iqbal, Sam Harris, dan lain-lain. Setelah bertahun-tahun dan tak jumpa jawapan yang memuaskan dari agama sendiri, aku tak teragak mencari jawapan di luar tempurung.

Dari sudut psikologi aku perhatikan amalan psiko-spiritual dalam setiap agama itu hampir sama. Persamaan yang aku maksudkan adalah kaedah, bukan matlamat akhir. Zikrullah (Islam) = Mantra (Hindu), Solat (Islam) = Yoga (Hindu), Hadrah (Islam/Sufi) = Bhajan (Hindu), dan lain-lain. Semua ini adalah kaedah yang boleh juga ditemui dalam agama-agama lain. Contoh, mantra juga diamalkan oleh pengikut agama Buddha khususnya mazhab Mahayana. Tak dinafikan zauq boleh dirasai ketika berhadrah beramai-ramai sambil mendendangkan qasidah.

Boleh rujuk contoh seperti hadrah kaum Chechen yang mengikuti toriqat Nasyabandi. Orang salafi (maaf, nama kasarnya, “wahabi”) dakwa amalan tersebut bid’ah, nabi tak buat. Betul, dari sudut agama, ia bid’ah, dari sudut psikologi, ia inovasi yang membantu pengalaman rohani! Bukankah korang meloncat-loncat juga time konsert Soutul Harokah dan Izzatul Islam? OK, cukup, malas nak bincang perbalahan. Persoalan utamaku, dari sudut psikologi, tidak adakah kaedah yang paling mudah untuk diamalkan demi mengecapi “cosmic consciousness”?

Akhirnya aku menemui satu amalan psikoterapi yang mungkin takkan ditemui dalam agama lain kecuali ajaran Buddha, yakni meditasi anapanasatti (“breathing-awareness”) atau dalam BM lebih kurang maknanya meditasi kesedaran nafas. Antara nama lainnya adalah “mindfulness” yang cuba diterjemahkan oleh psikologis dalam jama’ah Dr. Maszlee Malik sebagai “meditasi ketara-sedar”.

Ringkasnya, meditasi ini mengajar kita untuk menjadi pemerhati kepada lintasan pemikiran (khawatir) kita. Dalam bahasa mudah, perasaanmu bukanlah dirimu, pemikiranmu bukanlah dirimu, dirimu adalah pemerhati kepada gelojak pemikiran dan perasaanmu. Konsep yang sama ditemui dalam falsafah Adam Smith tentang pemerhati ‘adil (impartial-spectator) kepada diri. Okay, dalam Islam pun ada juga tentang kaedah “tahannuth”, sejenis meditasi yang diamalkan oleh Rasulullah SAW di Gua Hira’ sebelum diturunkan wahyu. Sayangnya, kaedah tahannuth tersebut tidak diperincikan.

Macam saudari “suffered soul” yang cuba menyertai kelas meditasi agama lain, aku pun pernah cuba, dan juga dinafikan penyertaan kerana berstatus bumiputera. Saudari, kau tak perlu kelas, yang penting amalkan. Korang yang suka judge, baca, ini bukan usaha untuk murtad, ini lebih kepada usaha psikoterapi.

Kalau nak judge juga, tak apa, aku akan mengalah dengan syarat tunjukkan kami rumus ringkas untuk mencapai ketenangan yang terbukti berkesan dan boleh diamalkan oleh sesiapun khususnya yang awam dan mestilah boleh dilakukan secara sendirian dan korang sendiri berjaya mendapatkan hasilnya! Tapi sebab tak dapat join kelas meditasi tersebut, aku hentam kromo saja bermeditasi. Aku amalkan antara 10-30 minit sehari selama berminggu-minggu.

Kekadang ada juga ponteng. Tak disangka aku dapat juga dua kali mencicip “cosmic-consciousness” tersebut, seperti tak ada lintasan pemikiran/ perasaan kecuali merasai sensasi pada pancaindera sahaja (pure consciousness), dan lagi satu, rasa rindu untuk menyentuh “realiti” tanpa perantara. Ketika dah cicip rasa ini, hidup jadi tak keruan sekejap. Segala-galanya dilakukan secara spontan.

Aku seakan-akan dapat menjangka apa perkara yang bakal berlaku, dan aku berani melakukan sesuatu yang aku tak biasa lakukan seperti bersembang dengan orang yang tak dikenali (aku introvert, ok). Tak perlulah ku detail-kan di sini. Yang merasa sahaja yang tahu. Pengalaman tersebut dinamakan oleh ahli sufi sebagai zauq atau jazbah, manakala pengamal meditasi Buddha menamakannya jhanna. Lama-lama, perasaan tersebut luput juga.

Sebab apa tak perlu ku-detailkan? Sebabnya, walaupun kita boleh menyentuh ketenangan tersebut, hidup perlu diteruskan. Meditasi membolehkan si pengamal menanggalkan nafsu (ego/ lower-self/ nafs-ammarah/atman) dan menjadi kesedaran tulen (pure consciousness/ higher-self/ nafs-mutmainnah) semata-mata. Namun di luar tempoh meditasi, hidup perlu diteruskan, dan untuk hidup kita masih memerlukan nafs.

Latihan (riyadah) nafs ini boleh ditemui lebih banyak dalam psikoterapi aliran Imam Al-Ghazali, atau falsafah akhlak Stoicism, psikoterapi “cognitive-behavioral therapy” (CBT), dan lain-lain. Apapun, bak kata ibu kepada Stephen Batchelor, seorang bekas sami mat-saleh, “Sayangku, kau tak boleh hidup dalam nirvana selama-lamanya.”

Pengalaman rohani ini tak berani dibincangkan semua orang. Aku pernah berbalas komen FB dengan seorang Melayu yang acah berani berbincang pengalaman rohani rentas agama tapi akhirnya mengalah dengan pengakuannya lebih selesa dalam “rumah” sendiri. Tak, ini bukan persoalan aqidah. Ini persoalan “rasa”. Aku pula mendekati dan mengamati pengalaman rohani dari kanta psikologi. Kalau ulama’ dan Islamis yang baru nak up nak judge, terpulanglah.

Sarananku, lebih baik dilakukan kajian tentang khusyu’, zauq, dll, dari perspektif psikologi kemudian dihidangkan kepada khalayak dalam bentuk yang mudah. Eventually you can’t stop spiritual wayfarers from searching the paths. If they can’t understand Arabic, some will still learn from English materials.

And He knows best.

– Tom Phoenix

Hantar confession anda di sini -> https://iiumc.com/submit